Browsing Tag

Sahur

bersahur
Ibadah,

Adakah perbuatan bersahur sudah dikira berniat puasa?

Adakah perbuatan bersahur sudah dikira berniat puasa?

TIBA sahaja bulan Ramadan, pasti timbul persoalan mengenai niat puasa. Walaupun kita sudah biasa menjalani ibadah pada bulan mulia itu saban tahun, namun lumrah seorang manusia ada masanya bersifat lupa.

Maka tidak hairanlah apabila ada sesetengah orang yang tiba-tiba teringat tentang niat puasa padahal baru sahaja bersahur dan azan Subuh pula sedang berkumandang.

Dalam situasi sedemikian, apakah status puasa yang dilakukan?

Baca juga Tidak memadai niat puasa Ramadan sebulan sekali gus, perlu perbaharuinya pada setiap malam

bersahur

APAKAH status puasa bagi orang yang sudah bersahur namun terlupa berniat puasa sebelumnya? Foto: Pexels

Baca juga Buat wanita di luar sana, ini persiapan penting untuk sambut bulan Ramadan

Puasa perlu ada niat

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, rukun puasa terdiri daripada niat dan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa.

Oleh itu, secara asasnya mengikut Mazhab Syafie, umat Islam diwajibkan berniat puasa pada setiap malam sebelum berpuasa.

Perkara itu ada disebutkan oleh Imam al-Baijuri dalam karyanya, Hasyiah al-Baijuri ‘Ala Ibn Qasim. Katanya, umat Islam wajib berniat puasa pada setiap hari kerana ia merupakan ibadah yang berdiri sendiri seperti solat.

Dari segi niat puasa, Azhar Idrus berkata, tidak cukup jika ia hanya dilafazkan menerusi lisan tanpa ada niat di dalam hati.

“Tetapi, jika kita sudah berniat puasa di dalam hati, tiada masalah seandainya kita tidak menyebutnya secara lisan,” ujarnya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Turut disyorkan Solat tarawih beberapa jam sebelum Subuh kerana terlalu sibuk bekerja, sah atau tidak?

USTAZ Azhar Idrus

Bersahur tetapi lupa niat puasa

Namun, bagaimana pula jika seseorang itu sempat bersahur sebagai persiapan untuk berpuasa tetapi terlupa berniat puasa pada malam harinya?

Dalam hal itu, Imam Ibn Hajar al-Haithami menjelaskan: “Sekiranya bersahur untuk tujuan berpuasa atau menghalang (dirinya) daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa kerana bimbang terbitnya fajar ditambah pula muncul dalam fikirannya untuk berpuasa, maka sudah cukup (dikira sebagai niat), kerana terdetiknya untuk berpuasa pada fikirannya bersama dengan perbuatan yang mendorong ke atasnya (untuk berpuasa) atau dengan meninggalkan perbuatan yang menafikan (orang tersebut berpuasa) (secara tidak langsung) telah mengandungi niat puasa.” (Tuhfah al-Muhtaj fi Syarhi al-Minhaj (3/386)

Berdasarkan kenyataan di itu, portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memberitahu, orang yang bersahur sememangnya bertujuan untuk berpuasa bukan kerana sarapan pagi atau tujuan lain.

Maka perkara itu sudah cukup menurut salah satu pendapat fuqaha Mazhab al-Syafie dalam perihal panduan tentang berniat ketika berpuasa, katanya.

Turut disyorkan Resepi air Nabeez, minuman sunah kekal bertenaga sepanjang Ramadan

bersahur

RUKUN puasa terdiri daripada niat dan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa. Foto: Unsplash

Jenis niat puasa

Kebanyakan kitab fiqah telah menggariskan beberapa panduan dalam berniat ketika berpuasa bagi memudahkan umat Islam memahaminya iaitu:

1. Al-Jazm yang dimaksudkan di sini adalah benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.

2. Al-Ta’yiin iaitu penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ia puasa Ramadan, wajib (qada, kafarah, nazar) ataupun sunat (Isnin dan Khamis, hari Arafah, ‘Asyura dan sebagainya). Tidak memadai dengan berniat secara mutlak untuk berpuasa.

3. Al-Tabyiit iaitu menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah.

Baca juga Makan berlebihan menyerupai orang kafir dengan 7 perut. Otak lemah, malas beribadah

Justeru, portal tersebut menyimpulkan bahawa puasa orang yang bersahur dan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa sebelum fajar lagi dikira sah walaupun orang itu terlupa menghadirkan niatnya secara khusus.

“Namun begitu, bagi mereka yang hendak berpuasa wajib terutama pada bulan Ramadan ini hendaklah berniat puasa pada waktu malam dengan menghadirkan niat tersebut di dalam hati.

“Seandainya tidak melakukan perkara itu, tetapi telah bersahur dan menahan diri apabila tiba waktu fajar, maka puasanya tetap sah,” jelasnya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: Pexels

Makan awal malam
Hukum, Soal Jawab Agama,

Makan pada awal malam tidak dikira bersahur, berikut penjelasannya

HARI ini merupakan minggu kedua kita bertarawih. Pastinya ramai yang mengambil peluang menunaikan ibadah sunat itu di masjid dan surau.

