Browsing Category

Ibadah

Tukang sembelih
Ibadah,

Haram upah daging kepada tukang sembelih dan orang yang melapah

RAMAI yang memilih untuk mendapatkan khidmat tukang sembelih untuk mengorbankan haiwan korban pada hari raya haji nanti berbanding menyembelihnya sendiri.

Walaupun individu yang berkorban disunatkan berbuat demikian, namun barangkali mereka ada sebab tersendiri untuk tidak melakukannya.

Cuma ada satu perkara yang perlu diingat, tukang sembelih tadi tidak boleh diberikan upah berbentuk daging korban!

Bagaimanapun, andai upah diberikan berbentuk wang yang dibayar daripada duit penganjur sendiri, laman web pic.upm.edu.my menjelaskan, ia diharuskan hukumnya.

Baca juga Boleh Wakilkan Orang Lain Untuk Sembelih Haiwan Korban Sendiri, Tetapi Ini Yang Perlu Kita Tahu

Ia berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdurrahman bin Abi Laila bahawa Saidina Ali RA berkata: “Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Dan aku dilarang supaya tidak memberi upah kepada penyembelih daripadanya (haiwan korban). Maka untuk upahnya, kami ambilkan dari wang kami sendiri.” (Hadis Riwayat Muslim)

Melihat dalil berkenaan, laman web pic.edu.my menjelaskan, haram seorang penyembelih mengambil sagu hati daripada haiwan korban berkenaan, tetapi dibolehkan jika ia diambil daripada harta penganjur atau orang yang melakukan korban.

Tukang sembelih

MESKIPUN tukang sembelih dan tukang lapah tidak boleh mengambil sagu hati daripada haiwan korban berkenaan, tetapi mereka dibolehkan jika ia diambil daripada harta penganjur atau orang yang melakukan korban. -Foto: Bernama

Perkara sama turut dinukilkan dalam kitab Ma’alim al-Sunan dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim.

“Pihak masjid atau penganjur juga boleh menetapkan harga korban termasuk kos pengurusan yang munasabah kepada mereka yang menyertai ibadah korban di sesuatu tempat.

“Kos pengurusan itu boleh diperuntukkan sebahagiannya kepada tukang sembelih kerana menggunakan kepakarannya dalam urusan tersebut.

“Begitu juga halnya dengan kos-kos yang perlu ditanggung oleh penyembelih seperti pengangkutan dan masa yang telah diperuntukkan,” katanya.

Bagaimanapun, ada kes yang mana terdapat tukang sembelih turut menerima daging korban daripada haiwan yang disembelihnya. Bagaimana pula penilaiannya dalam kes sebegitu?

Jawapan sebenarnya turut bersandarkan kepada hadis yang dikemukakan tadi.

Laman web people.utm.my menjelaskan, andai tukang sembelih tadi diberikan haiwan korban disebabkan faktor kemiskinannya atau sebagai hadiah kerana dia jiran dan sebagainya, maka ia dibolehkan. Itu yang dijelaskan dalam Dar al-Fikr, Damsyik.

Baca juga Cara Terbaik Agihkan Daging Korban

Hakikatnya, bukan sekadar tukang sembelih, tetapi juga tukang lapah juga tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil daging korban berkenaan.

Tukang sembelih

ANDAI tukang sembelih diberikan haiwan korban disebabkan faktor kemiskinannya atau sebagai hadiah kerana dia jiran dan sebagainya, maka ia dibolehkan untuk menerimanya. -Foto: Bernama

“Ketahuilah bahawa daging atau apa-apa sahaja dari binatang korban hendaklah disedekahkan kepada yang berhak seperti fakir miskin.

“Memberi daging korban kepada penyembelih, pelapah atau petugas sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah termasuk dalam hukum jual beli, iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja yang dilarang,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web people.utm.my.

Dalam hal itu, al-Imam al-Syafie dan tokoh-tokoh dalam Mazhab Syafie bersepakat, tidak boleh sedikit pun sembelihan ketika haji dan umrah serta sembelihan korban dijual.

“Ia sama ada korban nazar ataupun sunat. Hal ini termasuklah daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya.

“Tidak boleh kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih,” tegas laman web berkenaan.

Meskipun demikian, hadis tersebut bukanlah bermaksud kita dilarang terus daripada memberikan upah kepada tukang sembelih dan tukang lapah.

Baca juga Elakkan mencampur daging korban setelah sembelih, ini penjelasannya

“Cuma ia hanya melibatkan bahagian korban sahaja. Andai melibatkan selainnya seperti wang dan sebagainya yang bukan daripada bahagian korban, maka ia dibolehkan,” katanya.

Tukang sembelih

JIKA upah kepada tukang sembelih melibatkan selain daripada bahagian korban berkenaan seperti wang dan sebagainya, maka ia dibolehkan. -Foto: 123rf

Justeru, laman web berkenaan mengingatkan agar petugas korban tidak sesekali mengambil sendiri bahagian daripada sembelihan tadi sebagai habuan untuk mereka.

“Tidak kiralah dari bahagian mana pun termasuk kaki, kepala, ekor dan lain-lain melainkan yang dihadiahkan oleh orang yang berkorban atau diterima agihan kepada penerima lain yang layak,” katanya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Berhutang untuk buat korban
Ibadah,

Berhutang untuk buat korban, adakah Islam setuju?

Berhutang untuk buat korban, adakah Islam setuju?

