Browsing Tag

10 muharam

bubur Asyura 10 Muharam
Ibadah,

Mengapa kita masak bubur Asyura pada 10 Muharam?

Mengapa kita masak bubur Asyura pada 10 Muharam?

SEBAGAI bulan pertama tahun Hijriyah, Muharam merupakan bulan istimewa bagi masyarakat Islam di seluruh dunia. Pada waktu ini, rata-rata Muslimin akan melakukan kebaikan serta bersedekah.

Namun selain puasa dan amalan sunat yang lain, bulan Muharam juga sinonim dengan ‘bubur Asyura’. Bagi menyambut hari ke-10 Muharam yang dikenali sebagai Hari Asyura, sudah menjadi tradisi masyarakat kita untuk membuat dan mengadakan jamuan bubur Asyura.

Berbeza di Pantai Timur khususnya Kelantan, 10 Muharam diraikan dengan memasak kuih Asyura (sebutannya Suro). Ia dimasak di dalam kawah besar, tidak pekat likat menyerupai bubur, bahkan tekstur kuih Suro agak sedikit keras menyerupai kek atau kuih bingka.

Baca juga Benarkah buku amalan diangkat pada awal Muharam? Berikut perinciannya

bubur Asyura 10 Muharam

Asal usul tradisi Bubur Asyura
Amalan memasak bubur asyura atau kuih Suro dikatakan diambil daripada peristiwa Nabi Nuh AS selepas diselamatkan dari banjir besar.

Memetik portal tzkrh, diceritakan bahawa kapal Nabi Nuh AS berlabuh di Bukit Juudiy pada hari ‘Asyura, berkata Nabi Nuh AS kepada umatnya:

“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh A.S: “Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang.””

Lantas daripada kisah itu, bubur Asyura dibuat bagi memperingati Hari Asyura yang diterjemahkan menjadi ‘bubur untuk kesejahteraan’. Juadah itu menjadi perlambangan rasa syukur manusia atas keselamatan yang selama ini diberikan oleh ALLAH SWT.

ARTIKEL BERKAITAN:

bubur Asyura 10 Muharam

BUBUR Asyura dinikmati oleh umat Islam seluruh dunia sempena kisah Nabi Nuh AS selepas diselamatkan daripada banjir besar. Foto: 123RF

Kisah itu tidak sahih?
Persoalannya, adakah benar kisah itu disandarkan kepada Nabi Nuh AS?

Mengikut keterangan mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Bin Mohamad kisah itu sememangnya ada disebutkan di dalam kitab seperti Nihayah al-Zain karangan Syeikh Nawawi al-Bantani, kitab Nuzhatil Majalis karangan Syeikh Abdul Rahman al-Ushfuri serta kitab Jam’ul Fawaid oleh Syeikh Daud al-Fathoni.

Baca juga Semangkuk bubur talbinah pengubat hati penawar duka, ini cara Rasulullah

Pun begitu, agamawan itu berkata, kajian mendalam perlu dibuat untuk mengesahkan kesahihan kisah itu memandangkan pihak Mufti tidak menjumpai lagi sebarang petunjuk dalam bentuk hadis ataupun athar mengenai cerita tersebut.

Bahkan ada beberapa sarjana-sarjana Islam yang menilai kisah Nabi Nuh dan bubur Asyura itu sebagai palsu.

SETIAP negeri mempunyai versi bubur Asyura tersendiri. Foto: Google

Tiada masalah masak Bubur Asyura
Tiadanya dalil yang thabit bukanlah bermakna masyarakat langsung tidak dibenarkan untuk memasak bubur Asyura. Masaklah apa sekalipun selagi makanan itu halal dan baik.

Cuma kata Dr Zulkifli, masyarakat perlu berhati-hati agar tidak mengaitkannya dengan Nabi Nuh AS secara jazam (pasti) dan tidak menganggapnya sunnah yang mesti dilakukan pada 10 Muharam.

Titip beliau lagi, apa yang lebih baik, memasaklah dengan niat untuk bersedekah dan memberi makanan terutama kepada orang-orang fakir, miskin dan juga yang amat memerlukan.

