Browsing Tag

khatam al-Quran

khatam al-Quran tadabbur
Berita Semasa,

Khatam atau tadabbur al-Quran, mana yang lebih utama di bulan Ramadan?

Khatam atau tadabbur al-Quran, mana yang lebih utama di bulan Ramadan?

BULAN Ramadan begitu sinonim dengan al-Quran kerana dalam bulan suci itulah diturunkan al-Quran.

Malah antara amal ibadah yang sangat digalakkan di bulan Ramadan adalah membaca al-Quran. Hal ini kerana Rasulullah SAW sendiri bertadarus bersama Jibril di malam hari bulan Ramadan. Daripada Ibnu ‘Abbas RA, katanya:

Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah (banyak bersedekah) terutama di bulan Ramadan ketika malaikat Jibril AS menemuinya. Jibril AS datang kepada Baginda SAW setiap malam di bulan Ramadan, lalu mereka saling bertadarus al-Quran. Sesungguhnya Rasulullah SAW orang yang paling pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) lebih laju daripada tiupan angin.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Para Malaikat Akan Mengerumuni Mereka Yang Bertadarus Al-Quran, Berikut Hikmah-Hikmah Lain

khatam al-Quran tadabbur

Baca juga Bahagikan muka surat atau juzuk tidak dikira sebagai khatam al-Quran

Menyentuh tentang amalan membaca al-Quran di bulan Ramadan, ada dua jenis golongan yang biasa kita lihat.

Golongan pertama iaitu mereka yang begitu bersemangat memperbanyakkan bacaan kalam suci ALLAH SWT. Ada sahaja masa terluang seperti waktu rehat dan selepas solat, maka mushaf atau al-Quran digital akan dicapai untuk dibaca. Tujuannya adalah untuk mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam bulan Ramadan.

Namun, ada sebahagian yang memilih untuk membaca al-Quran dengan tartil, menjaga hukum dan makhraj serta mentadabbur makna di sebalik ayat suci tersebut. Justeru, bagi golongan kedua, masa yang diambil lebih lambat untuk menyempurnakan satu mushaf al-Quran.

Baca juga 5 nikmat dan janji ALLAH SWT kepada pencinta al-Quran

khatam al-Quran tadabbur

RASULULLAH SAW akan bertadarus al-Quran bersama Jibril AS pada malam Ramadan. Foto: Unsplash

Tetapi, antara kedua-dua kaedah tersebut sama ada mengkhatamkan al-Quran dengan cepat atau perlahan-lahan mentadabbur makna di sebalik ayat suci ALLAH, manakah yang lebih baik?

Turut disyorkan Sinar Islam Plus teruskan tradisi Majlis Khatam Al-Quran 2.0, 32 peserta OKU penglihatan turut serta

Pandangan ulama berbeza
1. Tadabbur walaupun sedikit bacaannya lebih afdal.
Pandangan ini adalah pandangan Ibnu Mas’ud dan Ibnu ‘Abbas. Cara begini dikatakan lebih afdal berbanding membacanya dengan laju untuk khatam kerana al-Quran diturunkan untuk difahami, dipelajari dan ditadabbur maknanya.

2. Bacaan yang banyak lebih afdal.
Ini adalah pandangan daripada ulama mazhab Syafie, berdasarkan hadis yang menyebut tentang ganjaran membaca Al-Quran; satu huruf diganjari dengan sepuluh pahala.

Cendekiawan Islam, Ibnu Qayyim menyimpulkan pandangan ini dengan mengatakan bahawa pahala membaca al-Quran secara tartil dan tadabur adalah lebih besar dari segi darjatnya, manakala membaca al-Quran dengan bacaaan yang banyak lebih banyak pula pahalanya.

Baca juga Ini kelebihan al-Quran berbanding dengan kitab-kitab yang lain

KITA sangat digalakkan mengalunkan ayat-ayat suci ALLAH SWT sepanjang Ramadan. Foto: Pexels

Baca juga Jangan tinggalkan al-Quran, setidaknya bacalah 2 ayat terakhir Surah al-Baqarah setiap malam

Antara tadabbur dan khatam al-Quran
Memetik portal Mufti Wilayah Persekutuan, pihaknya berpandangan bahawa secara asasnya, tadabbur adalah lebih utama dan penting berbanding sekadar memperbanyakkan bacaan kerana tujuan al-Quran diturunkan adalah supaya manusia memahaminya.