PERASAN atau tidak, banyak promosi ibadah korban dan akikah secara ansuran yang dijalankan oleh pihak-pihak tertentu.

Barangkali ia sebagai suatu galakan untuk lebih ramai umat Islam melaksanakan ibadah berkenaan. Tambahan pula, apabila dibayar secara beransur-ansur pasti tidak begitu membebankan kita.

Berbanding dengan mengeluarkan segepuk wang, sudah tentu hanya yang benar-benar berduit sahaja mampu berbuat demikian.

Cuma jika ibadah korban dan akikah dibuat secara bayaran sedikit demi sedikit, ada persoalan lain timbul.

Bolehkah seseorang berhutang bagi mengerjakan ibadah korban atau akikah? Bagaimana pula dengan status ibadah yang dilakukan itu?

Baca juga Waspada ‘scammer’ rantaian ibadah korban

Sebelum menjawab persoalan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan terlebih dahulu menghuraikan perihal hukum mengerjakan ibadah korban dan akikah.

Bagi ibadah korban, jelas pejabat mufti berkenaan, hukumnya adalah sunat muakkad dan ia amat digalakkan ke atas mereka yang berkemampuan untuk melaksanakannya.

Berhutang untuk buat korban

TIDAK digalakkan berhutang untuk buat korban. Sebaliknya, ibadah itu amat digalakkan ke atas mereka yang berkemampuan melaksanakannya. -Foto: 123rf

“Maksud berkemampuan di sini ialah seseorang yang mempunyai harta atau wang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan mereka yang di bawah tanggungannya waima makanan, tempat tinggal dan pakaian pada sepanjang hari raya dan Hari Tasyrik,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Irsyad Fatwa Siri ke-77: Hukum Berhutang Bagi Mengerjakan Ibadah Korban.

Berbalik kepada persoalan berkaitan mereka yang tidak berkemampuan melaksanakannya, tetapi tetap mahu mengerjakannya dengan berhutang, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, kelompok berkenaan tidak digalakkan untuk berhutang bagi tujuan melakukan ibadah korban atau akikah.

Ini kerana, katanya, tuntutan itu hanyalah untuk mereka yang mampu melakukannya menggunakan wang sendiri.

“Bahkan, Islam tidak pernah membebankan umatnya untuk melakukan sesuatu di luar kemampuannya dirinya.

Baca juga Tidak Mampu Bantu, Jangan Pula Beri Mudarat Kepada Orang Lain

“Bagaimanapun, andai seseorang yakin bahawa dia mampu membayar liabiliti tersebut dan tidak terbeban dengannya, maka dia diharuskan menggunakan pakej akikah dan korban secara ansuran yang ditawarkan.

“Suatu perkara perlu diketahui, melaksanakan korban dengan cara berhutang tetap sah di sisi syarak kerana berkemampuan bukanlah syarat sah ibadah korban. Sebaliknya, ia merupakan syarat taklif,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Hari Arafah
Ibadah,

Tarikh-tarikh penting puasa Zulhijah 1444H/2023M

Tarikh-tarikh penting puasa Zulhijah 1444H/2023M…

ANTARA keistimewaan bulan Zulhijah adalah dianjurkan untuk berpuasa sunat bermula satu sehingga sembilan Zulhijah.

Tiada kelebihan khusus dari hari pertama hingga lapan Zulhijah. Namun terdapat kelebihan bagi siapa yang berpuasa pada sembilan Zulhijah.

Pada hari tersebut merupakan hari Arafah di mana seluruh umat Islam yang menunaikan haji sedang berkumpul di Padang Arafah dan terdapat waktu mustajab untuk berdoa pada hari tersebut.

Baca Juga Khutbah Arafah 2023 diterjemah ke 20 bahasa dunia

Baca Juga Bila nak puasa Arafah, kalau Aidiladha di Malaysia lewat sehari dari Mekah?

Menurut Riwayat Imam Malik, Rasulullah SAW bersabda “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”.

Di Malaysia, hari Tarwiyah jatuh pada 8 Zulhijah iaitu bersamaan dengan 27 Jun. Manakala hari Arafah jatuh pada 28 Jun 2023.

KESEMUA 31,600 jemaah haji Malaysia akan menyertai kira-kira tiga juta umat Islam seluruh dunia akan bergerak ke Arafah untuk melaksanakan rukun haji itu. Foto: REUTERS/Mohammed Salem

SUNAH PUASA 1-9 ZULHIJAH

1 Zulhijah = Selasa, 20.06.2023
2 Zulhijah = Rabu, 21.06.2023
3 Zulhijah = Khamis, 22.06.2023
4 Zulhijah = Jumaat, 23.06.2023
5 Zulhijah = Sabtu, 24.06.2023
6 Zulhijah = Ahad, 25.06.2023
7 Zulhijah = Isnin, 26.06.2023
8 Zulhijah = Selasa, 27.06.2023
9 Zulhijah = Rabu, 28.06.2023

HARAM PUASA :

Hari Raya Aidiladha : 10 Zulhijah = Khamis, 29/06/2023
Hari Tasyrik : 11 Zulhijah = Jumaat, 30/06/2021
Hari Tasyrik : 12 Zulhijah = Sabtu, 1/07/2023
Hari Tasyrik : 13 Zulhijah = Ahad, 2/07/2023

