Browsing Tag

iblis

Nabi Adam
Aqidah,

Sebenarnya bukan Hawa pujuk Nabi Adam AS makan buah terlarang, itu cerita mitos

SELAMA ini, kita sering mendengar kisah Nabi Adam AS makan buah terlarang di dalam syurga gara-gara pujukan isterinya, Hawa.

Dek kerana permintaan insan kesayangannya, maka akhirnya nabi pertama itu akhirnya ‘tunduk’ dan menunaikannya.

Ketahuilah bahawa versi cerita sebegitu sebenarnya adalah mitos semata-mata! Bukan Hawa yang memujuk Nabi Adam memakan buah terlarang yang dipanggil buah khuldi yang akhirnya perbuatan itu menyebabkan kedua-duanya terkeluar dari syurga.

Menjelaskan tentang hal itu, pendakwah Ustaz Adnin Roslan mengupas panjang mengenainya menerusi bebenang di Twitter miliknya.

Jelas beliau, mitos sejak zaman-berzaman itu wujud daripada Bible yang telah diseleweng.

USTAZ ADNIN

“Orang Barat yang kononnya mengaku mengangkat martabat wanita, memperjuangkan hak asasi mereka, namun mereka sendirilah yang menyeleweng Bible dan mendiskriminasi wanita dengan menuduh bahawa Hawa yang menggoda Nabi Adam untuk memakan buah khuldi,” katanya.

Baca juga Benarkah wanita tercipta daripada tulang rusuk lelaki, berikut perinciannya

Antara petikan Bible yang dimaksudkan berbunyi: “Perempuan itu melihat, bahawa buah pohon itu baik untuk dimakan dan sedap kelihatannya, lagi pula pohon itu menarik hati kerana memberi pengertian. Lalu ia mengambil dari buahnya dan dimakannya dan diberikannya juga kepada suaminya yang bersama-sama dengan dia, dan suaminya pun memakannya. Maka terbukalah mata mereka berdua dan mereka tahu, bahawa mereka telanjang, lalu mereka menyemat daun pohon ara dan membuat cawat. Ketika mereka mendengar bunyi langkah Tuhan ALLAH, yang berjalan-jalan dalam taman itu pada waktu hari sejuk, bersembunyilah manusia dan isterinya itu terhadap Tuhan ALLAH di antara pohon-pohonan dalam taman…” (Bible. Kejadian 3. 6-8)

Melihat kepada pernyataan itu, ujar Ustaz Adnin, Bible yang terseleweng itu dengan jelas mengatakan, punca kepada malapetaka ialah Hawa yang kononnya beliau telah menipu suaminya dengan memberi buah dari pohon terlarang tersebut tanpa memberitahu bahawa ia dilarang.

Hakikatnya, jelas pendakwah itu, iblis merupakan punca kepada malapetaka berkenaan.

Nabi Adam

AL-QURAN sangat jelas menerangkan bahawa iblis menipu daya dan menggoda Nabi Adam dan Hawa hingga kedua-duanya tertipu dengan kelicikannya. -Foto: Canva

Godaan iblis

Jelas beliau, al-Quran sangat jelas memberitahu bahawa iblis menipu daya dan menggoda Adam serta Hawa. Malah, kedua-dua mereka tertipu dengan kelicikan makhluk ALLAH yang terkutuk itu.

Baca juga ENAM cara syaitan sesatkan manusia

ALLAH SWT berfirman: “Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana IA tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam syurga).”

“Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata): “Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat kepada kamu berdua. Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka berdua memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah AKU telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan AKU katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata.” (Surah al-A’raf, ayat 20)

Berdasarkan ayat itu, Ustaz Adnin berkata, ALLAH menyatakan jelas bahawa iblis yang menghasut Nabi Adam AS dan Hawa sehingga terjatuh dalam tipu dayanya.

“Malah, iblis juga yang menggoda dengan bersumpah kepada kedua-dua mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Adnin mengingatkan agar umat Islam tidak menyalahkan manusia pertama itu dan isteri baginda AS.