Maklum sahajalah, kebanyakan rumah-rumah ALLAH itu sudah boleh diimarahkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan, di samping merapatkan saf.

Usai menunaikan solat berkenaan, lazimnya hidangan moreh akan disajikan. Ada yang mengambil peluang untuk menjamahnya, selain boleh merapatkan silaturahim dengan jemaah yang lain.

Begitupun, terdapat juga sebilangan individu yang menjadikan moreh tersebut sebagai waktu bersahur. Ini kerana mereka bimbang tidak dapat bangun awal pada keesokannya.

Ketahuilah bahawa jika kita makan terlalu awal, ia tidak dianggap sebagai sahur.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, waktu sahur hanya bermula pada pertengahan malam yang kedua.

DR ZULKIFLI

“Justeru, sesiapa yang makan sebelum masuknya separuh malam yang kedua, ia tidak dikira sebagai bersahur.

“Hanya mereka yang makan pada atau selepas pertengahan malam dikira sebagai bersahur. Bukan itu sahaja, golongan ini juga bakal mendapat kelebihan bersahur tidak kiralah sama ada mereka makan banyak atau sedikit disertakan dengan air,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web maktabahalbakri.com.

Baca juga Bangun Sahur Sunah Yang Besar Ketika Ramadan, Jangan Tinggalkan Amalan Ini 

Bagaimanapun, ujar agamawan itu, umat Islam disunatkan untuk melewat-lewatkan sahur sebelum terbitnya fajar. Malah, perbuatan tersebut sebenarnya termasuk dalam perkara yang afdal dilakukan.

“Kadar melewatkannya adalah kira-kira 50 bacaan ayat al-Quran,” katanya.

Ia berdasarkan kepada riwayat daripada Zaid bin Thabit RA. Beliau berkata: “Kami bersahur bersama Nabi Muhammad SAW. Kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku (Anas) bertanya: ‘Berapakah lama (tempoh masa) antara azan dan sahur?’ Beliau (Zaid) menjawab: ‘Kadarnya (kira-kira membaca) 50 ayat’.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bercakap tentang kadar 50 ayat al-Quran, ramai yang berbeza tafsiran tentangnya. Apatah lagi ia melibatkan juadah yang kita makan. Memberi panduan mudah, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu mencadangkan supaya kita makan kira-kira 30 minit sebelum masuknya waktu Subuh jika makan makanan yang berat seperti nasi.

Makan awal malam

JANGAN sesekali mengabaikan waktu bersahur kerana ia merupakan sunah yang paling besar dan tidak pernah ditinggalkan oleh baginda serta para sahabat.

“Andai juadah ringan seperti kurma, air dan sebagainya, boleh mula makan kira-kira 15 minit sebelum azan Subuh,” terangnya.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut menitipkan pesanan agar kita berusaha bersahur pada waktunya meskipun dalam kadar yang sedikit seperti memakan sebiji kurma atau seteguk air.

“Ia supaya kita tidak terlepas daripada mendapat kelebihan dan fadilat bersahur,” katanya.

Baca juga Jangan liat bangun sahur, banyak maanfaat dan keberkatan yang kita dapat

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Justeru, janganlah kamu meninggalkannya sekalipun dengan satu tegukan air, kerana sesungguhnya ALLAH ‘AZZA WA JALLA dan para malaikat-NYA mendoakan ke atas orang yang bersahur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Foto: Freepik

30284acf-a370-4376-ae9c-e82ee69872ab
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Sayu Ramadan Di Tanah Anbia

no comment

SUDAH menjadi resam seorang perantau memulakan hidup baharu di bumi asing, amat memerlukan semangat yang kuat lagi kental bagi mengharungi segala yang mendatang.
Tahun ketiga berada di bumi barakah, Jeddah yang dianggap sebagai pintu gerbang menuju dua kota suci, Makkah dan Madinah, cukup memberi kekuatan buat Nurzahira Natasha Zaharudin, 29 atau mesra disapa Tasha.

Tasha bersama suami dan anaknya.

Mendirikan rumah tangga bersama pemuda tempatan, Faisal Mustafa Salem AlHebshi, 37, mengubah hidup Tasha untuk mengenali, mendekati dan mengikuti budaya tanah anbia itu sepenuh di dalam jiwanya.

Namun, setiap kali tiba Ramadan, pintu hati Tasha seperti ‘diketuk-ketuk’ menandakan perasaan sayu itu akan datang mengingatkan ibu, ayah dan keluarga di tanah air sendiri meraikan bulan al-Quran itu tanpa anak sulungnya di sisi.

“Ramadan ini adalah tahun ketiga saya menyambutnya di Jeddah dan saya semakin selesa dengan budaya di sini. Pada awalnya berhijrah di sini perasaan saya bercampur baur, teruja, gemuruh, sedih, takut. Mana tidaknya sebelum berkahwin mana saya pernah berpisah dengan keluarga, apatah lagi selepas sebulan berkahwin di Malaysia saya terus berpindah ke sini.

Juadah berbuka yang sederhana tetapi menyelerakan.

