SEBAGAI seorang hamba kepada Sang Pencipta, kita sentiasa tunduk dan bersujud kepada ALLAH SWT pada setiap hari apabila menunaikan ibadah solat fardu lima waktu. Ya, itulah kewajipan yang disyariatkan ke atas setiap hamba-NYA.
Alhamdulillah, semua faham dan mengerti dengan ibadah yang menjadi tiang agama suci ini.
Ia hanya dibezakan dengan cara kita menunaikan solat sama ada secara berjemaah atau bersendirian, pada awal waktu atau sebaliknya selain tahap kekhusyukan kita sewaktu menghadap ALLAH.
Jika diteliti, pelbagai ragam orang solat boleh kita lihat terutama jika ia dilakukan secara bersendirian. Segelintir orang pula lebih selesa menunaikan solat dalam suasana yang tenang.
Malah, ada orang yang terpaksa memejamkan mata sambil mulut terkumat-kamit dengan bacaan kuat sehingga boleh didengari oleh mereka yang duduk berhampiran dengannya. Semua itu dilakukan semata-mata demi memperoleh khusyuk dalam solat.
Masakan tidak, khusyuk sukar digapai apatah lagi jika fikiran terganggu semasa sedang ‘bertemu’ dengan Sang Pencipta.
Sebenarnya, apakah yang dimaksudkan khusyuk dalam solat dan bagaimanakah cara untuk meraihnya? Berdosakah jika kita gagal mendapatkan khusyuk tatkala menunaikan Rukun Islam kedua itu?
Penghayatan solat
Ketika persoalan itu dilontarkan, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi), Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, perkataan khusyuk berasal daripada bahasa Arab. Ia membawa erti tunduk, tenang atau fokus.
Dalam menghuraikan pengertian khusyuk, beliau mengemukakan pandangan Imam Hasan al-Basri mengenainya.
Cendekiawan Muslim itu menerangkan bahawa khusyuk adalah perbuatan atau sifat hati. Apabila hati itu tunduk, fokus dan tenang, maka ia akan menggerakkan seluruh anggota untuk merasai ketenangan dan mematuhi kehendak jiwa yang suci itu.
“Atas dasar itu, Imam Ibn Rajab al-Hanbali menegaskan bahawa khusyuk berasal daripada kelembutan dan kepatuhan jiwa yang akan mempengaruhi tindak tanduk anggota badan secara automatik.
“Dalam erti kata lain, hati yang khusyuk secara tidak langsung menyebabkan mata kita tunduk dan anggota kita patuh dengan sendirinya kerana penghayatan yang tinggi tanpa perlu kita memejamkan mata secara paksa,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Kepada satu soalan, Dr Ahmad Sanusi menjawab: “Mereka yang mendirikan solat dengan lalai dan leka itu tidak semestinya solat mereka tertolak. Bahkan, menurut Imam an-Nawawi dalam Kitab al-Majmuk, solat seseorang itu masih lagi sah walaupun tidak disertakan dengan khusyuk.
“Namun, sudah tentulah mereka yang mendirikan solat dengan khusyuk akan mendapat ganjaran pahala yang lebih berdasarkan tumpuan dan kesungguhan mereka mengabdikan diri kepada ALLAH.
“Malah, al-Quran memberikan gambaran kepada kita bahawa antara ciri orang mukmin yang berjaya ialah mereka yang mendirikan solat dengan khusyuk.”
Menyambung hujahnya, Dr Ahmad Sanusi berbicara tentang gangguan yang acap kali dihadapi oleh kebanyakan kita apabila menunaikan ibadah berkenaan.
Perkara itu ada dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW: “Dan apabila azan selesai, maka syaitan akan kembali (mengganggu) hinggalah iqamah dilaungkan, maka syaitan akan berpaling semula hinggalah iqamah selesai, maka dia kembali (mengganggu) hingga mengingatkan antara seseorang dengan dirinya, dia berkata, ‘Ingat ini, ingat ini‘ untuk sesuatu yang tidak dia ingat sebelumnya sehingga seseorang itu tidak tahu berapa rakaat dia telah solat.“ (Riwayat al-Bukhari)
“Atas sebab itu tidak mustahil sekiranya kita sedang mendirikan solat, pelbagai perkara akan datang melintasi fikiran kerana ketika itulah syaitan berusaha mengganggu kesempurnaan solat kita,” ujarnya.
