ISLAM meraikan kepelbagaian agama untuk kehidupan manusia sejagat. Namun itu bukanlah syarat untuk melakukan tindakan luar batas sehingga menghancurkan kesucian Islam itu sendiri.
Pendakwah terkemuka, Ustazah Asma Harun berkongsi dan menegur perkara ini di laman Facebooknya apabila baru-baru ini apabila seorang pempengaruh wanita Muslim dan pasangannya yang bukan beragama Islam secara sengaja berpelukan dan bercumbu-cumbuan. Bahkan lebih menyedihkan lagi aksi tidak senonoh itu disiarkan di media sosial mereka.
Seperti biasa majoriti warga maya akan mengecam tindak tanduk sumbang itu, namun ada segelintir pengikut dan peminat tegar pempengaruh itu menyokong aksi yang ditampilkan.
Ini akan menimbulkan salah faham bahawa perbuatan tidak senonoh itu seolah suatu kebiasaan. Bagi menjelaskan lagi perkara tersebut, Ustazah Asma membawa beberapa situasi mengenainya:
1. Hubungan orang Islam dengan sesama Islam.
Ini adalah situasi umum, bahawa orang Islam boleh berkahwin dengan sesama Muslim, bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda “Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang, subur, kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
2. Hubungan orang Islam dengan bukan Islam.
Islam merupakan agama yang sangat indah, menuntut kita berkawan dengan semua orang tanpa mengira bangsa dan agama serta menjaga hubungan dengan baik. Namun untuk dijadikan pasangan hidup ada syaratnya iaitu mestilah kedua-duanya beragama islam.
Pandangan Mufti
Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang dipetik daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan.
Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-18 yang bersidang pada 14 Mei 1980 telah membincangkan pernikahan dengan perempuan kitabiah (ahli kitab).
Persidangan telah memutuskan bahawa:
1. Pernikahan orang Islam dengan wanita ahli kitab (bukan asli) adalah tidak sah mengikut mazhab Shafie.
2. Pernikahan seperti itu (pernikahan orang Islam dengan perempuan Kitabiah bukan asli) yang telah dilakukan pada masa yang lalu harus mengikut pendapat setengah ulama’ dengan syarat jika pernikahan itu diakadkan mengikut Islam dan keluarga itu hendaklah hidup secara Islam termasuk pendidikan anak-anak. Jika tidak dilakukan demikian maka perkahwinan itu hendaklah dibatalkan.
Baca juga Jangan lafaz sumpah sewenang-wenangnya, ini sebab-sebabnya
3. Pernikahan suami atau isteri Kristian kemudian si suami masuk Islam maka pernikahannya dikira sah dengan syarat kehidupannya mengikut cara Islam.
Daripada Abu Said al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda “Apabila seseorang hamba masuk Islam, lalu Islamnya baik, dihapus darinya semua keburukan yang pernah dia lakukan. Kemudian setelah itu ada balasan yang adil; satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda sampai 700 kali lipat. Adapun satu keburukan dibalas dengan sama, kecuali ALLAH mengampuninya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
4. Hubungan orang bukan Islam dengan bukan Islam
Islam tidak melarang apa-apa hubungan sesama bukan Islam, namun di dalam negara yang majoritinya penganut agama Islam, tetap perlu ada batas dan hormat supaya perkara mungkar tidak dilakukan secara terangan, kerana ia memberi kesan yang buruk kepada orang Islam di negara ini.
Harus diingat, kita ada rukun negara yang sering diikrar bersama, antaranya kesopanan dan kesusilaan, di mana mesti dipatuhi oleh semua tanpa pengecualian mana-mana bangsa atau agama.
Bentuk normalisasi ideologi LIBERAL
Sebelum ini, pernah dikejutkan dengan beberapa berita perkahwinan antara seorang wanita Muslim dan lelaki Non-Muslim yang berlangsung di dalam gereja.
Jelas Ustazah Asma “bukan maksud saya ingin menyebut tentang mana-mana negara, tetapi lebih kepada ingin mengangkat bahawa salah faham dalam agama itu boleh berlaku dan membuatkan kita tergelincir dalam dosa yang berterusan. Astaghfirullah.”
“Sedar atau tidak inilah antara bentuk normalisasi ideologi LIBERAL yang mula meracuni pemikiran orang Islam”.
“Cara berfikir yang tidak mahu terikat dengan agama ini amat bahaya, apa jua tindakan ingin dihalalkan atas dasar pemikiran yang terbuka walaupun ia sangat jauh daripada syariat Islam”.
“Islam tidak melarang untuk berfikiran terbuka bahkan menggalakkan kita supaya berfikir dengan akal yang sihat, tetapi jangan sampai menjejaskan akidah atau melanggar batasan agama,” ujar beliau.
Ustazah Asma berharap semoga perkara begitu tidak terjadi di negara kita. Kerana itu pentingnya memahami agama dengan baik agar tidak dikaburi dengan pemikiran bebas yang kononnya memperjuangkan hak manusia, namun hakikatnya merupakan punca barah kepada masyarakat. Na’uzubillah.
Begitulah hakikat kita sebagai orang Islam di atas bumi ini, dipenjara oleh hawa nafsu dan syaitan yang sentiasa menghalang, ditambah lagi dengan tanggungjawab melakukan ketaatan kepada ALLAH serta larangan yang pelbagai. Namun semua itu pasti baik kerana ALLAH MAHA MENGETAHUI segalanya.