Browsing Tag

Rasulullah ikon guru

Rasulullah ikon guru
Isu,

Rasulullah SAW ikon guru terbaik, berjaya tetapkan piawaian pendidikan ideal sejak 1,000 tahun lalu

Oleh MUHD AZMAN MOHD NAWI

KERJAYA guru adalah profesion yang sangat mulia. Guru memiliki saham dalam kemajuan peradaban dunia kerana merekalah yang mengajar setiap murid yang kelak akan menjadi pemimpin. Dalam Islam, guru terbaik di dunia adalah Rasulullah SAW.

Rasulullah adalah ikon guru paling sempurna kerana baginda adalah utusan ALLAH SWT yang meletakkan dasar pendidikan spiritual umat manusia. Tanpa ajaran yang dibawa Nabi Muhammad, manusia akan terjerumus dalam kesesatan, kerana apa yang diajarkan tidak hanya berguna di dunia, tetapi juga untuk kehidupan akhirat.

ALLAH memilih baginda menjadi utusan terakhir dan guru buat ummah. Nabi Muhammad ditugaskan menyampaikan pesan al-Quran kepada seluruh umat manusia. Baginda berjaya menetapkan piawai pendidikan yang ideal lebih dari 1,000 tahun yang lalu. Bahkan kesan ajaran sucinya masih terasa hingga sekarang.

Impak kepada pelajar

Besarnya jasa guru sehingga diriwayatkan oleh Abu Umamah RA bahawa Rasullulah SAW bersabda, “Sesungguhnya ALLAH SWT, para malaikat dan semua penduduk di langit dan di bumi, sehinggakan semut di sarangnya dan ikan (di lautan) pasti berselawat (mendoakan) kebaikan bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia. (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Bersempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada 16 Mei, Sinar Islam Plus ingin memberikan penghargaan kepada para guru seluruhnya. Kami kongsikan pandangan daripada sisi spiritual bagaimana seorang individu bergelar guru mampu meninggalkan kesan kepada pelajar mengikut acuan yang disarankan oleh Rasulullah.

Pendakwah Ustaz Ahmad Shah Jamlus berkata, satu hal paling utama yang telah Rasulullah lakukan dalam penyebaran dakwah baginda adalah qudwah iaitu menampilkan suri teladan yang baik untuk diambil oleh ummah.

USTAZ AHMAD SHAH

“Guru yang berkesan ialah guru yang sentiasa menggarap ilmu dan kemahiran yang sentiasa berkembang. Penguasaan terhadap kondisi persekitaran para murid, berempati terhadap murid dan mendidik mengikut arus zaman. Jelasnya, penampilan sezaman dan memahami konteks semasa akan dapat memberi impak dan pergaulan yang efektif antara murid dan guru.

“Dalam hal ini, menjadikan guru yang sudah berusia lebih matang dan ilmu serta kemahiran yang mendahului para murid memandu, memimpin dan seterusnya mendidik.”

“Banyak peristiwa yang menunjukkan pendidikan ALLAH terhadap Rasulullah adalah dengan mendepani sesuatu dengan perancangan, membawa kefahaman dan pengetahuan masa depan yang memandu arah Rasulullah dalam mencorak amal perbuatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.

Baca juga Kalau kurang ajar dengan guru, hidup tak akan berjaya tanpa doa mereka

Keterlibatan sepenuhnya

Ahmad Shah memberikan contoh, gambaran masa depan yang dipaparkan di dalam perjalanan Israk dan Mikraj.

“Rasulullah telah ditunjukkan Madinah sebagai tempat baginda akan berhijrah, gambaran balasan baik dan balasan buruk dan lain-lain. Ringkasnya, guru mesti mendepani murid dalam keilmuan dan kemahiran, dan sentiasa dapat menampilkan contoh teladan yang baik, serta mampu memandu arah kepada murid,” jelasnya.

