JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penceramah Ustaz Azhar Idrus (UAI) tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama Islam di Selangor, kata Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Katanya ia berdasarkan hasil semakan pihaknya selain mengambil maklum berkenaan pembatalan kuliah maghrib UAI yang dijadualkan berlangsung pada Ahad di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.
“Kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atau JAIS tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di Selangor. Semua individu yang mengajar berkaitan agama Islam di Selangor perlu mematuhi undang-undang dan peraturan.
“Pihak masjid atau surau juga tidak boleh menjemput individu yang tidak memiliki tauliah mengajar yang telah diwartakan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 Pindaan 2016,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Kuliah Maghrib Perdana UAI yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, terpaksa dibatalkan atas kuasa JAIS.
Sementara itu, Azhar di dalam satu hantaran di facebook rasminya mencatatkan permohonan maaf kepada rakyat Selangor di atas insiden tersebut.
“Mohon maaf kepada rakyat Selangor kerana tidak dapat menyampaikan kuliah di negeri anda. Oleh itu, kuliah maghrib pada 26 Februari 2023 ditukarkan ke Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Mohon sebaran seluasnya,” tulisnya.
BACA JUGA Suka tengok gusti, Ustaz Azhar Idrus jelaskan hukum melihat aurat ahli gusti
Garis Panduan / Kewajipan Pemegang Tauliah Negeri Selangor
Sebagaimana negeri-negeri lain, Selangor juga sama. Justeru, mana-mana penceramah atau pendakwah yang ingin menyebarkan Islam di negeri Selangor diwajibkan memiliki tauliah JAIS dan mematuhi garis panduan seperti yang tercatat di laman web e-tauliah JAIS:
1. Memberi ceramah umum mengenai apa-apa aspek Agama Islam atau mengajar Agama Islam berdasarkan al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ dan Qias dan tidak membawa fahaman / ajaran salah.
2. Berakhlak mulia dan amanah.
3. Menjalankan daya usaha untuk mengekalkan, memperbaiki dan mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan masyarakat orang Islam dan menggalakkan orang Islam meninggikan taraf hidup dan ekonomi serta menambahkan amalan dan taqwa mereka kepada ALLAH SWT.
4. Tidak memfitnah saudara Islam yang lain.
BACA JUGA Sentuh isteri tidak batal wuduk, digelar puak wahabi? Ustaz Azhar Idrus beri penjelasan…
5. Mematuhi undang-undang Negara atau apa-apa arahan, larangan atau perintah yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jawatankuasa dari semasa ke semasa.
6. Mendapat sokongan berceramah dari Ketua Jabatan / majikan masing-masing; dan
7. Tidak boleh menyentuh mana-mana parti politik.
Sesungguhnya ulama dan ilmuan Islam memang ramai. Namun ulama yang faqih, alim dan pada masa yang sama amat disenangi semua pihak tanpa mengira usia atau anutan politik amat kurang. Ustaz Azhar tidak terkecuali.
Dirinya amat disenangi keranan penyampaiannya mudah difahami meskipun menggunakan loghat Terengganu yang kadangkala sedikit pekat. Tauliah pula adalah sekeping sijil yang boleh dikeluarkan setelah pihak berwajib meneliti dan berpuas hati dengan dokumen iringan serta wibawa seseorang individu yang ingin ditauliahkan.
Usahakanlah sesuatu agar tauliah itu dapat disegerakan. Alangkah ruginya andai sosok sehebat Ustaz Azhar dinafikan peluang untuk terus berdakwah menyebar ilmu Islam kepada khalayak.