Browsing Tag

mecca

Kemerdekaan
Istimewa Panggilan Baitullah,

Haji, klimaks manifestasi pengabdian manusia

OLEH: DR HJ HIDRIS

 

ZULHIJJAH, bulan terakhir dalam kalendar Islam hadir kembali menggamit setiap insan Muslim untuk sama-sama menghayati rukun Islam yang terakhir iaitu ibadat haji di Mekah al Mukarramah.

Ibadat ini menyempurnakan keislaman seseorang yang telah melaksanakannya kerana Islam itu sendiri dibina atas lima perkara sepertimana sabda baginda Rasulullah SAW, “Islam dibangun di atas lima perkara: Bersaksi tidak ada sembahan yang berhak disembah selain ALLAH dan mengaku Muhammad adalah utusan-NYA, mendirikan solat, menunaikan zakat, berhaji dan berpuasa di bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Nilai ketauhidan tertinggi terkandung dalam makna ibadah haji sehingga ALLAH berjanji mengurniakan syurga sebagai pahala haji mabrur.

Ibadat haji mengandungi makna dan nilai-nilai ketauhidan yang tinggi sehingga ALLAH SWT berjanji untuk memberi ganjaran syurga sebagai pahala haji mabrur. Ia adalah penzahiran kepatuhan, keimanan dan klimaks tawakal terbesar Nabi Ibrahim AS atas perintah ALLAH SWT.

Baca juga: Jemaah haji fokus 4 amalan ini sebelum berangkat ke Mekah

Wanita tolak panggilan haji, alasan diberi cukup mengharukan

Manifestasi sejarah ini mengisyaratkan kepada kita bahawa pergantungan kita sebagai umat manusia adalah semata-mata ALLAH. Situasi yang penuh cabaran ketika di Mekah baik dari segi iklim, geografi, jutaan manusia dan sebagainya melahirkan jemaah haji yang bergantung penuh dengan YANG MAHA PERKASA serta mempunyai pengalaman kerohanian, mental dan fizikal yang sangat kuat untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Puluhan ribuan rakyat Malaysia dijemput ALLAH menjadi tetamu-NYA pada tahun ini. Menambah keterujaan ialah mungkin ada antara mereka pergi untuk kali pertama dalam hidup malah menjadi pengalaman pertama buat mereka yang diberi peluang untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci Mekah.

DOA terus dipanjatkan ke hadrat ILAHI, memohon agar diri terus istiqamah menunaikan segala suruhan ALLAH selepas pulang ke tanahair

Namun, apakah ibadat ini akan meningkatkan kualiti keislaman umat Islam sebagai satu kembara mendekati MAHA PENCIPTA atau sebaliknya? Hal ini yang perlu direnungi agar makna ibadat haji itu tidak kosong tetapi ia penuh dengan taqarrubillah (mendekatkan diri kepada ALLAH) sehingga dapat direalisasikan dalam hidup ini.

‘Adventur’ yang melengkapkan makna kehidupan

Sedar atau tidak, kehidupan seorang Muslim dipenuhi dengan pengorbanan. Kita sentiasa berkorban masa, tenaga, harta dan sebagainya dalam memenuhi tuntutan diri.

Realiti pengorbanan ini dicitrakan melalui proses perjalanan haji yang dijalani tanpa sebarang alasan kepada ALLAH tentang kepayahan yang dihadapi. Bahkan ‘adventur’ ini memberikan pengajaran dan kesedaran kepada diri akan keadaan kembara yang bakal ditempuh di akhirat.

Imam al Ghazali menyingkap beberapa rahsia di sebalik manasik haji ini di dalam Kitab Asrar al Hajj (Rahsia-rahsia Ibadat Haji) dan menyebut, “setiap keadaan yang terdapat di dalam ibadat haji merupakan gambaran tentang keadaan di akhirat kelak”.

Imam al Ghazali menyarankan setiap umat Islam hendaklah memiliki azam yang kuat untuk berkunjung ke Baitullah dengan disertai niat yang baik.

