Browsing Tag

Solat jamak dan qasar

Jamak takhir
Ibadah,

Dahulukan solat waktu pertama dahulu, ini perihal turutan jamak takhir sebenar

Dahulukan solat waktu pertama dahulu, ini perihal turutan jamak takhir sebenar

PADA musim perayaan ini, ramai yang menggunakan kemudahan rukhsah solat musafir. Masakan tidak, kebanyakan daripada kita akan berjalan jauh untuk menziarahi saudara-mara, sahabat mahupun kenalan di merata-rata tempat.

Maklum sahajalah, kesempatan itu bukan selalunya datang. Meskipun boleh sahaja melakukan amalan itu pada bila-bila masa, tetapi lazimnya kita sibuk bekerja dan menguruskan rutin harian.

Hanya pada Hari Raya Aidilfitri, barulah kita berpeluang berbuat demikian. Ini kerana menjadi tradisi masyarakat akan pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut lebaran.

Baca juga Tempoh solat jamak dan qasar apabila kita dibenarkan balik kampung

Disebabkan itu, ramai yang mengambil cuti panjang. Peluang yang ada itu turut dimanfaatkan dengan berkunjung ke rumah sanak saudara dan handai taulan.

Berbalik kepada rukhsah solat musafir, semua sedia maklum bahawa terdapat dua jenis sembahyang jamak iaitu takdim dan takhir.

Jamak takhir

TERDAPAT dua jenis solat jamak yang boleh dilakukan oleh orang yang bermusafir iaitu jamak takdim dan takhir. -Foto: Pexels

Jamak takdim bermaksud, kita menghimpunkan dua waktu solat dalam waktu pertama (mendahulukan). Sebagai contoh, kita mendirikan solat Zuhur dan Asar pada waktu Zuhur atau menunaikan solat Maghrib dan Isyak pada waktu Maghrib.

Sementelah, dalam jamak takhir pula, kita menghimpunkan dua waktu solat dalam waktu kedua.

Boleh dikatakan rata-rata orang akan mendirikan solat Asar mahupun Isyak terlebih dahulu sebelum sembahyang Zuhur dan Maghrib ketika melakukan jamak takhir.

Seorang pengguna akaun Twitter Muzuza memberi penjelasan tentang perihal tuntutan jamak takhir.

Jelas beliau, kita sebenarnya disunatkan untuk mendahulukan solat waktu pertama dahulu, barulah waktu kedua.

“Sebagai contoh, kita melakukan solat jamak takhir iaitu menghimpunkan dua waktu solat pada waktu kedua seperti solat Zuhur dan Asar pada waktu Asar atau solat Maghrib dan Isyak pada waktu Isyak.

Baca juga Bolehkah ‘saja-saja’ pilih jalan jauh semata-mata hendak solat jamak dan qasar?

“Maka disunatkan untuk kita mulakan dengan solat waktu pertama dahulu iaitu solat Zuhur dan Maghrib terlebih dahulu.

“Perkara itu ada dijelaskan dalam kitab al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’I, Hasyiah al-Bajuri dan lain-lain,” katanya sebagaimana dipetik menerusi bebenang di akaun Twitter miliknya.

Jamak takhir

KETIKA melakukan jamak, disunatkan untuk kira mendahulukan solat waktu pertama dahulu, barulah waktu kedua. -Foto: 123rf

Beliau turut mengemukakan petikan teks yang diambil daripada kitab-kitab berkenaan.

Menerusi pandangan yang dinukilkan dalam kitab al-Mu’tamad, dinyatakan bahawa: “Akan tetapi disunatkan mendahulukan yang pertama.”

Sementara itu, Hasyiah al-Bajuri menyatakan: “Dan tidak diwajibkan pada jamak takhir tertib: tetapi disunatkan padanya tertib.”

Berdasarkan fakta berkenaan, @Muzuzxck menegaskan, andai kita menyelisihinya, maka perkara itu tidaklah haram, cuma ia menjadi khilaf al-awla (menyalahi yang utama) sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibn Hajar dalam kitab Tuhfah.

“Mudah kata, aturan yang kita lakukan selama ini (menunaikan solat Asar atau Isyak terlebih dahulu pada waktu jamak takhir) adalah sah dan tidak batal solat-solat jamak takhir itu.

“Akan tetapi, pada masa akan datang, kita cubalah turuti perkara yang disunatkan,” sarannya.

Bukan itu sahaja, Muzuza yang juga penulis buku kerohanian menambah, turutan berkenaan sebenarnya turut disunatkan dalam perihal qada solat.

Baca juga Wajib qada solat walaupun sudah puluhan tahun tinggalkan

“Andai kita luput waktu solat, maka kita selesaikan dahulu yang pertama, barulah waktu seterusnya.

“Misalnya, si fulan tertinggal solat Zuhur, lalu masuk waktu Asar. Maka dia disunatkan untuk menunaikan solat Zuhur terlebih dahulu, barulah solat Asar (waktu fardu dan tunai ketika itu),” ungkapnya.

***Foto: Pexels

Solat jamak dan qasar
Ibadah,

Bolehkah ‘saja-saja’ pilih jalan jauh semata-mata hendak solat jamak dan qasar?

Bolehkah ‘saja-saja’ pilih jalan jauh semata-mata hendak solat jamak dan qasar?

RASANYA ramai yang akan mengambil peluang untuk menyambung berhari raya pada hujung minggu ini. Tambahan pula cuti Hari Pekerja jatuh pada hari Isnin depan.

Semakin rancaklah Syawal kita nanti dengan amalan ziarah saudara-mara mahupun kenalan masing-masing. Malah, ada juga yang memenuhi undangan rumah terbuka pada waktu itu.

Tidak salah untuk ‘berjalan’ demi menghidupkan lebaran kita dan mengeratkan silaturahim. Sememangnya itulah yang dianjurkan dalam Islam.

Begitupun, dalam kita memenuhi tuntutan berkenaan, terdapat pula segelintir orang yang memilih jalan jauh semata-mata untuk mendapatkan rukhsah solat jamak dan qasar. Sedangkan, ada sahaja laluan dekat yang jaraknya tidak sampai pun dua marhalah.

Baca juga Pulang beraya di kampung, berapa hari sebenarnya kita boleh solat jamak dan qasar?

Mereka seolah-olah sengaja berbuat demikian demi keringanan syarak yang diberikan kepada para musafir.

Bolehkah kita berbuat demikian demi mendapatkan rukhsah tersebut?

Dalam hal itu, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, andai seseorang bermusafir dan memilih laluan lebih jauh yang mana jaraknya mencapai dua marhalah hanya sekadar untuk mendapatkan rukhsah (keringanan syarak) solat musafir (jamak dan qasar), maka kelompok berkenaan tidak boleh berbuat demikian.

DR SYED SHAHRIDZAN

Larangan itu bersandarkan kepada hujah daripada Sheikhul Islam Zakaria al-Ansori dalam karyanya, Asna al-Matolib yang menyebut: “Jika seseorang di dalam perjalannya melalui laluan yang paling jauh antara dua jalan atas tujuan mengharuskan solat qasar, bahkan tanpa tujuan apa pun sepertimana yang dinyatakan di dalam kitab al-Majmu’, maka dia tidak boleh mengqasarkan solat.

“Hal ini seperti dia melalui laluan yang paling dekat yang mana kurang dari masafah (jarak) qasar dan dia memanjangkan perjalanannya ke arah kanan dan kiri (untuk menjauhkan jarak).”

Dalam pada itu, Dr Syed Shahridzan turut memberi beberapa contoh dan situasi tentang perjalanan musafir yang dibolehkan untuk menggunakan rukhsah solat berkenaan.

Baca juga Boleh ke tunaikan solat jamak qasar ketika mulakan perjalanan musafir lepas masuk waktu solat?

Jelas beliau, jika seorang musafir memilih jalan lebih jauh, sedangkan wujud laluan lebih dekat yang tidak sampai dua marhalah jaraknya dengan tujuan baik tidak bertentangan dengan syariat, maka mereka diharuskan untuk melaksanakan solat musafir.

“Tujuan baik yang dimaksudkan adalah seperti menziarahi keluarga atau sahabat yang menetap pada arah laluan yang jauh atau tujuan mencari barang keperluan, menghantar barang dan seumpamanya.

Solat jamak dan qasar

JIKA seorang musafir memilih jalan lebih jauh, sedangkan wujud laluan lebih dekat yang tidak sampai dua marhalah jaraknya dengan tujuan baik tidak bertentangan dengan syariat, maka mereka diharuskan untuk melaksanakan solat musafir. -Foto: 123rf

“Perkara itu ada disebutkan dalam rujukan sama yang dinyatakan tadi. Sheikhul Islam Zakaria al-Ansori menyatakan: ‘Dia dibenarkan untuk mengqasarkan solat jika dalam perjalanannya ada tujuan yang lain walaupun disertakan tujuan mengqasarkan solat, seperti tujuan keamanan, kemudahan, ziarah dan ibadah’,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Baca juga Redah lebih 100km dari rumah ke tempat kerja, bolehkah solat jamak dan qasar?

Bukan itu sahaja, pendakwah itu menjelaskan, seandainya seseorang memilih jalan yang lebih jauh (jalan lama) berbanding lebuh raya dengan tujuan berjimat cermat (mengelak tol), maka diharuskan untuk mereka melakukan jamak dan qasar solat.

“Namun, jika mereka memilih laluan yang lebih jauh hanya sekadar untuk mendapatkan keringanan solat musafir, maka dia tidak dibenarkan mendirikan solat secara jamak dan qasar,” tegas beliau.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Solat jamak
Berita Semasa,

Redah lebih 100km dari rumah ke tempat kerja, bolehkah solat jamak dan qasar?

PERSOALAN tentang solat jamak dan qasar sering dibangkitkan apabila seseorang itu bermusafir. Masakan tidak, mereka akan menunaikannya hanya apabila ‘berjalan’ jauh sahaja.

Begitupun, ada segelintir orang terpaksa meredah lebih 100 kilometer (km) untuk ke tempat kerja setiap hari. Itu baru perjalanan pergi sahaja, belum dihitung lagi waktu pulang.

Situasi itu mungkin biasa bagi sesetengah orang lantaran pelbagai faktor demi mencari sesuap rezeki.

Timbul tanda tanya sama ada mereka yang termasuk dalam situasi tersebut dibenarkan untuk menggunakan rukshah solat berkenaan atau tidak?

Memetik jawapan daripada portal kemusykilan agama Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan solat jamak dan qasar dilakukan.

Syarat qasar dan jamak

Para fuqaha menggariskan syarat seperti berikut sebagaimana yang disebut dalam Feqh al-Manhaji:

Solat jamak

PARA fuqaha telah menggariskan beberapa syarat yang membolehkan seseorang itu menunaikan solat jamak dan qasar antaranya dilakukan dalam keadaan bermusafir dan jaraknya melebihi dua marhalah. -FOTO: PEXELS

i. Solat fardu tersebut dilaksanakan dalam keadaan bermusafir.

Solat yang telah masuk waktunya, tetapi belum ditunaikan sebelum memulakan perjalanan tidak harus diqasarkan kerana seseorang itu belum dikatakan bermusafir ketika solat tersebut wajib ke atasnya.

Begitu juga solat yang telah masuk waktunya ketika bermusafir, tetapi dia tidak menunaikannya sehingga balik semula ke tempatnya, solat tersebut tidak harus lagi diqasarkan. Ini kerana apabila dirinya melakukannya kemudian (iaitu setelah dia sampai ke tempat asalnya), maka dia bukan lagi dikira sebagai musafir, sedangkan qasar hanya untuk orang yang bermusafir.

ii. Perjalanannya telah melepasi pagar sempadan kariahnya atau kawasan bangunannya jika kariah tersebut tidak berpagar.

Ini kerana seseorang yang masih berada di dalam kawasan kariahnya tidak dikira sebagai musafir.

Hal itu bersandarkan kepada hadis-hadis daripada Anas RA, katanya: “Aku menunaikan solat Zuhur bersama-sama Nabi Muhammad SAW di Madinah empat rakaat dan solat Asar di Zulhulaifah dua rakaat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

iii. Tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar.

Solat jamak

SOLAT jamak dan qasar boleh dilakukan jika kita tidak berniat menetap di tempat berkenaan selama empat hari. -FOTO: 123RF

iv. Tidak mengikut imam yang bermukim.

Jika seseorang yang bermusafir mendirikan solat berimamkan seorang yang bermukim, maka dia hendaklah mendirikan solat itu sepenuhnya iaitu dengan mengikut aturan imam tersebut dan tidak harus mengqasarkannya.

v. Jarak perjalanan musafir mestilah melebihi dua marhalah iaitu 81km atau lebih. Oleh itu, perjalanan yang kurang daripada itu tidak boleh diqasarkan solatnya.

vi. Perjalanan musafir tersebut haruslah ditentukan tempatnya.

Orang yang merayau-rayau tanpa tujuan ke tempat tertentu dan orang yang mengikut ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak dibawanya, perjalanan mereka itu tidak mengharuskan qasar kecuali setelah menjangkau jarak perjalanan yang jauh.

vii. Permusafiran tersebut tidak bertujuan maksiat.

Justeru, tidak diambil kira perjalanan musafir untuk berniaga arak, mengamalkan riba atau menyamun. Ini kerana qasar merupakan keringanan yang disyariatkan untuk menunaikan sesuatu tanggungjawab dan ia tidak boleh terkait dengan sebarang maksiat.

Hanya dalam perjalanan

Berbalik kepada persoalan tadi, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, harus mengqasar dan menjamakkan solat pada hari seseorang itu bekerja andai sudah memenuhi syarat-syarat utama solat jamak dan qasar sebagaimana dinyatakan.

Bagaimanapun, ia hanya boleh dilakukan di tempat kerja yang tidak tetap pejabatnya ataupun ketika dalam perjalanan sahaja.

Solat jamak

SOLAT jamak dan qasar hanya boleh dilakukan di tempat kerja yang tidak tetap pejabatnya ataupun ketika dalam perjalanan sahaja. -FOTO: PEXELS

“Adapun ketika sampai di kawasan permukiman iaitu tempat kerja yang telah dilazimkan setiap hari seperti pejabat di Komtar, Pulau Pinang misalnya, maka tidak boleh lagi untuk mengambil rukhsah tersebut.

“Sebaliknya, individu berkenaan perlu melakukan solat secara sempurna kecuali dalam perjalanan setelah keluar dari kariah di kampung (kediaman) dan kariah di sekitar Komtar dengan syarat-syarat yang telah dinyatakan di atas,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal kemusykilan agama jabatan berkenaan.

Kepada mereka yang bekerja jauh, boleh gunakan rukhsah solat tersebut jika memenuhi syarat sepertimana yang disebutkan.

Semoga ia membantu kita untuk mendirikan solat dengan sempurna walau di mana sahaja kita berada.

***Foto: Pexels

Solat jamak dan qasar
Hukum, Soal Jawab Agama,

Tempoh solat jamak dan qasar apabila kita dibenarkan balik kampung

BESAR harapan kita agar semua dapat pulang ke kampung halaman masing-masing menjenguk ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.

Namun apakan daya, kita masih belum menang untuk melawan wabak Covid-19 yang masih mengganas. Kes pula semakin melonjak akhir-akhir ini hinggakan perasaan galau bertamu dalam hati.

Melihat keadaan itu, tidak mengapalah kita bermujahadah mengetepikan perasaan rindu itu semata-mata mahu melihat insan kesayangan tidak dijangkiti virus berbahaya berkenaan.

Itulah langkah yang sebaik-baiknya walaupun betapa peritnya hati ini untuk menerimanya. Pada masa sama, jangan lupa panjatkan doa kepada ALLAH SWT agar kita dijauhkan daripada perkara yang buruk dan pandemik berkenaan.

Semoga ALLAH memperkenankan doa kita, sekali gus mengenyahkan penyakit tersebut dari muka bumi ini.

Seandainya pada masa akan datang atau apabila tiba waktunya, kita dibenarkan pulang ke kampung tidak kiralah untuk berhari raya atau berziarah sekalipun, berapakah tempoh masa seseorang itu boleh melakukan solat jamak dan qasar terutama jika dirinya tidak tahu berapa lamakah akan berada di kampung?

Merungkaikan jawapannya, pendakwah, Isfadiah Mohd Dasuki menjelaskan, Mazhab Syafie lazimnya hanya meletakkan tempoh masa selama tiga hari tidak termasuk hari kita sampai ke kampung dan kembali pulang ke rumah masing-masing.

ISFADIAH

“Demikianlah kadar waktu yang ditetapkan yang mana kita boleh melakukan solat jamak dan qasar.

“Namun begitu, dalam situasi kita tidak tahu dan kurang pasti berapa lama tempoh berada di kampung, maka kita boleh aplikasikan tempoh tiga hari berkenaan.

Baca juga Boleh ke tunaikan solat jamak qasar ketika mulakan perjalanan musafir lepas masuk waktu solat?

“Selepas durasi tersebut, kita perlu mendirikan solat tamam (sempurna) seperti biasa mengikut bilangan rakaat dalam solat fardu berkenaan,” jelasnya.

Pilihan yang terbaik, kata Isfadiah adalah kita menunaikan solat secara penuh (solat tamam) apabila sudah sampai ke kampung halaman masing-masing.

“Ini kerana kita bukanlah bermusafir sebab kampung itu pun asal-usul tempat kita walaupun tidak bermukim di situ,” ujarnya.

Foto: 123rf

Berita Semasa, Panduan,

Boleh ke tunaikan solat jamak qasar ketika mulakan perjalanan musafir lepas masuk waktu solat?

CUTI hujung minggu ni, pasti ramai yang berkira-kira untuk keluar berjalan, balik kampung, bercuti dan sebagainya. Maklum sajalah, sejak kelonggaran diberikan untuk merentas negeri, ramai yang merencanakan aktiviti masing-masing bersama keluarga.

Mungkin ada orang teringin sangat nak berjalan jauh selepas hampir tiga bulan ‘berkurung’ saja di rumah dek Perintah Kawalan Pergerakan tempoh hari.

Tak kiralah apa saja tujuannya, tapi jangan lupa patuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan. Jaga diri masing-masing kerana kita masih belum menang dalam usaha melawan Covid-19 ini.

Bila berjalan jauh, sudah tentu kita akan menggunakan rukhsah yang diberikan dalam Islam iaitu solat jamak dan qasar.

Ramai sedia maklum, kemudahan ini yang lazimnya dilakukan ketika seseorang itu bermusafir.

Tapi kalau dah lepas masuk waktu solat, kemudian kita baru nak memulakan perjalanan, boleh ke tunaikan solat jamak dan qasar juga? Kena solat jamak takdim ke jamak takhir kalau begini situasinya?

Dalam hal ini, sebenarnya ada khilaf dalam kalangan ulama. Tapi tak perlulah kita risau sangat sebab pendapat yang muktamad menyebut bahawa rukhsah berkenaan dibenarkan dalam semua keadaan di atas.

Firman ALLAH SWT: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang…” (Surah al-Nisa’, ayat 101)

Kata Imam al-Nawawi: “Maka ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb ‘ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu bandar, maka dia boleh qasar apabila dia berpisah dari bangunan yang dinisbah kepada bandar tersebut.

“Jika pagar kebun-kebun bersambung dengan pagar bandar maka dengan berpisah dari bangunan bandar sudah mengharuskan qasar, kerana kebun-kebun itu bukan daripada bandar, dan jika ada dua kampung bersebelahan maka seseorang yang keluar dari kampungnya (masuk ke kampung sebelah) sudah boleh qasar,” jelas Imam al-Nawawi sebagaimana disebutnya dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab (4/346)

Disebabkan itu, para ulama fiqh mensyaratkan, solat qasar hanya boleh dilakukan apabila sudah tahqiq (dipastikan) musafir dengan keluar dari kawasan bermukim.

Bila kita sudah keluar dari kawasan tempat tinggal kita, maka berlakulah hukum-hakam permusafiran. Berdasarkan fakta ini, maka seseorang yang keluar bermusafir setelah masuknya waktu solat dibenarkan untuk mengqasarkan solat.

Perkara itu disebut dalam al-Mu’tamad: “Adapun jika masuk waktu solat sebelum seseorang itu musafir, dan dia boleh sahaja menunaikannya ketika itu jua, tetapi dia keluar musafir, dia dibenarkan untuk mengqasarkan solat. Ini kerana hukum diambil berdasarkan sifat solat semasa keadaannya semasa ditunaikan, bukan keadaan semasa diwajibkan. Justeru, orang yang menunaikan solat sebagai musafir dibenarkan untuk qasar solat. Permusafiran itu hanya memberi kesan pada bilangan rakaat, bukan pada gugurnya kewajiban solat. Inilah perbezaan dengan hukum datang haid setelah masuk waktu.”

Namun begitu, ada sebahagian ulama tidak bersetuju dengan pandangan berkenaan kerana berpendapat, wanita yang haid selepas masuk solat perlu menggantikan solatnya sebagaimana dinyatakan oleh pengarang al-Bayan.

(Artikel berkaitan: Pulang beraya di kampung, berapa hari sebenarnya kita boleh solat jamak dan qasar?)

BOLEH tunaikan solat qasar dan jamak sekalipun kita keluar memulakan perjalanan musafir selepas masuk waktu solat yang pertama.

Bagaimana pula dengan solat jamak? Adakah ia boleh dilakukan jika musafir selepas waktu solat?

Sebenarnya, ia dibolehkan kerana salah satu syarat sah solat jamak ialah musafir dan tiada penghalang untuk mengatakan sebaliknya. Syeikh Hasan al-Kaf menyebut fakta ini di dalam al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 321):

“Apabila seseorang itu mendapati waktu solat pertama telah masuk tetapi dia tidak menunaikannya, kemudian dia bermusafir pada waktu pertama itu, maka dibenarkan baginya untuk jamak takhir dengan syarat dia berniat jamak selepas dia keluar berpisah daripada umran (bandar/kampung/kawasan permukiman), dan tidak wajib ke atasnya untuk menunaikan solat pertama pada waktunya.”

Ini menunjukkan bahawa boleh baginya untuk jamak takdim mahupun jamak takhir.

Justeru, harus bagi orang yang bermusafir selepas masuk waktu solat yang pertama menunaikan solat-solat yang boleh dijamakkan. Tiada masalah untuk menggunakan rukhsah jamak dan qasar kerana hukum rukhsah berkenaan diambilkira selepas berlakunya permusafiran.

Kita kena ingat bahawa apabila solat itu dijamakkan atau diqasarkan, ia tidak sekalipun menggugurkan kewajipan solat ke atas kita meskipun dalam keadaan musafir.

Namun begitu, mengambil langkah keluar daripada khilaf ulama itu adalah jalan terbaik jika tiada keperluan.

Semoga penjelasan ini boleh menjadi panduan kepada kita apabila ingin berjalan jauh nanti.

Jalan-jalan ni tiada masalah nak ke mana pun, asalkan jangan kita lupakan kewajipan kita kepada ALLAH SWT.

Sumber: Al-Kafi #1688: Musafir Selepas Masuk Waktu Solat: Adakah Boleh Jamak Qasar?, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Berita Semasa, Panduan,

Pulang beraya di kampung, berapa hari sebenarnya kita boleh solat jamak dan qasar?

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari Rabu lalu, ramai yang ambil peluang untuk pulang ke kampung.

Maklum sajalah, sebaik saja dibenarkan untuk merentas negeri, perkara pertama dalam fikiran adalah pulang ke kampung halaman.

Hampir tiga bulan tak bertemu ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara yang jauh berlainan negeri sebelum ini. Hanya telefon menjadi penghubung kita, sudah tentu tak sama bila kita bersua muka.

Tambah-tambah lagi Syawal masih lagi berbaki 10 hari. Hinggakan orang gelarkannya sebagai Aidilfitri 2.0, Aidilfitri fasa dua dan macam-macam lagi nama lain yang diberikan.

Barangkali sekarang ni ada yang sedang dalam perjalanan ke kampung halaman masing-masing. Malah, ada yang telah sampai lebih awal lagi.

Tak kiralah bila masanya kita sampai ke kampung masing-masing yang jaraknya jauh, kita kena ambil berat pasal solat jamak dan qasar.

Bukan apa, takut nanti terlebih hari di kampung, tapi kita masih lagi solat jamak dan qasar. Sedangkan, ada tempoh masa bagi keringanan solat ini yang perlu kita tahu.

Berapa lamakah sebenarnya seseorang boleh melakukan solat jamak dan qasar kalau tidak tahu berapa lama dia beraya di kampung?

Sebelum memberikan periciannya, pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki memberikan penjelasan tentang hukum solat jamak dan qasar bagi mereka yang jauh balik beraya di kampung.

USTAZ MUSTAFAR

Ujar beliau, balik berhari raya adalah perkara yang harus dan menjadi sunat jika diniatkan khusus untuk menghubungkan silaturahim, ziarah-menziarahi dan selainnya.

“Jika balik ke kampung halaman, seseorang itu hanya boleh solat jamak dan qasar dalam perjalanan pergi dan balik sahaja seperti pandangan Imam Khatib al-Syirbini dalam kitabnya Mughni Muhtaj dan majoriti ulama Mazhab Syafie,” jelas beliau.

Namun begitu, andai kata kita menziarahi saudara-mara yang bukan berada di kampung halaman kita, kata Ustaz Mustafar, kita boleh mengerjakan solat jamak dan qasar dengan syarat mencukup jarak 85 kilometer ke atas.

“Tempoh dibenarkan pula adalah lima hari termasuk perjalanan pergi dan balik,” jelas beliau.

Kepada mereka yang tak tahu lagi berapa lama lagi dia akan menginap di kampung atau di tempat saudara-maranya, usah risau tentang keringanan solat yang diberikan.

Ini kerana, agamawan itu menjelaskan, kita masih boleh menunaikan solat jamak dan qasar sehingga pulang semula ke tempat asal kita bermukim.

Tapi janganlah jadikan ‘tak pasti berapa lama duduk di kampung’ sebagai alasan untuk membolehkan diri masing-masing solat jamak dan qasar pula.

Ingat ya, kalau kita hanya pulang ke kampung melepaskan rindu pada ibu bapa, adik-beradik dan sebagainya, kita hanya boleh solat jamak dan qasar dalam perjalanan pergi dan balik saja kalau jaraknya lebih 85 kilometer.

Semoga jawapan itu boleh menjadi panduan buat kita yang pulang dan beraya di kampung.

Selamat Hari Raya Aidilfitri semua pembaca SinarPlus.