Browsing Tag

ulil amri

Tunai umrah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Terlalu ghairah beribadah ketika haji hingga abaikan peraturan, ini pandangan Islam

Terlalu ghairah beribadah ketika haji hingga abaikan peraturan, ini pandangan Islam

KETIKA ini, jemaah haji yang menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci berada pada kemuncak ibadah berkenaan.

Sepanjang empat hari Tasyrik iaitu bermula pada Hari Raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijah dan 11, 12 serta 13 Zulhijah, umat Islam yang mengerjakan haji menyempurnakan amalan-amalan seperti melontar jamrah, bertahalul, tawaf dan sai.

Bagaimanapun, ada cerita kurang enak apabila terdapat jemaah yang terlalu ghairah beribadah ketika haji hingga mengabaikan aspek lain. Tidak salah berbuat demikian.

Namun, apa yang menjadi isunya adalah apabila ada dalam kalangan mereka yang melanggar peraturan oleh pemerintah pada musim haji.

Ia agak menyedihkan kerana Tanah Suci Makkah dan Madinah merupakan tempat idaman setiap umat Islam untuk beribadah di sana. Malangnya, ada yang mencemarinya dengan melanggar peraturan ditetapkan gara-gara kurangnya adab dalam beribadah dan salah faham memahami ilmu agama.

Dalam laporan jurnal diterbitkan oleh Malaysian Research & Education Foundation (MyREF), kebanyakan jemaah terbabit hanya memfokuskan kepada syarat sah dan wajib haji, tetapi mengabaikan adab semasa melaksanakan ibadah.

Ia disebabkan tiada dam haji dikenakan bagi mereka yang melanggar peraturan dan etika yang ditetapkan pemerintah.

Ghairah beribadah ketika haji

ADA segelintir jemaah yang terlalu ghairah beribadah ketika haji hingga sanggup berhelah semata-mata mahu meraih imbalan yang banyak. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

“Sebagai contoh, keghairahan dalam beribadah menyebabkan sebahagian jemaah haji sanggup berhelah untuk memasuki kawasan mataf (dataran Kaabah) bagi melaksanakan tawaf di Masjidil Haram atau ketika memasuki kawasan Raudhah di Masjid Nabawi.

“Perkara ini menjadi persoalan tentang sejauh mana Islam membenarkan seseorang berhelah dan sejauh mana pula hal seseorang Muslim untuk mengerjakan Ibadah,” kata laporan berkenaan.

Dalam laporan penyelidikan bertajuk Fiqh Haji: Kewajipan Mentaati Ulil Amri dan Larangan Mengambil Hak Orang Lain Semasa Pelaksanaan Haji, MyREF mengenal pasti empat isu berkaitan haji yang sering dibangkitkan dan dibincangkan oleh para jemaah.

Penyelidikan itu dijalankan oleh anggota MyREF yang berwibawa iaitu Khadijah Ismail, Zaid Husaini, Mastura Md Salleh, Faiz Rahim dan Nurul Huda Abdullah.

Berikut perinciannya:

i. Larangan melaksanakan tawaf di mataf (dataran Kaabah) bagi mereka yang tidak berihram.

Kerajaan Arab Saudi melarang mereka yang bukan dalam ihram untuk bertawaf di mataf di Masjidil Haram pada masa-masa tertentu.

Namun, ia menjadi pertikaian para jemaah yang berpegang pada hadis menceritakan tentang kelebihan Masjid al-Haram sebagai motivasi untuk memasukinya dan bertawaf dekat dengan Kaabah.

Umpamanya, Hadis Riwayat Imam Ahmad yang memerihalkan kelebihan solat di Masjid Nabawi lebih baik daripada 1,000 solat di tempat lain melainkan Masjidil Haram yang mana ia lebih baik daripada 100,000 solat di tempat lain.

Ghairah beribadah ketika haji

SOLAT di Masjid Nabawi, Madinah lebih baik daripada 1,000 solat di tempat lain.

Baca juga Jenis-jenis masjid yang perlu diketahui

Disebabkan itu, ada jemaah yang berhelah dengan memakai pakaian ihram walaupun bukan dalam keadaan sedemikian gara-gara ingin mendapatkan ganjaran tersebut.

Ketahuilah bahawa para jemaah perlu memahami bahawa keperluan mentaati dan menghormati keputusan pemerintah yang didasari maslahah dalam kes ini adalah lebih utama.