Dalam pada itu, kita juga sering melihat keterlibatan sepenuhnya para guru yang sedia berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi melihat anak-anak didik mereka cemerlang di dalam intelektual, akademik, sahsiah, emosi dan jasmani.

Kerjaya guru tidak terikat dengan masa tertentu, sebaliknya kudrat mereka sentiasa didambakan sama ada di sekolah mahu pun di luar waktu tugasan hakiki. Bahkan ada guru yang sanggup memberikan tuisyen percuma kepada pelajarnya. Inilah bukti kesediaan dan pengorbanan seorang guru.

Rasulullah ikon guru

ANAK-ANAK didik sentiasa riang ke sekolah kerana kasih sayang yang ditumpahkan oleh para guru penuh keikhlasan.

Menyetujui hakikat itu, Ahmad Shah menjelaskan, “Rasulullah dalam segenap dimensi qudwahnya telah menunjukkan kepada kita betapa pentingnya akidah.

“Akidah adalah asas kepada keikhlasan. Melalui akidah, kita menjadi sedar siapa kita, untuk apa kita dijadikan, di mana kita sekarang dan ke mana kita akan pergi.

“Ikhlas dalam amal perbuatan itu ditunjukkan Rasulullah dalam ihsan. Ihsan itu secara prinsipnya, kita melakukan sesuatu seolah-olah kita nampak ALLAH dan sebaliknya.

“Kita sentiasa merasakan ALLAH MAHA MELIHAT kita. Ihsan ini mampu mengubah hati yang gelisah, yang dahagakan pujian dan sanjungan,” jelasnya.

Baca juga Adab merupakan syarat penting dalam menuntut ilmu, ini penjelasannya

Hujahnya, al-Quran berpesan, akhirat lebih utama. Ini semua akan berlaku, jika keterangkuman akidah yang melahirkan keikhlasan itu dapat dilahirkan.

“Pun begitu, dalam sudut yang lain. Jika kita lihat dalam sudut kewangan, apa yang dilakukan dengan maksud ada upah dan gaji, skop itu seolah ada jual dan beli. Selebihnya adalah perkhidmatan percuma.

“Sudut yang lain berkaitan, kita dapati ia boleh dikira hadiah, sedekah atau pemberian suci hati atau sukarela serta pemberian kasih sayang kepada pelajar. Ini akan menaikkan imej guru dalam konteks kebajikan dan menjadi model pula kepada anak-anak didik,” tegas beliau lagi.

Guru pahlawan sejati

Kesungguhan guru berkorban sering diibaratkan sebagai lilin yang membakar diri untuk menerangi kehidupan orang lain. Tingginya martabat guru di mata masyarakat sehinggakan panggilan keramat ‘cikgu’ tidak akan pudar di sepanjang kehidupannya meskipun telah bersara.

Dalam pada kita menyanjung tinggi martabat seorang guru, masih kedapatan rintihan guru yang sebenarnya mempunyai beban tugasan yang amat berat dalam mendidik anak-anak bangsa.

Sinar Islam Plus berkesempatan mendapatkan pandangan Pensyarah Kanan dan Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Zaizul Ab Rahman tentang perkara ini.

DR ZAIZUL

“Guru sebenarnya amat dibebani dengan tugasan yang bukan hakiki seperti pengkeranian dan pengurusan dokumentasi para pelajar yang sepatutnya dibantu oleh pembantu guru dan pihak kerani sekolah.

“Isu beban guru ini sering kedengaran sejak berpuluh tahun tetapi sehingga kini tidak pernah selesai. Memang tidak dinafikan ada tindakan penyelesaian diambil tetapi ia banyak yang bersifat ad hoc dan politikal,” katanya.

Ujar Dr Zaizul, apabila keputusan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) diumumkan, sebenarnya siapakah pahlawan sebenar yang tidak dicanangkan?

“Sering kelihatan gambar ibu bapa anak-anak yang memperolehi keputusan cemerlang di dada dada akhbar sebagai tonggak kejayaan anak-anaknya. Itulah panorama saban tahun namun masyarakat seperti terlupa siapakah hero sebenar di belakang tabir kejayaan itu,” katanya.