“Setiap kali Ramadan, perasaan sayu itu pasti datang apabila teringatkan ibu dan ayah di tanah air sendiri. Biasanya mereka akan sibuk untuk menguruskan segalanya kemahuan anak-anak khususnya makanan kami untuk berbuka puasa. Apabila berada di sini, saya melihat budaya itu sama di mana suami akan sibuk menguruskan keperluan isteri dan keluarga seperti membantu melakukan kerja-kerja rumah dan menguruskan anak, manakala isteri dapat berehat sepenuhnya.

“Terus-terang memang saya rindukan tanah air sendiri apatah lagi pada bulan Ramadan perkara yang paling seronok adalah berjalan ke bazar ramadan walaupun tidak membelinya tetapi dapat ‘cuci mata’ sudah cukup puas dan mengajar diri kita untuk menahan diri daripada hawa nafsu. Tetapi di Jeddah tiada bazar ramadan, biasanya masyarakat di sini mereka akan masak sendiri di rumah atau membelinya di kedai-kedai makan biasa,” katanya yang kini sudah memiliki seorang cahayamata bernama Radwan Faisal Mustafa Salem AlHebsi, 3 dan sedang mengandung anak kedua.

Menurut Tasha, selain bulan yang mendorong kita melakukan amal ibadat berlipat kali ganda, Ramadan tidak terlepas daripada bercerita mengenai makanan. Setiap negara memiliki tradisi makanan tersendiri, malah ada kalanya kita hanya akan jumpa setahun sekali saja.

Shorba Hap campuran bubur gandum dan isi daging kambing.

“Jika Malaysia kita cukup dikenali dunia dengan makanan bubur lambuk ketika berbuka. Tidak kurang di Jeddah ini juga mereka memanggilnya Shorba Hap (bubur gandum) yang dimasak dengan daging kambing. Bau aroma rempah istimewa dengan isi daging kambing itu sangat menyelerakan dan ia kini menjadi makanan kegemaran saya setiap kali Ramadan. Selain itu kuih samosa berinti daging kambing, lembu atau ayam juga antara yang popular.

“Namun berbeza apabila waktu bersahur, biasanya saya akan makan makanan Malaysia seperti nasi ayam, ikan goreng, sup, soto dan sebagainya. Untungnya saya apabila memiliki ibu mentua yang memang berasal dari Malaysia dan juga tinggal di sini. Kami akan masak bersama-sama untuk bersahur.

Ketika melakukan umrah bersama suami dan anak sebelum pandemik tercetus.

“Jika dilihat betul, tidak banyak bezanya menyambut Ramadan di Malaysia dan Jeddah, cuma beza di sini tiada bazar ramadan saja. Kami juga sering berkumpul bersama saudara-mara, sepupu-sepupu untuk berbuka bersama dan banyak aktiviti yang mengeratkan hubungan kekeluargaan pada bulan Ramadan.

“Aktiviti lain seperti tadarus al-Quran dan memberi fokus sepenuhnya kepada amal ibadat. Masyarakat sini banyak berjaga malam dan tidur pada siang harinya.

Lampu fanus yang dihiasi di dalam rumah.

Malah masyarakat di sini juga mula menghias rumah sebelum ramadan menandakan akan masuk bulan yang penuh barakah itu. Biasanya mereka akan memasang lampu-lampu fanus yang berwarna-warni, alas meja beridentitikan Arabik dan kesemuanya hiasan hanya untuk di luar dan dalam rumah saja, manakala di tempat awam tiada hiasan dibuat,” katanya.

3 wanita
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti,

Hidayah Ramadan Saudara Baharu

no comment

Sudah masuk minggu kedua umat Islam seluruh dunia menjalani ibadah puasa dengan kelaparan dan dahaga sudah mula menjadi kebiasaan.

Jelas kebahagian, kecerian dan kepuasannya mula terpancar di wajah umat Islam yang semakin berlumba-lumba mengejar keistimewaan Ramadan apatah lagi bulan al-Quran itu juga dianggap ‘pesta ibadah’ umat Islam.

Lebih bermakna Ramadan disambut saudara baharu dari beberapa negara yang seronok dikurniakan hidayah untuk berkongsi kebahagian dan kemanisan menjadi salah seorang umat Muhammad di bulan yang berkat ini.

Veronika Edali bahagia disamping suami dan anak tunggalnya sambut Ramadan di Auckland.

Veronika Edali, 25 dilahirkan di Rusia mula memeluk Islam pada usia 18 tahun selepas menetap di Auckland, New Zealand. Pada tahun 2010, ketika itu dia baru berusia 15 tahun telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke New Zealand bagi mengejar kehidupan yang lebih baik.

“Saya memeluk Islam pada tahun 2013 ketika berusia 18 setelah tiga tahun menetap di Auckland. Alhamdulillah, Ramadan tahun ini adalah yang ke-9 bagi saya menyambutnya di New Zealand yang dihuni minoriti mereka yang beragama Islam. Namun di Auckland, kami mempunyai komuniti Islam yang besar dan mempunyai banyak masjid di pinggir-pinggir bandar.

“Ketika saya mula tiba di Auckland, saya melihat masjid-masjid dipenuhi dengan orang yang menghadiri solat tarawih. Saya melihat suasana umat Islam yang terdiri daripada pelbagai negara mengunjungi rakan-rakan dan keluarga terdekat. Mereka solat bersama, iftar dan menyambut Aidilfitri bersama-sama di Eden Park. Persekitaran yang meriah dan ada pasar yang banyak dengan makanan dan gula-gula yang lazat.