KEISTIMEWAAN dan fadilat 10 awal Zulhijah. Foto: JAKIM

Niat Puasa Sunat Zulhijah, Tarwiyah dan Arafah

———————————————————————————–

Niat Puasa Sunat Zulhijah (1-7 Zulhijah)

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ ذِيْ الْحِجَّةِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku puasa sunat di bulan Zulhijah kerana ALLAH Ta’ala”

————————————————————————————-

Niat Puasa Sunat Tarwiyah (8 Zulhijah)

نَوَيْتُ صَوْمَ تَرْوِيَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku niat puasa sunat Tarwiyah kerana ALLAH Ta’ala”

————————————————————————————

Niat Puasa Sunat Hari Arafah (9 Zulhijah)

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku niat puasa sunat hari Arafah kerana ALLAH Ta’ala”

————————————————————————————-

Perkongsian mengenai tarikh-tarikh penting bulan Zulhijah tahun ini (2023) dikongsi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Hari Arafah
Ibadah,

Bila nak puasa Arafah, kalau Aidiladha di Malaysia lewat sehari dari Mekah?

UMAT Islam di Malaysia dijangka akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 29 Jun 2023, dan hari Arafah akan jatuh pada 28 Jun.

Manakala kerajaan Arab Saudi pula mengumumkan hari wukuf yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun ini sementara Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu, 28 Jun di sana.

Ini bermakna, kita akan merayakan Aidiladha lewat sehari berbanding jemaah haji di Mekah.

Walaupun telah dimaklumkan akan dua tarikh penting tersebut, namun kadang-kala timbul jua persoalan terutama pada jatuhnya hari Arafah, tarikh manakah yang lebih sesuai untuk berpuasa, adakah perlu mengikut hari di Malaysia atau di Mekah?

Baca Juga Labbaikallah…’bererti menyahut seruan ILAHI, maksimumkan rasa kehambaan kepada-NYA

Baca Juga Imam di Masjidil Haram, makmum ikut dari bilik hotel, sah atau tidak solatnya?

Barkitan hal ini, Pensyarah di Fakulti Pengajian Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kamilin Jamilin telah menjelaskan lebih lanjut menerusi satu hantaran video di laman media sosial.

Ujarnya, tahun ini berlaku lagi raya Aidiladha di mekah sehari lebih awal daripada kita. Jadi hari kesembilan kita iaitu hari Arafah juga akan lewat sehari daripada jemaah hari di Mekah.

MAZHAB Syafie – Rukyah hilal (melihat anak bulan) mestilah tertakluk kepada Matla` yang menunjukkan kepada waktu terbit matahari dan bulan. 

“Mereka dah beraya, dan kita pula baru hendak berpuasa sunat hari Arafah. Sekalipun secara fekahnya kita tahu bahawa hari kesembilan ataupun hari arafah itu adalah mengikut penetapan negara masing-masing.

‘Tapi jauh di sudut hati ini, kita teringin nak hidupkan hari Arafah itu, bersama dengan para tetamu ALLAH SWT yang sedang berwukuf di Arafah. Mungkin kerana besarnya fadilat hari Arafah dan mereka yang sedang berwukuf di Arafah.

“Kita terasa sangat ingin berdoa dan berpuasa ketika mereka sedang bermahsyar di Arafah, merintihlah kepada ALLAH dan berdoalah bersungguh-sungguh.

Turut Disyorkan Khutbah Arafah 2023 diterjemah ke 20 bahasa dunia

“Tapi rahmat ALLAH itu MAHA LUAS, setiap hari pasti akan ada detik mustajabnya doa yang ALLAH sediakan kepada kita, dibuka seluasnya pintu zikir, puasa dan segala amal soleh di awal bulan Zulhijah lagi.

“Walaupun kita raya sehari lewat daripada jemaah haji di Mekah, kita haruslah mengikut penetapan ulil amri kita yang berdasarkan kepada cerapan anak bulan melainkan satu hari nanti semua negara-negara Islam bersepakat dengan teknologi yang ada untuk mengikut penepatan waktu Mekah.

PUASA hari Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan dosa setahun yang kemudian”.

 

“Tidak mengapa walaupun kita rasa tidak sedap hati dengan puasa yang berbeza dengan jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah, boleh sahaja berpuasa pada hari Selasa dan Rabu ataupun pada hari kelapan dan kesembilan.

“Manakala puasa hari kelapan itu pula adalah sangat digalakkan pada awal Zulhijah kerana bermulanya satu Zulhijah lagi, kita sudah digalakkan untuk tingkatkan amalan dan ibadah seperti puasa, zikir, baca al-Quran, sedekah dan sebagainya,” katanya.

Baca Juga “Walimah nak nampak Islamik, panggil ustaz baca doa dan ayat al-Quran sikit-sikit” – Kamilin Jamilin

Di akhir perkongsian, Ustaz Kamilin mengingatkan warga maya agar jangan tinggalkan puasa pada hari Arafah kerana fadilatnya diampunkan dosa setahun yang lalu, dan setahun yang akan datang.

Sabda Nabi SAW “Puasa hari Arafah dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan dosa setahun yang kemudian”. (Hadis Riwayat Muslim)

mencampur daging korban
Ibadah,

Elakkan mencampur daging korban setelah sembelih, ini penjelasannya

Elakkan mencampur daging korban setelah sembelih, ini penjelasannya

PADA Aidiladha nanti, kebanyakan umat Islam akan mengambil kesempatan untuk melaksanakan ibadah korban.