Pun begitu, jika seseorang berada dalam masa atau tempat yang afdal seperti di bulan Ramadan atau di kota suci Makkah, maka disunatkan baginya untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran untuk mengambil peluang fadilatnya.

khatam al-Quran tadabbur

BAYANGKAN amalan kita akan dilipatgandakan oleh ALLAH selama 30 hari dalam bulan Ramadan yang penuh barakah. Foto: Google

Baca juga Pemuda Mesir khatam al-Quran dalam masa 7 jam

Perkara itu juga adalah berdasarkan amalan golongan salaf yang menumpukan kepada memperbanyakkan khatam al-Quran di bulan Ramadan berbanding tadabbur.

Namun dalam masa sama, pihaknya mengingatkan bahawa tiada perintah atau arahan yang khusus daripada syarak yang berbentuk wajib supaya kita mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan.

Jadi, jika sekiranya seseorang tidak mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan dalam keadaan dia mampu, maka tidaklah dikira berdosa, cumanya dia telah terlepas banyak kebaikan dan kelebihan.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: Pexels, Google & Unsplash

Khatam al-Quran
Berita Semasa,

Bahagikan muka surat atau juzuk tidak dikira sebagai khatam al-Quran

Bahagikan muka surat atau juzuk tidak dikira sebagai khatam al-Quran

RAMAI yang mengimpikan untuk khatam al-Quran dalam bulan Ramadan. Masakan tidak, banyak kebaikan dan ganjaran yang diraih andai kita beramal dalam bulan agung itu.

Ketika ini, sudah pasti ramai yang sedang berusaha untuk menyempurnakan usaha mereka itu sama ada secara sendirian atau berkumpulan.

Malah, ada yang menubuhkan kumpulan tadarus sendiri bagi tujuan tersebut.

Terdapat segelintir orang pula membahagikan juzuk al-Quran kepada individu-individu tertentu sebagai cara mudah untuk khatam beramai-ramai.

Tidak salah berbuat demikian, cuma ada suatu perkara yang kita perlu tahu sebagaimana dikongsikan oleh pengguna akaun Twitter @Muzuzxck dalam bebenangnya.

Khatam al-Quran

PENDEKATAN sama ada membaca secara bergilir-gilir atau membahagikan muka surat/ juzuk tidak dikira sebagai khatam al-Quran. -Foto: BERNAMA

Jelas beliau, pendekatan sebegitu sama ada membaca secara bergilir-gilir atau membahagikan muka surat/ juzuk sebenarnya tidak dikira sebagai khatam al-Quran.

Sebaliknya, Muzuza menjelaskan, hakikat khatam al-Quran adalah kita membaca dari awal Surah al-Fatihah hinggalah surah terakhir, an-Nas dengan lengkap.

Baca juga Fahami satu ayat al-Quran lebih baik daripada dibaca sehingga khatam? Berikut penjelasannya

“Akan tetapi, setiap pembaca akan mendapat pahala bagi apa yang telah dibacakan.

“Ia sebagaimana disebutkan oleh ulama semisal al-Imam al-Suyuthi bahawa: ‘Apa yang lebih banyak perbuatan, akan lebih banyak ganjaran’,” tulisnya.

Bagi memudahkan warganet memahaminya, Muzuza yang juga penulis buku kerohanian membuat kesimpulan mudah bahawa sama ada kita membaca al-Quran dengan membahagikan surah/ juzuk atau tidak, perbuatan itu tetap berpahala.

“Namun andai ditanya sama ada cara itu khatam atau tidak? Jawapannya adalah tidak.

“Ini kerana untuk mendapat pahala, bacalah walau dengan apa cara sekalipun, tetapi untuk mendapat kelebihan khatam al-Quran, (tidak boleh tidak, ia) perlu dibaca dari awal.