“Saya melihat komuniti Islam di sini sangat ramah, berkasih sayang, bantu-membantu dan semua di antara mereka seperti saudara-mara terdekat membuatkan saya jatuh hati untuk bersama mereka. Itulah yang dirasai setiap kali menjelang Ramadan saya cukup teruja kerana menjadikan saya seperti hari ini. Ramadan bagi saya adalah tanda kesyukuran buat saya yang diberikan hidayah dan bersyukur di atas keputusan terbaik dalam hidup saya,” katanya.

Kata Veronika, sepanjang hidupnya sebagai muslim, dia merasai berpuasa pada musim bunga, musim sejuk dan musim luruh dan puasa terpanjang baginya hanyalah 12 jam saja berbanding dengan negara lain seperti Iceland yang terpaksa berpuasa sehingga 22 jam.

“Kami biasanya bangun pada pukul 5 pagi untuk sahur dan mula berpuasa pada jam 5.30 pagi serta berbuka puasa pada jam 5.30 petang. Cuaca sekarang sangat sejuk kerana kita menghampiri musim sejuk, oleh itu kita tidak terlalu panas atau haus sepanjang berpuasa. Ini akan berubah seiring Ramadan menjelang musim panas bagi kita dalam beberapa tahun.

Gadis Jepun, Nur Arisa Maryam bahagia sambut Ramadan di Kota London.

Bagi Nur Arisa Maryam seorang muslimah yang dilahirkan di Tokyo, Jepun dan kini menetap di London sering menafikan sebilangan orang berpendapat bahawa umat Islam di United Kingdom tidak menikmati Ramadan kerana ia bukan negara majoriti Islam adalah tidak benar.

“Alhamdulillah, London mempunyai jumlah penduduk Muslim yang ramai, di sini biasanya kita akan menjumpai ramai orang Islam, masjid dan restoran halal. Sebelum Ramadan, pasar raya di sini membuat penjualan Ramadan dan menghantarnya ke rumah-rumah supaya banyak orang dapat simpanan makanan Halal sebelum Ramadan bermula. Jadi di pasar raya mereka mempunyai bahagian untuk ‘Ramadan’ yang menjual makanan Halal, kurma dan lain-lain. Terdapat juga banyak masjid di mana kita boleh berbuka puasa dan solat tarawih.

“Ketika ini waktu untuk bersahur pada jam 3.45 pagi dan iftar pada jam 8.30 malam. Ramadan musim panas agak sukar di sini kerana kita tidak mempunyai banyak waktu antara Maghrib dan Subuh, adakalanya hanya 5 jam saja. Kebanyakkan muslim di sini akan berjaga sepanjang malam melakukan ibadah dan berdoa kerana kita hanya ada sedikit saja waktu untuk tidur. Namun Ramadan pada musim sejuk sangat mudah kerana waktu Maghrib sebelum jam 4 petang.

“Sepanjang Ramadan ini saya menghadiri kelas khas Ramadan di tempat saya belajar, mendengar kuliah agama, berdoa, membaca al-Quran, membaca buku-buku Islam, berehat dan menikmati juadah berbuka puasa.

“Manakala cabaran terbesar saya sepanjang bulan Ramadan adalah untuk menghabiskan bacaan al-Quran. Saya berusaha untuk memberi perhatian untuk khatam bacaan al-Quran dan mencari apa saja peluang masa yang ada untuk menghabiskannya. Selain itu, penting juga bagi saya untuk merancang puasa yang panjang agar dapat makan dengan sihat dan mengambil air secukupnya bagi menahan diri sepanjang waktu puasa.

Berbeza cabaran buat Candace yang menetap Selatan California, selepas tahun kedua berpuasa baginya semakin selesa berbanding apa yang dilaluinya sebelum ini selepas dua tahun bergelar muslimah.

Candace nekad belajar bahasa Arab sehingga dapat membaca dan menulis al-Quran.

“Ramadan pertama saya adalah tahun lalu dan ini adalah kali pertama saya pergi ke masjid dan bersolat secara berjemaah. Saya sangat gementar dan merasa malu untuk pergi buat pertama kalinya kerana bimbang saya akan melakukan sesuatu yang salah, agak menakutkan menjadi orang baru. Saya mahu bersolat Tarawih sepanjang bulan Ramadan ini dan saya merasa sangat gembira untuk menghabiskannya

“Tahun ini jauh berbeza kerana kita harus melakukan penjarakkan sosial dan karantina di rumah. Kini saya menjalani kehidupan sebagai muslim seperti biasa saja kerana tidak ada rakan atau keluarga saya yang beragama Islam dan tahu apa yang saya lakukan. Saya berpuasa secara rahsia kerana rakan sebilik saya tidak tahu bahawa saya beragama Islam, jadi saya menghabiskan sebahagian besar masa, berdiam diri di dalam bilik atau terus sibuk dengan tugasan belajar. Saya juga kini fokus untuk menghafal surah-surah baru dan 99 nama Allah SWT, membaca al-Quran dan mendengar kuliah Islam secara dalam talian. Saya sangat berterima kasih kepada Islam dan peluang kedua saya berpuasa Ramadan. Alhamdulillah.

