Benarkah isteri tidak boleh membelanjakan lebih sepertiga harta peribadi tanpa izin suami?
DALAM mahligai perkahwinan yang digariskan Islam, suami dan isteri mempunyai peranan berbeza namun kedua-duanya saling melengkapi.
Sang suami selaku ‘imam rumahtangga ’ bertanggungjawab mencari rezeki bagi menguruskan keluarga, terutamanya dalam urusan makan minum, tempat tinggal dan pakaian.
Oleh itu, sebahagian wang yang diperolehi oleh si suami pastinya perlu disalurkan ke isteri untuk memenuhi tiga tuntutan berkenaan.
Sebaliknya, jika si isteri bekerja serta mempunyai pendapatan tetap setiap bulan, wang itu adalah miliknya dan suami tidak berhak ke atas duit tersebut. Ya, semua sedia maklum tentang perkara tersebut.
Pun begitu, dikatakan ada hukum dalam Islam menyebut bahawa seorang isteri tidak boleh menggunakan lebih daripada sepertiga hartanya tanpa mendapat keizinan suami.
Baca juga Sedekah harta suami tanpa izin, ini hukumnya yang wajib diketahui
Majoriti ulama mengizinkan
Mengikut pandangan majoriti ulama, seorang isteri mempunyai hak penuh ke atas harta yang diperolehnya sendiri. Jadi, dia sebenarnya tidak perlu mendapatkan keizinan suaminya untuk membelanjakan wang tersebut bagi urusan sedekah, hibah, jual beli dan sebagainya.
Demikian penjelasan yang diberikan pendakwah Ustaz Azhar Idrus menerusi sebuah perkongsian di laman sosial miliknya.
Katanya lagi, pendapat bahawa si isteri tidak boleh membelanjakan lebih daripada sepertiga hartanya tanpa mendapatkan keizinan suaminya adalah berdasarkan mazhab Maliki.
Namun, dari pandangan para ulama Syafie, wanita tidak perlu meminta kebenaran sang suami untuk menggunakan wang melebihi jumlah tersebut.
Turut disyorkan Haram guna duit Raya anak? Berikut perinciannya
Baca juga Suami dayus benarkan isteri bersalin dengan doktor lelaki? Fahami hukum sebenar
Sejauh mana lelaki boleh larang isteri membeli belah guna duit sendiri
Ujar Azhar, suami berhak melarang isteri daripada membeli belah sekiranya barang yang ingin dibeli itu mempunyai unsur lagha atau untuk tujuan maksiat.
Namun, jika barangan tersebut tidak memiliki kedua-dua unsur berkenaan, maka si isteri boleh sahaja membelanjakan harta peribadinya tanpa perlu mendapat keizinan suami.
Walau bagaimanapun, si isteri disunatkan memberitahu suaminya terlebih dahulu jika dia berhajat membelanjakan wangnya untuk membeli sesuatu atau berinfak. Sememangnya itulah adab terbaik bagi seorang isteri bagi memastikan keharmonian rumah tangga.
Benarkah isteri tidak boleh membelanjakan lebih sepertiga harta peribadi tanpa izin suami?
Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus
Foto: 123RF & Pexels