Baca al-Quran

UNTUK mendapat kebaikan berkhatam, kita perlu membacanya dari awal hingga habis. -Foto: 123rf

“Bagaimanapun, membahagikan juzuk dan membaca serta mendengar bacaan dalam kumpulan secara bergilir-gilir adalah diharuskan dan tidak dilarang,” katanya.

Galakan untuk khatam al-Quran

Sementara itu, memetik artikel Irsyad Fatwa Khas Ramadan Siri ke-178: Adakah Tuntutan untuk Mengkhatamkan Al-Quran di Bulan Ramadan?, umat Islam sememangnya digalakkan untuk meningkatkan amal ibadah dalam bulan mulia berkenaan.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, ia termasuklah membaca al-Quran.

“Disebabkan itu, kita haruslah berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam bulan Ramadan.

Baca juga Para Malaikat Akan Mengerumuni Mereka Yang Bertadarus Al-Quran, Berikut Hikmah-Hikmah Lain

“Ini kerana ia merupakan sunnah Rasulullah SAW dan para salafussoleh,” katanya sebagaimana dipetik dalam artikel berkenaan.

Khatam al-Quran

MESKIPUN tiada perintah khusus yang mewajibkan kita mengkhatamkan al-Quran dalam bulan Ramadan, tetapi kita disunatkan untuk berbuat demikian. -Foto: 123rf

Bagaimanapun, pejabat mufti itu menegaskan, tiada perintah atau arahan khusus daripada syarak yang berbentuk wajib untuk kita mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadan.

“Galakan dan saranan tersebut berbentuk sunat dan bukannya wajib.

“Justeru andai seseorang tidak mengkhatamkan al-Quran pada bulan berkenaan dalam keadaan dia mampu, maka ia tidaklah dikira berdosa.

“Namun, dia telah terlepas kebaikan dan kelebihan yang banyak. Jadi marilah kita berusaha untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan mulia ini dan mengkhatamkannya lebih daripada sekali jika mampu,” pesannya.

Khatam
Antarabangsa,

Pemuda Mesir khatam al-Quran dalam masa 7 jam

UNTUK khatam al-Quran, lazimnya seseorang akan mengambil tempoh masa yang lama. Masakan tidak, kalam ALLAH itu mengandungi 30 juzuk dan 604 halaman bagi resam Uthmani.

Namun, ia tidak berlaku kepada seorang anak muda dari Mesir. Bayangkan pemuda itu mampu mengkhatamkan semua 30 juzuk al-Quran tanpa kesalahan dalam masa tujuh jam sahaja.

Individu mengagumkan yang dimaksudkan itu bernama Mohammad Abdul Rahman.

Laman web akhbar El-Youm menjelaskan, graduan farmakologi itu mencipta rekod apabila berjaya menghabiskan keseluruhan al-Quran itu dengan baik tanpa melakukan kesilapan.

Memetik laporan yang disiarkan oleh Agensi Berita Al-Quran Antarabangsa, tidak hairanlah mengapa Mohammad mampu berbuat demikian.

Khatam

Melihat kepada sisi peribadinya, beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang mana semua ahlinya adalah penghafal al-Quran! Malah, dirinya sendiri juga merupakan seorang hafiz.

Baca juga Fahami satu ayat al-Quran lebih baik daripada dibaca sehingga khatam? Berikut penjelasannya

Ketika ditemu bual dalam satu program TV, Mohammad menjelaskan, beliau mempelajari keseluruhan al-Quran pada usia sembilan tahun.

“Ketika itu, saya berada dalam darjah empat sekolah rendah. Saya mempelajari tajwid dan bacaan al-Quran ini dengan beberapa orang yang pakar di kampung halaman saya, Kafr El-Sheikh,” katanya.

Ketika mengalunkan kalimah suci al-Quran itu, pemuda berkenaan begitu gemar meniru gaya qari Allahyarham Sheikh Abolainain Shoaisha sebagaimana dipetik menerusi laman web iqna.ir.

Mohammad juga tidak lokek berkongsi tip untuk menghafaz al-Quran. Katanya, sangat penting untuk melakukan pengulangan supaya tidak melupakan ayat-ayat yang sudah dihafal.