“Ramadan pada musim sejuk hari-hari yang dilalui terasa agak pendek. Kami biasanya solat subuh sekitar jam 7 pagi dan solat Maghrib pada jam 5 petang. Kami kini menghampiri hari-hari yang lebih lama sepanjang Ramadan, jadi waktu suhur saya biasanya bermula sekitar 4 pagi dan berbuka puasa pada jam 8.10 malam. Amerika Syarikat ini negara yang besar, jadi waktunya juga berbeza dengan tempat-tempat lain.

“Kawasan yang saya tinggal adalah beriklim sub-Mediterranean, jadi kami selalu mengalami cuaca yang sangat sederhana, Alhamdulillah. Suhu biasanya berada di antara 50 hingga 80 Fahrenheit sepanjang tahun. Saya menyukainya kerana tidak ada cuaca yang melampau, menjadikan pemandangan sekitar cukup indah. Ini menyebabkan kita lebih mudah untuk berpuasa pada musim sejuk kerana harinya jauh lebih pendek, tetapi cuaca tidak banyak berubah menjadikan setiap hari hampir seperti musim panas.

“Saya suka solat bersendirian pada satu per tiga malam terakhir, selain membaca al-Quran selama kira-kira satu jam dan kemudian berdoa. Saya memberi tumpuan kepada pengajian Islam sepanjang hari, dan proses untuk belajar bahasa Arab sehingga saya dapat membaca dan menulis al-Quran suatu hari nanti.

Digestive-System-1200-x-630
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Personaliti, Pilihan Editor,

Tidak Mati Berpuasa Kecuali Ajal

no comment

Ibadah berpuasa walaupun banyak menjurus kepada kerohanian, sering juga dikaitkan dengan aspek kesihatan.

Lebih-lebih lagi mereka yang berpuasa terpaksa menahan makan dan minuman dari terbit fajar hingga terbenamnya matahari.

Di negara ini, tempoh terbit fajar hingga terbenamnya matahari dianggarkan kira-kira 13 hingga 14 jam sehari, bererti dalam tempoh itulah kita diwajibkan untuk berpuasa daripada memasukkan makanan atau minuman ke dalam badan.

Namun adakah kita pernah bertanya apakah yang terjadi kepada sistem tubuh kita untuk tempoh 13 hingga 14 jam tanpa makanan dan minuman di dalam badan?

Dr. Dimas Dody Wibowo

Pegawai Perubatan Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr. Dimas Dody Wibowo, berkata makanan dan minuman adalah punca utama tenaga disalurkan ke sistem tubuh membolehkan kita bergerak dan melakukan aktiviti harian.

Namun tempoh berpuasa yang diperintahkan kepada umat Islam tidaklah sehingga memberi kesan negatif kepada tubuh badan kita, malah manfaat yang diperolehi.

“Kita mengambil contoh pada situasi tempoh bersahur, iaitu selepas lapan jam makanan terakhir masuk ke dalam tubuh, sistem badan akan mula mengambil simpanan glukosa dalam badan kita yang ada di hati dan otot. Jika simpanan itu habis badan akan mendapatkannya sumber tenaga dari simpanan lemak dan protein.

“Seperti istilah yang diperkenalkan oleh saintis berkaitan kelangsungan hidup menerapkan ‘peraturan bertiga’ untuk bertahan tanpa keperluan. Kita masih lagi boleh hidup kira-kira tiga minit tanpa oksigen, tiga minggu tanpa makan dan tiga hari tanpa air, jadi kalau hanya puasa untuk beberapa jam ianya tidak memberi apa-apa kesan kepada sistem badan kita,” katanya kepada portal siplus.com.my yang ditemui baru-baru ini.

Menurut Dr. Dimas, setiap manusia memiliki simpanan tenaga yang sama tanpa bergantung kepada saiz fizikal individu itu sama ada kurus atau gemuk yang membolehkan kita bertahan beberapa hari sekiranya terputus bekalan makan.

“Untuk mengekalkan tenaga harian memang kita memerlukan makanan, malah sebab itu kita digalakkan untuk bersahur pada bulan Ramadan dan bersarapan pada bulan selain Ramadan. Sebenarnya kebaikkan sahur dan sarapan sama saja cuma yang membezakannya adalah tempoh beberapa jam saja. Jika kita berpuasa, mengambil sahur dapat bekalkan tenaga kita sehari dan tempoh berpuasa itu juga dapat mengelak kita daripada mengambil snek, sarapan dan makan tengahari termasuk mengawal nafsu makan berlebihan.

“Sepanjang kita bersahur hingga berbuka tempoh masa yang menentukan kalori defisit itu yang penting, lepas kita makan untuk mengambil kalori, ia akan habis dalam tempoh lapan jam dan sistem badan kita akan berfungsi secara fisiologikal akan membakar simpanan glukosa kita bagi memberikan tenaga,” katanya.

“Secara amnya untuk pesakit yang memiliki penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes, kolestrol memang digalakkan untuk berpuasa sebab banyak kajian saintis menyatakan bagi pesakit diabetes gula dalam darah akan jadi normal, darah tinggi dan kolestrol pun begitu, namun kita harus ambil tahu sebelum kita berpuasa perlu mendapatkan nasihat daripada doktor sebab sistem tubuh setiap individu tidak sama, pengetahuan bagi pesakit itu penting sebelum kita berpuasa.

