Browsing Tag

Majlis Ayah 3.0

Majlis Ayah 3.0
Berita Semasa, Dalam Negara,

Kolaborasi LZS jayakan Majlis Ayah 3.0

Oleh FOUZIAH AMIR

LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) menjayakan 30 episod Majlis Ayah 3.0, anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dalam mengukuhkan peranan ayah dan bakal ayah bermula 3 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, ia merupakan kolaborasi yang baik dalam berkongsi ilmu dengan lebih ramai audien dan menyebarkan maklumat zakat di platform Majlis Ayah melalui sebagai Facebook Sinar Harian dan World Quran Hour, selain Zakat Selangor.

“Pelaksanaan program WUIF melalui pendekatan al-Quran merupakan medium yang sangat berkesan. Majlis Ayah dapat memberi dorongan kepada golongan ayah dan bakal ayah dalam membangunkan keluarga dari semua segi, termasuk ekonomi dan spiritual.

“Setiap ayah ada cara tersendiri dalam mendidik dan membina keluarga. Kita boleh mengambil tauladan daripada kisah pengorbanan, ilmu dan pengalaman personaliti ayah yang ditampilkan dalam Majlis Ayah untuk membina keluarga yang lebih baik.

“Perkongsian model ayah yang turut melibatkan golongan asnaf diharapkan dapat memberi pedoman dan mempertingkatkan usaha untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.”

Tambah beliau, tidak dapat disangkal bahawa al-Quran menjadi rujukan semua aspek kehidupan. Konsep kekeluargaan secara menyeluruh termasuk datuk nenek, ibu bapa dan anak ditunjukkan 100 peratus dalam al-Quran. Ini bertepatan dengan tujuan Majlis Ayah dalam membangunkan idea ‘masuk syurga sekeluarga’.

Dalam usaha menyantuni masyarakat Islam di Selangor, Mohd Sabirin berkata, LZS kini meningkatkan prasarana platform digital untuk perbankan atas talian bersama lebih 14 bank di negeri ini.

MOHD SABIRIN

“LZS membangunkan kolaborasi bersama Pos Online dan MyEG. Terkini, kita berkolaborasi untuk penggunaan e-Wallet, iaitu Touch ‘n Go, Boost dan GoPay.

“Selain itu, kita melaksanakan program dakwah melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp. Ia merupakan kaedah paling berkesan.

Baca juga Jangan jadi ayah biologi saja, tapi pimpinlah keluarga menuju ke jannah dengan cara ini

“Kesedaran pembayar zakat kian meningkat dalam menunaikan tanggungjawab mereka melalui kaedah bayaran atas talian. Kaedah atas talian dan tradisional beri impak yang sama dan hukumnya sah.

“Kita menyasarkan golongan berusia antara 25 hingga 35 tahun kerana mereka aktif menggunakan kaedah digital. Di LZS, seramai 25 peratus pengeluar zakat merupakan golongan tersebut. Kaedah atas talian dapat menarik minat golongan muda, dan mengurangkan keberjangkitan Covid-19.”

Seramai 1 juta penduduk Islam di Selangor berusia antara 25 hingga 35 tahun yang berpotensi sebagai pembayar zakat. Namun hanya 35 peratus menjadi pengeluar zakat.

“Bantuan zakat oleh LZS terbahagi kepada dua iaitu kepada individu dan institusi. Dari segi individu, bantuan asasi adalah meliputi makanan, kewangan bulanan dan perlindungan. Manakala dari segi pembangunan diri, fokus diberikan kepada ketua keluarga dan generasi kedua.”

“Contohnya, ketua keluarga diberi bantuan modal berniaga bagi meningkatkan pendapatan. Kita juga menyantuni generasi kedua iaitu anak mereka agar tidak mewarisi kemiskinan dengan memberi bantuan pendidikan dan kerjaya.

“Bagi kategori institusi pula, bantuan adalah meliputi peruntukan bayaran sewa, yuran dan utiliti pusat -pusat pendidikan agama bagi meneruskan penyebaran ilmu kepada masyarakat.

30 episod Majlis Ayah boleh ditonton di https://bit.ly/MajlisAyah1443H.