Browsing Tag

gurauan

Bicara buruk
Berita Semasa,

Jaga lidah dan maruah, elak bicara buruk walau untuk berjenaka

Jaga lidah dan maruah, elak bicara buruk walau untuk berjenaka

APABILA klip video yang memaparkan gurauan melampau tentang Malaysia dan tragedi MH370 dijadikan bahan jenaka tular baru-baru ini, ia mengundang amarah dan kecaman.

Perkataan yang dilontarkan begitu menjengkelkan dan mengundang panas hati ramai.

Bukan sekali dua isu hangat sebegini berlaku atas nama gurauan ataupun jenaka. Sudah banyak kali terjadi sehingga tidak boleh diterima oleh akal manusia.

Gara-gara mendidih dengan tindakan pelawak komediri kontroversi, ada yang membalas komentar tersebut dalam perkataan yang buruk.

Ketahuilah bahawa bicara buruk tidak dibenarkan sama sekali atas lesen gurauan atau berjenaka.

Demikian tegas Muzuza sebagaimana dikongsikan dalam bebenang Twitter miliknya.

Pemilik akaun Twitter @Muzuzxck itu turut memberikan pandangannya terhadap komentar warga maya apabila ada yang menurunkan komen ‘isu carut kepada rakyat Malaysia itu tak apa, tapi isu MH370 itu yang kita marah’.

Bicara buruk

JANGAN sesekali melontarkan akan membuat komen atau bicara buruk sehingga mengguriskan orang lain. -Foto: 123rf

Menurut perspektifnya, kedua-dua isu berkenaan tidak sepatutnya dilontarkan!

“Mungkin ada yang mengatakan bahawa ‘adillah tu, sebab kita pun buat jenaka pasal rakyat negara jiran juga’.

“Inilah hakikat yang perlu kita baiki. Tidaklah semata kerana orang lain buat, kita juga boleh balas perkara yang sama,” ciapnya.

Beliau yang juga penulis buku kerohanian itu menegaskan, al-Quran mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW jelas mengajar supaya kita tidak membalas keburukan dengan keburukan.

Baca juga Jangan sakitkan hati orang lain sesuka hati

Renungkan firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang sebaik-baiknya, KAMI MAHA MENGETAHUI apa yang mereka katakan itu.” (Surah al-Mu’minun, ayat 96)

“Mudah kata, biarkan rantaian keburukan berakhir.

“Jangan sesekali menyentuh isu tragedi yang menyakiti hati orang lain, apatah lagi melibatkan orang yang sudah tiada lagi,” tegasnya.

Baca juga Jangan menghina orang yang sudah meninggal dunia

Ia sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis: “Jangan kamu mencela orang yang telah mati, sehingga kamu menyakiti orang yang hidup.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Bicara buruk

MENCELA orang yang sudah meninggal dunia pun tidak boleh, inikan pula menyakiti hati insan yang masih hidup di muka bumi ini. -Foto: 123rf

Bagi mengukuhkan lagi hujahnya, Muzuza kemudian mengemukakan pandangan al-Imam al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwadhi yang menyatakan ‘orang yang hidup’ dalam hadis itu bererti orang yang rapat seperti kaum kerabat individu yang sudah meninggal dunia.

Justeru, beliau mengingatkan agar umat Islam tidak terikut-ikut dengan rentak orang yang tidak berakhlak.

“Jangan kita pergi carut kembali mereka, bahkan balas dengan tindakan yang menaikkan maruah dan akhlak kita. Tunjukkan pernyataan bahawa negara ini punya maruah dan rakyat Malaysia sangat berduka dengan tragedi itu.

“Bukan mengikut rentak wanita itu (pelawak yang mencetus ‘jenaka’ tersebut) dengan mencarut kembali,” tegasnya.

Baca juga Beza agama bukan syarat untuk melakukan tindakan luar batas

Sebelum mengakhiri bebenangnya, beliau memberi peringatan agar kita tidak menormalisasikan perihal jenaka hingga tiada lagi batasan dalam gurauan.

“Akhirnya, sampai tahap mana ia mampu pergi?

“Benar, wanita itu bukan Muslim, tetapi kejadian ini perlu kita ambil ibrah supaya tidak berlaku kepada kita,” ungkapnya.

