DI dalam dunia Islam, ulama berbeza pandangan mengenai asal usul kejadian Siti Hawa AS iaitu isteri Nabi Adam AS. Yang paling masyhur adalah mengatakan dia dijadikan daripada tulang rusuk Nabi Adam.
Namun benarkah wanita dijadikan daripada tulang rusuk? Tambahan pula, banyak hadis mensyarahkan penciptaan wanita dan tulung rusuk ini.
Salah satunya melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda “Nasihatilah para wanita kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bilamana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah para wanita”. (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Menerusi perkongsian Jabatan Mufti Wilayah di dalam artikel Irsyad Al-Hadith Siri Ke-33: Hadis Penciptaan Hawa Daripada Tulang Rusuk menyatakan para ulama telah berselisih pendapat dalam memahami isu ini.
Terdapat dua pendapat yang dikemukakan, antaranya ialah:
Pertama: Sebahagian ahli tafsir dan ahli hadis berpendapat bahawa hakikat penciptaan wanita itu adalah daripada tulang rusuk dan ia bukanlah perumpamaan sebagaimana yang dinyatakan oleh sebahagian ulama yang lain.
Antaranya hujah yang mengatakan bahawa wanita ini diciptakan daripada tulang rusuk ialah, firman ALLAH SWT “Dia (ALLAH) menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam), kemudian Ia menjadikan daripadanya isterinya (Hawa)”. (Al-Zumar ayat 6)
Al-Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat ini:
“Maksud ALLAH SWT telah menciptakan kamu daripada diri yang satu ialah ALLAH SWT menciptakan kamu dalam keadaan berbeza jenis, golongan, lidah (bahasa), warna daripada diri yang satu iaitu Adam AS. Kemudian di jadikan daripadanya Hawa.
Sebagaimana firman ALLAH SWT “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) daripada diri yang satu (Adam), dan yang dijadikan daripadanya (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan daripada keduanya – (zuriat keturunan) – lelaki dan perempuan yang ramai”. (Surah al-Nisa’ ayat 1)
Kedua: Wanita diciptakan daripada tulang rusuk adalah sekadar perumpamaan dan ia bukannya menunjukkan akan hakikat penciptaan wanita.
Ini merupakan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar dan Imam al-Qurthubi. Kebanyakan ulama kontemporari juga memilih pendapat ini.
Antaranya ialah Syeikh Syuaib al-Arna’outh, beliau berkata “Apa yang dimaksudkan di sini (iaitu hadis bahawa wanita diciptakan daripada tulang rusuk) adalah sekadar perumpamaan dan ini jelas dinyatakan di dalam riwayat yang lain iaitu “إنَّ المرأةَ كالضِّلَعِ، (Sesungguhnya wanita itu seperti tulang rusuk)”. Begitu juga, ia tidak bermaksud bahawa wanita ini diciptkan daripada tulang rusuk Adam sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian manusia dan dakwaan tersebut tidak ada dinyatakan di dalam sunah (hadis) yang sahih”.
Asal wanita bukan dari tulang rusuk
Berdasarkan apa yang telah dinyatakan dan dibahaskan oleh para ulama, Mufti Wilayah Persekutuan lebih cenderung kepada pendapat kedua yang menyatakan bahawa maksud hadis tersebut adalah sekadar perumpamaan dan bukannya wanita itu diciptakan daripada tulang rusuk.
Ini kerana, tidak dinafikan bahawa perwatakan wanita itu amat berbeza dengan lelaki sehingga diumpamakan mereka ini seperti tulang rusuk. Tambahan pula, di dalam hadis ini juga, Nabi SAW memulakan dengan “ Nasihatilah para wanita (dengan baik)”, dan di dalam hadis ini juga tidak disebut daripada tulang rusuk Adam.
Selain itu, terdapat sebuah hadis yang sahih sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh Syuaib al-Arna’outh iaitu, daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda “Sesungguhnya wanita itu diciptakan seperti tulang rusuk, jika kamu ingin meluruskannya nescaya akan patah dan jika kamu membiarkannya maka kamu akan dapat bersenang-senang akan tetapi dia tetap bengkok.” (Hadis Riwayat Muslim)
Tambahan pula, berkenaan dengan maksud diri yang satu di dalam surah az-Zumar ialah jenis yang sama iaitu manusia dan bukannya asal penciptaan wanita itu daripada lelaki, bahkan manusia itu lahir dan tercipta daripada lelaki dan wanita.
Baca juga Belum hujung bulan poket dah kering, istiqamahkan lima perkara ini dan lihat keajaibannya