Ibadah agung itu disyariatkan ke atas kita sebagaimana dilakukan oleh Nabi Ibrahim kepada anaknya Nabi Ismail bagi memenui perintah ALLAH SWT.

Umum mengetahui bahawa setelah ibadah korban itu dilakukan, kita dibolehkan makan daging tersebut. Malah, hukumnya adalah sunat bagi kita menjamah sepertiga daripada daging sembelihan sendiri.

Selebihnya, daging korban tersebut diwajibkan untuk diberi makan kepada fakir miskin.

Baca juga Dua jenis takbir ketika Aidiladha

mencampur daging korban

UMAT Islam disyariatkan melaksanakan ibadah korban sebagaimana pernah dilakukan Nabi Ibrahim AS. Foto: Google

ARTIKEL BERKAITAN:

Sabda Nabi SAW, “Sesiapa yang melakukan korban janganlah kamu menyimpan sesuatu pun daripada daging tersebut di rumah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Manakala, ALLAH berfirman dalam surah al-Hajj ayat 36, iaitu:

Makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah KAMI mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”

Selain itu, cendekiawan Islam, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili turut berkata bahawa antara sebab umat Islam diperintahkan memakan daging haiwan sembelihan adalah untuk membezakan dengan masyarakat jahiliyyah yang menghindari daripada memakan haiwan korban mereka.

mencampur daging korban

MELAKSANAKAN ibadah korban juga antara syarat untuk meraih haji mabrur. Foto: 123RF

Baca juga Tulang dan sisa daging korban perlu ditanam? Ini penjelasannya

Cara agihan daging korban

Justeru, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, daging korban tidak boleh sewenang-wenangnya dicampur dan ditimbang semua sekali walaupun jumlah yang dibayar peserta adalah sama, misalnya RM700 bagi satu bahagian.

Hal ini bertujuan untuk mengelak sebarang masalah yang boleh membawa kepada pertelingkahan memandangkan setiap bahagian tersebut adalah dibawah nama yang berlainan.

Namun begitu, perbuatan mencampurkan daging korban dibolehkan sekiranya telah mendapat persetujuan daripada semua pihak untuk melakukannya.

Dari segi pembahagian daging korban pula, Ketua Pembangunan dan Kesedaran Syariah, Bank Rakyat, Mohd Hanafiah Mohd Nawawi berkata kepada Sinar Islam Plus, ia perlu disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin dalam kalangan orang Islam.

MOHD HANAFIAH

Dalam hal itu, katanya, ia perlu dilihat kepada jenis korban yang dilaksanakan terlebih dahulu sama ada korban sunat, biasa ataupun nazar.

“Sekiranya ia merupakan korban nazar, maka wajib mengagihkan semua daging korban tersebut kepada golongan fakir, miskin ataupun disedekahkan kepada orang lain sebagai hadiah.

“Bagi korban sunat pula, peserta korban boleh makan sedikit daging berkenaan. Selebihnya, disedekahkan kepada orang miskin atau dihadiahkan kepada jiran tetangga dan sebagainya,” terangnya.

Namun begitu, dalam situasi pada hari ini, ujar Mohd Hanafiah, paling afdal apabila seseorang yang melakukan korban menyerahkan keseluruhan dan disedekahkan juga kepada penerima-penerima dalam kalangan fakir, miskin dan golongan yang memerlukan.

“Ini kerana menyedekahkan keseluruhan daging korban tersebut merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan menjauhkan kita daripada sikap mementingkan diri sendiri,” jelasnya lagi.

Sumber: Maktabah al-Bakri & Cara Terbaik Agihkan Daging Korban

Foto: 123RF & Google

Elakkan mencampur daging korban setelah sembelih, ini penjelasannya

khatib khutbah
Ibadah,

Wajib diam ketika khatib baca khutbah, tapi untuk 3 perkara ini anda dibolehkan bersuara

Wajib diam ketika khatib baca khutbah, tapi untuk 3 perkara ini anda dibolehkan bersuara

HARI Jumaat digelar penghulu kepada segala hari kerana ada begitu banyak sunnah yang terkandung sepanjang hari tersebut sama ada memperbanyakkan selawat, berzikir dan sebagainya.

Hari istimewa ini juga sangat penting, terutamanya bagi golongan Adam, kerana ia membuka peluang untuk menghapuskan dosa-dosa kecil melalui solat Jumaat yang wajib dihadiri para Muslimin.

Baca juga Ini cara menghapuskan dosa seminggu pada hari Jumaat

khatib khutbah

ARTIKEL BERKAITAN:

Menyentuh tentang solat Jumaat, kita sentiasa diingatkan supaya menjaga adab dan tidak bercakap ketika khutbah berlangsung. Bahkan untuk menegur orang lain dan menyuruhnya diam sekalipun, perbuatan itu dianggap sia-sia dan boleh mengurangkan pahala penuh hari Jumaat.

Sabda Rasulullah SAW: “Jika kamu berkata kepada sahabatmu pada hari Jumaat “diam” dan ketika itu imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya kamu telah lagha (melakukan perkara yang sia-sia).” (Hadis Riwayat Bukhari)

khatib khutbah

SOLAT Jumaat wajib dilaksanakan oleh lelaki Islam pada hari Jumaat. Foto: Pexels

Baca juga Ghibtah – Dua keadaan HASAD yang dibenarkan

Pun begitu, portal tzkrh.com menjelaskan, ada tiga jenis percakapan yang masih dibenarkan ketika khutbah.

