Browsing Tag

kerajaan

Ulama tegur
Berita Semasa,

‘Ulama boleh tegur kerajaan’ – Anwar

‘Ulama boleh tegur kerajaan’ – Anwar

GOLONGAN ulama boleh menegur kerajaan dalam perkara berkaitan bagi membentuk negara bangsa yang maju dan sejahtera selaras dengan konsep Malaysia Madani.

Perkara itu disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penutup Muzakarah Ulama-Umara di Shah Alam, pada Khamis.

“Ulama harus berani menegur dengan ikhlas. Insya-ALLAH, kita akan mendengar. Ada hal-hal (tertentu) yang kadangkala kita setuju, tetapi tidak mungkin dilaksanakan segera kerana keterbatasan di negara kita.

Baca juga Dizalimi dan dipenjarakan, lima ulama ini terus bertahan demi Islam

“Seperkara lagi, tahap kefahaman umat juga satu hal (lain). Adakalanya apa yang kita bicarakan tadi ditafsirkan secara berbeza dan satu uslub (kaedah) jahat dalam politik.

“Namun, saya yakin kita berada di landasan yang baik, boleh angkat martabat umat dan negara ini, sesuai dengan cita-cita balad (negara) madani,” katanya pada majlis berkenaan.

Ulama tegur

DARI kiri, Habib Umar, Amirudin, Anwar dan Dr Ali Jum’ah ketika majlis Muzakarah Ulama 0 Umara tang diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor. -Foto: ROSLI TALIB

Program itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ia turut menampilkan bekas Mufti Agung Mesir, al-Imam al-Allamah Prof Dr Ali Jum’ah dan Pengasas & Pengetua Dar Al Mustofa, Tarim, Yemen, al-Allamah Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz sebagai tetamu utama.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, kedua-dua ulama tersebut turut menekankan perkara sama iaitu memberi teguran dengan baik, menghormati dan mendampingi kerajaan untuk memperbaiki mana yang patut selaras dengan hasrat negara.

“Ia bukanlah untuk mencerca, memfitnah atau menghukum.

“Kepada pimpinan pula, apabila ulama bercakap dengan ikhlas dan berani menegur, terimalah teguran itu serta menjawabnya dengan baik,” katanya.

Ulama tegur

SEBAHAGIAN ulama, tokoh agama, agamawan dan hadirin yang menghadiri Muzakarah Ulama – Umara di Shah Alam, pada Khamis. -Foto: ROSLI TALIB

Mengulas tentang isu kalimah ALLAH yang masih hangat dibincangkan ketika ini, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tetap berpendirian bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam penerbitan orang bukan Islam di Semenanjung sahaja kecuali di Sabah dan Sarawak.

Baca juga Isu kalimah ALLAH, pihak berwajib perlu lebih prihatin

Baca juga Kalimah ALLAH, antara nas dan realiti

“Saya sudah jelaskan dalam Parlimen berulang kali. Itu keputusannya. Sebab itu tidak ada rayuan dalam kes yang melibatkan Sarawak kerana sesuai dan selari dengan titah bahawa Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

“(Isu kalimah ALLAH) Boleh bahas lagi dalam majlis tertutup, tetapi tidak patut mengelirukan umat,” katanya.

Gagasan Islam
Berita Semasa,

Menanti gagasan Islam kerajaan baharu Malaysia

MALAYSIA sememangnya sangat bertuah. Ini kerana setiap kumpulan yang memerintah Malaysia sebelum ini telah berusaha melaksanakan Islam melalui beberapa gagasan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan gagasan Penerapan Nilai-Nilai Murni. Kemudian Tun Abdullah Ahmad Badawi perkenalkan Islam Hadhari, diikuti Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Wasatiyah, Maqasid Syariah dan Indeks Syariah Malaysia. Selepas itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Islam) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa perkenalkan Rahmatan-lil’Alamin, diikuti Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan Manhaj Rabbani, dan kemudian Datuk Idris Ahmad perkenalkan Inisiatif Mantap dan PIAGAM-C19.

Di peringkat negeri juga terdapat gagasan-gagasan Islam begini. Di Kelantan ada Membangun Bersama Islam yang kini diperkemaskan menjadi Merakyatkan Membangun Bersama Islam. Di Terengganu pada zaman Menteri Besar Datuk Seri Wan Mokhtar Wan Ahmad ada Wawasan SIHAT. Pada zaman Tan Sri Idris Jusoh ada Islam Hadhari Terengganu Bestari. Pada zaman Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sekarang pula ada PITAS2030.

Kalaulah semua usaha ini berbuah, tentulah Islam telah bersemarak di Malaysia. Malangnya ia tidak begitu. Kesannya tidak terasa sangat.

Ada sekurang-kurangnya tiga sebab kenapa hal sedemikian berlaku.

