GURU umpama lilin yang membakar diri demi menerangi orang lain. Maksud peribahasa ini jelas menerangkan bahawa seorang guru sanggup berkorban masa dan tenaga demi memastikan anak didiknya berjaya dalam kehidupan.
Mengajar adalah salah satu pekerjaan yang paling mulia. Selain berkongsi ilmu, guru juga berperanan membentuk sahsiah para pelajar agar berguna untuk masyarakat.
Islam mengajar kita supaya menghormati guru sepertimana kita menghormati ibu bapa kerana guru umpama pengganti kedua orang tua ketika di sekolah ataupun di tempat-tempat menuntut ilmu. Ini kerana ilmu yang dituntut dengan adab yang baik adalah ilmu yang di dalamnya penuh dengan keberkatan.
Pesan Imam Malik RA: “Pelajarilah adab sebelum mempelajari sesuatu ilmu.”
Ia jelas menunjukkan bahawa bukan sahaja ilmu penting dalam kehidupan manusia, tetapi adab juga penting dalam proses menuntut ilmu. Ilmu bersama adab pastinya akan memberi lebih keberkatan dan manfaat dalam hidup seseorang.
Menerusi laman sesawang Institut Kefaham Islam Malaysia di bawah tajuk “Adab syarat penting cari ilmu, berguru dalam Islam” mencatatkan beberapa adab terhadap guru yang perlu kita terapkan ketika menuntut ilmu:
1. Memberi salam kepada guru
Selain dapat mewujudkan sikap hormat menghormati antara murid dengan guru, memberi salam juga adalah sunnah baginda Rasulullah SAW untuk merapatkan lagi hubungan persaudaraan antara murid dengan guru.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian.” (Hadis Riwayat Muslim)
Maka, dengan memberi salam kepada guru dapat memupuk perasaan kasih sayang kepada guru, bukan sahaja sebagai seorang manusia, malah sebagai salah seorang insan yang mencurahkan keringatnya untuk memberi ilmu kepada kita.
2. Bercakap menggunakan perkataan yang sopan
Lisan yang sopan juga merupakan salah satu adab berguru. Orang melayu khususnya sangat menitikberatkan kesopanan serta kesusilaan dan ia sangat penting untuk diterapkan dalam diri seorang pelajar.
Rasulullah yang sentiasa menggunakan perkataan yang elok untuk berbicara dengan sesiapa dan tidak pernah menggunakan bahasa yang kesat. Ini disebutkan di dalam satu hadis daripada Anas RA yang bermaksud:
“Selama sepuluh tahun aku berkhidmat untuk Rasulullah, aku tidak pernah mendengar baginda mengucapkan ‘ah’, sebagaimana baginda tidak pernah bertanya ‘apa yang kau lakukan’, ‘kenapa kamu lakukan ini? atau ‘bukankah seharusnya kamu melakukan seperti ini.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Baca juga Jaga-jagalah pertuturan kita, ia umpama suatu doa… Ramai yang tak sedar tentang perkara ini
3. Menghormati guru
Dalam Islam, Rasulullah mendidik kita agar menghormati bahkan memuliakan guru. Dalam sebuah hadis, al-Imam Ahmad menjelaskan bagaimana Rasulullah mendidik sahabat memberikan hak dan penghormatan kepada guru.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bukanlah di kalangan umatku mereka tidak memuliakan orang yang lebih tua, mereka yang tidak menyayangi anak kecil dan mereka yang tidak memberikan hak kepada guru kami.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)
Hadis ini jelas menyatakan bahawa Nabi sangat memualiakan gurunya. Beliau juga mendidik para sahabat untuk saling menghormati antara golongan muda dan tua bahkan wajib memberi penghormatan kepada guru.
4. Mendoakan kesejahteraan guru
Kita juga digalakkan untuk mendoakan guru-guru dengan doa yang baik. Sesungguhnya, setiap doa yang baik akan kembali kepada pendoanya. Tidak rugi jika kita mendoakan orang lain kerana doa juga merupakan hadiah terbaik buat semua orang termasuk guru yang telah banyak memberi ilmu.
Baca juga 7 Teknik berdoa yang bakal menjemput Rahmat ALLAH
ALLAH SWT berfirman di dalam al-Quran surah Al-Mukmin ayat 60 yang bermaksud: “Berdoalah kepada-KU (Kepada ALLAH), nescaya akan KU perkenankan bagimu”.
Guru telah banyak memberikan cahaya di dalam gelap buat kita. Mendoakan kebaikan dan kesejahteraan untuk mereka adalah antara cara untuk menunjukkan ingatan serta kasih sayang kepada mereka. ALLAH tidak akan mempersiakan doa hamba-NYA buat guru mereka.
5. Membuat kerja yang diberikan dengan bersungguh-sungguh
Bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara bermaksud menyempurnakan sesuatu tuntutan dengan sesempurna mungkin dengan niat yang ikhlas.
Di dalam sebuah hadis daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya ALLAH kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah dibuat secara tekun.” (Hadis Riwayat Imam al-Baihaqi)
ALLAH sangat mengasihi hamba-NYA yang melakukan sesuatu perkara dengan tekun, apatah lagi tugasan yang diberikan oleh guru dan menyiapkan semua tugasan yang diberikan. Ia akan mendapat keredaan daripada guru kerana telah melaksanakan tugasan dengan bersungguh-sungguh.
Jelaslah bahawa kita sebagai murid perlu taat dan mendengar setiap arahan guru sebagaimana yang telah diperintahkan oleh ALLAH. Oleh itu, peliharalah adab antara pelajar dan guru dalam mencari keberkatan ketika menuntut ilmu agar memmperolehi kejayaan dunia dan akhirat.
Foto: Pexels