Browsing Tag

pemimpin berwibawa

PRN
Gaya Hidup,

Pilih pemimpin berdasarkan kekayaan atau wibawa peribadinya, tepuk dada tanya iman

Pilih pemimpin berdasarkan kekayaan atau wibawa peribadinya, tepuk dada tanya iman…

PILIHAN Raya Negeri (PRN) bakal diadakan pada 12 Ogos nanti di enam buah negeri, lebih kurang seminggu sahaja lagi dari tarikh yang dinantikan oleh setiap rakyat dan ahli politik.

Tidak kisahlah parti mana pun yang disokong, pastikan pemimpin yang kita undi itulah mampu memimpin negeri dengan penuh amanah dan dedikasi.

Jangan pula kita salah pilih dan undi pemimpin berdasarkan kekayaan semata-mata, kerana faktor tersebut tidak akan menjamin kewibawaan seseorang itu dalam memimpin.

Menurut Mufti Wilayah di laman Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-720: Memilih Pemimpin Berdasarkan Wang Harta Dan Kekayaan, menjelaskan seorang Muslim yang mahu memilih pemimpin tidak dibenarkan mengangkat seseorang calon kerana wang atau harta kekayaan.

“Hal ini kerana kewajipan syariat menerangkan supaya kita memilih calon pemimpin yang mempunyai keperibadian yang baik, serta menilai kelayakannya berasaskan kecekapan dan kompeten dalam mentadbir serta menjalankan pemerintahan.

“Nabi SAW menjelaskan antara golongan yang akan diberi azab yang pedih ketika akhirat adalah golongan yang mengangkat pemimpin kerana habuan keduniaan seperti wang, dan jika tidak diberi jawatan tersebut kepadanya pula maka dia akan marah dan meninggalkan pemimpin tersebut.

(PRN) yang bakal diadakan pada 12 Ogos 2023 di enam buah negeri.

ALLAH SWT menegur sekalian umat manusia mengenai pemilihan kepimpinan berdasarkan wang harta, ini dapat dilihat melalui kisah Yahudi di dalam al-Quran: “Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya ALLAH telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya ALLAH telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), ALLAH jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-NYA; dan ALLAH MAHA LUAS (rahmat-NYA dan pengurniaan-NYA), lagi meliputi ilmu-NYA”. (Surah al-Baqarah ayat 247)

“Syeikh Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya mengatakan ayat ini menjelaskan bahawa kepimpinan bukan berdasarkan pewarisan dan bukan juga berdasarkan kekayaan seseorang, tetapi dipilih berdasarkan kompeten kecekapan, ilmu pengetahuan, kemahiran, keperibadian yang utuh dan kemahuan yang teguh.

Artikel Berkaitan 

“Ibnu Abbas menceritakan pemilihan Talut sebagai pemimpin di kalangan bani Israel ketika itu kerana beliau merupakan orang yang paling bijak serta memiliki kekuatan tubuh badan yang sempurna, yang mana akan membuatkan musuh takut dan gentar.

“Dalam ayat ini ALLAH menjelaskan faktor pemilihan Talut adalah berdasarkan ilmunya yang luas (kekayaan sebenar manusia) dan kekuatan fizikalnya yang mampan (faktor kekuatan untuk berperang dan keyakinan ketika perjumpaan bersama manusia yang lain).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

“Jadi ayat ini menjelaskan kriteria seorang pemimpin dan keadaan yang bersangkut paut dengan kepimpinan, di mana orang yang layak menjadi pemimpin adalah orang yang mempunyai ilmu, agama dan kekuatan tubuh badan. Pemimpin juga tidak harus dipilih melalui nasab keturunannya,” jelasnya.

Tiga golongan ALLAH murka

Mufti menjelaskan lagi, terdapat juga sebuah hadis yang menyebut mengenai golongan-golongan manusia di mana ALLAH benci dan murka terhadap golongan ini di akhirat kelak.

Baca Juga Ini suara anak muda Muslim terhadap kerajaan baharu

“Antara golongan yang disebut adalah mereka yang berbaiah atau mengikut pemimpin hanya jika mereka diberikan sejumlah wang harta atau pemberian.

“Nabi SAW bersabda “Tiga golongan yang ALLAH berpaling daripada mereka di akhirat kelak; golongan yang menyekat orang-orang di jalanan daripada akses air, golongan yang bersumpah atas sesuatu barang yang bermaksud pendustaan, dan golongan yang berbaiah kepada pemimpin di mana mereka mendapat habuan daripadanya, jika tidak ada habuan tersebut maka mereka tidak mentaatinya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Pemimpin tipu rakyat

PARA pemimpin wajib menjauhkan diri mereka dengan perkara yang boleh membawa kemungkaran
seperti mengambil rasuah atau riba, menyembunyikan kebenaran dan mementingkan diri sendiri.

“Syeikh al-Azim Abadi dalam kitabnya menerangkan golongan terakhir yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah golongan manusia yang mengangkat pemimpin demi untuk habuan keduniaan.

“Imam al-Munawi pula dalam karyanya menjelaskan golongan ketiga yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah golongan yang mempunyai perjanjian dengan pemimpin dalam melaksanakan undang-undang, melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, tetapi tujuan dia melakukan sedemikian kerana mahukan balasan dan habuan keduniaan. Jika pemimpin tersebut tidak memberikan apa yang dikehendakinya maka dia tidak akan mengikut pemimpin tersebut,” ujarnya.