Baca juga Begitu istimewa Hari Asyura, Rasulullah SAW pun turut mengejar kebaikannya

Sumber: Tzkrh  & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF & Google

hari Asyura
Ibadah,

Galakan ‘belanja keluarga pada hari Asyura’ bersumberkan hadis daif

Galakan ‘belanja keluarga pada hari Asyura’ bersumberkan hadis daif…

ANTARA amalan yang digalakkan pada hari Asyura (10 Muharam) selain berpuasa sunat ialah meluaskan belanja kaum keluarga pada hari berkenaan.

Ini berdasarkan hadis: “Barangsiapa yang meluaskan (belanja) kepada kaum keluarganya pada hari Asyura, maka ALLAH akan melapangkannya pada tahun tersebut keseluruhannya.”

Dalam riwayat lain: “Barangsiapa yang meluaskan belanja nafkah kepada kaum keluarganya pada hari Asyura, maka ALLAH akan melapangkannya di sepanjang tahun tersebut.”

Berdasarkan kedudukan hadis di atas, terdapat banyak perbincangan yang panjang dan khilaf dalam kalangan ulama. Ada yang mengatakan palsu, daif (lemah) dan sebagainya.

Baca Juga Begitu istimewa Hari Asyura, Rasulullah SAW pun turut mengejar kebaikannya

Berlapang dada

Merujuk Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (INHAD), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Dr Mohd Khafidz Soroni, menjelaskan ulama hadis berbeza pendapat dalam menilai kedudukan hadis ini, ada yang mensahihkannya, ada yang mendaifkannya dan ada yang memalsukannya.

Menurutnya, walau bagimanapun, kita berharap pada pihak yang memilih hukum palsu (mawdu’) agar berlapang dada terhadap pendapat pihak lain yang memilih hukum sahih atau hasan, serta tidak mudah mendakwa pengamalannya sebagai bidaah yang keji.

“Berdasarkan penelitian, hadis tersebut diriwayatkan lima sahabat, iaitu Abu Sa’id al-Khudri RA, Ibn Mas’ud RA, Jabir RA, Abu Hurairah RA dan Ibn ‘Umar RA Bagaimanapun setiap jalan riwayatnya daif namun ia mampu menguatkan antara satu sama lain.

Perkara merugikan ketika Ramadan

MESKIPUN hadis itu daif dan ulama berselisih pandangan tentang sanadnya, jelas beliau, ulama empat mazhab utama utama dalam Islam sepakat mengatakan, sunat melakukan demikian.

“Kata Imam al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman: “Semua sanad ini walaupun daif namun sekiranya ia digabungkan antara satu sama lain akan menjadi kuat”.

“Prof Dr Muhammad Abu al-Laith al-Khairabadi dalam bukunya al-Marwiyyat fi Fadl Lailat al-Nisf min Sya’ban wa at-Tawsi’ah ‘ala al-‘Iyal Yaum Asyura merumuskan bahawa hadis ini berdasarkan jalan riwayatnya adalah hasan li-ghairih.

“Malah sebelumnya, al-Hafiz as-Sayyid Ahmad al-Ghumari mengkaji dan membincangkan takhrij hadis ini secara teliti serta menilainya sebagai sahih di dalam risalah beliau: Hadiyyat al-Sughra’ bi Tashih Hadith at-Tawsi’ah Yaum ‘Asyura’.

Artikel Berkaitan 

“Penilaian ini bersesuaian dengan penilaian ramai ulama hadis sebelumnya seperti Imam al-Baihaqi, al-Hafiz al-‘Iraqi, al-Hafiz Ibnu Nasiriddin, al-Hafiz al-Sakhawi, al-Hafiz al-Suyuti, al-‘Allamah al-Munawi, al-‘Allamah al-‘Ajluni dan al-‘Allamah Ibn ‘Iraq.

“Sekiranya ada yang tidak bersetuju dan tetap menolak pun tidak ada masalah, asalkan tidak menganggap amalan tersebut sebagai bidaah sesat yang ditegah agama serta memaksa orang lain mengikut pendapatnya. Sedangkan ia perkara yang diperselisihkan (khilafiyyah),” katanya.

Baca Juga Puasa Hari Asyura singkirkan dosa-dosa silam? Berikut perinciannya

Malah, Imam Ahmad bin Hanbal yang menolak riwayat tersebut sebagai hadis Nabi SAW namun ketika ditanya mengenainya, beliau tidak pun menjawab ia bidaah. Sebaliknya, beliau menjawab sesuai dengan riwayat diterimanya.