Memahami makna
Dr Ahmad Sanusi yang juga Setiausaha Agung Majlis Ulama Isma turut berkongsi kaedah yang digariskan oleh sarjana silam untuk kita menggapai solat yang khusyuk.
Ujar beliau, pertama sekali, seseorang itu hendaklah memahami setiap patah ayat yang diungkapkan sepanjang menunaikan ibadah itu. Ia bagi membantu kita memahami maknanya sehingga kita berasa seakan-akan sedang berdialog dengan ALLAH.
“Sebelum menunaikan solat, pastikan kita melakukan persediaan jiwa yang cukup iaitu memberi tumpuan kepada ALLAH. Seperkara lagi, jauhkanlah diri daripada segala perkara yang mengganggu kita beribadah.
“Umpamanya, tinggalkan telefon atau matikan telefon bimbit bagi mengelakkan sebarang gangguan,” ujarnya.
Baca juga Makanan Paling Lazat Di Dunia dan Syurga
Apakah perkara yang boleh menghalang kita daripada mencapai khusyuk dalam solat?
Menjawab persoalan itu, pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz menjelaskan, terdapat tiga jenis penghalang utama iaitu aspek fizikal, fikiran dan spiritual.
Dari segi fizikal, katanya, ia disebabkan oleh sikap kita sendiri yang barangkali menahan kencing atau membiarkan perut lapar sebelum solat.
“Selain itu, kebanyakan kita akan terganggu fikiran ketika solat.
“Pada masa itulah, segala perkara yang berkaitan dengan kehidupan seperti masalah kemiskinan, pekerjaan, kawan, pergaduhan dan rumah tangga menerawang dalam fikiran sehingga mengganggu kita untuk mencapai khusyuk.
“Satu lagi adalah berkaitan aspek rohani. Barangkali kita pernah terlibat dengan perkara-perkara haram dan yang dilarang oleh-NYA menyebabkan rohani kita kotor. Sebab itulah pentingnya kita menjaga semua perkara ini demi mendapatkan solat yang benar-benar khusyuk,” katanya.
Solat di masjid berbeza
Agamawan itu menambah, solat merupakan perintah daripada ALLAH. Sewajarnya kita berasa bangga apabila diberikan kewajipan berkenaan sepertimana kita berasa sedemikian tatkala menerima tanggungjawab daripada manusia.
“Justeru, untuk mendapatkan khusyuk dalam solat, kita perlu ada ilmu. Pertama sekali, kita harus memahami ibadah itu, kemudian pilihlah tempat yang bersih, selesa dan tidak bising.
“Pakaian yang dipakai untuk menghadap ALLAH juga mestilah bersih dan kemas. Kalau boleh biarlah kita solat secara berjemaah di masjid.
“Sekiranya mampu, solatlah di masjid-masjid yang berbeza kerana kata ulama, manalah tahu kita berpeluang untuk sujud di satu masjid yang pernah menjadi tempat malaikat bersujud.
“Secara tidak langsung, kita akan peroleh kebaikan asbab kita sujud bertepatan dengan sujud malaikat,” ujarnya.
Begitupun, seandainya kita sudah melakukan semua perkara yang disarankan untuk mendapatkan solat yang khusyuk, Hassan Mahmud menasihatkan kita agar terus bersabar.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan umat Islam supaya tidak berputus asa dalam meraih kekhusyukan.
“Ya, semua orang mahu berasa kelazatan beribadah. Itulah maksud khusyuk dalam erti kata yang mudah. Ia sama seperti kita makan dan menambah makanan tadi kerana kelazatannya.
“Ada orang mungkin cepat mendapat hidayah-NYA dan ada juga yang sebaliknya. Paling penting, teruskan berdoa agar kita khusyuk beribadah dengan mengamalkan doa; Ya muqallibal qulub, thabbit qalbi ‘ala dinik (Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan hati ini di atas agama-MU).