Turut Disyorkan Ibrah kisah Zulqarnain, pemimpin yang penuh sifat qawwam

Berdasarkan pencerahan di atas, kita dapat mengetahui bahawa kekayaan dan harta bukan faktor utama dalam pemilihan kepimpinan, bahkan ALLAH mencela orang-orang yang mengangkat seseorang pemimpin kerana wang harta dan habuan keduniaan.

Seorang Muslim harus memperhatikan ciri-ciri seperti keilmuan, kejujuran, kecekapan bekerja, taat kepada perintah agama dan kemahuan yang benar untuk membantu orang yang dalam kesusahan.

Berita Semasa,

8 ciri pemimpin berwibawa idaman ummah

 

ADAKAH pemimpin yang bakal dipilih menerusi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) nanti memiliki ciri-ciri pemimpin idaman?

Idaman yang dimaksudkan ialah menepati citarasa rakyat terbanyak. Bukan sekadar hebat berpidato mempromosi manifesto partinya, bahkan diyakini akan mengotakan segala janji yang ditabur.

Menentukan dan memilih pemimpin adalah perkara penting dan menjadi kewajipan. Sejarah Islam membuktikan apabila wafatnya Rasulullah SAW, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi menggantikan baginda.

Menurut pengkaji sains politik, kepemimpinan yang berwibawa dianggap paling berkesan kerana mampu membuat perubahan dan pembaharuan kepada rakyat. Dengan demikian, sebahagian besar tanggungjawab pemimpin untuk membawa perubahan dan pembaharuan positif kepada rakyat.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang diamanahkan oleh ALLAH SWT untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya, maka ALLAH telah mengharamkan syurga untuknya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Saidina Abu Bakar as-Siddiq ketika menyampaikan ucapan perdana menggantikan Rasulullah SAW sebagai khalifah menyeru umat Islam: “Wahai manusia meskipun saya telah dilantik untuk memimpin kamu, tidak bererti bahawa aku yang terbaik di kalangan kamu semua. Jika kamu melihat aku berada dalam kebenaran, maka tolonglah aku. Seterusnya beliau berkata jika kamu melihat aku berada dalam kebatilan, maka luruskanlah aku, taatilah aku selama aku taat mematuhi perintah Allah. Jika aku menderhaka kepada perintah Allah, kamu semua tidak perlu lagi mematuhi perintah aku.”

Merasai denyut hati rakyat

Pemimpin perlu mampu mendengar, melihat dan merasai denyut hati rakyat terutama rakyat di luar bandar sebahagian besarnya terdiri daripada petani, nelayan, penarik beca, penoreh getah dan golongan pendapatan rendah yang mengharapkan pemimpin yang mampu mengubah nasib mereka.

ALLAH SWT telah mengingatkan bahawa kepemimpinan paling berkesan ialah kepemimpinan melalui teladan seperti dicontohi Rasulullah SAW.

Firman ALLAH:  “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.” (Surah at-Taubah, ayat 128)

Ayat ini mengajar kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. Nabi Muhammad adalah contoh pemimpin berwibawa yang paling berjaya di dunia.

Baginda berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin. Laman sesawang Pondok Pasir Tumboh menyenaraikan lapan ciri pemimpin berwibawa yang menjadi idaman ummah.

1. Berupaya Jaga Agama

Terdapat beberapa ciri pemimpin berwibawa antaranya, seorang yang berupaya menjaga agama Islam dan mampu menegakkan syariat ALLAH, bukan menjadikan agama sebagai istizha atau alat untuk dipermainkan seperti sanggup menggadaikan agama untuk mendapatkan kuasa dan menjatuhkan lawannya.

Firman ALLAH SWT: “Iaitu mereka yang jika KAMI berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi ALLAH jugalah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Haj, ayat 41)

Baca juga : Jangan tipu rakyat, haram syurga ke atas pemimpin bersikap sedemikian

2. Memiliki al-Quwwah

Mempunyai al-Quwwah iaitu kekuatan sama ada dari segi jasmani, spiritual, emosi dan mental. Al-Quran telah menjelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu’aib memintanya memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat bekerja dan amanah.

Inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya lebih luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut, bukannya hanya pada kehebatan pidatonya ataupun percakapannya saja.

 

Pemimpin yang menyuburkan sifat takwa akan mengundang kasih ALLAH buatnya dan ummah yang dipimpin

 

3. Takwa

Memiliki sifat takwa, kerana ciri inilah yang menjamin pemimpin berintegriti dan takutkan ALLAH dalam melaksanakan tugas-tugasnya. Keempat, pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada di bawah pimpinannya.

4. Adil

Adil bukan sekadar kata-kata retorik, tetapi dibuktikan dengan perbuatan dan amalan. Sifat ini mesti dimiliki pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin kepemimpinannya dihormati, disegani dan disayangi.

5. Bertanggungjawab & Tidak Sombong

Pemimpin itu mesti seorang yang bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sabda Rasulullah SAW: “ Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Isu-isu agama

GUNAKAN hak untuk mengundi dengan memilih calon yang benar benar layak agar dapat membela nasib dan hak rakyat

6. Amanah

Pemimpin idaman yang seterusnya hendaklah tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuk mengambil tindakan sewajarnya dalam hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak bersalah, sekalipun membabitkan ahli keluarga, kawan atau lawan.

7. Berakhlak

Pemimpin hebat itu wajib dari kalangan manusia yang berakhlak, baik budi pekertinya, menjadi teladan baik dalam semua tindak tanduknya dan bebas daripada kerosakan moral.

8. Mengotakan Janji

Pemimpin hendaklah menunaikan janji kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai, bukannya berdusta, berjanji palsu dan menghampakan orang bawahannya.