Niat ini perlu menjauhi rasa ingin dipuji orang atau menggapai populariti sosial kerana harus kita sedari bahawa ikhtiar menuju Baitullah adalah usaha untuk mendapatkan sesuatu yang agung sehingga amatlah wajar jika dugaannya amat berat. Oleh itu, tanamlah keazaman yang kuat di dalam sanubari dengan niat untuk beribadat hanya kerana ALLAH.

Seterusnya, Imam al Ghazali juga mengajak kita melakukan at-tajarrud. Beliau menjelaskan sekiranya orang yang berhaji tidak melakukan at-tajarrud maka kalimah talbiyah yang diucap sekadar kata-kata kosong malah akan dipertanyakan kelak tujuan musafir ini.

Hal ini kerana kezaliman dan kemaksiatan adalah dua aspek yang bertentangan dengan makna yang terkandung dalam lafaz talbiyah yang sentiasa diucapkan di bibir jemaah haji.

“Labbaikallahumma labbaik, labbaika la syarika laka labbaik, innal hamda wan ni‘mata laka wal mulk la syarika lak” (Aku datang memenuhi panggilan-MU ya ALLAH. Aku datang memenuhi panggilan-MU. Aku datang memenuhi panggilan-MU. Tiada sekutu bagi-MU. Aku datang memenuhi panggilan-MU. Sungguh, segala puji, nikmat, dan segala kekuasaan adalah milik-MU. Tiada sekutu bagi-MU).

Syafaat orang soleh

Ada kalanya, apabila kita menerima panggilan haji timbul kegusaran di hati sekiranya bekal haji tidak mencukupi namun tidak perlu cemas kerana masih ada harapan bagi kita untuk menerima bantuan orang lain.

Imam al-Ghazali mengandaikan lagi, kiranya jika kita kekurangan amal kebaikan sewaktu menempuhi perjalanan akhirat nanti kerana sudah pasti tiada apa yang akan menolong kecuali syafaat daripada orang-orang tertentu yang ALLAH perkenankan serta amalan soleh yang dilakukan di dunia ini.

Ingatlah, pakaian ihram yang dipakai ketika haji hampir serupa dengan kain kafan yang sama-sama kosong tanpa sebarang jahitan.

Balutan ihram yang dililitkan ke tubuh menyamai lilitan dan ikatan kain kafan nanti. Justeru, al-Ghazali berpesan ketika mana membeli kain ihram hendaklah kita ingat bahawa kelak nanti kita akan mati dan akan dibungkus dengan kain kafan yang polos tanpa sebarang jahitan.

Imam al-Ghazali turut mengumpamakan jemaah haji yang memasuki kota Mekah seperti orang-orang yang sedang memasuki jalan menuju Tuhan yang mengharap keselamatan daripada segala siksaan-NYA.

Sebuah syair Arab menyebut, “al-kurm ‘amim (kedermawanan adalah kesempurnaan), wa al-rabb rahîm (Tuhan ialah YANG MAHA PENGASIH), wa sharaf al-bayt ‘azim (kemuliaan Baitullah amatlah besar), wa haqq al-zair mar‘iyy (hak para penziarah dijaga selalu), wa dimam al-mustajir al-la’iz ghayr mudi‘ (dan darah orang yang meminta perlindungan tidak pernah disia-siakan).”

Baca juga: Cabaran umat Islam era pra-merdeka menunaikan ibadah haji.

Pelbagai hikmah terkandung dalam ibadat haji sama ada yang disebut dalam al-Quran mahupun dicari sendiri oleh umat Islam.  Hikmah dan kehebatan ini wajar diperhalusi dan ditanam dalam diri supaya mampu menjadi Muslim berkualiti.