“Apa pun, jangan cepat menyerah kalah untuk mencapai khusyuk dalam solat. Percayalah, suatu saat nanti pasti ALLAH akan kurniakan nikmat berkenaan kepada kita,” katanya mengakhiri bicaranya.
Hubung kait antara solat dan kejayaan manusia
Ibadah solat sering kali dikaitkan secara langsung dengan kejayaan di dunia dan di akhirat. Begitu juga dengan lafaz hayya ‘ala al-falah (marilah menuju kejayaan) seperti yang terkandung dalam azan itu sendiri.
Pun begitu, entah di mana silapnya, masih ada segelintir orang yang menyanggah perkaitan berkenaan dengan tanggapan bahawa orang yang meninggalkan solat tetap memperoleh kejayaan dalam hidup.
Merungkai persoalan berkenaan, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Mohd Hasrul Shuhari menjelaskan, dalam Islam, silibus ilmu akidah Ahli Sunah Waljamaah mengajar umat Islam tentang perkara yang wajib, mustahil dan harus bagi ALLAH SWT.
“Dalam hal itu, harus bagi ALLAH antaranya untuk memberi kejayaan kepada sesiapa pun waima orang itu beriman, fasik, zalim, munafik, bahkan kafir. Begitu juga sebaliknya, harus bagi ALLAH untuk memberi kegagalan kepada sesiapa pun. Ini kerana ia tidak termasuk dalam perkara wajib atau mustahil bagi ALLAH,“ katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.
Dalam konteks solat pula, Dr Mohd Hasrul berkata, harus bagi ALLAH mengurniakan kejayaan kepada seseorang yang meninggalkan solat dan memberikan kegagalan kepada seseorang yang mengerjakan solat.
“Ketahuilah bahawa semua itu adalah ujian daripada-NYA kepada semua makhluk-NYA,“ katanya.
Dalam pada itu, ahli akademik itu turut mengingatkan seluruh umat Islam agar tidak melengah-lengahkan solat.
Ujarnya, ada banyak nas yang memberi amaran kepada golongan tersebut dan mereka yang cuai melunaskan kewajipan masing-masing.
Antaranya, ALLAH berfirman: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menerima azab (dalam neraka), kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh.“(Surah Maryam, ayat 59-60)
Beliau turut menukilkan pandangan Ibnu Abbas RA ketika mentafsirkan ayat itu bahawa ia merujuk kepada perbuatan melewat-lewatkan solat dari waktunya.
“Said bin Musayyib Rahimahullah pula menyatakan bahawa ia merujuk kepada seseorang yang tidak solat Zuhur kecuali sehingga datangnya waktu Asar dan tidak solat Asar sehingga datangnya waktu Maghrib dan tidak solat Maghrib sehingga datangnya waktu Isyak dan tidak solat Isyak sehingga datangnya waktu solat Subuh, kemudian tidak menunaikan solat Subuh sehingga terbitnya matahari.
“Maka sesiapa yang mati dalam keadaan hidupnya sedemikian dan tidak bertaubat (sebelum matinya), maka ALLAH akan meletakkannya dalam golongan orang yang berdosa,” katanya.
ANEKDOT
HUKUM memejamkan mata untuk khusyuk dalam solat
– Makruh hukumnya jika seseorang tidak memandang ke tempat sujudnya semasa solat.
– Dalam erti kata lain, seseorang yang memandang ke kiri dan ke kanan atau dirinya mengangkat pandangannya ke atas, cara itu disifatkan amat jauh daripada konsep solat yang memerlukan seseorang khusyuk, khudu‘ (tunduk) dan tekun.
– Sementelah, disunatkan untuk kita solat dengan menundukkan pandangan menghadap ke tempat sujud.
– Memejam mata dalam solat asalnya makruh hukumnya kerana bercanggah dengan tuntutan memandang ke tempat sujud.
– Begitupun, seandainya cara itu didapati lebih membantu untuk fokus dan khusyuk ketika solat, maka ia dibolehkan dan kadangkala menjadi lebih utama.
Sumber: https://muftiwp.gov.my/
Foto: Freepik & Bernama