Baca juga Lelaki Jordan Miliki Al-Quran Terkecil Dunia, Habis Baca Surah Al-Baqarah Guna Mikroskop

Untuk rekod, Mesir merupakan sebuah negara di Afrika Utara dengan penduduk sekitar 100 juta. Kira-kira 90 peratus daripada jumlah penduduk di negara itu terdiri daripada umat Islam.

Foto: Iqna.ir & Freepik

Khatam al-Quran
Berita Semasa, Dalam Negara,

Majlis Khatam Al-Quran SI+ platform lahirkan generasi berjiwa al-Quran

LONTARAN suara merdu mengalunkan bait-bait suci al-Quran cukup membuatkan hati dijentik rasa sayu. Apatah lagi kalam ALLAH itu dibaca pada hari istimewa dalam kalendar Islam iaitu Nuzul al-Quran pada Selasa lalu.

Lebih istimewa lagi apabila bacaan itu dialunkan oleh 15 kanak-kanak cilik berusia 12 tahun ke bawah pada Majlis Khatam Al-Quran Sinar Islam Plus (SI+) 2022 yang diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, Selangor.

Malah, acara tersebut turut diikuti oleh seluruh dunia apabila turut dipancarkan secara langsung menerusi semua platform media sosial Sinar Harian, termasuk Facebook SI+, Sinar Harian, SinarPlus dan Sinar Bestari bermula jam 5 petang.

Dalam temu bualnya bersama SI+, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah menjelaskan, ia antara salah satu usaha pihaknya dalam meng’Qurankan’ bangsa dan mengikhlaskan ummah.

Baca juga Para Malaikat Akan Mengerumuni Mereka Yang Bertadarus Al-Quran, Berikut Hikmah-Hikmah Lain

Beliau mengakui, perkara itu bukan mudah diimplementasikan. Justeru, zaman kanak-kanak menjadi detik terbaik untuk kita memupuknya.

Khatam al-Quran

SEBAHAGIAN daripada 15 peserta yang terdiri daripada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun menyertai Majlis Khatam Al-Quran Sinar Islam Plus 2022.

“Untuk menjayakan misi ini, kita perlu bermula daripada anak-anak. Jika sudah dewasa baru hendak belajar, mungkin kita rasa agak kurang selesa.

“Namun, apabila anak-anak belajar menjiwai al-Quran, insya-ALLAH dewasa kelak mereka akan menjadi manusia yang faham dan mengamalkan isi kandungan kalam ALLAH tersebut. Insya-ALLAH, negara kita akan bebas daripada rasuah dan perkara-perkara yang mungkar,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Pada majlis berkenaan, acara dimulakan dengan alunan bacaan al-Quran daripada muallim, Ustaz Halim Zainudin, diikuti bimbingan bacaan surah-surah pilihan daripada Juzu’ Amma yang dimulakan Ustaz Ahmad Adil Luqman Nor Ismail selaku muallim kedua dan disusuli para peserta.

Majlis berkenaan mendapat tajaan daripada Co-opbank Pertama (CBP) yang turut bermurah hati menaja pembukaan akaun para peserta, selain Villa Busainna Wedding Planner yang menaja dekorasi pentas.

Selesai program, kanak-kanak terbabit menerima sijil penyertaan, duit raya dan hadiah yang disampaikan oleh Muhammad Nasir.

Khatam al-Quran


SEBAHAGIAN peserta yang mengikuti Majlis Khatam Al-Quran Sinar Islam Plus 2022 pada Selasa lalu.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Wilayah 2 CBP, Muhammad Syafiq Md Husin bersama Pengurus CBP Cawangan Shah Alam, Nurul Hasnida Aini Senin.

Baca juga Sepayah mana pun kehidupan, seberat apapun masalah, jadikan kalamullah sebagai teman paling setia

Mengulas lanjut, Muhammad Nasir menambah, besar harapan beliau untuk melihat program seperti khatam al-Quran itu bukan sahaja diadakan di Karangkraf, tetapi juga boleh menjelajah ke seluruh negara bagi mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan anak kecil.