SUNAT berpuasa pada hari ke 9 dan 10 Muharam. Foto: Dr Sanusi Azmi 

Jawab beliau: “Ya, ada diriwayatkan oleh Sufyan bin ‘Uyainah daripada Jaafar al-Ahmar daripada Ibrahim bin Muhammad bin al-Muntasyir yang merupakan antara orang paling afdal di zamannya bahawa sudah sampai kepadanya khabar: ‘Barangsiapa yang meluaskan ahli keluarganya pada hari Asyura maka ALLAH akan melapangkannya sepanjang tahun tersebut’. Kemudian kata Ibn ‘Uyainah: ‘Sesungguhnya kami mengujinya sejak 50 atau 60 tahun lalu, maka tidaklah kami melihat melainkan perkara yang baik’.”

Ujarnya lagi, sebahagian ulama Hanbali menganjurkannya seperti Ibn Muflih dan al-Buhuti, meskipun ditolak oleh Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim.

Baca Juga Jangan terlepas peluang puasa sunat Tasu’a dan Asyura 27 dan 28 Julai / 9 dan 10 Muharam ini

“Perlu diketahui bahawa dalam membahaskan perkara khilafiyyah seperti ini tidak harus kita menegaskan pendapat yang kita pilih sahaja sebagai sunnah, manakala pendapat pihak lawan pula sebagai bidaah.

“Jika penentuan sunnah dan bidaah dalam masalah ijtihadiyyah dibiarkan sebegini, maka dikhuatiri boleh mengakibatkan mudarat besar terhadap perpaduan umat Islam.

“Ini kerana perbuatan bidaah membidaah tentu akan mudah tersebar dalam kalangan umat Islam disebabkan pendapat semua pihak yang berselisih pastinya tidak lari daripada pendapat yang rajih (yang tepat) dan pendapat yang marjuh (yang kurang tepat) berdasarkan perspektif masing-masing,” jelasnya.

Baca Juga Puasa sunat hari Asyura hari ini. Boleh ke hanya puasa 10 Muharram saja. Ini penjelasannya… 

Bubur lambuk biasanya dibuat dalam kuantiti yang banyak untuk diagihkan kepada orang ramai.

Sajian istimewa

Beliau berpendapat, mereka yang menerima hadis ini mungkin ada hubungannya dengan penyediaan bubur Asyura, iaitu menu popular disediakan bersempena hari tersebut.

“Dengan erti kata, asal kepada penyediaan bubur Asyura ini bukan kerana ada dalil khusus, tetapi bersandarkan dalil umum sahaja iaitu hadis meluaskan belanja kepada kaum keluarga ini.

“Bubur Asyura itu hanya sekadar satu menu yang sudah menjadi adat tradisi masyarakat sahaja dalam mempraktikkan hadis berkenaan.

Turut Disyorkan Sebenarnya bukan Hawa pujuk Nabi Adam AS makan buah terlarang, itu cerita mitos

“Barangkali disebabkan situasi sosio-budaya dan ekonomi masyarakat pada masa dahulu, maka ia dianggap sebagai satu sajian istimewa yang mampu untuk dikongsikan bersama seluruh kaum keluarga.

“Zahirnya, tiada unsur bidaah yang sesat dalam mempraktikkan adat sebegini. Malah, boleh sahaja jika ia ditukar kepada apa-apa jua menu lain yang istimewa.

“Kelebihan orang yang berbuat demikian sepertimana yang dinyatakan ialah ALLAH SWT akan melapangkan hidup dan rezekinya di sepanjang tahun tersebut,” katanya.

awal muharam
Gaya Hidup,

Awal Muharam, simbol pengertian hijrah sebenar

SABAN tahun apabila masuk Muharam Hijriah, kita sering menceritakan sebuah peristiwa penting dalam sejarah Islam iaitu penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari kota Mekah ke kota Madinah.

Walaupun pada hakikatnya, penghijrahan Nabi SAW ke kota Madinah berlaku pada Safar, bukan pada Muharam.

Namun, sesetengah pendapat mengatakan keazaman Rasulullah SAW untuk berhijrah itu bermula sejak Muharam selepas berbaiat pada Zulhijah.

Seperti dikongsi oleh penceramah bebas, Ustaz Hanzalah Azman, antara kisah masyhur pada awal Muharam ialah wujudnya sistem takwim ‘standard’ untuk kegunaan umat Islam.