Ketahuilah bahawa sangat jijik tuduhan yang mengatakan Nabi Adam dan Hawa sebagai punca bagi segala masalah, sedangkan apa yang berlaku itu adalah sesuatu yang mereka tidak menduganya, ungkapnya.

Baca juga Mengapa iblis tidak mendapat pengampunan daripada ALLAH YANG MAHA ESA? Ini punca-puncanya…

“Para ulama mengatakan, Adam dan Hawa ialah manusia pertama yang digoda oleh iblis dan ia sangatlah licik sehinggakan mereka tidak sedar terhadap tipu daya tersebut.

Nabi Adam

IBLIS menamakan pohon terlarang dengan nama ‘Syajaratul Khuld’ yang bermaksud pohon keabadian, sedangkan ALLAH SWT langsung tidak pernah membubuh nama pada pokok berkenaan. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

“Antara lain, makhluk ALLAH yang terkutuk itu menggoda Adam dan Hawa dengan sesuatu yang ALLAH tidak sebutkan kepada mereka iaitu tentang hidup abadi di dalam syurga jika makan buah dari pohon terlarang.

“Dalam Surah Taha, ayat 118 hingga 120 jelas memperlihatkan, iblis menggoda Adam dan Hawa dengan tiga janji palsu iaitu kehidupan yang kekal, kerajaan syurga yang kekal dan menjadi penguasa, raja serta pemilik syurga,” ungkapnya.

Bukan itu sahaja, jelas penulis buku kerohanian itu, iblis turut menamakan pohon terlarang dengan nama ‘Syajaratul khuld’ yang bermaksud ‘pohon keabadian’.

“Ini satu pendustaan! ALLAH tidak pernah namakan pohon tersebut sebagai pokok khuldi dan satu lagi DIA juga tidak pernah menyatakan andai makan buah dari pohon berkenaan, mereka akan hidup kekal. Bahkan jikalau buah tersebut dimakan, ia tidaklah mendatangkan keabadian.

“Seperkara lagi, iblis ‘menghias’ tipu dayanya dengan bersumpah kononnya berniat baik kepada Adam dan Hawa. Namun, sebagaimana yang disebut oleh sebahagian ulama, Nabi Adam dan Hawa bersangka baik pada iblis dan akhirnya terikut hasutannya.

“Ini kerana Adam ialah manusia pertama yang menghadapi godaan iblis yang membinasakan. Baginda bukan digoda oleh syaitan biasa, tetapi dihasut oleh raja sang penggoda iaitu iblis laknatullah,” ujarnya.

Disebabkan peristiwa itu, kedua-dua pasangan suami isteri itu akhirnya telah diturunkan ke dunia dan memohon taubat kepada-NYA.

ALLAH SWT yang MAHA PENGAMPUN telah mengampunkan segala dosa mereka.

Nabi Adam

-Foto: Freepik

Ujian buat Nabi Adam dan Hawa

Apabila diteliti pada ayat 30, Surah al-Baqarah, bait kalam suci itu ALLAH SWT berfirman tentang penciptaan Adam di muka bumi sebagai khalifah.

Menurut laman web tanwir.id, proses penciptaan nabi pertama itu telah diatur cantik aturannya oleh Sang Pencipta.

Malah, ia menjadi bukti bahawa Adam bukanlah al-Basyar purba, tetapi al-Basyar yang telah disempurnakan menjadi manusia.

“Akal dan ilmu yang dimiliki oleh Adam membuktikan bahawa Baginda seorang manusia moden yang bertamadun,” katanya dipetik menerusi laman web berkenaan.

Artikel berkenaan turut menyebut, ALLAH SWT sebenarnya menguji Nabi Adam dan Hawa saat mereka diperintahkan untuk tinggal di syurga dengan segala macam kemudahan.

“Ia sama ada kesenangan itu akan membuatkan mereka berdua lupa atau tidak dengan salah satu larangan ALLAH tersebut. Boleh dikatakan pohon yang diharamkan itu sebenarnya adalah ujian ketaatan mereka.