Tujuannya supaya lebih ramai individu hebat dilahirkan termasuk qari dan qariah, ungkapnya.

“Pada saya, tiada masalah untuk kita anjurkan program khatam al-Quran pada masa akan datang andai ia mendapat sambutan hangat. Ia sepertimana kita merancakkan program World #QuranHour saban tahun,” katanya.

Sertai Kempen Raya To Raya

Sementara itu, Muhammad Syafiq menjelaskan, tajaan Majlis Khatam Al-Quran Sinar Islam Plus 2022 merupakan salah satu program tanggungjawab korporat Co-opbank Pertama selain mengukuhkan jenamanya di pasaran.

MUHAMMAD SYAFIQ

“Kami sedang dalam proses membina rangkaian kerjasama. Andai berpeluang dan ada program seperti ini lagi pada tahun hadapan, insya-ALLAH kita mungkin akan turut serta.

“Tambahan pula, program seperti ini bagus untuk masyarakat tanpa mengira usia. Kita sedia maklum Iqra’ ialah ayat pertama yang diturunkan. Justeru, peri pentingnya untuk kita membaca apa jua ilmu termasuklah perbankan Islam,” katanya.

Seperkara lagi perkara yang menarik tentang CBP, bank koperasi yang menawarkan banyak produk dan perkhidmatan patuh syariah tersebut kini giat menjalankan Kempen Raya To Raya bermula 1 April sehingga 30 September 2022.

Ujar Muhammad Syafiq, orang ramai berpeluang untuk membawa pulang Proton X50 dan hadiah-hadiah menarik bernilai lebih RM230,000 antaranya seperti set barangan kemas serta gajet terkini.

Khatam al-Quran

IBU bapa peserta turut menyaksikan anak masing-masing mengalunkan ayat suci al-Quran pada majlis tersebut.

“Kempen Raya To Raya ini terbuka kepada orang ramai termasuk golongan wanita, individu koperasi atau korporat wanita, selain pelanggan yang mengambil perkhidmatan kami seperti simpanan biasa, simpanan kanak-kanak, simpanan tetap, ar-Rahnu, pembiayaan peribadi, pembiayaan korporat dan juga pembiayaan perumahan.

“Semua produk dan perkhidmatan tersebut ditawarkan dengan kadar istimewa sepanjang kempen ini. Jadi, rebutlah peluang ini segera kerana ia antara kadar paling rendah yang pernah ditawarkan CBP sempena tahun 2022,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi cawangan CBP di seluruh negara berdekatan anda atau layari www.cbp.com.my.

Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR & ROSLI TALIB 

 

Janji ALLAH kepada pencinta al-Quran
Isu, Pilihan Editor,

Para Malaikat Akan Mengerumuni Mereka Yang Bertadarus Al-Quran, Berikut Hikmah-Hikmah Lain

TATKALA Ramadan al-Kareem menjelma, amalan bertadarus al-Quran sering dilazimkan oleh umat Islam. Ia sejajar dengan penurunan kitab suci itu pada bulan yang penuh keberkatan.

Pun demikian, ibadah tersebut sebenarnya boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Sesungguhnya, kalamullah yang agung tersebut diturunkan sebagai petunjuk dan panduan kepada manusia untuk melayari kehidupan di dunia yang fana ini. Malah, inti pati yang terkandung di dalamnya bersifat kekal sepanjang zaman.

Dalam masyarakat kita, bertadarus dilakukan secara berkumpulan. Setiap anggota kumpulan akan membacanya secara bergilir-gilir. Setiap bait yang dilafazkan akan disemak supaya tiada kesilapan. Kemuncaknya, majlis khatam al-Quran akan diadakan.

Namun, sejak wabak Covid-19 membadai dunia, aktiviti mulia itu dilakukan melalui platform media sosial termasuk dalam aplikasi telefon pintar.

Tidak kiralah apa jua pendekatan yang diimplemenkan, misi dan visinya hanya satu iaitu untuk mendekatkan diri dengan ALLAH SWT menerusi kalam-NYA, di samping memberatkan timbangan amal masing-masing. Justeru, apakah kelebihan yang bakal diraih dengan bertadarus al-Quran?