Pertama, ialah mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW apabila mendengar nama baginda disebutkan. Bahkan orang yang tidak berselawat saat mendengar nama baginda dikira sebagai kedekut.

Kedua, mengucapkan amin apabila mendengar khatib membacakan doa. Ia dibenarkan dan tidak termasuk hal yang lagha.

Ketiga, mengucapkan Alhamdulillah (segala puji bagi ALLAH) selepas bersin atau mengucapkan Yarhamukallah (semoga ALLAH memberikan rahmat kepadamu) kepada orang lain yang bersin.

ELAKKAN bercakap ketika khatib sedang membacakan khutbah melainkan ada keperluan terdesak. Foto: 123RF

Daripada hal itu, kita mengetahui bahawa tidak semua percakapan itu ditegah semasa khutbah disampaikan. Kita masih boleh mengucapkan selawat apabila mendengar nama baginda disebut, mengucapkan amin ketika khatib berdoa dan mengucapkan Alhamdulillah ketika bersin.

Walau bagaimanapun, jika tidak ada keperluan seperti yang disebutkan itu, maka diam adalah lebih baik berbanding menyibukkan diri dengan zikir, membaca al-Quran atau berdoa dengan kuat semasa khutbah disampaikan.

Sumber: Tzkrh 

Foto: 123RF & Pexels

Pakaian kena darah
Ibadah,

Pakaian terkena darah haiwan korban dikira bernajis?

SUKAR untuk mengelak pakaian terkena darah haiwan korban. Jika tidak banyak, pasti percikannya masih tersisa.

Kadangkala sudah bermacam-macam cara digunakan bagi membersihkan kekotoran kesan darah binatang korban berkenaan. Malangnya, masih ada kesan berwarna kemerah-merahan kelihatan.

Digosok sudah, ditonyoh ‘bagai nak rak’ usah dikata, apatah lagi disental sehabis daya. Namun, ‘kekotoran’ berkenaan sukar benar dihilangkan.

Adakah pakaian tersebut dikira sebagai bernajis dan tidak boleh dibawa untuk solat?

Baca juga Solat tanpa berpakaian dalam, apa statusnya?

Menjelaskan perkara itu, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkata, kesan najis yang sukar dihilangkan adalah perkara yang dimaafkan sekalipun ia daripada jenis najis mughallazah.

DR SYED SHAHRIDZAN

Lantaran itu, katanya, pakaian tersebut tadi boleh dipakai untuk tujuan solat.

Ia sebagaimana yang disebutkan dalam Kitab Muqaddimah Hadramyyiah iaitu: “Warna dan bau (najis) yang kekal yang mana sukar untuk dihilangkan, maka ia tidak memudaratkan.”

Bukan itu sahaja, Dr Syed Shahridzan turut menjelaskan, fakta tentang indikator kesukaran bagi menghilangkan kesan najis waima bau mahupun warna juga ada dinyatakan secara jelas dalam Kitab Busyra al-Karim (Syarah Muqaddimah Hadramiyyah).

Baca juga [VIDEO] Apabila bulu kucing melekat di tempat solat, kita perlu…

Kitab tersebut menyebut: “Piawaian kesan najis yang sukar dihilangkan iaitu (apabila) kesan najis tidak hilang selepas basuhan sebanyak tiga kali berserta gosokan dan tekan pada setiap kali basuhan, juga berserta (bahan basuhan) seperti ‘usynan’ (sejenis tumbuhan yang dijadikan bahan basuhan) atau sabun yang mana kuasa menghilangkannya bergantung kepada kenyataan orang yang pakar.”

Melihat kepada pernyataan tersebut, agamawan itu menjelaskan, sabun basuh pada zaman ini berkeupayaan untuk menghilangkan kesan-kesan najis menurut kajian pakar.

“Andai kata tempat kesan najis itu sudah dibasuh sebanyak tiga kali degan sabun dan ia masih ada lagi baki kesan tersebut, maka ia dimaafkan.

“Malah, pakaian itu tidak dikira sebagai bernajis. Ini selaras dengan falsafah Islam sebagai agama yang mudah untuk diamalkan oleh umatnya,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

ibadah korban
Ibadah,

Warna haiwan korban yang lebih adfal

PADA asasnya, korban hanya sah dengan unta, lembu, kambing dan biri-biri sahaja.

Hal ini berdasarkan firman ALLAH SWT “Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama ALLAH sebagai bersyukur akan pengurniaan-NYA kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.” (Surah al-Haj ayat 34)

Untuk menjadikan korban lebih afdal, kadang-kala timbul jua persoalan mengenai warna haiwan ternakan apakah yang sesuai dijadikan sebagai korban.

Agamawan terkemuka, Dato Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan mana-mana haiwan ternakan daripada unta, lembu dan kembing berserta jenis-jenisnya seperti kerbau, kibas, ma‘iz dan lain-lain adalah sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban.

Tidak kira warna apa pun dengan syarat ia memenuhi syarat sebagai haiwan korban dari segi umurnya dan juga tidak ada kecacatan dan aib yang menyebabkan kurang dagingnya.

Para ulama ada membahaskan berkenaan keutamaan haiwan korban dari sudut warna.