“Pohon berkenaan menjadi ujian untuk Adam bahawa Baginda ialah manusia moden dan beradab, bukan lagi al-Basyar kuno. Meskipun Baginda AS diperdaya oleh syaitan, namun ia sebenarnya membuktikan bahawa Nabi Adam seorang insan yang bertakwa.

“Masakan tidak, apabila melakukan dosa, Baginda segera mengingati ALLAH SWT. Malah, Nabi Adam AS mengakui kesilapannya, menyesal dan memohon ampun kepada ALLAH SWT dan berjanji untuk tidak mengulanginya,” katanya.

Berdasarkan kisah benar bersumberkan al-Quran itu, tanwir.id menjelaskan, dapat disimpulkan Nabi Adam dan Hawa serta keturunan mereka mendiami bumi itu bukan disebabkan kedua-duanya makan buah dari pohon terlarang.

Sebaliknya, ALLAH SWT adalah sebaik-baik perancang. DIALAH yang merancang manusia untuk mendiami planet itu.

“Lantaran itu, buah khuldi bukanlah penyebab pengusiran Adam dan Hawa, tetapi sebahagian daripada proses kematangan Baginda dan khalifah di muka bumi ini,” terangnya.

***Foto: Freepik

Panduan,

Mengapa iblis tidak mendapat pengampunan daripada ALLAH YANG MAHA ESA? Ini punca-puncanya…

MANUSIA tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Demi membetulkan segala khilaf, taubat adalah kunci utama untuk kembali ke jalan yang benar. Biarpun sebesar manapun dosa yang telah dilakukan, nescaya ALLAH SWT akan mengampunkannya.

Meskipun manusia lain memandang kita sebagai pendosa, namun ALLAH melihat perkara sebaliknya. Hal tersebut sudah dinyatakan dalam Surah Az-Zumar, ayat 53 hingga 54.

ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah. Hai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya DIALAH YANG MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA PENYAYANG dan kembalilah sebelum datang azab kepadamu, kemudian kamu tidak lagi dapat ditolong.”

 

Baca juga: Rasulullah saw menyayangi umatnya sehingga di akhirat contohilah keperibadian baginda dengan sebarkan kasih sayang

Baca juga: Ganjaran besar dan berpanjangan di dunia juga di akhirat dengan berwakaf al-Quran berikutfadilat-fadilat lain

 

Bagi orang yang berdosa, janganlah malu untuk datang kepada ALLAH meminta ampun. Sesungguhnya ALLAH MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG.

Pintu taubat sentiasa terbuka buat sesiapa sahaja, namun mengapa ALLAH tidak mengampuni iblis?

Menurut Abu Al-Lais As-Samarqandi dalam kitabnya, Tanbih Al-Ghafilin menjelaskan, terdapat kesalahan iblis yang membuatkan taubat ‘mereka’ tidak boleh diterima.

Pertama: Iblis laknatullah tidak mahu mengakui kesalahannya.

Kedua: Iblis tidak menyesal atas dosa-dosa yang dilakukan

Ketiga: Iblis tidak mahu segera bertaubat

Kempat: Berputus asa daripada rahmat ALLAH

Kesalahan iblis yang tidak mahu bersujud kepada Nabi Adam padahal itu adalah perintah ALLAH kepada semua malaikat.

Namun, disebabkan angkuh, sombong dan merasa diri lebih baik berbanding Nabi Adam, maka iblis menolak perintah ALLAH.

ALLAH berfirman dalam Surah Al-A’raf, ayat 12: “Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika aku menyuruhmu? Iblis menjawab: Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan aku daripada api, sedangkan dia engkau ciptakan daripada tanah.”

Hal tersebut lantas membuatkan iblis sebagai makhluk yang dimurkai dan diusir dari syurga.

Biarpun sering bergelumang dengan dosa, iblis pernah menyatakan hasratnya untuk bertabat kepada Nabi Musa. Perkhabaran itu diterima dengan penuh gembira sehinggakan Nabi Musa segera mengambil wuduk dan solat.

Dikisahkan Ibnu Umar bahawa iblis mendatangi Nabi Musa lalu berkata:“Wahai Musa, engkau dipilih ALLAH dengan risalahnya, aku ini makhluk ALLAH juga, aku ingin bertaubat, kerana itu mohonlah syafaat agar ALLAH mengampuniku.”

