Browsing Tag

iftar

doakan iftar
Gaya Hidup,

Jangan kedekut untuk doakan orang yang sediakan iftar buat kita kerana ia Sunnah

Jangan kedekut untuk doakan orang yang sediakan iftar buat kita kerana ia Sunnah

PASTINYA umat Islam akan berlumba-lumba untuk melakukan pelbagai jenis amal kebaikan di bulan Ramadan. Tidak hairanlah kerana apa jua ibadah yang dilaksanakan sepanjang bulan suci itu akan meraih pahala berlipat ganda daripada ALLAH YANG MAHA ESA.

Selain berpuasa dan solat tarawih, Ramadan juga membuka jalan untuk para Muslim melakukan amalan kecil lain yang biasanya tidak dibuat pada bulan-bulan lain.

Salah satunya adalah amalan menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, tidak kira anda sendiri sedang berpuasa atau tidak.

Baca juga Jangan terus makan ketika berbuka puasa, sebaliknya amalkan doa terbaik sewaktu iftar

doakan iftar

Baca juga Ini sebabnya kenapa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan kurma

Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan al-Baihaqi)

Begitu hebatnya ganjaran yang diperoleh oleh orang yang memberikan atau menyediakan makanan untuk berbuka sehingga menyamai pahala orang yang berpuasa! Bahkan, ALLAH berkata, imbalan yang diperoleh tidak akan dikurangkan sedikitpun.

Dalam pada itu, tahukah anda bahawa kita juga disunatkan mendoakan orang yang menyediakan juadah berbuka puasa untuk kita?

Baca juga Sebelum berbuka antara waktu mustajab berdoa, usah abaikan detik ini

JIKA berpeluang, berilah makan orang-orang berpuasa sepanjang bulan Ramadan ini. Foto: Sinar Harian

Turut disyorkan Zakat fitrah, di rumah atau di tempat kerja?

Ada satu kisah yang diceritakan daripada Anas RA, bahawa Nabi SAW datang menemui Sa’d bin Ubadah RA, lalu Sa’d RA pun menghidangkan roti dan minyak samin. Maka Nabi SAW memakannya, setelah itu baginda SAW pun mendoakan:

‏أفطر عندكم الصائمون وأكل طعامكم الأبرار وصلت عليكم الملائكة‏

Ertinya: “Telah berbuka di rumahmu orang-orang yang berpuasa, telah makan makananmu orang-orang yang baik dan para malaikat pun turut berselawat (memohon keampunan) ke atasmu.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

doakan iftar

BULAN Ramadan membuka jalan bagi umat Islam untuk meraih pahala berganda menerusi amal kebaikan yang dilakukan.

Jika diikutkan pasti bukan mudah untuk menjemput dan menyediakan hidangan berbuka buat orang lain. Mereka perlu menggunakan masa, wang ringgit, atau tenaga untuk memasak sendiri juadah, lebih-lebih lagi kepenatan terasa jika mereka turut berpuasa. Persediaan pula perlu dilakukan awal sebelum dan selepas selesai aktiviti berbuka puasa ini.

Maka, inilah balasan kecil yang boleh kita berikan kepada sesiapa yang telah menjemput kita untuk berbuka bersama mereka. Semoga berkat kebaikan dan sedekah yang telah diberikan, para malaikat akan memohon keampunan kepada ALLAH untuk mereka.

Sumber: Tzkrh

Foto: Pexels & Unsplash

Jangan kedekut untuk doakan orang yang sediakan iftar buat kita kerana ia Sunnah

Berita Semasa,

Tersalah buka puasa awal kerana azan radio. Ini hukumnya

BAGI sesiapa yang bekerja di bandaraya pasti tahu peritnya mengharungi jalanraya di bulan Ramadan.

Syarikat membenarkan pekerja pulang awal ditambah pula dengan warga kota yang berpusu-pusu ingin lekas sampai rumah untuk berbuka puasa akhirnya menyebabkan kesesakan lalu lintas yang lebih panjang daripada biasa.

Bagi sesiapa yang melakukan perjalanan jauh dari rumah ke tempat kerja, kadangkala puasa terpaksa dibuka dalam kenderaan sahaja apabila tersangkut di jalanraya.

Dalam hal ini, ramai yang bergantung kepada stesen radio untuk mendengarkan laungan azan tanda iftar.

PERANTI seperti telefon pintar dan jam tangan boleh digunakan untuk memastikan waktu berbuka puasa tepat.

Pada Ahad lepas, timbul isu seorang penyampai radio di Tawau yang menyiarkan azan Maghrib empat minit lebih awal dengan secara tidak sengaja. Dek kejadian ini, ramai warga Tawau yang telah berbuka awal dari waktu.

Walaupun isu yang berlaku tampak remeh, namun ada hukumnya bagi situasi sebegini.

Perkara ini pernah diulas oleh mantan mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Al-Bakri melalui laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menerusi artikel Bayan Linnas Siri ke-97: Tersalah Berbuka Puasa Awal Kerana Azan Di Radio.

Menurut artikel tersebut, puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari. Puasa tidak berakhir dengan petanda azan oleh muazzin.

Firman Allah SWT:

…dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian, sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib);…” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

MANUSIA boleh membuat silap dalam masa melaungkan azan. Oleh itu, matahari juga boleh dijadikan petunjuk untuk menentukan masa berbuka.

