Browsing Tag

Melewat-lewatkan solat

Melewat-lewatkan solat
Hukum,

Berdosakah melewat-lewatkan solat fardu? Ini penjelasannya

USAH sesekali melewat-lewatkan solat fardu. Sebaiknya tunaikan ia pada awal waktu, baru sempurna segala urusan yang bakal dibuat. Lebih molek lagi dirikan kewajipan itu secara berjemaah di masjid.

Namun begitu, adakalanya mungkin kita terpaksa menangguhkan ibadah berkenaan untuk urusan penting yang tidak dapat dielakkan, tetapi masih melaksanakan Rukun Islam kedua itu pada waktu ditetapkan.

Tidak kurang juga ada kelompok yang melewat-lewatkan solat sehingga hampir penghujung waktu, barulah kelam-kabut untuk melunaskannya.

Ya, begitulah olah yang dapat dilihat daripada insan di sekeliling kita setiap kali tibanya waktu solat fardu.

Semua lima waktu solat tersebut iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak telah ditetapkan masanya sebagaimana disebutkan dalam ayat 103, Surah an-Nisa’.

Baca juga Jangan lakukan kesilapan ini ketika solat

Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, waktu-waktu solat berkenaan secara terperinci telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam beberapa hadis yang sahih.

DR SYED SHAHRIDZAN

“Antara tujuan ketetapan waktu-waktu berkenaan adalah untuk memberi pilihan yang fleksibel kepada para mukalaf untuk mendirikan solat antara mula masuk waktu solat sehingga sebelum keluar waktu.

“Selain itu, ia juga memberi kemudahan keluasan waktu untuk umat mendirikan solat berdasarkan keperluan masing-masing,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Baca juga Tinggalkan atau tak solat langsung, ramai yang tak pandang ini sebagai jenayah, padahal….

Malangnya, masih ada sebilangan orang yang kurang kesedaran tentang perkara itu dan sengaja melewat-lewatkan solat sehinggakan hampir ‘terbabas’ waktu. Bagaimana jika individu berkenaan meninggal dunia dan tidak sempat mendirikan solat? Adakah ia dikira mati dalam keadaan berdosa?

Ujar Dr Syed Shahridzan, pada asasnya, para ulama menghukumkan harus menangguh-nangguhkan atau melambat-lambatkan solat.

Ia berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Musa al-Asy’ari RA yang meriwayatkan daripada Rasulullah SAW bahawa seorang lelaki datang menemui baginda dan bertanyakan tentang waktu-waktu solat. Namun, baginda tidak menjawab sama sekali.

Melewat-lewatkan solat

TUNAIKANLAH solat dalam waktu yang ditetapkan kerana kewajipan itu tidak akan gugur sekalipun kita sakit.

Abu Musa berkata: “Kemudian baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Subuh ketika mula terbit fajar dalam keadaan para sahabat hampir tidak mengenali antara satu sama lain (masih gelap). Kemudian baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Zuhur semasa matahari tergelincir, ketika ada yang berkata: ‘Bukankah sekarang masih lagi tengah hari (belum Zuhur)?’ Sedangkan baginda lebih tahu daripada mereka. Kemudian baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Asar ketika matahari masih lagi tinggi. Kemudian baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Maghrib ketika matahari terbenam. Tidak lama setelah itu, baginda memerintahkan Bilal melaungkan iqamah Isyak ketika ufuk merah telah hilang.

Keesokan harinya, baginda melewatkan solat Subuh, sehinggakan sesudah baginda selesai solat, ada yang berkata: ‘Matahari telah terbit atau hampir terbit.’ Setelah itu baginda melewatkan solat Zuhur hingga hampir masuk waktu Asar seperti waktu Asar semalam. Kemudian baginda melewatkan solat Asar, sehinggakan sesudah baginda selesai solat, ada yang berkata: ‘Matahari telah kemerahan.’ Kemudian baginda melewatkan solat Maghrib sehingga ufuk merah hampir menghilang. Setelah itu Baginda melewatkan solat Isyak sehingga sepertiga pertama malam berlalu. Pada keesokkan hari, baginda memanggil lelaki yang bertanya itu dan bersabda: ‘Waktu-waktu solat adalah di antara dua waktu ini’.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis berkenaan, agamawan itu menyebut, para fuqaha meletakkan hukum harus menangguhkan solat selagi mana waktu itu masih ada.

Baca juga Jika tengah solat pada hujung waktu dan dengar azan, jangan berhenti, teruskan sembahyang

“Ia berdasarkan kepada amalan Rasulullah SAW pada penghujung waktu solat atas tujuan pendidikan,” katanya.

Bagaimanapun, jelas pendakwah itu, ulama Mazhab Syafie ada memperincikan tahap penangguhan solat yang diharuskan. Ini kerana terdapat kategori yang membawa kepada hukum makruh dan haram. Berikut butirannya;

Melewat-lewatkan solat

PELIHARALAH solat kita kerana ia menjadi amalan pertama yang akan ditanya di akhirat kelak.

i. Makruh (kecuali Zuhur) – Iaitu jika seseorang menangguhkan solat tanpa uzur syarie sehingga tempoh waktu solat yang berbaki cukup-cukup untuk didirikan dalam waktunya.

ii. Haram – Iaitu menangguhkan solat tanpa uzur syarie sehingga tempoh waktu solat yang berbaki tidak mencukupi untuk sembahyang itu didirikan sehinggakan sebahagian rakaat dilaksanakan di luar waktu berkenaan.

Begitupun, andai solat itu dilewat-lewatkan selain daripada kedua-dua keadaan itu, Dr Syed Shahridzan menjelaskan, maka hukumnya adalah harus.

Katanya, keharusan menangguhkan solat itu bergantung kepada niat seseorang iaitu;

i. Jika seseorang ingin melewatkan solat, dia perlu berazam untuk mendirikan solat di dalam waktu. Jika penangguhan itu berserta dengan keazaman mendirikan dalam waktunya dan ditakdirkan dia meninggal dunia sebelum sempat solat didirikan, maka dia tidak dikira meninggal dalam keadaan berdosa.

ii. Jika seseorang melewatkan solat, namun dia tiada keazaman untuk mendirikan solat di dalam waktu, mungkin kerana kebiasaannya dia jenis individu yang sering meninggalkan. Andai penangguhan itu tidak disertakan dengan keazaman tersebut dan ditakdirkan dia meninggal dunia, maka dia dikira meninggal dalam keadaan berdosa.

Meskipun demikian, penceramah itu menyarankan agar umat Islam menunaikan kewajipan itu pada awal waktu.

Melewat-lewatkan solat

TUNAIKANLAH solat pada awal waktu dan lakukanlah secara berjemaah.

“Ketahuilah, amalan itu begitu digalakkan kerana ia menjanjikan ganjaran pahala yang tinggi dan antara amalan yang paling dicintai oleh ALLAH SWT.

Baca juga Mahu Berjaya Dalam Hidup, Bersolatlah Di Awal Waktu

“Malah, Rasulullah SAW dalam Hadis Riwayat Abu Daud bersabda bahawa solat pada awal waktu merupakan amalan yang paling afdal,” ungkap beliau.

Andai tiada perkara yang begitu mendesak, sama-samalah kita solat pada awal waktu. Hati pun lebih tenang apabila kita sudah melunaskan hak ALLAH itu.

Sesibuk mana pun, jangan sesekali kita meninggalkan kefarduan itu. Ingatlah, ia merupakan amalan pertama yang bakal dihisab di akhirat kelak.

Foto: Bernama, 123rf, Pexels & Freepik