Baca Juga Pengembaraan epik ikut laluan hijrah Nabi, lelaki ini berjalan 500km dari Mekah Ke Madinah

“Ia dibangunkan oleh Khalifah kedua, Saidina Umar al-Khattab sebagai satu pemantapan pentadbiran setelah gabenor di Basrah tidak mendapat sepucuk surat tidak bertarikh.

“Perkara tersebut dimesyuaratkan oleh para sahabat untuk menentukan permulaan takwim Islam dan diputuskan oleh Saidina Umar memulakan takwim Islam pada Muharam.

Hati

HAYATI ibrah daripada peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang sanggup berkorban apa sahaja demi menegakkan serta menyebarkan Islam.

“Hijrah pada asalnya ialah merujuk kepada penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dari kota Mekah ke kota Madinah iaitu sebagai satu inisiatif jalan keluar setelah penyeksaan yang dihadapi mereka.

“Penghijrahan tersebut tidak hanya melibatkan perpindah, namun ia juga salah satu insiatif Rasulullah SAW memperluaskan dakwah ke seluruh tanah Arab.

Hijrah batiniah dan lahiriah

“Rasulullah SAW memberi definisi atau makna sebenar hijrah iaitu bukan sekadar penghijrahan melibatkan perpindahan fizikal, tetapi dari sudut dalam jiwa seseorang, amal ibadahnya serta menjauhkan diri daripada melakukan larangan ALLAH SWT.

Sabda Rasulullah SAW: “Dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa-apa yang ALLAH larang. (Hadis Riwayat Bukhari)

“Bahkan menurut Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari syarah kepada Sahih Bukhari, hijrah itu ada dua, pertama lahiriah dan kedua batiniah.

Syaitan

HIJRAH bukan untuk golongan pendosa, tetapi ia sememangnya suatu tuntutan ke atas setiap umat Islam supaya berubah menjadi insan yang lebih baik.

“Hijrah batiniah ialah meninggalkan apa-apa sahaja yang diperintahkan oleh hawa nafsu yang selalu memerintahkan keburukan dan syaitan.

“Manakala, lahiriah pula menghindarkan diri dengan memelihara agama daripada fitnah.

“Sekiranya kita menelusuri makna hijrah, ia amat berkait rapat dengan kehidupan sejagat manusia iaitu sentiasa melakukan perubahan terhadap diri sendiri.

“Dan inilah perjalanan kehidupan sebenar manusia iaitu sentiasa ada fasa tertentu untuk berusaha melakukan perubahan pada dirinya sama ada luaran atau dalaman,” ungkapnya.

Bertepatan dengan hadis sebagaimana Baginda SAW bersabda: “Muslim itu ialah orang yang menjadikan Muslim yang lain selamat daripada lisan dan tangannya serta al-muhajir (orang yang berhijrah) ialah orang meninggalkan apa-apa sahaja yang ALLAH larang.”(Hadis Riwayat Bukhari)

Artikel Berkaitan 

hari asyura
Berita Semasa,

Begitu istimewa Hari Asyura, Rasulullah SAW pun turut mengejar kebaikannya

BEGITU istimewa Hari Asyura, Rasulullah SAW pun turut mengejar kebaikannya.

Hari Asyura merupakan salah satu hari penting yang diraikan oleh umat Islam seluruh dunia.

‘Asyura’ berasal daripada perkataan Arab ‘asyara’ yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam bulan Muharam.

Begitu istimewanya Hari Asyura sehingga Rasulullah SAW sendiri mengejar kebaikan yang ada pada hari berkenaan.

Kata Ibnu Abbas RA apabila ditanyakan mengenai puasa Asyura, beliau berkata: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadilatnya lebih berbanding hari hari yang lain melainkan hari ini; iaitu hari Asyura.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Di Malaysia, sambutan Hari Asyura tidaklah sebesar keraian Islam yang lain seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

Baca juga Benarkah buku amalan diangkat pada awal Muharam? Berikut perinciannya

Persoalannya, apa yang menjadikan Hari Asyura begitu istimewa? Dan mengapa puasa sunat hari Asyura antara puasa yang diutamakan oleh Baginda SAW?

1. Berlaku pada bulan yang mulia.

Hari Asyura mempunyai banyak fadilat kerana ia terjadi pada salah satu bulan yang mulia dalam Islam.