Nabi Musa kemudiannya menyampaikan niat iblis, lalu ALLAH berfirman:“Wahai Musa aku penuhi permintaanmu, tapi katakan kepada iblis agar dia bersujud pada kuburan Adam terlebih dahulu.”

Mendengarkan syarat tersebut iblis lalu berkata:“Dulu ketika Adam masih hidup, aku tidak mahu bersujud kepadanya. Mana mungkin aku harus bersujud kepadanya setelah dia mati.”

Masih disebabkan keangkuhan dan kesombongannya membuatkan iblis pun sekali lagi gagal mendapat pengampunan ALLAH.

Kegagalan itu mengakibatkan iblis menerima balasan menjadi isi neraka pada hari pembalasan kelak.

Oleh itu, sebagai manusia, kembalilah bertaubat ke jalan ALLAH. Biar sebesar mana dosa yang dilakukan, selagi tidak syirik kepada SANG PENCIPTA, selagi itu pintu taubat ALLAH sentiasa terbuka.

Sebagai manusia, bertaubatlah ke jalan ALLAH kerana pintu taubat-Nya sentiasa terbuka.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram 

Foto: Francesco Paggiaro & Alena Darmel/Pexels

Untitled design (18)
Gaya Hidup,

Usah Mendabik Dada Dengan Kejayaan Yang Diperoleh, Ustaz Ini Terangkan Semuanya Daripada-NYA

no comment

PENDAKWAH, Ustaz Hamizul Abdul Hamid memuat naik perkongsian berkenaan perbuatan taat dan ingkar yang dibenci oleh ALLAH SWT di laman Facebooknya.

Beliau menjelaskan secara terperinci dengan memetik firman ALLAH SWT dalam Surah al-Qasas ayat 67 – 82. Ayat berkenaan menceritakan berkenaan Qarun.

“Kisah Qarun adalah berkenaan tentang seorang lelaki yang sombong dan angkuh dengan kekayaannya.

“Dia mendabik dada bahawa, kekayaan yang dimiliki adalah atas hasil usaha dan kebijaksanaannya sendiri. Sedangkan segala kekayaan itu adalah dari ALLAH SWT,” tulisnya.

Dengan nada tegas, beliau berkata, namun jangan difikir hanya Qarun sahaja yang boleh jadi seperti itu.

“Setiap orang akan berdepan situasi itu, hatta diri kita pun sama.

“Ingat, iblis mempunyai cara kerja yang sangat halus dalam memanipulasi perasaan manusia. Hingga dalam melakukan kebaikan pun adakalanya kita merasakan semua itu daripada kita. Bukan daripada ALLAH SWT,” ujarnya.

Agamawan itu turut memetik pernyataan daripada Ibnu ‘Ataillah as-Sakandari dalam kitab al-Hikam yang berbunyi: “Sesiapa yang merasakan kerana dirinya sendiri maka dia menjadi seorang yang tawaduk, maka itulah kesombongan yang sebenarnya.”

“Kenapa? Ya, kerana dia tidak menyandarkannya kepada ALLAH SWT. Sedangkan, ALLAH SWT jugalah yang mengizinkannya menjadi tawaduk. Bukan kerana dirinya sendiri.

“Jika Qarun kaya kerana izin ALLAH SWT, maka kita menjadi tawaduk juga dengan izin ALLAH SWT.

“Oleh itu, kita perlu berwaspada dengan jerat iblis. Baik dalam ketaatan mahu pun keingkaran, kedua-duanya terdedah kepada manipulasi oleh iblis yang sangat pakar merosakkan manusia.

“Dalam kekayaan dan kita pun taat membayar zakat dan sebagainya, maka iringkan dengan ucapan daripada Surah an-Naml ayat 40: “Ini termasuk dari kurniaan Tuhanku.”

Nota: Ungkapan ‘Hadza Min Fadhli Rabbi’ ini merupakan ungkapan Nabi Sulaiman AS yang menggambarkan kerendahan dirinya di sebalik segala kelebihannya di dunia, dengan mengakui itu semua adalah daripada ALLAH SWT, bukan kerana kemampuan dirinya sendiri.