Individu berpuasa digalakkan mengambil makanan karbohidrat kompleks.

“Seperti yang disarankan di dalam Islam, sebainya ikutlah sunnah Nabi iaitu lewatkan waktu bersahur dan awalkan masa berbuka kerana masa kita bersahur kita dapat pendekkan masa kita berpuasa dan bahan yang kita makan juga harus dari makanan yang sihat. Kita digalakkan mengambil makanan kaborhadrat kompleks, seperti kentang, oat, bijirin kerana tempoh hadamnya lebih lama dan membuatkan kita akan kenyang lebih lama,” katanya.

Memandangkan tubuh manusia memerlukan 65 peratus air di dalam badan, kekurangan air dalam di dalam badan adalah perkara normal ketika berpuasa, namun kita sebaiknya mengambil tahu kaedah untuk mengelakkan badan kekurangan air hingga boleh menyebabkan hidrat.

“Selain itu, manusia memerlukan air dalam badan sekurangnya 65 peratus. Bagi pengiraan yang lebih mudah, manusia memerlukan minimum air sehari sebanyak lapan cawan. Bagaimana untuk mendapatkan lapan cawan sehari dalam tempoh berpuasa? Kita boleh bahagikan dua cawan ketika bersahur, empat cawan ketika berbuka dan dua cawan lagi selepas solat tarawih.

“Pemakanan yang baik dan sihat ketika bersahur adalah dari kategori sup dan buah-buahan. Elakkan minuman berkafein seperti kopi kerana sifat kopi ini diuretik iaitu serap air dan kita akan jadi kerap kencing menyebabkan badan mudah hidrat.

“Senaman juga digalakkan ketika berpuasa dan sebaiknya sebelum bersahur, sebelum dan selepas berbuka serta jangan bersenam yang terlalu ekstrem, cukup berjoging dan berjalan ringan saja,” katanya berkongsi tips ringkas ketika berpuasa.

 

 

 

Makan awal malam
Isu,

Bangun Sahur Sunah Yang Besar Ketika Ramadan, Jangan Tinggalkan Amalan Ini

no comment

BERSAHUR merupakan amalan sunah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sepanjang berpuasa. Sudah tentulah sesiapa yang mengamalkan sunah baginda akan diberikan ganjaran, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh barakah ini.

Begitupun, masih ada sebilangan individu yang mengabaikan sunah tersebut dan menganggapnya seperti tidak penting.

Kata mereka, sahur tidak lebih sekadar makan dan minum sahaja. Dengan angkuh juga mereka berkata, diri masing-masing masih kekal bertenaga walaupun tidak menjamah apa-apa.

Pandangan itu sebenarnya hanya merugikan diri sendiri. Ketahuilah, banyak terkandung kelebihan dan keberkatan dalam bersahur. Justeru, apakah keistimewaan bersahur sehinggakan banyak disebut-sebut dalam nas? Jika terlewat bangun pada waktu imsak, bolehkah kita makan dan minum lagi?

Waktu sahur

Bagi mendasari topik berkenaan, Sinar Islam Plus mewawancara pendakwah Nourul Iman Nia‘mat. Beliau terlebih dahulu mengajak umat menyelami maksud sahur yang merupakan perbuatan makan dan minum pada awal pagi sebelum waktu fajar dengan niat untuk berpuasa.

NOURUL IMAN

Ujar beliau, waktu sahur bermula pada akhir malam sebelum waktu Subuh dan disunatkan untuk kita melewat-lewatkannya.

Daripada Zaid bin Thabit RA, beliau berkata: “Kami telah bersahur bersama Rasulullah SAW, kemudian kami bangun untuk mendirikan solat, maka aku telah bertanya berapa jarak antara keduanya? Baginda SAW bersabda: “50 ayat.“ (Riwayat Muslim, an-Nasai dan Ibn Majah)

“50 ayat dalam hadis itu bermaksud tempoh bacaan ayat al-Quran tersebut lebih kurang bersamaan dengan kadar waktu antara imsak (waktu berhati-hati) dengan waktu Subuh,“ katanya.

Sesungguhnya, ujar Noorul Iman, bersahur merupakan antara sunah yang sangat besar ketika Ramadan. Kelebihan itu dapat dilihat menerusi beberapa hadis masyhur.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.“ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bukan itu sahaja, sesiapa yang membiasakan diri bersahur, ujarnya, ia merupakan antara indikator jelas yang memisahkan antara puasa orang Islam dengan penganut agama lain dan ahli kitab.

Walaupun tidak berdosa seandainya kita tidak sempat bersahur atau sengaja enggan berbuat demikian atau sebaliknya, pendakwah itu menegaskan, perbuatan berkenaan sangat dituntut oleh Rasulullah SAW kerana banyak keberkatan yang boleh diperoleh umat Islam.

“Bahkan, dalam hadis, Rasulullah SAW bersabda supaya Muslimin dan Muslimat bersahur walaupun dengan seteguk air. Tidak seharusnya kita mengabaikan saranan baginda begitu sahaja.

Bersahur

BANGUNLAH sahur walaupun dengan hanya seteguk air ataupun sebiji kurma demi meraih keberkatan daripada-NYA.

