Browsing Tag

memukul anak

Dihukum sebatan
Isu,

Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

no comment

KEBANYAKAN ibu bapa dan nenek moyang kita begitu tegas mendidik anak-anak. Pantang anak buat salah, ada sahaja teguran diberikan. Ya, itulah yang berlaku pada zaman mereka.

Jika anak-anak tadi tidak ‘makan saman‘, barulah pendekatan merotan atau memukul dikenakan. Itu pun kalau ia melibatkan kesalahan besar seperti berlaku biadap kepada orang tua dan enggan menunaikan solat. Tujuannya bukanlah sebagai hukuman, tetapi hanya sebagai peringatan.

Ia merupakan antara cara untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna. Namun, peralihan zaman menyaksikan banyak perubahan berlaku.

Entah mengapa ada segelintir ibu bapa yang begitu mudah ‘menjatuhkan hukuman‘ memukul waima merotan anak masing-masing walaupun atas kesalahan kecil.

Paling menakutkan apabila ada dalam kalangan mereka dipengaruhi emosi yang meluap-luap ketika memukul anak sehingga mendatangkan kecederaan. Barangkali ia berpunca daripada faktor kepenatan selepas bekerja dan menguruskan hal keluarga.

Ketahuilah, meskipun Islam membenarkan kaedah merotan, namun ia bukanlah boleh dilakukan sesuka hati. Ada adab yang perlu dipenuhi.

Apakah adab-adab ketika merotan? Adakah ia merupakan kaedah utama dalam mendidik anak-anak? Pendidikan bagaimana yang dianjurkan oleh Islam untuk membentuk sahsiah dan peribadi yang baik?

Sebelum mengupas lanjut tentang topik itu, Perunding Keluarga dan Remaja, Siti Fatahiyah Mahamood mengingatkan umat Islam bahawa anak-anak adalah takdir dan kurniaan ALLAH SWT kepada pasangan ibu bapa.

SITI FATAHIYAH

Imam al-Ghazali mengatakan, anak-anak adalah amanah daripada ALLAH SWT untuk kita mendidik mencorakkan mereka.

“Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita dikehendaki memikul amanah ini dengan cara paling bijaksana. Ia sebagai tanda pengabdian kepada ALLAH SWT dan tanda kasih sayang kepada permata hati kita,“ katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Keperibadian ibu bapa

Siti Fatahiyah turut memperbetul tanggapan masyarakat yang rata-ratanya berpendapat bahawa tugas mendidik anak bermula ketika anak masih dalam kandungan atau sejak kecil lagi.

Ujarnya, tanggungjawab berkenaan sebenarnya bermula dengan pendidikan ibu bapa terlebih dahulu. Pendek kata, lebih kurang 20 tahun sebelum anak-anak itu dilahirkan.

“Demikianlah yang ditekankan oleh Islam. Ia termasuk dalam ciri-ciri pemilihan pasangan yang paling utama sebelum pernikahan iaitu pegangan agama, selain harta, kecantikan dan keturunannya.

“Ibu bapa seharusnya mempunyai keperibadian mulia, berperwatakan dan pemikiran yang baik serta pegangan agama yang kuat sebagai bekal utama untuk mendidik anak-anak yang bakal lahir.

“Ia merupakan amanah paling tinggi yang perlu kita laksanakan dengan sebaik-baiknya. Anak-anak adalah duta kepada ibu bapa.

“Kita perlu didik dengan mencorakkan mereka dengan baik agar hasil ‘lukisan‘ itu nanti akan menjadi indah di dunia dan di akhirat nanti,“ ujarnya.

Menyambung hujahnya, Siti Fatahiyah yang juga Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara menjelaskan, dalam perihal merotan, memang ada hadis yang jelas daripada Rasulullah SAW tentang perkara itu.

Daripada ‘Amru bin al-‘Ash RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur 10 tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.“ (Riwayat Abu Daud)

Merotan

MENJADI tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik anak-anak dan menegur mereka jika melakukan kesalahan.

Melihat ungkapan hadis tersebut, jelas beliau, mendidik anak-anak mendirikan solat bermula sejak usia tujuh tahun lagi. Merotan pula dibenarkan pada usia 10 tahun seandainya anak-anak tidak menunaikan kewajipan tersebut.

“Suka saya tekankan di sini bahawa Islam begitu menitikberatkan pendidikan mendirikan solat sejak anak berumur tujuh tahun, bukannya merotan mereka pada usia 10 tahun tanpa mendidik mereka dengan teliti berkaitan ibadah itu.

“Sekiranya ibu bapa mendidik mereka dengan penuh amanah dan tanggungjawab bermula dari umur tujuh tahun, pasti anak-anak akan berdisiplin mendirikan solat dengan penuh rukun dan sempurna,“ kata beliau.