Ingatlah, usah membalas keburukan dengan kejelikan. Sebaliknya, ikutilah panduan yang dianjurkan oleh agama Islam.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Freepik

25023492_xl
Gaya Hidup,

5 Tip Cara Bergurau Senda Tanpa Undang Kemarahan Pasangan

no comment

AGAMA Islam menganjurkan umatnya supaya saling bergurau senda dan ketawa gembira kerana ia akan melahirkan suasana yang membahagiakan dalam sesebuah rumah tangga.

Sungguh pun begitu, Islam sesekali tidak mengajar umatnya untuk bersikap melampau dalam bergurau dan berbuat dosa.

Kaunselor berdaftar Fadzli Aziz menerusi Facebooknya berkongsi pengalaman beliau melihat satu rakaman video melibatkan suami sedang bergurau senda sehingga mengundang kemarahan si isteri.

 

Mula-mula nampak macam pasangannya menerima gurauan itu tapi lama -kelamaan dia akan jemu jika terlalu keterlaluan.

“Mula-mula nampak manja lepas tu nampak marah. Walaupun mungkin pasangan ini sudah biasa bergurau seperti itu, dan mungkin tidak kisah, tapi saya rasa benda ni adalah benda yang tak betul.

“Memang saya galakan anda bergurau dengan pasangan kerana bergurau adalah sunnah Nabi Muhammad SAW, tapi bukan begitu caranya dan kemudian gurauan itu di’post’kan di media sosial lantas mengundang kecaman dan kutukan. Apa tujuannya? Mencari viral?

“Pada saya bergurau tujuannya untuk makin cinta dan sayang pada pasangan. Tapi percayalah apabila kita selalu melampau dalam bergurau, satu masa nanti pasangan tak akan dapat bertahan lagi,” katanya.

Dalam masa sama, Fadzli turut menitipkan beberapa tip dalam bergurau senda bersama pasangan.

“Pertama, Jagalah maruah pasangan dalam bergurau seperti aurat dipelihara, aib perlu dijaga, kekurangannya jangan dipermainkan, apatah lagi apabila menjadikan gurauan itu sebagai bahan untuk dipaparkan.

“Bayangkan apabila netizen menonton aib pasangan kita di media sosial, share sehingga berpuluh ribu, viewnya berjuta. Bermakna begitu ramai orang tahu tentang aib pasangan kita. Tidakkah itu memalukannya Tanpa sedar itu adalah penderaan ’emosi’ yang sangat dahsyat.

“Tip kedua pelihara diri daripada berbuat dosa. Kita akan sensitif dengan dosa sebab ia adalah apa yang ALLAH SWT larang. Kalau buat pun sorok-sorok dan malu. Tapi Bayangkan kalau gurauan kita gurauan yang berdosa dan selepas itu ditayangkan pula di media sosial. Seolah-olah benda yang berdosa kita tak rasa berdosa, bahkan bangga dengan dosa dan paling menakutkan kita seperti nak ajar orang lain berbuat dosa,” kata beliau lagi.

Tambah bekas ahli kumpulan UNIC ini lagi, tip ketiga adalah sikap bersederhana akan menyebabkan kita terjaga. Apabila bergurau dengan sederhana, insyaALLAH gurauan kita itu tidak akan mencederakan, tidak menyakiti sehingga cedera emosi dan terkawal.

“Tip keempat adalah kenal pasti niat dan tujuan. Ini asasnya. Kalau bergurau kerana ALLAH SWT untuk menambah cinta dan kasih sayang pada pasangan. Pasti berbeza caranya. Gurauan penuh akhlak dan kemesraan yang tak dibuat-buat. Hasilnya insyaALLAH bertambah rasa cinta.

“Tapi kalau niat dan tujuannya untuk viral, untuk media sosial maka kita tak akan endahkan lagi akhlaknya. Yang penting cara apa paling trending, paling viral walaupun akan buka aib, walaupun buat dosa, walaupun memalukan pasangan.

“Tip kelima sentiasa memohon maaf setiap kali selepas bergurau. Takut-takut ada sakit hati yang disimpan. Ada dosa yang tak termaaf. Minta maaf bukan semestinya kerana kita salah. Tapi betapa berakhlaknya kita pada pasangan. Tanda sayang kita padanya dengan penuh penghormatan,” jelas beliau.

Katanya lagi, dalam Islam ada dosa dan pahala. Jadi bertanggungjawablah dengan apa yang kita lakukan.

“ALLAH sayang anda, ALLAH sayang kita semua. Saling menegur kerana saling menjaga masyarakat. Bimbangnya kita dengan generasi akan datang, memerlukan usaha mendidik dari sekarang.

“Semoga ALLAH pandang usaha kita yang sedikit ini,” tulisnya.