Ini bagi menjaga hak para jemaah yang lain berdasarkan petunjuk sunnah Nabi Muhammad SAW yang melarang menyakiti Muslim lain semasa bersesak mencium hajarulaswad.

Baca juga Hajar Aswad tidak kelihatan Hitam dari Dekat

Perkara itu boleh dilihat dalam satu riwayat yang mana Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada Saidina Umar RA untuk tidak bersesak semasa hendak mendekati hajarulaswad.

Ini kerana beliau merupakan seorang individu yang kuat dan boleh menyakiti serta mencederakan orang lain.

Jika diteliti, situasi itu mempunyai persamaan illah dalam konteks pemerintah melarang mereka yang tidak berihram untuk tawaf kerana maslahah untuk mengelak kemudaratan kepada golongan lemah seperti wanita, orang tua dan mereka yang kurang berkemampuan seperti cacat.

ii. Syarat untuk memasuki Raudhah.

Sebelum ini, jemaah perlu mendaftar melalui aplikasi Nusuk untuk masuk ke Raudhah. Ia bertujuan untuk mengelak kesesakan dan mengawal jumlah jemaah yang memasuki kawasan berkenaan bagi menziarahi Nabi Muhammad SAW.

Baca juga Enam tiang, enam kisah di Raudhah

Pada tahun ini pula, penggunaan aplikasi tersebut sudah dimansuhkan dan diganti dengan permit dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada pengelola jemaah seperti Tabung Haji atau syarikat pengendali berdaftar.

Benar, ramai yang mahu berpusu-pusu memasukinya kerana dalam sebuah hadis riwayat Abdullah bin Zaid al-Mazini bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tempat yang terletak di antara rumahku dan mimbarku adalah salah satu di atas taman-taman syurga.”

Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa ramai berlumba-lumba menempatkan diri di dalamnya kerana memahami betapa besarnya pahala berada di Raudhah.

Ghairah beribadah ketika haji

RAMAI yang berlumba-lumba ke Raudah ketika menunaikan ibadah di Tanah Suci. -Gambar hiasan

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya ALLAH melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya ALLAH meninggalkan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat dan (ingatlah), ALLAH MAHA MENDALAM PENGETAHUANNYA tentang apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Melihat dalil berkenaan, mengertilah bahawa arahan pemerintah berbuat demikian (permit masuk ke Raudhah) ada asas dan mempunyai maslahatnya.

Ia bagi memberikan peluang untuk jemaah lain menziarahi Nabi Muhammad SAW dan peraturan itu perlu dipatuhi semua orang kerana pahala melapangkan tempat ini juga menjadi suatu tuntutan daripada ALLAH SWT.

iii. Penutupan kawasan tertentu dalam Masjidil Haram sebelum masuk waktu solat.

Terdapat jemaah yang menggunakan dalil tentang mengutamakan orang lain dalam perkara ibadah adalah makruh. Ia akhirnya membawa pertengkaran kepada pihak berkuasa kerana keinginan yang membuak-buak untuk masuk ke dalam Masjidil Haram.

Baca juga Imam di Masjidil Haram, makmum ikut dari bilik hotel, sah atau tidak solatnya?

Namun, perlu difahami dengan baik maksud dalil berkenaan. Para ulama fiqh menyebut bahawa perbuatan mengutamakan orang lain (ithar) yang terpuji adalah berkaitan dengan hal keduniaan seperti harta benda, makanan, minuman dan lain-lain. Begitupun, ithar dalam perkara ibadah adalah makruh dan bukannya sunat.

Bagaimanapun, terdapat beberapa hadis lain yang tidak boleh diabaikan dan perlu diperhatikan dengan baik.

Antaranya Nabi Muhammad SAW bersabda: “Siapa yang membebaskan seseorang daripada kesusahan dunia, maka ALLAH akan melepaskannya daripada kesusahan hari kiamat. Siapa yang mudahkan orang yang dalam kesusahan, maka ALLAH akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam, maka ALLAH akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat…” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis berkenaan mengingatkan agar orang beriman sentiasa memudahkan urusan orang lain, selain tidak menyebarkan aib dan saling membantu saudara seagamanya.

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW memberi amaran bahawa orang yang menyusahkan orang lain, maka ALLAH akan menyusahkan dirinya kelak.