Pengorbanan

SESUNGGUHNYA, penilaian ALLAH SWT bukan terletak pada korban kita, tetapi ketakwaan dan keikhlasan seorang hamba kepada-NYA. -Foto: 123rf

1.Imam al-Nawawi menyebutkan, warna haiwan korban yang paling baik (afdhal) ialah warna putih, kemudian warna kekuningan, kemudian warna al-ghabra’ (warna seperti debu atau tanah) iaitu tidak menggambarkan keputihannya, kemudian warna balqa’ iaitu sebahagiannya berwarna putih dan sebahagiannya lagi berwarna hitam, kemudian warna hitam.

2.Ibn Qudamah turut menyebutkan, sebaik-baik haiwan korban daripada jenis kambing ialah yang berwarna putih.

ARTIKEL BERKAITAN 

3.’Begitu juga dalam Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah ada menyatakan pendapat Dr. Nidhal Sultan bahawa sebaik-baik haiwan korban dari sudut warna ialah warna putih, kemudian warna kekuningan, kemudian warna ‘afra’ (putih yang tidak bersih), kemudian warna kemerahan, kemudian warna hitam. Manakala dari sudut saiznya pula adalah yang paling gemuk.

Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kibas yang berwarna putih dan terbaik, yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta Baginda meletakkan kakinya di tengkuk kibasy tersebut.” (Riwayat al-Bukhari Muslim)

MAZHAB Syafie yang mengutamakan haiwan putih untuk dijadikan korban. Menurut sebahagian ulama lain, ia adalah yang banyak warna merahnya. 

4.Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Perkataan amlah (أَمْلَح) bermaksud yang berwarna hitam dan putih, tetapi warna putihnya lebih banyak, dan kadang-kala disebut aghbar.

5.Demikian menurut al-Asma’i. Al-Khattabi pula menambah: “Ia adalah yang berwarna putih dan terdapat warna hitam di sela-sela bulunya.”

6.Ada pula yang berpendapat bahawa ia adalah yang berwarna putih bersih, sepertimana pendapat Ibn al-A‘rabi.

Baca Juga Boleh ke buat kenduri kahwin dan jamu tetamu makan daging korban?  

Pendapat ini dijadikan dalil ulama mazhab Syafie yang mengutamakan haiwan putih untuk dijadikan korban. Menurut sebahagian ulama lain, ia adalah yang banyak warna merahnya.

Sekalipun para ulama di atas membahaskan berkenaan keutamaan haiwan korban dari segi warna dan menyatakan warna putih adalah warna yang paling baik tetapi mereka tidak menghukumkan sebagai makruh bagi warna-warna lain pada haiwan korban. Cumanya di sisi mereka warna putih adalah lebih baik (afdal).

Daging korban siap dimasak

ANTARA syarat haiwan untuk berkorban adalah perlu diutamakan dari segi umurnya dan juga tidak ada kecacatan dan aib yang menyebabkan kurang dagingnya.

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa sebaik-baik warna haiwan korban adalah warna putih. Ini tidaklah bermaksud haiwan korban selain daripada warna putih dihukumkan sebagai makruh. Hal ini kerana ia hanyalah dari sudut keutamaan atau afdhaliyyah sahaja.

Turut Disyorkan Kekeliruan kaum ibu, daging korban tidak boleh disimpan melebihi 3 hari? Ini penerangan agamawan

Justeru, mana-mana haiwan ternakan daripada unta, lembu dan kembing berserta jenis-jenisnya seperti kerbau, kibas, ma‘iz dan lain-lain adalah sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban, tidak kira haiwan korban itu warna apa pun sekalipun bukan warna putih ataupun warna-warna yang disebutkan oleh para ulama mengikut turutan keutamaan.

Akan tetapi dengan syarat ia memenuhi syarat sebagai haiwan korban dari segi umurnya dan juga tidak ada kecacatan dan aib yang menyebabkan kurang dagingnya.

SUMBER : Maktabah al-Bakri

Niat buat korban
Ibadah,

Niat sahaja sudah beroleh pahala, apatah lagi jika buat korban

NIAT buat korban sahaja sudah beroleh pahala, inikan pula andai kita berjaya merealisasikannya pada Hari Raya Aidiladha nanti.

Pernyataan itu mungkin mampu mengubati hati segelintir orang yang begitu mengimpikan untuk melakukan ibadah berkenaan, namun tidak mempunyai kemampuan berbuat demikian.

Demikian jelas pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan ketika ditemu bual Sinar Islam Plus baru-baru ini.

“Bila kita sudah berniat, walaupun tidak mampu dilaksanakan kerana ada halangan seperti kekangan kewangan atau kesukaran, kita tetap akan meraih pahala,” ungkapnya.

Ia sebagaimana dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ALLAH telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian DIA menjelaskannya. Maka barang siapa berniat mengerjakan kebaikan, tetapi tidak dikerjakannya, ALLAH mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna…” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Belum mampu buat korban tetapi inginkan pahala, apa yang anda boleh lakukan?

Pun demikian, pendakwah itu mengingatkan agar kita jangan sekadar berniat, tetapi tiada langsung kesungguhan untuk merealisasikannya.

IMAM MUDA HASSAN

“Andai kata, seseorang berniat ingin menjalankan ibadah korban, kumpullah wang dari sekarang sedikit demi sedikit. Mungkin dengan menyisihkan pendapatan kita waima RM1 sehari, siapa tahu kita mampu melakukannya walaupun satu bahagian pada tahun akan datang.

“Kalau tidak mampu buat korban di dalam negara, tiada salahnya untuk melakukannya di luar negara walaupun lebih afdal dilakukan di sini. Ukurannya bukan terletak pada nilainya, tetapi keikhlasan kita berbuat demikian,” ungkapnya.