Kesimpulannya, ibadat haji mengajar kita untuk bersedia menghadapi segala dugaan dalam melaksanakan hukum syariat ALLAH di muka bumi ini. Ibadat haji mengingatkan diri kita untuk tidak memberi alasan kepada ALLAH dalam melaksanakan kewajipan menegakkan agama Islam kerana kita adalah hamba-NYA. Wallahualam.

 

Glosari:

At-tajarrud:  Tindakan meninggalkan atau melepaskan diri daripada perkara zalim dan maksiat.

 

Antara hikmah menunaikan haji:

  1. Menyuburkan dan meningkat kualiti disiplin diri dalam beribadah serta kehidupan harian
  2. Ketaatan kepada ALLAH SWT
  3. Membangkitkan rasa kesabaran yang bukan sedikit.
  4. Peningkatan motivasi diri
  5. Menzahirkan perpaduan
  6. Menjiwai perjuangan para nabi dan rasul.

 

(Artikel ini disediakan oleh Dr Haji Hidris Sahri (Ijazah Doktor FalsafahTamadun Islam, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia,UTM. Beliau merupakan Pengerusi Pertubuhan al-Khairiah Mersing, dan turut aktif menguruskan perjalanan umrah, selain bertindak selaku Mutawwif bersama MATAM dengan kerjasama Tiram Travel)

 

 

Mecca Classic
Jendela Dunia, Video,

[Video] Fathu Makkah : Trivia 20 Ramadan

no comment

Fathu Makkah (فتح مكة)  memberi maksud Pembebasan Kota Makkah daripada pengaruh, amalan dan cengkaman jahiliyah.

Berlaku pada 20 Ramadan 8 Hijrah, di mana Nabi Muhammad SAW  berserta 10,000 anggota pasukan tentera Islam bergerak dari Madinah menuju Makkah, dan kemudian menguasai Makkah secara keseluruhan tanpa pertumpahan darah.

Perjanjian Hudaibiyah yang ditandatangani pada bulan Zulkaedah Tahun ke-6 Hijrah di antara Quraisy dan Muslim untuk melakukan gencatan senjata selama 10 tahun.

Meskipun hubungan yang lebih baik terjadi antara Makkah dan Madinah setelah menandatangani Perjanjian Hudaybiyah itu, namun ia tidak berkekalan.

Perjanjian itu telah dirosakkan oleh Quraisy dengan sekutunya Bani Bakr, menyerang Bani Khuza’ah yang merupakan sekutu Muslim.

Semasa dalam perajalanan memasuki kota Makkah, Rasulullah membahagikan dua pasukannya untuk memasuki Kota Makkah. 

Khalid bin Walid ditempatkan di sayap kanan, sementara Zubair bin Awwam memimpin pasukan sayap kiri dan membawa bendera Nabi SAW melalui dataran tinggi. 

Setelah memasuki kota Mekkah Nabi Muhammad mengelilingi Kaabah dan bertakbir di setiap sudutnya. Pada hari pembukaan kota Makkah juga umat Islam telah menghancurkan berhala yang ditempatkan di dalam dan sekitar Kaabah.

Israk Mikraj
Gaya Hidup, Pilihan Editor, Video,

[Video] ISRAK & MIKRAJ : Hadiah Ubati Kesedihan Rasul SAW

no comment

Israk dan Mikraj dikatakan peristiwa yang memberi keceriaan dan kegembiraan pada baginda setelah melalui “tahun kesedihan” di mana baginda kehilangan isterinya Khadijah serta bapa saudaranya, Abu Talib. Keduanya adalah tunggak kepada dakwah baginda sebelum ini. Peristiwa ini juga berlaku setelah dakwah baginda ditolak oleh penduduk Taif.

Peristiwa ini telah merubah corak hidup umat Islam dan merupakan salah satu peristiwa terpenting untuk umat Islam.

Klik video yang disediakan uituk mengetahui sejarah dan perkara penting dalam peristiwa Israk Mikraj.

#israk #mikraj #islam #dakwah #muslim #solat #SinarHarian
#sinarislamplus #israkmikraj