“Ingatlah bahawa bersahur tidak semestinya kita perlu masak nasi dan sebagainya. Cukuplah sekadar segelas air, letak tepi tempat tidur kita dan bangun bersahur dengan minum air berkenaan ataupun sebiji tamar. Itulah sebaik-baik sahur.

“Tiada masalah untuk kita makan makanan berat yang lain. Semua itu bergantung kepada keperluan seseorang.

“Andai keperluannya bersahur dengan makanan tersebut supaya dirinya lebih bertenaga pada siang hari untuk bekerja, dipersilakan untuk bersahur dengan makanan berat,“ ujarnya.

Keberkatan

Meneruskan perkongsian ilmunya, Nourul Iman kemudian memperincikan tentang keberkatan yang dimaksudkan pada waktu sahur.

Jelas beliau, dalam Kitab al-Fathul Bari, Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa berkat amalan bersahur itu terhasil dari pelbagai sudut.

Antara lain, katanya, kita mengikut sunah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan sudah tentulah mendapat pahala apabila berbuat demikian.

“Bahkan, bersahur juga membezakan antara puasa umat Islam dan ahli kitab. Pada masa sama, bersahur juga akan membekalkan tenaga sepanjang hari kepada tubuh badan. Ia juga akan menambahkan semangat kita berpuasa. Tidaklah kita kelihatan lesu dan tidak bermaya untuk bekerja.

“Benar, tidak dinafikan apabila masuk sahaja bulan puasa, emosi kita berubah, kondisi tubuh badan dan pergerakan kerja kita juga sedikit berubah.

Bersahur

BANGUN sahur sarat dengan pelbagai kelebihan dan keberkatan antaranya memberikan bekalan tenaga sepanjang berpuasa, selain mengikuti sunah Rasulullah SAW.

“Ingatlah bahawa kita bekerja pada masa ini untuk kelangsungan hidup bersama keluarga, tetapi umat Islam terdahulu pula berperang walaupun dalam keadaan mereka sedang berpuasa. Ia bukan suatu yang mudah, tetapi mereka tetap melakukannya dengan penuh semangat walaupun saat berpuasa,“ ujarnya.

Keberkatan bersahur tidak sekadar terhenti di situ, kerana menurut Nourul Iman, asbab mengamalkan sunah mulia tersebut akan membuatkan kita mudah memberi sedekah kepada mereka yang meminta.

Bersandarkan kepada semua kelebihan itu, kata Nourul Iman, jelaslah bahawa bersahur merupakan satu rahmat dan berkat yang sangat luas ditujukan kepada umat Islam.

“Justeru, selamat beramal. Jangan menganggap sahur sebagai satu amalan yang remeh,“ nasihatnya.

ALLAH, malaikat berselawat

Fakta yang dilontarkan oleh Nourul Iman turut dipersetujui oleh pendakwah Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi.

AHMAD LUTFI

Ujar beliau, keberkatan yang diperoleh asbab bersahur akan membantu seseorang menjalani hari-hari puasanya dengan mudah pada saat melakukan ibadah dan amalan-amalan ketaatan.

Bukan itu sahaja, ujarnya, Nabi Muhammad SAW memerintahkan agar jangan meninggalkan sahur.

Oleh itu, boleh kita simpulkan bahawa bersahur adalah sunah yang paling besar dan tidak pernah ditinggalkan oleh baginda dan para sahabat.

“Andai seseorang tidak bersahur, ini bermakna dia telah meninggalkan sunah yang paling besar dan boleh menyebabkan seseorang itu tidak mendapatkan keberkatan yang ada padanya.

“Ya, memang puasanya sah, tetapi berpuasa bukan hanya melibatkan sah atau tidak sah. Apa yang kita mahukan adalah keberkatan dalam ibadah puasa yang kita lakukan.

“Seperkara, ambillah peluang pada waktu sahur untuk beristighfar dan memohon keampunan daripada ALLAH SWT. Inilah antara sifat orang mukmin sepertimana yang dikhabarkan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran menerusi Surah al-Dzariyat, ayat 18,” jelasnya.

Begitu besarnya kasih sayang-NYA kepada orang yang bersahur apabila ALLAH SWT dan para malaikat akan berselawat ke atas mereka, jelas beliau. Perkara itu ada dijelaskan dalam sebuah hadis yang berstatus sahih.

Daripada Abi Said al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda: “Makan sahur itu barakah, maka janganlah kalian tinggalkan meskipun salah seorang daripada kalian hanya minum seteguk air, kerana sesungguhnya ALLAH SWT dan para malaikat-NYA berselawat kepada orangorang yang makan sahur.“ (Riwayat Ahmad)

Baca juga Niat Selepas Azan Subuh, Ini Status Puasanya

Selain buah kurma yang menjadi kelaziman Rasulullah SAW ketika bersahur, Ahmad Lutfi menjelaskan, umat Islam juga boleh mengamalkan makanan sunah lain seperti madu, susu kambing dan buah zaitun.

Kepada satu soalan, Ahmad Lutfi menjelaskan: “Waktu imsak (10 minit sebelum masuknya waktu Subuh) bukanlah waktu bermulanya puasa. Maka, pada tempoh tersebut dibolehkan lagi kepada mereka yang terlewat bangun untuk makan dan minum.