Tuturnya lagi, mereka yang berniat melakukan kebaikan, ALLAH akan memudahkan ‘jalan’ tersebut.

Walaupun ibadah korban tersebut hanyalah sunat yang dituntut, tetapi pesan Imam Muda Hassan, janganlah kita memandang remeh tentangnya.

“Barangkali ada yang kata, mereka tiada duit. Sedangkan kita makan dan minum, bayar itu dan ini, berhibur sana sini. Maknanya ada wang.

“Malangnya, apabila tiba bab korban, ia dirasakan tidak begitu penting. Padahal, itulah penunjuk utama sebagai tanda syukur kita kepada ALLAH SWT,” katanya.

Wang bukan ukuran

Sesungguhnya, walaupun mempunyai wang, ia bukanlah ukuran untuk seseorang berkorban. Semuanya terletak kepada keimanan, ketulusan hati dan kesungguhan masing-masing.

Sebagaimana yang ditonjolkan oleh Supiani (bukan nama sebenar), seorang ketua pramusaji di sebuah syarikat katering di Kuala Lumpur.

Pendapatannya dibayar secara mingguan. Namun, setiap kali gaji, wanita asal Bogor, Indonesia berusia lewat 40-an itu tidak pernah lupa menyisihkan sedikit wang. Niatnya mahu melakukan ibadah korban sama seperti tahun-tahun lalu. Tiba masanya, beliau akan mengeluarkan tabungannya itu untuk menyertai ibadah korban lagi pada tahun ini.

Baca juga ‘Buat korban bukan sebab kita kaya, tapi…’

“Sayang kalau tak buat korban, rugi rasanya. Walaupun tak mampu nak bagi segepuk wang, tapi bila dikumpul akhirnya cukup duit untuk sembelih satu bahagian lembu,” bicaranya riang.

Niat buat korban

WANG bukan ukuran untuk seseorang melakukan ibadah korban. Semuanya terletak kepada niat buat korban, kesungguhan dan ketulusan hati kita dalam melakukannya. -Foto: Canva & 123rf

Kesungguhannya itu begitu merentap sanubari penulis. Ada benarnya kata-kata Supiani. Cerita beliau mengingatkan penulis dan Imam Muda Hassan kepada kisah sepasang suami isteri yang pernah tular sembilan tahun lalu apabila membawa dua ekor kambing korban ke masjid di Indonesia.

Ceritanya begini, Maman dan Yati bekerja sebagai pengutip barang-barang terbuang. Itulah sumber pendapatan mereka. Berkat menabung selama tiga tahun, akhirnya pasangan itu berjaya membeli dua ekor kambing korban.

Ketika menyerahkan binatang korban kepada penjaga Masjid Agung Al-Ittihad, Tebet Barat, Jakarta Selatan, mereka begitu terharu dan tidak sampai hati untuk menerimanya. Ini kerana, mereka berpandangan keluarga itu tidak dikira sebagai ‘masuk hitungan wajib’ untuk berkorban.

Dua cerita berbeza, tetapi ia benar-benar menjentik emosi kita. Mereka tulus menyempurnakan ibadah korban demi memanifestasikan rasa syukur kepada Sang Pencipta.

Barangkali ada yang pernah berazam untuk menunaikan ibadah korban, tetapi masih belum ada rezeki berbuat demikian.

Apakah yang boleh dilakukan oleh golongan yang kurang berkemampuan untuk berkorban? Benarkah pengorbanan hanya melibatkan haiwan sembelihan sahaja?

Taqarrub kepada ALLAH, itulah pengorbanan

Ketika Sinar Islam Plus melontarkan pertanyaan itu kepada Imam Muda Hassan, beliau memberi ulasan panjang lebar tentang maksud korban.

Jelas beliau, perkataan korban berasal dari kalimah ‘qaraba’ dalam bahasa Arab yang bermaksud dekat atau hampir.

Dari situ, dapat difahami bahawa ibadah korban saban tahun pada setiap 10 hingga 14 Zulhijah itu tidak lain tidak bukan adalah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dengan mengerjakan perintah-NYA.

Baca juga Ibadah Korban Kifarat Dosa Kepada Pelakunya, Ia Amalan Yang Dicintai ALLAH Pada Aidiladha

“Sebab itulah korban sering kali dikaitkan dengan ibadah penyembelihan seperti lembu, kambing, kerbau dan unta.

Niat buat korban

NIAT buat korban bukan sebab kita kaya dan sebagainya, tetapi ia bermatlamatkan untuk mendapatkan petunjuk daripada ALLAH dan mendekatkan diri kepada-NYA yang tidak pernah putus dalam memberikan rezeki kepada hamba-NYA. -Foto: 123rf

“Dalam al-Quran juga, adakalanya ALLAH menyebut ibadah sembelihan itu sebagai al-hadyu (menyembelih haiwan) daripada kalimah ‘hada’ (petunjuk).

“Mudah kata, kita melakukan ibadah sembelihan bermatlamat mendapatkan petunjuk daripada ALLAH SWT. Itu dalam konteks bulan Zulhijah,” katanya.

Begitupun, penceramah itu menambah, perbuatan berkorban tidak hanya terhad kepada Hari Raya Aidiladha, tetapi juga pada waktu-waktu lain.

Masakan tidak, katanya, pengorbanan begitu luas maknanya.

