Browsing Tag

OPR

OPR
Perbankan Islam,

Kesan OPR terhadap pembiayaan

PADA 8 September 2022, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman atau Overnight Policy Rate (OPR) sebanyak 25 mata asas menjadikan kadarnya yang terkini adalah 2.50 peratus.

Matlamat BNM menaikkan OPR untuk memastikan kadar inflasi kekal rendah dan stabil serta pada masa sama menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

OPR merujuk kepada kadar faedah yang ditetapkan oleh bank pusat seperti BNM di Malaysia untuk institusi kewangan yang membuat pinjaman antara mereka untuk tempoh satu malam.

Namun, adakah rakyat Malaysia faham kesan OPR ini terhadap pembiayaan yang diperoleh daripada institusi kewangan Islam atau ke atas pinjaman dalam konteks institusi kewangan konvensional?

Baca juga Perbankan Islam tidak meniru konvensional, hadam dulu penjelasan ini

Saya menjangkakan mungkin ramai yang masih belum faham kesan OPR ini terhadap pembiayaan secara Islam yang menjadi fokus tulisan saya pada kali ini.

Satu perkara yang kita perlu tahu adalah apabila BNM menaikkan OPR, maka institusi kewangan sama ada konvensional atau Islam, masing-masing akan menaikkan kadar faedah bagi pinjaman  atau kadar keuntungan bagi pembiayaan secara Islam.

Dengan lain perkataan, kenaikan OPR secara umumnya akan menjadikan kos pembiayaan lebih mahal berbanding kos pembiayaan ketika OPR yang lebih rendah. Ini kerana, ketika OPR tinggi, kadar keuntungan yang diambil oleh institusi kewangan Islam juga tinggi dan begitulah sebaliknya.

OPR

KOS pembiayaan akan menjadi lebih mahal ketika kadar OPR meningkat. -Gambar hiasan/FOTO: PEXELS

Bagi mereka yang telah mengambil pembiayaan, kesan secara langsung memang boleh dilihat terhadap pembiayaan yang menggunakan kadar terapung (floating rate). Ini kerana pembiayaan yang menggunakan kadar terapung akan dipengaruhi oleh turun naik Kadar Pembiayaan Asas /Base Financing Rate (BFR) atau Kadar Asas /Base Rate (BR). Ini kerana kedua-duanya akan dipengaruhi oleh turun naik OPR.

Meskipun begitu, kesannya tidaklah ketara sangat sebagaimana kesannya terhadap pinjaman konvensional. Ini kerana pembiayaan tersebut tetap terikat dengan kadar siling (ceiling rate).

Baca juga Manfaatkan Kemudahan Bantuan Bayaran Balik Pembiayaan Yang Ditawarkan Institusi Kewangan Islam

Ini bermakna, jika BFR atau BR naik melebihi kadar siling, maka kadar terpakai hanyalah setakat kadar siling sahaja. Sedangkan dalam pinjaman konvensional, kadar siling tidak terpakai dan kenaikan BLR akan mengikut sahaja kenaikan OPR walau setinggi mana sekalipun.

Namun, bagi mereka yang telah mengambil pembiayaan yang menggunakan kadar tetap (fixed rate), maka naik turun OPR tidak akan memberi kesan apa-apa. Ini bermakna dalam situasi OPR dinaikkan oleh BNM, penerima pembiayaan tersebut akan membuat bayaran yang sama sahaja setiap bulan meskipun kadar BFR atau BR dinaikkan oleh institusi kewangan tersebut akibat daripada kenaikan OPR.

Kadar terapung

Berbeza dengan mereka yang mengambil pembiayaan menggunakan kadar terapung di mana bayaran ansuran akan bertambah mengikut kenaikan BFR atau BR tetapi ia tidak akan melebihi kadar siling yang telah ditetapkan dan dipersetujui dalam perjanjian antara pihak institusi kewangan Islam dan pelanggannya.

Kebiasaannya pembiayaan perumahan yang menggunakan kadar terapung sementara pembiayaan peribadi atau kenderaan kebiasaannya menggunakan kadar tetap.

Baca juga Ijab qabul penentu kesahihan transaksi yang dibuat, jangan abaikan aspek ini ketika bermuamalat

Kesimpulannya, apabila kita telah memahami kesan OPR terhadap pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam, maka kita perlu berfikir panjang sama ada perlu atau tidak kita memohon pembiayaan pada saat begini sekiranya ia bukan satu keperluan, tetapi hanya sekadar untuk bermewah.

Kita perlu ukur baju pada badan sendiri agar sesuai dan tidak menyusahkan. Jadilah seorang yang bijak mengurus kewangan agar tidak menderita di kemudian hari. Wallahu a’lam.

***Artikel ditulis oleh Dr Shamsiah Mohamad yang berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

Foto: Unsplash