MENJADI tradisi umat Islam apabila menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk berkongsi rezeki dengan memberi duit raya khusunya kepada kanak-kanak.
Kanak-kanak antara yang paling riang menyambut lebaran. Rezeki mereka juga bertambah dengan adanya tradisi pemberian duit raya membolehkan mereka mendapatkan sejumlah duit yang banyak.
Bagi anak-anak yang masih kecil dan belum akil baligh, mereka sememangnya tidak pandai untuk menguruskan wang mereka sendiri. Peranan ibu bapa adalah sangat penting bagi memastikan duit raya yang mereka dapat itu diuruskan dengan sebaiknya.
Duit raya yang diberikan kepada kanak-kanak itu adalah kepunyaan mereka secara mutlak dan ibu bapa adalah pemegang amanah yang besar bagi menguruskan duit tersebut sehingga mereka sudah bijak untuk menguruskan duit mereka sendiri.
Hukum menggunakan duit raya anak adalah sama sekiranya kita menggunakan duit orang lain iaitu berhutang dan hutang tersebut wajib dibayar balik. Amanah dalam menjaga duit anak-anak ini sangat penting dalam Islam agar tidak disalahgunakan oleh ibu bapa kerana haram jika digunakan kepada perkara yang tidak berfaedah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi (2159)
Baca juga Dilema Terima Duit Raya Daripada Kaki Judi
Bagi pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, beliau menjawab isu ini dalam ceramahnya. Perkara ini selalu berlaku dalam masyarakat kita. Ada yang menggunakan duit raya anak-anak untuk membeli barang yang tidak sepatutnya iaitu sport rim dan barang keperluan kereta yang lain. Haram guna duit raya anak-anak untuk kepentingan diri sendiri.
“Namun, boleh gunakan duit raya anak sekiranya dalam keadaan yang terdesak seperti bekalan elektrik akan dipotong jika tidak dibayar yang mana masalah itu juga akan mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak.
“Hal ini membolehkan duit raya tersebut digunakan untuk membayar bil tersebut tetapi perlu dibayar dengan segera,” katanya.
Terdapat tiga cara untuk uruskan duit anak dengan betul.
1. Asingkan
Pastikan duit raya setiap anak diasingkan bagi mengelakkan percampuran dan kekeliruan duit raya. Ini adalah bertujuan untuk memastikan setiap anak mendapat jumlah duit raya yang sepatutnya mereka dapat dan tidak bercampur dengan duit yang lain.
Baca juga Boleh guna duit raya anak, tapi jangan sampai memudaratkan mereka
2. Tabung khas
Pastikan setiap anak mempunyai tabungan khas sendiri yang boleh mendorong mereka untuk rajin menabung serta pengurusan duit raya juga mudah untuk disimpan dan tidak berlaku kehilangan duit jika disimpan dengan betul.
3. Simpan dalam bank
Kira dan simpan duit raya anak kita ke dalam bank merupakan langkah yang bijak dalam menyimpan duit anak. Kaedah ini sangat berguna untuk masa hadapan kanak-kanak kerana dapat memberikan pulangan yang baik setiap tahun
Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sesuka hati kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa sudah menggunakan duit anak-anak untuk membeli barang yang tidak penting, maka wajib ke atas ibu bapa untuk mengantikan duit yang telah digunakan.
Semoga ALLAH SWT memberikan kita kefahaman yang baik untuk terus mengikut syariat-NYA dan tidak menggunakan duit anak-anak sesuka hati sebaiknya disimpan untuk kegunaan masa hadapan.
Foto: Pexels & Redaki.com