“Namun begitu, sekiranya kita telah kedengaran azan subuh, maka hendaklah berhenti serta-merta dan kemudian sempurnakan puasa tersebut sehingga masuk waktu berbuka,“ katanya.

Begitupun, beliau berpesan agar kita segera menyelesaikan sahur sebelum masuknya waktu Subuh agar tidak timbul keraguan.

“Antara hikmah disunatkan untuk melewatkan sahur adalah supaya kita dapat terus mempersiapkan diri untuk menunaikan solat Subuh,“ katanya.

Doa waktu sahur, sebelum berbuka tidak akan tertolak

Tiada manusia yang mampu lari daripada melakukan kesilapan dan dosa. Hanya dengan bertaubat, berdoa dan memohon ampun antara cara untuk kita bebas daripada belenggu dosa berkenaan.

Sempena Ramadan yang begitu sinonim sebagai bulan keampunan, pendakwah Nik Nur Adneen Ismail atau lebih dikenali sebagai Da‘i Adneen mengajak umat untuk sama-sama berdoa.

DA’I ADNEEN

Lebih-lebih lagi ungkapan doa penuh tulus dipohon ketika bulan mulia itu kerana jelas Da‘i Adneen, terdapat dua waktu mustajab doa yang tidak akan ditolak pada waktu tersebut iaitu sebelum berbuka dan ketika waktu sahur.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka, ada doa yang tidak ditolak.“ (Riwayat Ibnu Majah)

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada waktu sahur itu terdapat keberkatan.“ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Maka, rebutlah peluang itu dengan mempelbanyakkan zikir, istighfar dan berdoa kepada ALLAH SWT pada waktu-waktu tersebut,“ katanya kepada Sinar Islam Plus.

Dalam pada itu, Da‘i Adneen turut menasihatkan agar kita tidak mensia-siakan peluang keemasan itu berlalu begitu sahaja disebabkan terlalu sibuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur.

“Antara pendekatan yang boleh diamalkan agar tidak terlepas peluang berdoa pada waktu tersebut adalah dengan menyediakan juadah berbuka dan bersahur dengan lebih awal. Ia supaya kita dapat mengecapi doa bersama-sama keluarga.

Bersahur

BERDOA dan pelbanyakkan istighfar sepanjang berpuasa terutama ketika saat berbuka dan waktu sahur yang merupakan waktu mustajab.

“Berdoalah walau dalam apa jua keadaan sekalipun kerana ALLAH itu MAHA MENDENGAR dan MAHA MENGETAHUI. Luangkanlah masa sekurang-kurangnya tiga hingga lima minit berdoa sebelum berbuka dan bersahur. Semoga ALLAH SWT akan memperkenankan segala doa kita,“ ujarnya.

Jelas beliau, tiada doa yang dikhususkan untuk dibaca ketika waktu berkenaan. Namun, beliau menyarankan agar kita mengamalkan doa penghulu istighfar.

Doa itu berbunyi: “Ya ALLAH, ENGKAULAH Tuhanku, tidak ada Tuhan kecuali ENGKAU, ENGKAU telah menciptakan aku dan aku adalah hamba-MU, dan hamba pasti menuruti ketentuan-ketentuan-MU, janji-janji-MU sesuai kemampuanku. Aku meminta penjagaan-MU daripada buruknya segala perbuatanku, aku mengakui segala nikmat yang ENGKAU berikan dan mengakui adanya dosa-dosa yang aku lakukan, maka ampunkanlah aku. Sesungguhnya, tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali ENGKAU.“

“Selain itu, kita juga boleh berdoa dengan meminta ketenangan, kebahagiaan dan segala keinginan dunia serta akhirat yang diimpikan,“ saran beliau.

ANEKDOT

KELEBIHAN bersahur

1. Membezakan antara puasa orang Islam dengan Yahudi.

Rasulullah SAW bersabda: “Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) puasa ahli kitab terletak pada makan sahur.“ (Riwayat Muslim)

Walaupun ahli kitab berpuasa, tetapi mereka tidak makan sahur sebagaimana umat Islam yang disunatkan berbuat demikian.

2. Keberkatan ketika bersahur.

Ketahuilah, bangun sahur itu ada keberkatannya iaitu keberkatan syar‘iyyah (mengikut sunah baginda) dan badaniyyah (menguatkan tubuh badan).

Rasulullah SAW bersabda: “Bersahurlah kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.“ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Untuk kesihatan diri.

Menurut Imam Ibnu Adli Bar, kajian mengenai hadis bersahur dan kepentingannya adalah bertaraf sahih. Ia mampu memberi kesihatan kepada diri sendiri.

Kajian saintifik tentang saranan Nabi Muhammad SAW agar melewatkan sahur mempunyai sebab tersendiri dan ia sebenarnya menepati waktu sarapan pagi.

4. ALLAH dan para malaikat berselawat.

Perkara itu ada dinyatakan jelas dalam hadis kerana dalam sahur ada keberkatannya. Justeru, bangunlah sahur untuk mendapatkan semua kelebihan tersebut.

Sumber: Pendakwah Nourul Iman Nia‘mat & tzkrh.com

Foto: Freepik