Baca juga Sukar Khusyuk Ketika Solat, Boleh Cuba Kaedah Yang Disarankan Ini 

Pendekatan terakhir

Walaupun Islam membenarkan tindakan merotan sebagai pendekatan mendidik anak, namun Siti Fatahiyah menegaskan, ia adalah usaha paling akhir yang harus diambil selepas mendahulukan pendidikan awal dengan penuh berdisiplin.

“Ingatlah, tiada istilah memukul dibenarkan oleh Islam, itu yang kita risaukan. Dikhuatiri ada ibu bapa terbawa-bawa dengan emosi di luar kawalan sehingga memukul anak yang akhirnya menjadi kes dera.

“Kita tidak menafikan tugas mendidik dan membesarkan anak yang masih kecil memerlukan kesabaran tinggi. Selain daripada kasih sayang, ibu bapa mesti menyuntik perasaan ikhlas, sabar dan amanah selain fokus dalam pendidikan anak-anak,“ katanya.

Sebagai ibu bapa, ujar beliau, kita seharusnya menyediakan persekitaran pendidikan yang tenang dan penuh berhikmah dalam keluarga bagi melancarkan proses pendidikan anakanak.

“Seandainya kita membesarkan anak-anak dengan kasar dan asyik mencari kesalahan mereka, dikhuatiri anak akan memberontak dalam diam.

“Hasilnya mereka akan menjadi kasar dan baran dengan adik-beradik dan juga dengan orang di sekeling,“ katanya.

Senada dengan Siti Fatahiyah ialah pendakwah Mustafar Mohd Suki. Mustafar sekali lagi menegaskan, merotan adalah jalan terakhir dalam proses mendidik anak. Itu pun hanya melibatkan perkara yang menjadi kewajipan hidup sebagai seorang Muslim.

MUSTAFAR

Seperkara lagi, beliau mengingatkan bahawa pendekatan tersebut adalah bertujuan untuk mendidik, bukan untuk menghukum.

“Dalam Islam, ada satu konsep dipanggil sebagai tadarruj (berperingkat-peringkat). Proses pembesaran anak-anak ada peringkatnya yang tersendiri dan begitu juga hukuman yang dikenakan.

“Pertama sekali, kita kena faham bahawa walaupun merotan ada dalam hadis dan perbincangan para ulama, tetapi tujuannya bukan salah sikit, kita terus rotan,“ katanya memperbetul persepsi masyarakat tentang pendekatan tersebut.

Adab merotan

Sebaliknya, Mustafar yang juga Pengasas Tadbir Insan Training & Consultancy menjelaskan, anak-anak tadi perlu diajar untuk mendalami agama pada peringkat awal supaya tidaklah sampai mereka dikenakan tindakan sedemikian.

“Malah, sebelum sesuatu tindakan diambil, anak-anak perlu diberi amaran dahulu akibat daripada perilaku mereka. Balasan dengan hukuman itu kena seimbang dalam mendidik anak-anak.

“Jika anak-anak enggan juga ambil pusing dengan semua pendekatan tadi, maka merotan adalah jalan terakhir,“ katanya.

Merotan


JIKA anak ada melakukan kesalahan, usahlah memarahi mereka dengan kata-kata yang kesar. Sebaliknya, tegurlah secara berhemah dan berhikmah.

Pendakwah itu menjelaskan, ada beberapa adab yang digariskan syariat apabila kita merotan anak-anak sebagai satu peringatan dan pengajaran kepada mereka.

Pertama sekali, katanya, untuk mengajar anak, kita mestilah berniat merotan semata-mata untuk mendidik dan memberi pengajaran.

“Ketahuilah, konsep merotan anak ini tidak boleh lebih daripada 10 kali. Dalam sebuah hadis Riwayat al-Bukhari, ada dinyatakan perkara itu kerana ia merupakan perkara yang dilarang oleh agama.

“Bahkan, ia bukanlah bermaksud kita boleh terus pukul sebanyak 10 kali, tetapi sekali pukulan dulu.

“Selain itu, kita dilarang memukul pada bahagian yang boleh mencederakan seperti muka dan perut. Jangan pukul sehingga boleh mendatangkan mudarat kepada mereka.

“Satu lagi, usahlah sesekali pukul anak dalam keadaan marah atau ketika emosi tidak stabil kerana dikhuatiri berlaku perkara di luar jangkaan.

“Bukan sahaja ibu bapa, sebaliknya kedua-dua orang tua juga boleh mewakilkan hukuman rotan tersebut kepada guru jika mereka ada masalah disiplin dan seumpamanya.

“Namun, tidak dibenarkan sama sekali pukulan itu diwakilkan kepada rakan-rakan anak tersebut,“ katanya mengakhiri bicaranya.

Tekankan konsep basyir, nazir dalam membentuk peribadi si kecil

DALAM mendidik anak-anak, Islam begitu menekankan konsep basyir (membawa berita gembira) dan nazir (memberi peringatan) sebagaimana yang dilakukan menerusi dakwah Rasulullah SAW.

