UNTUK khatam al-Quran, lazimnya seseorang akan mengambil tempoh masa yang lama. Masakan tidak, kalam ALLAH itu mengandungi 30 juzuk dan 604 halaman bagi resam Uthmani.
Namun, ia tidak berlaku kepada seorang anak muda dari Mesir. Bayangkan pemuda itu mampu mengkhatamkan semua 30 juzuk al-Quran tanpa kesalahan dalam masa tujuh jam sahaja.
Individu mengagumkan yang dimaksudkan itu bernama Mohammad Abdul Rahman.
Laman web akhbar El-Youm menjelaskan, graduan farmakologi itu mencipta rekod apabila berjaya menghabiskan keseluruhan al-Quran itu dengan baik tanpa melakukan kesilapan.
Memetik laporan yang disiarkan oleh Agensi Berita Al-Quran Antarabangsa, tidak hairanlah mengapa Mohammad mampu berbuat demikian.
Melihat kepada sisi peribadinya, beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang mana semua ahlinya adalah penghafal al-Quran! Malah, dirinya sendiri juga merupakan seorang hafiz.
Baca juga Fahami satu ayat al-Quran lebih baik daripada dibaca sehingga khatam? Berikut penjelasannya
Ketika ditemu bual dalam satu program TV, Mohammad menjelaskan, beliau mempelajari keseluruhan al-Quran pada usia sembilan tahun.
“Ketika itu, saya berada dalam darjah empat sekolah rendah. Saya mempelajari tajwid dan bacaan al-Quran ini dengan beberapa orang yang pakar di kampung halaman saya, Kafr El-Sheikh,” katanya.
Ketika mengalunkan kalimah suci al-Quran itu, pemuda berkenaan begitu gemar meniru gaya qari Allahyarham Sheikh Abolainain Shoaisha sebagaimana dipetik menerusi laman web iqna.ir.
Mohammad juga tidak lokek berkongsi tip untuk menghafaz al-Quran. Katanya, sangat penting untuk melakukan pengulangan supaya tidak melupakan ayat-ayat yang sudah dihafal.
Baca juga Lelaki Jordan Miliki Al-Quran Terkecil Dunia, Habis Baca Surah Al-Baqarah Guna Mikroskop
Untuk rekod, Mesir merupakan sebuah negara di Afrika Utara dengan penduduk sekitar 100 juta. Kira-kira 90 peratus daripada jumlah penduduk di negara itu terdiri daripada umat Islam.
Foto: Iqna.ir & Freepik