PERSOALAN tentang niat puasa sememangnya tidak pernah lekang daripada radar bulan Ramadan. Meskipun kita sudah biasa menjalani ibadah pada bulan mulia itu, adakalanya timbul persoalan berkenaan gara-gara terlupa untuk berniat puasa.
Masakan tidak, lumrah seorang manusia ada masanya bersifat lupa. Maklum sahajalah, kita ialah hamba ALLAH SWT yang mempunyai kekurangan diri.
Pun begitu, semua sedia maklum bahawa niat merupakan perkara paling signifikan dalam setiap ibadah yang dikerjakan. Apatah lagi jika melibatkan kewajipan yang difardukan oleh ALLAH.
Secara asasnya, mengikut Mazhab Syafie, umat Islam diwajibkan berniat puasa pada setiap malam sebelum berpuasa.
Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkata, perkara itu ada dijelaskan oleh Imam al-Baijuri dalam karyanya, Hasyiah al-Baijuri ‘Ala Ibn Qasim.
Imam al-Baijuri menukilkan, umat Islam wajib berniat puasa pada setiap hari kerana ia merupakan ibadah yang berdiri sendiri seperti solat.
Terlupa
Kata beliau lagi, individu yang bermazhab Syafie boleh berpegang dengan pandangan Imam Malik RA dalam hal keharusan berniat puasa sebulan pada malam pertama Ramadan.
“Ia sebagai langkah berjaga-jaga. Andai terlupa berniat pada suatu malam, maka tidak perlulah individu berkenaan mengqadakan puasanya.
“Ini kerana puasanya dikira sah disebabkan sudah sedia berniat puasa selama sebulan Ramadan,” jelasnya sepertimana yang dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Begitupun, ada segelintir orang mungkin terlupa untuk berniat puasa selama sebulan dan hanya melakukannya saban malam.
Andai kata pada suatu hari, kita terlupa berniat puasa dan ia hanya sempat disedari dan dilakukan selepas azan Subuh, apakah status puasanya?
Menjawab persoalan itu, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, para ulama berbeza pendapat berkaitan niat puasa wajib pada siang hari atau setelah terbit fajar.
Berdasarkan Mazhab Syafie, puasa wajib seperti puasa Ramadan, nazar dan qada yang diniatkan pada siang hari atau selepas terbit fajar, hukumnya adalah tidak sah.
“Namun begitu, ulama dalam kalangan Mazhab Hanafi menyatakan hukum berniat puasa sama ada puasa wajib atau sunat yang dilakukan pada siang hari atau selepas terbit fajar tetap sah. Cuma, puasanya dianggap kurang sempurna.
“Menurut mazhab berkenaan, puasa berkenaan menjadi sempurna jika diniatkan pada malam hari sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW,” jelas jabatan itu dipetik daripada artikel kemusykilan agama laman web jabatan berkenaan.
Justeru, berdasarkan pandangan jumhur ulama dalam Mazhab Syafie, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, puasa seseorang yang berniat puasa semasa azan Subuh dikumandangkan adalah tidak sah.
“Namun begitu, dia tetap wajib meneruskan puasanya pada hari tersebut bagi menghormati kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan. Pada masa sama, dia wajib mengqadakan puasanya selepas Ramadan,” kata jabatan itu lagi.
Situasi itu berbeza andai kata seseorang itu sempat bersahur sebagai persiapan untuk berpuasa tetapi terlupa berniat puasa pada malam harinya.
Dalam hal itu, Imam Ibn Hajar al-Haithami menjelaskan: “Sekiranya bersahur untuk tujuan berpuasa atau menghalang (dirinya) daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa kerana bimbang terbitnya fajar ditambah pula muncul dalam fikirannya untuk berpuasa, maka sudah cukup (dikira sebagai niat), kerana terdetiknya untuk berpuasa pada fikirannya bersama dengan perbuatan yang mendorong ke atasnya (untuk berpuasa) atau dengan meninggalkan perbuatan yang menafikan (orang tersebut berpuasa) (secara tidak langsung) telah mengandungi niat puasa. (Tuhfah al-Muhtaj fi Syarhi al-Minhaj (3/386)
Ia sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad al-Fatwa Khas Ramadan Siri ke-124: Adakah Dengan Bersahur Sudah Dikira Berniat Puasa yang disiarkan menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Berdasarkan kenyataan di itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, orang yang bersahur sememangnya bertujuan untuk berpuasa bukan kerana sarapan pagi atau tujuan lain.
Panduan
Maka sudah cukup menurut salah satu pendapat fuqaha Mazhab al-Syafie dalam perihal panduan tentang berniat ketika berpuasa, katanya.
Kebanyakan kitab fiqah telah menggariskan beberapa panduan dalam berniat ketika berpuasa bagi memudahkan umat Islam memahaminya iaitu:
1. Al-Jazm yang dimaksudkan di sinia dalah benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.
2. Al-Ta’yiin iaitu penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ia puasa Ramadan, wajib (qada, kafarah, nazar) ataupun sunat (Isnin dan Khamis, hari Arafah, ‘Asyura dan sebagainya). Tidak memadai dengan berniat secara mutlak untuk berpuasa.
3. Al-Tabyiit iaitu menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah.
Justeru, tegas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, puasa orang yang bersahur dan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa sebelum fajar lagi dikira sah walaupun orang itu terlupa menghadirkan niatnya secara khusus.
“Namun begitu, bagi mereka yang hendak berpuasa wajib terutama pada bulan Ramadan ini hendaklah berniat puasa pada waktu malam dengan menghadirkan niat tersebut di dalam hati.
“Seandainya tidak melakukan perkara itu, tetapi telah bersahur dan menahan diri apabila tiba waktu fajar, maka puasanya tetap sah,” jelasnya.