Pendakwah Senator Asmak Husin menjelaskan, hal itu sebenarnya bergantung kepada pendekatan dan penerimaan oleh anak-anak itu sendiri.

ASMAK

Ujar beliau, bagi anak kecil, konsep basyir perlu ditekankan dengan memberikan apresiasi, pujian, hadiah, semangat dan kefahaman agar mereka lebih termotivasi untuk melakukan perkara baik.

“Apabila mereka menjauhi perkara nahi mungkar, wajar kita memberikan penghargaan supaya mereka gembira dan tahu bahawa sifat yang terpuji akan membawa balasan yang baik.

“Pada masa sama, kita juga boleh menggunakan pendekatan nazir yang berbentuk ancaman jika kanak-kanak tadi tidak boleh dididik dengan cara lembut.

“Barangkali perlu ada unsur ketegasan di situ supaya anak-anak sedar mereka berbuat kesalahan dan cuba memperbetulkannya,“ katanya.

Asmak menambah, proses itu sentiasa berjalan sejak anak masih kecil sehinggalah dewasa dalam usaha untuk membimbing mereka menjadi insan yang lebih baik demi menyempurnakan tanggungjawab yang diberikan oleh ALLAH SWT kepada ibu bapa.

Ia sebagaimana disebutkan oleh ALLAH menerusi firman-NYA: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; penjaganya malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada ALLAH dalamsegala yang diperintahkan-NYA kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.“ (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Beliau mengakui, bukan mudah untuk mendidik anak-anak. Namun, tugas yang diamanahkan itu perlu digalas dengan sempurna.

“Anak kecil mungkin mudah terikut dengan keadaan di sekeliling mereka. Namun, bagi yang sudah besar pula, ibu bapa perlu memberikan kefahaman mengapa mereka tidak boleh melakukan suatu perkara itu.

“Ia penting kerana anak yang sudah besar ada pendirian, mula ada keinginan dan inisiatif sendiri. Apabila kita memberitahu tentang kesalahan mereka, anak-anak akan memilih jalan (penyelesaian) yang dirasakan sesuai untuk dirinya,“ ujarnya.

Jelas beliau lagi, pendidikan terbaik adalah pendidikan sekeliling. Ini bermakna, bukan sahaja ibu bapa, tetapi keadaan sekeliling seperti psikologi, rakan-rakan, perkara yang dilihat, didengari dan disentuh oleh mereka juga memainkan peranan dalam pembentukan seorang insan.

“Pendidikan juga ada dua jenis iaitu formal dan tidak formal. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam dua jenis pendidikan itu. Disiplin antaranya akan membolehkan anak-anak memahami konsep, hala tuju dan falsafah yang perlu diterapkan dalam diri mereka.

“Jangan sesekali biarkan anak-anak hidup tanpa bimbingan dan kawalan kerana dikhuatiri mereka akan hanyut dalam dunia masing-masing,“ katanya.

ANEKDOT

HAK anak-anak yang perlu dipenuhi menurut Abdullah Nasih Ulwan

Merotan

IBU bapa boleh mewakilkan hukuman rotan kepada guru jika anak mereka mempunyai masalah disiplin.

1. Keimanan

Ia merupakan perkara paling asas dalam pembangunan akidah yang betul dan sahih. Penting untuk anak-anak mengenal ALLAH SWT, Rasulullah SAW, hari kiamat, dosa dan pahala.

2. Pendidikan akhlak

Bermula sejak kecil, akhlak perlu diajar supaya ia menjadi kebiasaan anak-anak berakhlak berpandukan syariat. Ia tidak boleh diubah dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan latihan.

3. Jasmani dan fizikal

Ibu bapa hendaklah memastikan jasmani dan fizikal anak-anak dalam keadaan bagus. Sebab itulah Rasulullah SAW menganjurkan agar kita belajar memanah, berkuda dan sebagainya.

4. Pendidikan akal

Menjadi tanggungjawab kita sebagai kedua orang tua untuk memberikan pendidikan akal dari segi pembangunan akademik, hal ehwal keduniaan, ilmu fardu ain dan fardu kifayah.

5. Pendidikan jiwa

Ia sangat berkait rapat dengan emosi dan pembinaan dalaman psikologi yang membentuk cara bagaimana anak-anak itu akan membawa diri kelak.

6. Pendidikan kemasyarakatan

Penting untuk anak-anak diberikan didikan awal tentang hak dan tanggungjawab terhadap ibu bapa, guru, rakan-rakan, kanak-kanak dan makhluk sekeliling. Mereka akan membesar dengan erti nilai, etika dan tanggungjawab untuk menjadi insan yang baik.

7. Pendidikan seksualiti

Secara fizikalnya, anak-anak akan berkembang mengikut peringkat usia masing-masing. Sebagai ibu bapa, kita perlu mencorakkan mereka supaya membentuk pemikiran yang betul terhadap seksualiti dan selainnya.

Sumber: Pendakwah, Senator Asmak Husin

Foto: Freepik