Pertama, skop gagasan-gagasan ini adalah terhad. Penerapan Nilai-Nilai Murni hanya terhad kepada pentadbiran kerajaan. Indeks Syariah Malaysia terhad kepada pengukuran ‘keIslaman’ pentadbiran negara. Rahmatan lil-‘Alamin terhad kepada pentadbiran Islam.

Baca juga Kedaulatan Institusi Raja Dan Pemeliharaan Islam

Manhaj Rabbani terhad kepada pentadbiran Islam di agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama).

Inisiatif Mantap terhad kepada landasan agensi-agensi Islam di bawah portfolio Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama) untuk membantu masyarakat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Pembangunan berteras Islam

Gagasan Islam

PELAKSANAAN syiar Islam jelas tertegak di Malaysia apabila pembangunan material seiring penyuburan elemen kerohanian. -FOTO: 123RF

Gagasan Islam yang agak komprehensif sedikit hanyalah Islam Hadhari. Ia meliputi elemen-elemen pembangunan berteraskan Islam yang merangkumi hampir kesemua aspek penting negara.

Malangnya Islam Hadhari tidak sempat dilaksanakan sepenuhnya. Ia berkubur apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Kedua, agensi yang diberi tanggungjawab merealisasikan gagasan-gagasan ini tidak begitu tepat. Kesemua gagasan di peringkat negara, kecuali Penerapan Nilai-Nilai Islam, dipertanggungjawab kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Perletakan gagasan-gagasan Islam ini di Jakim tidak dapat dinafikan munasabah kerana Jakim adalah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan tentang hal-ehwal agama Islam.

Namun begitu, dengan berada di Jakim, gagasan-gagasan tersebut tidak boleh menjadi gagasan arus perdana negara yang universal sepertimana gagasan-gagasan Pelan Pembangunan Lima Tahun Malaysia, Wawasan 2020, dan sebagainya.

Baca juga Ini suara anak muda Muslim terhadap kerajaan baharu

Perancangan dan pelaksanaan gagasan-gagasan Islam ini boleh menjadi lebih terjamin, mantap dan universal jika ia diletak dalam perancangan pembangunan negara dan dikendalikan oleh agensi-agensi pembangunan sosioekonomi pusat seperti Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Unit Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) yang juga berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ketiga, gagasan-gagasan ini sangat bergantung kepada kuasa politik individu yang perkenalkan gagasan-gagasan ini. Bila kuasa politik individu ini gugur atau bertukar, maka berkuburlah juga gagasan-gagasan ini.

Usah bergantung kuasa politik

Sekarang hanya gagasan Merakyatkan Membangun Bersama Islam di Kelantan dan PITAS2030 di Terengganu masih wujud kerana kuasa politik mereka yang bertanggungjawab ke atas usaha-usaha ini masih ada.

Jika pada masa hadapan kuasa politik ini terlucut, besar kemungkinan gagasan-gagasan Islam ini juga akan mengalami nasib yang sama seperti gagasan-gagasan Islam yang lain.

Baca juga Umat Islam Perlu Kuat Rohani dan Fizikal Demi Penyatuan Insaniah

Sebenarnya kesemua gagasan Islam yang telah diperkenalkan ini adalah bagus dan amat diperlukan. Cuma persoalannya, bagaimanakah elemen-elemen dalam gagasan-gagasan ini dapat disatukan untuk menjadi satu gagasan Islam negara yang lestari tanpa bergantung kepada perubahan kuasa politik?

Gagasan Islam

PEMERINTAH dan pembangkang dalam sesebuah negara patut bersatu hati dan mengatur perjuangan Islam melampaui parti politik demi memartabatkan Islam dan ummah. -FOTO: FREEPIK

Sesungguhnya kerajaan baharu pasca-PRU15 sekarang patut meneliti balik kesemua gagasan yang telah diperkenalkan dan memformulasi satu gagasan yang lebih lestari.

Perkara ini tidak mustahil kerana dalam Kerajaan Perpaduan sekarang terdapat para Islamis yang pastinya ada cita-cita memartabatkan Islam. Dalam Pakatan Harapan ada para Islamis daripada Amanah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubutan IKRAM Malaysia (IKRAM). Dalam Barisan Nasional ada para Islamis seperti Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Malah jika para Islamis dalam Kerajaan Perpaduan sekarang boleh duduk dengan para Islamis dalam Perikatan Nasional untuk membina satu gagasan Islam yang lestari, itu sangat baik sekali. Mereka semua patut bersatu hati dan mengatur perjuangan Islam melampaui parti politik demi memartabatkan Islam dan ummah.

