Dizalimi dan dipenjarakan, lima ulama ini terus bertahan demi Islam
SEBAGAI hamba kepada pencipta, pasti kita tidak akan terlepas dari apa jua bentuk ujian dan tohmahan dunia. Tidak kiralah sebaik manapun seseorang manusia itu, pasti ada masanya ALLAH uji mereka dengan sesuatu yang tidak dijangkakan.
Walaupun bergelar seorang alim ulama, yang pasti ilmu dan darjatnya lebih tinggi daripada manusia biasa juga tidak akan terlepas menerima ujian dari-NYA. Seperti yang dikongsi oleh portal UmmahToday, mengenai sejarah lima ulama besar Islam yang telah dizalimi dan dipenjarakan.
Berikut adalah beberapa orang tokoh besar Islam yang pernah diuji dengan dizalimi dan dipenjarakan tanpa mereka melakukan sebarang kesalahan. Mereka dituduh memberi ancaman.
1. Imam Abu Hanifah
Telah dipenjara dan disebat kerana menolak jawatan kadi dalam pemerintahan kerajaan Dinasti Abbasiyah. Ketika di zaman Dinasti Umayyah beliau turut pernah dipenjara oleh khalifah Marwan bin Muhammad yang menjadi penguasa kerana menolak tawaran menjadi Hakim.
Beliau telah meninggal dunia ketika berusia 68 tahun semasa di dalam penjara. Ada yang mengatakan bahawa Imam Abu Hanifah meninggal dunia akibat diracuni. Ada juga yang mengatakan bahawa beliau telah dipukul dalam penjara sehingga meninggal dunia.
2. Imam Malik
Imam Malik pernah dipenjara oleh Gabenor Kota Madinah pada tahun 764M kerana mengeluarkan fatwa bahawa hukum talak yang dilaksanakan oleh pemerintah tidak sah.
Pada ketika itu, kerajaan Abbasiyah membuat fatwa iaitu seluruh rakyat perlu taat kepada pemimpin. Sesiapa yang mogok dan tidak mahu makan akan terjatuh talak atas isterinya.
Fatwa tersebut telah disangkal oleh Imam Malik yang meriwayatkan hadis bahawa tidak ada talak bagi orang yang dipaksa. Tindakan itu juga telah menyebabkan beliau ditangkap dan disebat kerana melawan khalifah Abu Ja’far al-Mansur.
BACA JUGA Imam al-Ghazali beri 6 tip agar lebih khusyuk dalam solat
3. Imam Syafie
Yang menyokong Mazhab Syafie pernah didakwa menyokong syiah dan orang yang dengki dengan dirinya iaitu Mutharrif bin Mazin. Mutharrif telah mempengaruhi khalifah Harun ar-Rasyid untuk menangkap Imam Syafie dan orang-orang Alawiyin.
Tidak berhenti disitu sahaja, Mutharrif turut memfitnah Imam Syafie terlibat dalam rancangan mengganggu-gugat kekuasaan Harun ar-Rasyid. Kemudian Imam Syafie ditangkap. Tangan dan kakinya diikat dengan rantai lalu dibawa berarak di jalanan sebagai seorang yang dituduh melawan kekuasaan khalifah.
4. Imam Ahmad bin Hanbal
Pernah disebat dan dipenjara selama 30 bulan oleh Khalifah al-Makmun kerana tidak mengakui bahawa al-Quran adalah makhluk yang diyakini oleh aliran Muktazilah.
Ini selepas khalifah al-Makmun sangat menyukai bidang falsafah dan mulai memaksakan pandangannya tentang al-Quran adalah makhluk seperti manusia. Malah beliau turut memaksa para ulama untuk mengikuti pemikirannya.
Namun, Imam Ahmad menolak dan meyakini bahawa al-Quran adalah kalamullah dan bukan makhluk. Setelah itu beliau dipenjara namun dibebaskan pada zaman pemerintahan khalifah al-Mutawakkil.
BACA JUGA 10 wasiat Imam Syafie sebagai pedoman Muslimin
5. Ibnu Taymiyah
Beliau juga pernah dipenjarakan di Mesir kerana berbeza pendapat dengan ulama lain yang sezaman dengannya. Setelah itu beliau dibebaskan dan kemudian berhijrah ke Syam dan mengajar di Syria. Namun di sini beliau sekali lagi dipenjara selama lima bulan kerana berbeza pendapat dalam hal persoalan sumpah dengan talak.
Setelah dibebaskan tidak lama kemudian beliau sekali lagi ditangkap dan dipenjara kembali bersama muridnya yang setia iaitu Ibnu Qayyim al-Jauziyah. Beliau akhirnya jatuh sakit dan meninggal dunia.
Begitulah kisah lima orang ulama besar yang pernah dipenjarakan ketika zaman mereka sehingga ada di antara mereka meninggal dunia di dalam penjara.
Ujian yang diberikan oleh ALLAH kepada mereka dalam menegakkan hukum ALLAH. Mereka terus berjuang dan bertahan walaupun ditekan oleh pemerintah yang zalim.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus