AMALKAN enam tip yang dianjurkan oleh Imam al-Ghazali agar lebih khusyuk ketika solat.
Sebagai umat Islam, kita sentiasa menunduk dan bersujud kepada ALLAH SWT melalui ibadah solat fardu yang dilakukan lima kali sehari. Sememangnya, itulah kewajipan yang disyariatkan ke atas setiap hamba-NYA.
Jika diperhatikan, pelbagai ragam orang solat boleh kita lihat terutama jika ia dilakukan secara bersendirian. Namun, solat terbaik adalah mereka yang melakukannya dalam keadaan khusyuk.
Firman ALLAH, “Dan berjayalah orang yang beriman, yakni orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mu’minun, ayat 1 hingga 2)
Baca juga Bolehkah pejam mata ketika solat untuk tambah khusyuk?
Cendekiawan Muslim, Imam Hasan al-Basri menerangkan bahawa khusyuk adalah perbuatan atau sifat hati. Apabila hati itu tunduk, fokus dan tenang, maka ia akan menggerakkan seluruh anggota untuk merasai ketenangan dan mematuhi kehendak jiwa yang suci itu.
Pun begitu, bukan mudah menggapai khusyuk dalam keadaan syaitan yang tidak putus-putus mengusik di telinga kita ketika solat.
Imam al-Ghazali menerusi kitabnya, Ihya Ulumuddin, menggariskan enam cara yang boleh kita amalkan agar diri lebih khusyuk sekaligus meningkatkan kualiti solat seperti berikut:
1) Hudhur al Qarb (Hadirkan hati)
Hadirkan hati ketika solat. Dalam erti kata lain, elakkan memikirkan hal keduniaan yang tidak berkaitan dengan ibadah yang dilakukan seperti kerja, makan, duit dan sebagainya.
2 ) At-Tafahum (Memahami)
Cubalah memahami semua bacaan di dalam solat di samping menghayati maknanya seperti mengerti maksud di sebalik ayat al-Fatihah, lafaz ketika rukuk dan lain-lain.
Baca juga Bersujudlah selalu, agar wajah kekal berseri sepanjang hari
3) At-Ta’zim (Mengagungkan ALLAH)
Merasakan kebesaran ALLAH seolah-olah kita berada di hadapan-NYA dalam keadaan kerdil dan hina.
4) Al-Haibah (Merasa gerun terhadap ALLAH)
Menghadirkan rasa gerun terhadap kekuasaan ALLAH. Bayangkan azab di dalam kubur, keadaan huru-hara di Padang Mahsyar, gambaran neraka dan seumpamanya.
5) Ar-Raja’ (Berharap kepada ALLAH)
Sentiasa menaruh harapan agar amalan solat kita akan diterima ALLAH dan dapat membantu kita di akhirat kelak.
6) Al-Haya’ (Malu)
Hadirkan rasa malu kepada ALLAH SWT atas kekurangan dan kelemahan diri. ALLAH telah kurniakan segala nikmat kepada kita tetapi kita selalu lalai, tidak bersyukur dan lupa untuk mengabdikan diri sebagai hamba kepada YANG MAHA ESA.
Baca juga Terlelap ketika solat. Batal atau tidak?
Semoga perkongsian ini dapat dimanfaatkan agar kita semua tergolong dalam para mukmin yang khusyuk dalam solat.
Sumber: Pexels