***Artikel ditulis oleh Prof Muhammad Syukri Salleh, Profesor Kehormat di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia

Foto: Freepik

Pemikiran kufur kepada syukur
Berita Semasa,

Ini suara anak muda Muslim terhadap kerajaan baharu

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan seramai 10.6 juta daripada 21,173,638 pengundi keseluruhannya merupakan anak muda berusia antara 18 hingga 39 tahun.

Statistik itu jelas menunjukkan lebih separuh atau secara tepatnya 50.4 peratus pemilih terdiri daripada golongan belia.

Walaupun mereka sering dimomokkan dengan pelbagai label seperti kurang matang dan ‘lalang’, namun ada sesuatu yang bernilai dalam diri mereka sebagaimana yang ditonjolkan oleh beberapa figura pemuda pada zaman Rasulullah SAW.

Ketahuilah bahawa anak muda menjadi kumpulan terbesar yang menerima dakwah Nabi Muhammad SAW. Malah, kelompok itu sering kali dikaitkan sebagai penguat ummah kerana kekuatan fizikal dan mental serta semangat juang tinggi yang ada pada mereka.

Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah menyatakan: “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi muda pada hari ini.”

Sempena PRU15 esok dan kerajaan yang bakal dibentuk, Sinar Islam Plus membawakan suara anak-anak muda Muslim terhadap tampuk kepimpinan baharu yang bakal menerajui Malaysia.

Baca juga Rakyat wajib pilih pemimpin, berikut perinciannya

Negara dirahmati ALLAH

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Farhan Rosli membuka kalamnya tentang harapan anak muda.

AHMAD FARHAN

Jelas beliau, setiap insan termasuk anak muda begitu mendambakan negara baik dan dirahmati ALLAH SWT di bawah pemimpin yang unggul mentadbir berdasarkan kemaslahatan rakyat.

Istilah baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur (negeri yang amat sejahtera dan Tuhan yang MAHA PENGAMPUN) diambil daripada petikan ayat al-Quran yang selama ini meniti dibibir kebanyakan orang diharap dapat direalisasikan, ungkapnya.

“Kita mahukan negara yang ada padanya pemimpin yang baik dan mengutamakan pendapatan negara melebihi diri sendiri, selain negara yang berteraskan kaedah fikah yang mana perbuatan pemimpin itu berlandaskan maslahah rakyat untuk keperluan mereka,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Siapa jua yang bakal membentuk kerajaan kelak, Ahmad Farhan berkata, biarlah ia benar-benar dibangunkan berasaskan nilai, akhlak, moral dan etika yang baik serta luhur.

Baca juga Berkhidmat demi rakyat, antara syarat utama pemimpin

“Kami tidak mahu nilai-nilai yang bersifat negatif seperti marah-marah, ekstrem, menghukum dan sebagainya.

“Suatu perkara yang semua kena faham, Islam itu bukan hanya setakat pada penetapan hukum potong tangan terhadap pencuri dan sebagainya, tetapi ia merangkumi nilai yang termaktub dalam lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta,” katanya.

Fikrah Islamiah

Pada masa sama, PKPIM juga mengharapkan pemerintah yang menzahirkan syariat secara menyeluruh, bukan sekadar hukuman, tetapi nilai-nilai Islam yang memberi rahmat kepada seluruh alam.

Anak muda

ANAK muda mengharapkan kerajaan memberi tumpuan terhadap ekosistem yang menyokong kelompok berkenaan termasuk bantuan biasiswa bersasar dan peluang pekerjaan yang sesuai dengan pembelajaran di institusi pengajian tinggi. -GAMBAR HIASAN/ FOTO: PEXELS

“Di samping itu, kami juga mengharapkan supaya kerajaan baharu yang bakal dibentuk itu mampu melakukan pembaharuan terhadap institusi-institusi Islam agar ia dapat diperkasakan. Sebagai contoh, menaik taraf mahkamah syariah sewajar dengan tempatnya sepertimana di bawah peruntukan 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang mana kedaulatannya itu dilindungi.

“Kami mahukan pemerintah Muslim yang bukan sahaja mengutamakan kebajikan orang Islam, tetapi juga kepada masyarakat bukan Islam dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Diharapkan pemimpin yang bakal melaksanakan syariah Islam dalam kerajaan baharu nanti kekal mengaplikasikan hidup damai bersama,” ujarnya sambil mengesyorkan agar ekosistem yang menyokong anak muda turut diberi perhatian secara signifikan termasuk bantuan biasiswa bersasar dan peluang pekerjaan yang sesuai dengan pembelajaran di institusi pengajian tinggi.

Seperkara lagi, Ahmad Farhan memberi peringatan tegas agar pemimpin yang bakal mengambil tampuk pemerintahan negara kelak mengenyahkan terus sentiment-sentimen hujah agama demi kepentingan politik.

Baca juga Calon pemimpin ini patut ditolak, perhatikan 5 ciri ini yang jelas ditegah dalam Islam

“Ingatlah, perkiraan politik bukanlah perkiraan akidah, tetapi ia berteraskan maslahah, keperluan dan ijtihadiah yang mana perkara yang membuka kepada masyarakat untuk memilih mana lebih baik,” tegas beliau.

Senada dengan Ahmad Farhan ialah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Management and Science University (MSU), Nurul Iman Shahrul Nizam.

NURUL IMAN

Selaku generasi Z, Nurul Iman dan kelompok pemuda serta pemudi lain begitu mengimpikan pemimpin masyarakat yang amanah dan telus dalam melaksanakan tugas, selain tidak terpalit dengan unsur-unsur yang haram seperti rasuah.

“Kami menginginkan pemimpin yang mempunyai fikrah Islamiah yang memikirkan kepentingan agama Islam dalam setiap keputusan yang dibuat selaku pemimpin Muslim, tetapi pada masa sama, tidak menindas mahupun mengetepikan kelompok bukan Muslim. Malah, menyatupadukan masyarakat kerana Islam itu agama yang penuh rahmat dan kasih sayang,” ungkapnya.

Apakah lagi keperluan anak muda yang perlu ditangani oleh kerajaan baharu kelak?

Menjawab persoalan itu, Nurul Iman terus sahaja memfokuskan cadangan menyediakan sebuah projek atau skim perumahan yang mampu disewa oleh belia khususnya mahasiswa universiti.

“Setidak-tidaknya langkah ini dapat mengurangkan bebanan kewangan mahasiswa yang terpaksa menetap di luar kolej kerana masalah penempatan yang terhad.

“Adakalanya sesetengah kadar sewa yang dikenakan tidak sesuai dengan status kami sebagai pelajar,” luahnya.

Ketika dilontarkan persoalan sama, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Muhammad Wafiq Azman menggesa kerajaan memberi perhatian khusus dalam membangunkan jati diri belia dengan ciri-ciri kebangsaan.

MUHAMMAD WAFIQ

“Anak muda Islam khususnya perlu dibentuk menjadi warganegara bertamadun. Secara tidak langsung, ia mampu untuk mencegah mereka daripada terjerumus dengan gejala sosial.

“Kami mahu generasi muda mempunyai jati diri kukuh dan mampu menjadi pemimpin yang memahami permasalahan generasinya untuk diselesaikan,” katanya sambil menjelaskan hampir 90 peratus ahli Pembina menyatakan kesediaan mereka untuk turun mengundi di kampung halaman masing-masing pada Sabtu ini.

Tingkat modal insan

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian oleh tampuk pemerintahan baharu kelak adalah polisi untuk membangunkan potensi belia sedia ada, terangnya.

Baca juga Yusuf Shah, kanak-kanak Muslim pertama pecahkan rekod genius mengatasi Albert Einstein dan Stephen Hawking

Jelas beliau, generasi milenial pada hari ini berada pada potensi yang sederhana. Sedangkan mereka bakal pewaris kepimpinan akan datang.

“Disebabkan itu, golongan ini perlu diberikan perhatian khusus oleh kerajaan terutamanya dalam membangunkan prestasi ke tahap tertinggi seiring kualiti anak muda di negara maju lain.

“Inisiatif peningkatan modal insan itu boleh dilaksanakan dengan penyediaan pendidikan yang berkualiti, peluang kerjaya yang bermaruah, latihan berkemahiran tinggi dan menyediakan manfaat asas kehidupan berkualiti. Ia antara garapan yang baik untuk menyerlahkan potensi mereka,” katanya.

Sebelum turun mengundi, Muhammad Wafiq meninggalkan pesanan buat semua kelompok seusianya.

Walaupun baru pertama kali membuang undi, beliau mengingatkan agar anak muda supaya membuat bacaan awal khususnya berkaitan proses pilihan raya dan calon yang akan bertanding di kawasan masing-masing.

Pada masa sama, beliau menggalakkan kelompok berkenaan supaya terlibat dengan perjalanan pilihan raya seperti mengikuti ceramah politik, soal selidik yang dibuat pusat kajian dan menyertai kempen-kempen culaan. Semua itu memberi pendedahan sihat kepada anak muda untuk berpartisipasi dalam politik.

“Berpolitiklah secara matang dan sihat. Buatlah kajian terperinci untuk memilih pemimpin.

“Semoga Dewan Rakyat kita akan dibarisi ahli-ahli Parlimen yang berwibawa hasil pemilihan matang para pengundi. Apabila itu berlaku, semakin cerah masa depan Malaysia untuk dibangunkan menjadi negara yang maju dan berdaulat,” ungkapnya.

***Foto: Unsplash