Menuding jari

Beliau berkata, ada antara guru yang dirujuk ke bahagian psikiatri di hospital kerana terlalu tertekan dengan timbunan tugasan kerja.

“Bagaimana pula dengan kehidupan seharian mereka, anak-anak dan komitmen keluarga yang ada masanya tidak terurus? Tetapi, walaupun kenyataan ini diulang tayang, kita masih tetap menuding jari kepada guru andainya berlaku kemerosotan pelajaran anak-anak.

Rasulullah ikon guru

JASA guru mendidik anak bangsa begitu besar dan tidak terhitung jumlahnya. Malah, mereka merupakan insan yang menyampaikan ilmu bermanfaat kepada para pelajarnya.

“Kita amat faham dalam setandan pisang itu mungkin ada buah yang rosak begitu juga dengan segelintir guru yang mungkin sambil lewa dalam menjalankan amanah mulia ini,” katanya lagi.

Baca juga Apa gunanya kedekut ilmu yang ALLAH beri? Lebih baik berkongsilah, ada juga manfaat dan pahala pun mengalir sama

Dr Zaizul menyeru, bersempena hari guru ini, seluruh keluarga Malaysia wajar untuk sama-sama mengingati akan jasa guru-guru.

“Mereka sebenarnya bukan inginkan pembelaan dan dikenang sebagai pahlawan negara. Cukuplah hanya doa dan ingatan sebagai tanda terima kasih kita kepada insan mulia yang mempunyai pengorbanan yang amat besar kepada kemenjadian anak-anak keluarga Malaysia yang tercinta,” katanya lagi.

Jazakumullahhu khairan kathira kepada guru sama ada yang mendidik di nurseri, tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, madrasah, masjid dan surau, institusi pengajian tinggi seperti kolej, institut pendidikan guru (IPG) dan universiti.

Juga kepada setiap insan yang menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Semoga segala amal jariah itu akan mendatangkan ganjaran pahala berterusan walaupun setelah meninggal dunia.

ANEKDOT

DALIL tentang memuliakan guru

– Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang selalu mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

– “Bukanlah dari kalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, mereka yang tidak menyayangi anak-anak kecil, dan mereka yang tidak memberikan hak kepada guru kami.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Rasulullah ikon guru

HORMATI dan muliakanlah guru yang telah memerah keringat mencurahkan ilmu kepada kita.

– Kata al-Imam al-Ghazali: “Sesungguhnya ibu bapa adalah sebab kewujudan seorang anak dimuka bumi ini, namun kehidupan ini akan binasa. Sedangkan guru adalah sebab kejayaan abadi seseorang di akhirat yang kekal selamanya.” (Al-Ghazali, Ihya Ulum al-Din)

– Urwah ibn Mas’ud menceritakan bagaimana para sahabat amat mementingkan adab ketika berinteraksi dengan guru. “Para sahabat akan bercakap dengan suara yang rendah (sopan) ketika bertutur dengan Baginda, serta tidak menajamkan pandangan mereka (merenung dengan tajam) kerana menghormati Rasulullah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

– Ulama terdahulu juga direkodkan sangat menjaga adab mereka dengan guru. Ada diceritakan kisah al-Imam al-Syafie yang menyelak helaian kitabnya dengan perlahan ketika berguru dengan al-Imam al-Malik kerana risau mengusik ketenteraman gurunya.

– Al-Imam Abu Hanifah juga tidak berani melunjurkan kaki ke arah rumah gurunya, al-Imam Hammad bin Sulaiman sekali pun jarak di antara rumah mereka jauh.

– Ibnu Abbas yang ingin menuntut ilmu bersama Zaid sanggup menunggu di hadapan rumah gurunya supaya tidak menganggu Zaid yang sedang tidur.

***Petikan daripada Dr Zaizul Ab Rahman (Pensyarah Kanan dan Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia)

Foto: 123rf, Freepik & Unsplash