Berbalik kepada maslahah yang mana pemerintah menutup kawasan tertentu dalam Masjidil Haram sebelum waktu solat, ia bertujuan mengelakkan mudarat akibat kesesakan melampau.

Mengertilah bahawa itu lebih utama daripada meraih ganjaran bagi diri sendiri dalam melaksanakan ibadah tersebut.

iv. Tidak mengikut waktu melontar yang ditetapkan ulil amri (pemerintah).

Tidak dinafikan terdapat jemaah yang enggan mengikut masa yang ditetapkan untuk melontar gara-gara ingin mendapatkan waktu afdal berbuat demikian.

Seharusnya menghormati waktu melontar jamrah dan mengikut ketetapan tersebut menjadi kewajipan kepada setiap jemaah. Ini kerana ia merupakan maslahah besar bagi mengelak mudarat daripada kesesakan melampau.

Ghairah beribadah ketika haji

JANGAN terlalu ghairah beribadah ketika haji hingga memilih masa di luar waktu melontar yang ditetapkan oleh pengendali ibadah berkenaan.

Ingatlah, mereka yang tidak mematuhi peraturan semata-mata bagi mengejar waktu afdal (maslahat sunat), tetapi telah meninggalkan maslahat yang wajib (mengelakkan mudarat bersesak-sesak sehingga kehilangan nyawa).

Demikianlah antara perkara yang kerap kali menjadi isu ketika musim haji.

Meskipun ramai yang menganggap remeh tentang perkara pertama dan kedua, tetapi MyREF menegaskan, ia tetap melibatkan hak pelanggaran hak sesama manusia.

Walaupun ia tidaklah sebesar pelanggaran hak berkaitan harta, kelayakan, pelunasan hutang, diyah (hutang darah) dan sebagainya, tetapi mengabaikannya membawa kepada pelanggaran yang lebih besar iaitu melanggar hukum yang ditetapkan oleh ALLAH SWT kerana keterkaitan di antara hak ALLAH dan hak makhluk.

“Sekiranya hak ini digunakan secara salah seperti berhelah dan menipu, lantas menyebabkan terhalangnya jemaah yang sepatutnya berada dalam kelompok dinyatakan, maka ia adalah suatu kezaliman kerana haknya untuk berada di dalam kawasan khusus tersebut dinafikan.

“Ia juga membawa kepada pelanggaran amanah yang telah ditegaskan larangannya yang mana dalam al-Quran, ada dinyatakan bahawa jangan mengkhianati amanah,” katanya.

Justeru, MyREF mengingatkan agar para jemaah haji perlu berusaha memperoleh haji mabrur dengan melakukan ibadah berkenaan bersungguh-sungguh, di samping mematuhi setiap arahan ditetapkan ulil amri.

Baca juga Ingin haji mabrur, amal 7 adab saranan al-Ghazali

“Ia supaya tidak berlaku pencerobohan hak jemaah haji lain yang pasti akan menjejaskan pahala dan ganjaran ibadah haji yang dilakukan.

“Para jemaah haji perlu mengambil berat dan membezakan perkara yang sunat dan hal yang terdapat keluasan dari sudut pelaksanaan hukum dalam ibadah haji berbanding dengan perkara wajib dan yang lebih utama perlu dilaksanakan.

“Usahlah kerana mengejar pahala sunat, jemaah meninggalkan perkara wajib dan asas dalam agama iaitu menjaga hak manusia lain dan kepentingan menjauhi darurat,” titip laporan berkenaan.

***Foto: Canva

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Keluarkan 'fatwa'
Isu,

Waspada Apabila Keluarkan ‘Fatwa’

no comment

AKHIR-AKHIR ini, wabak Covid-19 semakin mengganas. Lihat sahaja angka yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, saban hari ada sahaja peningkatan jumlah pesakit direkodkan.

Walaupun sudah lebih setahun seluruh dunia bergelut dengan wabak yang mengancam nyawa itu, namun nampaknya pertimbangan segelintir masyarakat sudah mulai goyah.

Ada sebilangan orang yang sewenang-wenangnya mencipta alasan untuk membolosi negeri lain dengan pelbagai urusan. Begitu juga segelintir orang yang mula memandang enteng dengan prosedur operasi standard (SOP) selamat yang disarankan.