Ketahuilah bahawa apa sahaja yang membawa kita bertaqarrub kepada ALLAH dan mencari petunjuk-NYA sebenarnya merupakan satu bentuk pengorbanan, terangnya.

“Misalnya, seorang suami berkorban membanting kudratnya demi mencari rezeki buat keluarga. Ini kerana ia memang menjadi tanggungjawab suami untuk menafkahi isteri dan anak-anak. Semuanya demi ketaatan kepada perintah ALLAH.

“Begitu juga halnya apabila kita menuntut ilmu sehingga perlu bermujahadah dan bermusafir ke sana sini mencari tok guru dengan tujuan mahu mengenal Sang Pencipta,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, Imam Muda Hassan menjelaskan, menunaikan solat lengkap dengan 13 rukun sembahyang juga merupakan satu bentuk pengorbanan demi melunaskan hak seorang hamba kepada Yang MAHA ESA.

“Jelaslah betapa meluasnya maksud sebuah pengorbanan itu. Mudah kata, kita melalui semua itu dalam kehidupan seharian di muka bumi ini,” ungkapnya.

Niat buat korban

PENGORBANAN bukan setakat penyembelihan sahaja, tetapi apa sahaja perbuatan yang mendekatkan diri kepada ALLAH SWT merupakan maksud istilah berkenaan. Ia termasuklah seorang suami membanting tulang demi mencari rezeki buat keluarganya demi melunaskan tanggungjawab dan melakukan ketaatan kepada perintah Yang MAHA ESA. -Foto: 123rf

Bantu proses sembelihan

Perbualan kami semakin rancak apabila persoalan tentang ayam dijadikan sebagai haiwan korban andai seseorang tidak berkemampuan menjalankan ibadah penyembelihan.

Baca juga Kaedah Yang Betul Jika Ingin Lakukan Ibadah Korban Untuk Orang Yang Sudah Meninggal

Meskipun ia tidak termasuk dalam kategori ibadah korban yang disyariatkan, Imam Muda Hassan berpandangan, usaha mereka yang melakukannya semata-mata untuk mendekatkan diri kepada ALLAH sememangnya terpuji.

“Ya, memang ada pandangan minoriti yang menyatakan hal ini, tetapi kita tak praktikkan,” katanya.

Bagaimanapun, pendakwah itu menyarankan agar individu yang tidak mampu menjalankan ibadah korban tadi agar sama-sama bergotong-royong membantu ketika proses sembelihan.

“Insya-ALLAH dapat syer juga asalkan datang dengan niat untuk sama-sama mengagihkan daging korban tadi kepada golongan sepatutnya. Insya-ALLAH pahala (berkorban) itu kita dapat juga,” katanya menoktahkan bicara.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Niat buat korban
Ibadah,

‘Buat korban bukan sebab kita kaya, tapi…’

‘Buat korban bukan sebab kita kaya, tapi…’

“KAYA betul orang tu, tiap-tiap tahun buat korban. Bestnya kalau banyak duit.”

Frasa itu sering kali kedengaran diungkapkan setiap kali tibanya raya haji.

Hari tersebut begitu istimewa kerana ramai yang berlumba-lumba untuk menumbangkan lembu atau haiwan ternakan disyariatkan bagi melaksanakan ibadah korban.

Kepada mereka yang menganggap bahawa korban hanya untuk orang kaya, segera buang jauh-jauh persepsi sebegitu.

Ketua Pusat Pengajian (Pendidikan & Pengajian Islam), Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Prof Madya Dr Mohd Nor Mamat mengingatkan, ibadah korban adalah sunnah yang disunatkan oleh Rasulullah SAW kepada umat Islam.

DR MOHD NOR

Baca juga Ibadah Korban Kifarat Dosa Kepada Pelakunya, Ia Amalan Yang Dicintai ALLAH Pada Aidiladha

Bagaimanapun, ia merupakan antara ibadah yang diwajibkan ke atas diri Baginda SAW.

Ia sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis daripada Ibn Abbas bahawa beliau mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: “Ada tiga perkara yang hukumnya wajib ke atasku dan sunat bagi kamu: sembahyang witir, ibadah korban dan sembahyang duha.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Ahli akademik itu menjelaskan, sememangnya umat Islam digalakkan melaksanakan ibadah korban saban tahun bukan semata-mata kerana kita kaya.

Baca juga Buat korban tiap tahun…wajib ke bagi yang mampu? 

“Sebaliknya, tanpa kita sedar sememangnya terlalu banyak dan tidak terhitung kurniaan dan pelbagai nikmat diberikan ALLAH SWT kepada kita dalam pelbagai bentuk.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk menzahirkan kesyukuran dengan cara menyembelih binatang sebagai korban dan berkongsi makan sebagai tanda bersyukur,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Buat korban bukan sebab kaya

BERUSAHALAH untuk melakukan ibadah korban walaupun sekali seumur hidup. -Foto: Bernama

Seandainya seumur hidup kita belum pernah langsung berkorban, Dr Mohd Nor menyarankan agar kita berusaha untuk melakukannya.

“Jika mampu berkorban setiap tahun, lakukanlah kerana ia sangat dituntut dalam Islam.

“Ketahuilah, mereka yang bersungguh-sungguh untuk melakukan ibadah korban adalah satu usaha yang amat disukai ALLAH dan pastinya korban itu menjadi pembuka rezeki yang lebih luas dan diberkati,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.