Browsing Tag

solat jenazah ghaib

solat jenazah ghaib
Ibadah,

Solat jenazah ghaib bukan untuk arwah yang hilang atau di luar negara sahaja. Ini perinciannya

BERMULA Selasa, kebanyakan masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat jenazah ghaib buat ulama tersohor Syeikh Yusuf al-Qaradhawi berikutan seruan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selain Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin di Wilayah Persekutuan, ibadah itu turut dilaksanakan di beberapa negeri lain termasuk Perlis dan Pulau Pinang.

Kata Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, “Pemergian Almarhum (Dr Yusuf al-Qaradawi) adalah kehilangan yang amat besar dan jasa Almarhum khususnya dalam dunia keilmuan, pemikiran dan dakwah sangat memberi kesan terhadap perkembangan dan kemajuan umat di seluruh dunia.

Sehubungan itu, solat jenazah ghaib tersebut dibuat sebagai tanda hormat kepada tokoh agama kelahiran Mesir itu selepas menghembuskan nafas terakhir pada usia 96 tahun di Qatar, Isnin lalu.

Baca juga Ambillah peluang, tunaikan solat jenazah untuk saudara seagama kita. Ini sebab-sebabnya 

solat jenazah ghaib

SOLAT jenazah termasuk dalam perkara fardu kifayah. Sebaik-baiknya ia dilakukan secara berjemaah, namun solat itu tetap sah jika dilaksanakan seorang diri. Kredit: Unsplash

Baca juga Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?

Solat bagi jenazah di luar kawasan

Jelas portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, solat ghaib ke atas jenazah merupakan solat jenazah yang didirikan ke atas mereka yang meninggal dunia di luar kawasan ibadah dilakukan. Dalam erti lain, jenazah tersebut tidak berada di hadapan orang yang melaksanakan solat jenazah itu.

Bagi mazhab Syafie, solat ghaib ke atas jenazah termasuk perbuatan yang disyariatkan agama sebagaimana dalam sebuah hadis oleh Abu Hurairah RA:

Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu akan pemergian al-Najasyi pada hari kematian beliau, kemudian baginda keluar menuju ke musolla dan seterusnya membuat saf bersama mereka dan baginda bertakbir sebanyak empat kali.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Baca juga Nasib Malang Jika Bawa Jenazah Dalam Kenderaan Persendirian?

Dalam masa sama, ibadah ini tidak terhad ke atas jenazah di luar negara sahaja. Mana-mana jenazah yang berada di luar kawasan solat jenazah didirikan sekalipun jaraknya kurang daripada dua marhalah (85-90 km), boleh dilaksanakan solat ke atasnya.

Tulis portal itu lagi, solat jenazah ghaib juga boleh dilakukan di rumah bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk sertainya secara berjemaah di masjid.

Baca juga Ziarahlah kenalan bukan Islam yang meninggal. Ini penjelasannya

solat jenazah ghaib

JANGAN lepaskan peluang menunaikan solat jenazah ke atas saudara-saudara seagama kita kerana ada fadilat besar di sebaliknya. Gambar hiasan

Turut disyorkan Ibu ayah amalkan doa ini agar anak terhindar daripada perkara sia-sia

Solat boleh dilakukan walaupun setelah jenazah dikebumikan

Bahkan, Rasulullah SAW sendiri pernah mendirikan solat jenazah ghaib di kawasan perkuburan ke atas sebuah jenazah yang sudah dikebumikan.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, “Seorang lelaki atau wanita yang berkulit hitam yang dahulunya selalu membersihkan masjid telah meninggal dunia. Maka Rasulullah SAW bertanyakan tentang lelaki tersebut. Para sahabat menjawab: “Dia telah meninggal dunia.”

“Kemudian baginda SAW berkata: “Mengapa kamu tidak memberitahu kepada aku (tentang kematiannya)? Tunjukkan kepadaku di mana kuburnya.” Setelah itu, baginda mendatangi kubur itu dan menunaikan solat ke atas jenazahnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa umat Islam masih boleh melakukan solat jenazah bagi jenazah yang sudah dikebumikan jika tidak berkesempatan untuk melakukannya sebelum si mati ditanam.

Ulama Syafie, Imam al-Nawawi pula menyatakan bahawa solat jenazah di perkuburan boleh dilakukan selagi mana jasad jenazah masih belum reput.

Baca juga Jangan panik, kalut, 10 perkara perlu buat apabila ahli keluarga meninggal dunia

Sumber: Irsyad al-Fatwa siri ke-484: Hukum mendirikan solat ghaib ke atas jenazah pesakit Covid-19 atau pesakit selain Covid dalam tempoh PKP

Foto: Bernama & Unsplash