SENTUH isteri tidak batal wuduk, digelar puak wahabi? Ustaz Azhar Idrus beri penjelasan…
Pelbagai spekulasi yang timbul terutama apabila melibatkan hukum hakam dalam Islam. Sehinggakan orang Islam sendiri sanggup bermusuhan dan membenci antara mereka hanya kerana berbeza pandangan.
Seperti yang tertera, satu persoalan telah ditanyakan kepada pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus apabila ada sesetengah masyarakat menghukum orang tersebut membawa fahaman wahabi hanya kerana salah faham mengenai isu yang melibatkan suami isteri dan wuduk.
Benarkah seperti yang disangkal oleh sesetengah pihak yang mengatakan menyentuh isteri tidak batal wuduk itu adalah pengikut daripada kalangan wahabi?
Menjawab persoalan tersebut, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan ketahuilah bukan masalah wahabi akan tetapi masalah khilafiyah, dalam masalah sentuh isteri batal atau tidak wuduk, tidak berlaku ijmak ulama, yang batal hanya mazhab syafie.
“Yang dikatakan dengan sengaja, dengan nafsu, dengan syahwat adalah mazhab Hanbali, mazhab Hanafi dan mazhab Maliki. Jadi benda ini tidak Ijmak dan berlaku perselisihan.
“Apabila berlaku khilaf, maka kita nak ikut mana-mana pandangan dipersilakan. Mereka Imam Mujtahid. Imam Syafie, Imam Mujtahid, sesiapa yang nak ikut Imam Syafie yang mengatakan batal maka ikutlah, seperti negara Pakistan, India dan Bangladesh mereka mengikuti mazhab Imam Hanafi.
“Apabila ada asatizah yang mengatakan tidak batal apabila seorang suami menyentuh isterinya ketika ada wuduk, maka jangan menghukum dia sebagai seorang wahabi, kerana mazhab yang tiga lagi hukumnya tidak batal”. Ungkapnya.
Ustaz Azhar Idrus mengatakan lagi, di dalam mazhab Syafie hukumnya adalah batal, perbahasannya mengikut nas dalam al-Quran “…atau kamu sentuh perempuan…” (Surah al-Maidah ayat 6) dengan tidak merujuk hadis, sedangkan tiga lagi mazhab yang membahaskan tidak batal wuduk, mereka menggunakan hadis.
Baca juga 10 wasiat Imam Syafie sebagai pedoman Muslimin
“Hadis di mana, ketika Nabi sedang solat, lalu Aisyah RA meraba-raba kaki Baginda dan baginda tidak berhenti daripada solat. Maka ulama-ulama Syafie menjawab, kemungkinan dua perkara, diintima’kan kaki ini berlapik dan berbalik kepada nas yang asal “…atau kamu sentuh perempuan…”
“Tidak usah dipertikai kerana ini merupakan pandangan masing-masing kerana beliau merupakan Imam Syafie, bukan syafie orang yang biasa-biasa. Jika dikumpulkan sekarang seluruh ulama dunia dan satukan segala ilmu di dada, maka ia masih tidak mencukupi berbanding ilmu yang ada pada Imam Syafie.
“Kata Imam Ahmad, siapa yang mengaku dia lebih pandai daripada Imam Syafie, dia telah menjadi tidak waras. Namun pada hari ini, ramai yang mengaku lebih hebat ilmunya berbanding Imam Syafie, Imam Nawawi dan itulah ilmu yang digelar ilmu yang mengheretnya ke dalam api neraka ALLAH SWT.
“Kerana sifat takkabur yang dimiliki, sebelum mati lagi orang sebegini sudah dipijak di bawah kaki, berbeza dengan Imam-Imam empat mazhab ini, walaupun sudah lama meninggalkan kita, namun namanya masih menjadi sebutan dan ilmunya masih berlegar seluruh dunia.
Baca juga Suami boleh tidur dengan dua isteri dalam satu bilik? Berikut penjelasannya
“Oleh itu, sebagai manusia janganlah kita takabbur, hanya mendapat hina di mata ALLAH dan hina di mata makhluk. Janganlah bergaduh pada masalah khilafiyah, sesiapa yang menggunakan batal maka batal hukumnya” katanya menerusi laman Facebook.
Pendapat muktamad Mufti Wilayah
Memetik perkongsian di laman artikel Al-Kafi #1118 Adakah Batal Wuduk Sekiranya Suami Bersentuhan Dengan Isteri, Mufti Wilayah menjelaskan pendapat muktamad di dalam mazhab Syafie menyatakan batal wuduk isteri dan suami sekiranya bersentuhan sama ada bernafsu ataupun tidak. Ini kerana suami atau isteri itu merupakan ajnabi diantara keduanya.
Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitab beliau menyatakan “Sesungguhnya menyentuh kulit lelaki dan perempuan yang ajnabi adalah perkara yang membatalkan wuduk sama ada dengan bersyahwat atau tidak. Dan tidak membatalkan wuduk sekiranya terdapat halangan (berlapik) walaupun nipis”.
Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitab beliau menyatakan: “Dimaksudkan dengan perempuan ajnabi ini adalah perempuan yang boleh dikahwini. Dan Mahram ini adalah perempuan yang haram untuk dikahwini. Tidak membatalkan wuduk jika menyentuh kanak-kanak perempuan (sekiranya tidak mendatangkan syahwat) serta menyentuh rambut, kuku atau gigi. Batal wuduk sekiranya menyentuh orang tua walaupun tidak bernafsu.”
Kesimpulannya, suami dan isteri bersentuhan kulit akan membatalkan wuduk kedua-duanya. Tidak batal wuduk sekiranya bersentuhan dengan berlapik. Ini merupakan pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafie dan ia diamalkan di dalam negara kita.