Bukan mahu membuat kesimpulan mudah, tetapi hakikatnya demikianlah yang berlaku pada hari ini selepas beberapa kluster melibatkan perlanggaran SOP membabitkan institusi keagamaan dan ziarah Aidilfitri dikesan baru-baru ini.

Pendakwah, Muhammad Fahmi Rusli baru-baru ini berkongsi tentang ‘fatwa’ atau kenyataan yang mengelirukan hingga menyebabkan kematian seseorang. Insiden itu menyebabkan Rasulullah SAW marah.

Jelas beliau, dalam satu riwayat, ada disebutkan bahawa terdapat seorang lelaki yang cedera parah dan mengadu bahawa dirinya bermimpi basah.

Lantas lelaki tadi bertanyakan kepada rakan-rakannya: “Adakah kalian mendapati ada keringanan buatku?” (supaya dirinya tidak perlu mandi wajib.

Keluarkan 'fatwa'

PELIHARALAH mulut dan lidah agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan hingga membawa kematian orang lain.

Namun, mereka menjawab: “Kami tidak menemukan sebarang keringanan pun buat kamu. Kamu wajib juga mandi.”

Baca juga Gaza Berhak Untuk Senyum

Mendengar jawapan itu, lelaki itu pun mandi wajib dalam keadaan kepalanya cedera parah. Disebabkan itu, dia meninggal dunia.

“Berita itu akhirnya sampai kepada Rasulullah SAW. Lalu, baginda dengan penuh marah mengatakan: “Mereka bunuh dia, semoga ALLAH membunuh mereka!”

“Cuba teliti semula kisah itu. Mereka tidak menyebabkan kematian lelaki tersebut dengan cara membunuhnya menggunakan senjata atau alat membunuh. Namun, mereka ‘membunuhnya’ dengan ‘fatwa’ yang salah.

“Disebabkan itulah Rasulullah SAW menyambung sabda baginda dengan kenyataan: “Tidakkah mereka bertanya sekiranya mereka tidak tahu? Sesungguhnya ubat bagi kejahilan adalah dengan bertanya”,” katanya dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.

Justeru, Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengingatkan agar masyarakat berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan atau ‘fatwa’. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara yang tidak diketahuinya.

“Jangan keluarkan ayat seperti ‘tak perlu pakai pelitup muka dalam masjid dan surau sekarang ini’, ‘tak perlu solat jarak-jarak’ atau ‘Covid-19 ini palsu dan tipu’.

“Ketahuilah, natijahnya boleh jadi membawa kematian,” tegasnya.

Keluarkan 'fatwa'

JANGAN sewenang-wenangnya bercakap perkara yang tidak diketahui kepastiannya supaya tidak memberikan mudarat kepada orang lain.

Dalam pada itu, Muhammad Fahmi turut menegur sikap sebilangan masyarakat yang melanggar arahan ulil amri (pemerintah) untuk balik kampung dalam suasana pandemik sedang mengganas.

“Hakikatnya, ia adalah dilarang oleh syarak. Ketahuilah, mentaati arahan itu hukumnya adalah wajib kerana ia suatu hal yang makruf. Tujuannya untuk menjaga kesihatan ibu bapa sebagai individu berisiko daripada dijangkiti.

“Kita pun tahu, sebahagian orang sanggup reka cipta pelbagai alasan untuk balik kampung, tetapi dukacitanya golongan sebeginilah yang menjadi punca klusteri sambutan hari raya,” katanya.

Keluarkan 'fatwa'

ELAKKAN mencipta alasan untuk pulang ke kampung pada masa ini demi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 kepada orang tua.

Apa yang boleh dilakukan sekarang, katanya, kita terus doakan kesembuhan segera buat mereka yang terkesan.

“Jangan ulangi lagi tidak kiralah sama ada anda jarak jauh atau tidak, tidak perlulah pulang ke kampung setiap minggu.

“Pada masa sama, segeralah mendapatkan vaksin,” nasihatnya.

Apa-apapun, berhati-hatilah dengan setiap tutur kata kita agar tidak mengelirukan orang lain dan jagalah tingkah laku kita supaya tidak membawa kemudaratan kepada orang lain.

Ingatlah bahawa memelihara nyawa termasuk antara maqasid syariah yang memenuhi tuntutan agama bagi menjamin kemaslahatan umat manusia.

Foto: Freepik & 123rf