Berita,

Jangan terkejut! Iblis pernah kejutkan khalifah solat pada awal waktu

SUDAH dinyatakan di dalam al-Quran tentang sifat iblis yang sememangnya akan menyesatkan anak cucu Nabi Adam sehingga hari kiamat.

Peringatan juga telah diberikan kepada umat manusia agar tidak mudah terpengaruh dengan godaan iblis yang akan menyesatkan itu sekali gus menjurus ke arah neraka jahanam.

“Wahai anak Adam, janganlah sesekali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah berhasil mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga”, surah Al-A’raf, ayat 27.

Namun, tahukah anda bahawa iblis pernah mengejutkan seorang khalifah era pemerintahan Bani Umaiyah yang digelar Mu’awiyah.

Menerusi kisah yang dipetik daripada akaun YouTube Islam Popular, kisah tersebut diceritakan oleh penyair Jalaluddin Rumi dalam karya tulisannya Matsnawi.

Diceritakan pada suatu malam ketika Mu’awiyah sedang tidur di dalam istana, beliau telah dikejutkan oleh individu yang tidak dikenali. Setelah diperiksa, ternyata individu tersebut adalah iblis.

Disebabkan berasa tidurnya terganggu, Mu’awiyah telah bertanyakan kepada iblis mengenai tujuan kedatangannya;”Mengapakah kau membangunkan aku?.

Kemudian, jawab iblis;”Waktu solat akan segera tiba dan aku bimbang kau akan terlambat kerana tertidur wahai khalifah.”

Tindakan iblis itu nyata tidak dipercayai oleh khalifah kerana baginya, tidak mungkin iblis akan mengarahkan untuk berbuat baik melainkan menyesatkan manusia ke jalan kemungkaran.

Iblis bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

“Ketahuilah wahai khalifah! 700 tahun akau mengabdikan diri kepada ALLAH meskipun akhirnya aku membangkang-NYA.

“Aku membangkang-NYA bukan kerana kufur kepada-NYA, tetapi kerana rasa cemburu terhadap Adam. Aku masih mencintai-NYA wahai khalifah,” kata iblis.

Sekali lagi Mu’awiyah tidak mempercayai kata-kata iblis yang disifatkan sebagai pendusta semata-mata.

“Kau yang menyebabkan kehancuran umat Nuh, kaum Adam, kaum Luth, Fir’aun dan seterusnya,” jelas khalifah yang masih tidak mempercayai kata-kata iblis.

Makhluk yang dilaknat ALLAH itu tetap tidak mengaku kejahatan yang dilakukan umat manusia disebabkan dirinya. Sebaliknya iblis mengatakan,”Setiap kemungkaran itu dilakukan oleh manusia sendiri kerana didorong oleh hawa nafsu mereka”.

Enggan terpedaya dengan tipu helah, Mu’awiyah kemudian berdoa kepada ALLAH dan meminta agar dipelihara serta dijauhkan daripada godaan iblis.

Setelah seketika, iblis akhirnya mengakui tujuan sebenar mengejutkan Mu’awiyah daripada tidur.

“Baiklah khalifah! Aku akan mengungkapkan alasanku membangunkanmu melaksanakan solat tepat waktu. Jika engkau tertidur dan kehilangan waktu solat, maka engkau akan sangat menyesal. Penyesalan di dalam dirimu akan membawamu kepada zikir kepada ALLAH dengan penuh penyesalan.

“Zikir penuh penyesalan itu lebih aku takut daripada solatmu. Ini kerana setiap zikir penuh penyesalan yang kau sampaikan kepada ALLAH itu bernilai dua ratus kali lebih banyak daripada soalt atau doa biasa,” kata iblis.

Masya-ALLAH! Takut sungguh iblis kepada zikir penyesalan manusia yang mengakui khilaf atas perbuatan salah.

Semoga kita semua akan terpelihara daripada tipu daya iblis dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan ini, marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadah kepada ALLAH selagi hayat masih dikandung badan.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Ali Arapoğlu/Pexels