Amalan Rasulullah SAW

Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi untuk mendapatkan jawapan. Terlebih dulu, ujarnya, perkataan tadarus atau darasa (dalam bahasa Arab) membawa maksud belajar, meneliti, memahami dan mengkaji.

AHMAD LUTFI

Kemudian di hadapan kalimah darasa, ditambah dengan huruf ta. Maka, lafaznya menjadi tadarus yang bererti saling belajar, meneliti, memahami dan mengkaji.

“Tadarus al-Quran pada asasnya bererti membaca kalam ALLAH di hadapan seseorang yang dapat mengawasi bacaan tersebut daripada kesalahan.

“Amalan itu merupakan salah satu ibadah penting yang diberi tumpuan oleh Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan. Malah, baginda bertadarus bukan dengan sembarangan individu, sebaliknya dengan Malaikat Jibril AS,” katanya.

Ia sebagaimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas yang bermaksud: “Nabi Muhammad SAW merupakan orang yang sangat pemurah dengan kebajikan dan kemuncak kemurahannya ialah sepanjang bulan Ramadan. Jibril AS menemuinya pada setiap malam bulan Ramadan hingga habis bulan itu dan Rasulullah SAW membacakan al-Quran kepadanya. Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah amat pemurah umpama angin yang bertiup kencang.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Walaupun perbuatan mulia itu menjadi kebiasaan baginda, pendakwah berkenaan menjelaskan, tiada cara yang seragam atau kaedah khusus dalam bertadarus.

Tadarus al-Quran

TADARUS al-Quran boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di tempat yang sesuai untuk mendekatkan diri kepada YANG MAHA ESA.

Namun, beliau mengesyorkan beberapa langkah yang boleh diikuti. Antaranya dengan membaca al-Quran secara bergilir-gilir dalam satu kumpulan kecil.

“Selain itu, bacalah mengikut tertib surah dan ayat sebagaimana dalam mashaf. Paling penting, semaklah bacaan agar terselamat daripada sebarang kesalahan tajwid dan sebagainya.

“Seperkara lagi, biarlah kita membaca kitab suci itu semata-mata untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, bukannya untuk segera khatam. Sebaik-baiknya juga, hidupkan aktiviti ini bersama dengan keluarga masing-masing di tempat-tempat yang sesuai seperti masjid, surau atau di rumah sendiri,” ujarnya.

Manfaat bertadarus

Sememangnya mereka yang membaca al-Quran akan diselubungi rahmat dan dikelilingi oleh para malaikat. Ahmad Lutfi yang juga Pengerusi Tahfiz Al-Quran As-Syarif memberitahu, pelbagai riwayat yang masyhur yang menyebutnya.

Antaranya daripada Abu Hurairah RA. Perawi hadis itu berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah dari rumah-rumah ALLAH, mereka membaca kitab ALLAH dan saling mengajarkannya di antara mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka sakinah, rahmat menyirami mereka, para malaikat mengerumuni mereka, dan ALLAH SWT menyebut-nyebut mereka di kalangan (malaikat) yang ada di sisinya.” (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Dawud)

Baca juga Mukjizat Al-Quran Kepada Nabi Muhammad SAW Paling Agung Berbanding Kitab-Kitab Samawi Lain

Hadis itu, menurut Maulana Zakariyya al-Khandahlawi dalam kitabnya yang berjudul Fadhilah Amal menerangkan tentang keutamaan khusus madrasah-madrasah dan pondok-pondok agama yang memiliki pelbagai kebesaran.

Setiapnya memiliki darjat yang tinggi sehinggakan jika seseorang menghabiskan umur untuk mendapatkan kemuliaan, ia boleh digapai.

Bukan itu sahaja, Ahmad Lutfi menjelaskan, terlalu banyak riwayat yang memerihalkan tentang turunnya sakinah kepada mereka yang mendampingi kalamullah.

Tadarus al-Quran

PENTINGNYA berguru ketika membaca al-Quran supaya bacaan kita tadi dapat disemak agar terselamat daripada sebarang kesalahan tajwid dan sebagainya.

“Sebahagian ulama mengatakan bahawa sakinah adalah suatu rahmat khusus. Imam al-Tabarani mendukung pendapat yang mengatakan bahawa sakinah adalah ketenangan hati. Sementelah, sebahagiannya lagi mentafsirkan sebagai kedamaian. Pendapat lain pula menyatakan sakinah sebagai kewibawaan, malaikat dan lain-lain

“Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul-Bari menjelaskan, erti sakinah mencakupi semua yang telah disebutkan tadi, manakala Imam Nawawi menukilkan bahawa sakinah adalah gabungan antara ketenangan, rahmat dan lain-lain yang diturunkan bersama malaikat,” jelasnya.

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, penceramah itu menceritakan kisah sahabat Nabi Muhammad SAW bernama Usaid bin Hudhair RA yang banyak dijelaskan dalam kitab-kitab hadis.

Saat bibirnya mengalunkan bait-bait kalam ALLAH, beliau merasakan terdapat segumpal awan yang mendekatinya.
Tatkala ditanyakan kepada Rasulullah SAW, baginda bersabda: “Itu adalah para malaikat yang datang untuk mendengarkan bacaan al-Quran. Begitu banyak malaikat yang datang sehingga terlihat seperti kumpulan awan.”

Perlu berguru

Mengulas tentang trend bertadarus al-Quran menerusi kemudahan teknologi seperti televisyen, media sosial dan aplikasi dalam telefon pintar, Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz.

HASSAN MAHMUD

Pada perspektif agamawan berkenaan, pendekatan itu tidak salah dilakukan sebagai galakan kepada masyarakat untuk mendekatkan diri dengan kitab suci umat Islam.

“Bertadarus pada asalnya adalah membaca al-Quran secara bersemuka dalam kumpulan. Jikalau ada seseorang yang salah (ketika membaca al-Quran), ada individu yang boleh menegurnya.

“Dalam televisyen pula, kita hanya boleh belajar al-Quran, tetapi hanya platform itu bersifat sehala sahaja. Saya secara peribadi berpandangan, untuk peringkat awal ini, tidak salah andai kita mahu menggunakan medium tersebut untuk bertadarus atau mengaji.

“Namun, kalau boleh biarlah cara itu diubah semula kepada yang asal iaitu membaca kalam ALLAH di masjid, surau dan lain-lain,” responsnya.

Baca juga Al-Quran Mukjizat Teragung dan Abadi

Ini kerana jelas Hassan Mahmud, bait ayat-ayat suci al-Quran itu sepatutnya dibaca dengan tartil.

Ia sebagaimana disebutkan dalam firman ALLAH SWT menerusi Surah al-Muzammil, ayat 4 yang bermaksud: “…dan bacalah al-Quran dengan tartil.”

“Tartil itu maknanya berguru iaitu berdepan dengan mereka. Begitu juga dengan ayat al-Quran yang berbunyi iqra’ (bacalah) dalam Surah al-’Alaq. Ini bermakna, kita sendiri yang membacanya.

“Jadi jika bertadarus dengan mendengar siaran televisyen yang dibaca oleh individu dalam televisyen tersebut, ia ibarat kita menonton filem. Platform ini sesuai untuk mereka yang baru peringkat mahu belajar al-Quran.

“Sekiranya kita mahu barakah dan hikmahnya, bacalah al-Quran dengan tartil sepertimana yang dianjurkan,” katanya.

Tadarus al-Quran


WALAUPUN sudah pandai membaca al-Quran, namun masih perlu ada murabbi bagi menyemak bacaan kita.

Kepada satu soalan, Hassan Mahmud menjawab: “Seeloknya ketika bertadarus, kena ada murabbi (guru). Nabi Muhammad SAW sendiri pun membaca al-Quran dengan Malaikat Jibril.

“Justeru, begitu pentingnya orang yang mengesahkan bacaan kita, selain untuk membimbing.

“Sekalipun kita pandai membacanya, masih tetap perlu ada murabbi yang akan menyemak bacaan al-Quran yang dialunkan.”

Foto: Bernama, 123rf, Freepik, Unsplash & Pexels