Seperti yang disebutkan dalam al-Quran, ALLAH SWT memuliakan empat bulan yang dikenali sebagai ‘bulan haram’ daripada 12 bulan yang ada dalam satu tahun hijriyah.

ALLAH berfirman, “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) ALLAH ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab ALLAH semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati…” (Surah at-Taubah, ayat 36)

hari asyura

KITA seharusnya perbanyakkan amal ibadah serta menjauhi maksiat sepanjang empat bulan haram tersebut.

Empat bulan haram tersebut terdiri dari bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Ini sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW, iaitu

Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika ALLAH SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Mengapa bulan-bulan tersebut digelar ‘bulan haram’ adalah kerana sepanjang tempoh itu, umat Islam diharamkan berperang dan melakukan sebarang maksiat. Bahkan, dosa yang diperoleh dalam bulan haram adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.

Baca juga Dosa Digandakan Apabila Melakukan Maksiat Dalam Bulan Haram?

2. Nabi Musa AS diselamatkan oleh ALLAH dari Firaun.

Kisah Nabi Musa AS yang terkenal termaktub dalam kalamullah menerusi surah Yunus ayat 90. Dengan pertolongan ALLAH, Laut Merah terbelah untuk menyelamatkan Nabi Musa AS dan umatnya dengan menenggelamkan tentera Firaun pada 10 Muharram.

Ibnu Abbas RA berkata: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda SAW melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, lalu baginda bertanya: Apakah ini? Mereka menjawab: Hari ini adalah hari yang baik di mana ALLAH telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa. Lalu baginda SAW bersabda: Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu, maka baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Baca juga Puasa Hari Asyura singkirkan dosa-dosa silam? Berikut perinciannya

3. Puasa Hari Asyura dahulu diwajibkan. 
Puasa pada hari Asyura adalah suatu perkara yang wajib sebelum difardukan puasa Ramadan pada tahun ke-2 Hijrah. Namun ia tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut.

Menurut Saidatina Aisyah RA, “Hari Asyura adalah suatu hari yang mana orang-orang Quraish berpuasa padanya ketika Jahiliyyah. Dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari tersebut. Ketika sampai di Madinah, Nabi SAW berpuasa pada hari Asyura dan baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut.

Namun apabila difardukan puasa Ramadan, baginda bersabda, “Sesiapa yang hendak, maka berpuasalah ia (pada hari Asyura), dan sesiapa yang tidak mahu tinggallah ia (puasa Asyura).”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

hari asyura

ADA beberapa tingkat puasa pada waktu ini. Puasa yang paling terbaik adalah apabila ia dilakukan pada 9, 10 dan 11 Muharam.

4. Puasa terbaik selepas Ramadan
Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sebaik-baik puasa setelah bulan Ramadan adalah berpuasa pada bulan ALLAH al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdal setelah solat fardu adalah solat malam (qiamullail).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Baca juga Puasa sunat hari Asyura hari ini. Boleh ke hanya puasa 10 Muharram saja. Ini penjelasannya… 

5. Diampunkan dosa lalu
Selain itu, puasa sunat yang dilakukan pada Hari Asyura dapat menghapuskan dosa-dosa lama.

Daripada Abu Qatadah al-Ansari bahawa: “Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa pada hari Asyura. Maka, baginda menjawab: “Puasa itu menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Peristiwa penting para nabi dan rasul yang perlu kita tahu

Mengikut sejarah Islam, hari Asyura juga telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Selain kisah Nabi Musa AS, berikut antara peristiwa melibatkan para nabi lain yang juga berlaku pada Hari Asyura.

1. Taubat Nabi Adam AS diterima ALLAH
2. Kapal Nabi Nuh AS berlabuh di Bukit Judi
3. Nabi Ibrahim AS terselamat daripada seksa Namrud
4. Nabi Yusuf bebas dari penjara
5. Nabi Yunus AS selamat dari perut ikan besar.
6. Penyakit Nabi Ayub AS disembuh oleh ALLAH

Oleh itu, selain menghormati Hari Asyura, umat Islam juga digalakkan memperbanyakkan amal ibadah pada hari tersebut.

Begitu istimewa Hari Asyura, Rasulullah SAW pun turut mengejar kebaikannya

Foto: Unsplash & Pexels