Berhubung orang yang berbuka puasa kerana menyangka matahari telah terbenam, pendapat para ulama terbahagi kepada dua:

1. Jumhur ulama’ dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama’ Hanbali: Puasa tersebut batal dan wajib diqada.

2. Sebahagian mazhab Hanbali, al-Muzani dan Ibn Khuzaimah daripada ashab al-Syafie dan juga pandangan ulama’ Zahiri: Tidak batal puasa.

Menurut Dr Zulkifli, setelah menilai dan meneliti kedua-dua pendapat, bagi sesiapa yang berbuka puasa awal sedangkan matahari belum terbenam, puasanya dikira batal dan wajib diqadakan.

Keputusan ini diambil setelah mengambil kira nas beberapa perkara:

1. Umum nas al-Quran Surah al-Baqarah ayat 187.

2. Kaedah fiqh menyebut ‘Asal bagi sesuatu perkara ditentukan dengan waktu yang paling hampir’.

Berbuka puasa yang bukan pada waktunya menyebabkan batal puasa kerana waktu yang hampir dengannya ialah masih lagi belum masuk waktu berbuka yakni perlu terus berpuasa.

3. Kaedah fiqh ‘Tidak diiktibarkan dengan zhan atau sangkaan yang nyata salahnya’.

Dalam kes ini, selepas diberitahu waktu Maghrib belum masuk, dan ternyata benar, makan zhan atau ghalabat al-zhan yang berlaku sebelum ini iaitu masuk waktu berbuka telah nyata salah dan silapnya.

Maka yang berbuka sebelum waktu hendaklah mengqadakan puasa yang terbatal itu selepas Ramadhan.

4. Imam Malik juga menyatakan di dalam al-Muwatta’,

Daripada Khalid bin Aslam bahawa Umar Ibn al-Khattab pernah berbuka ketika mendung di petang bulan Ramadhan kerana menyangka saat itu matahari sudah tenggelam. Lalu datanglah seseorang mengkhabarkan bahawa matahari masih ada. Umar pun berkata: ‘Masalah yang mudah. Kita pun hanya berijtihad”’.

Imam Malik menjelaskan pandangannya berkenaan kata-kata Umar iaitu ‘masalah yang mudah’ adalah bermaksud qada.

SESIAPA yang berbuka puasa awal sedangkan matahari belum terbenam, puasanya dikira batal dan wajib diqadakan. Oleh itu, jangan terburu-buru berbuka puasa.

Artikel itu menegaskan bahawa terdapat pelbagai kemudahan teknologi yang wujud seperti jam, takwim dan aplikasi dalam telefon pintar yang menyatakan waktu berbuka.

Oleh itu, masyarakat perlu lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka puasa sebelum disahkan dengan yakin.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani juga berkata dalam kitab Fath al-Bari:

“Dan para ulama sepakat bahawa waktu berbuka adalah apabila telah dipastikan matahari terbenam, baik dengan cara melihatnya mahupun dengan khabar daripada dua orang yang adil”

Oleh itu, bagi mereka yang menggunakan peranti atau media seperti radio untuk menentukan masa berbuka puasa, sebaik-baiknya tunggu sebentar untuk beberapa minit selepas azan disiarkan sebelum berbuka supaya isu sebegini tidak berlaku.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Foto: Pexels & Pixabay

wuduk
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Ayam Percik Ubat Rindu Pelajar Canberra

no comment

Hanya tinggal berbaki dua hari saja lagi, umat Islam seluruhnya akan ditinggalkan bulan mulia, Ramadan al-Mubarak. Sudah tentu inilah masa-masanya yang terbaik untuk banyak pihak berlumba-lumba mencari kebaikkan, keberkatan dan ketakwaan di akhir ini.

Menyediakan makanan kepada mereka yang berpuasa antara amalan yang besar pahalanya di sisi Allah SWT. Malah inilah yang dilakukan penganjur Asian Taste Canberra dengan kerjasama Pertubuhan Pelajar Malaysia menganjurkan program ’10 Ramadan Sharing Infaq’ yang mendapat tajaan Serba Dinamik Group Berhad (SDGB).

Menyenarai pendek 100 pelajar yang kini melanjutkan pendidikan tinggi di Universiti Canberra, Australia, program ini diselaraskan dengan tujuan untuk memberi keriangan dan kegembiraan kepada pelajar bagi melupakan sejenak kerinduan menyambut Aidilfitri bersama keluarga yang berada di tanah air, seterusnya mewujudkan rasa kebersamaan sesama mereka.

Chef Norazura (kanan) yang berkhidmat bersama Asian Taste sedang melakukan persiapan makanan berbuka puasa untuk pelajar Malaysia di Canberra.

Pengarah SD Impex Australia, Fatos Omar Othman, berkata Malaysia terkenal sebagai tempat kepelbagaian makanan yang memang sudah terbukti di seluruh dunia. Banyak artikel ditulis mengenai bagaimana makanan Malaysia yang pelbagai ini menjadi faktor penyatuan bagi rakyat Malaysia.

“Mengetahui bahawa makanan tempatan sangat sedap dan dapat, kami merasakan tindakan kecil kami ini dengan menyediakan makanan Malaysia kepada para pelajar berbuka puasa adalah satu nikmat kesyukuran.

Jelas memperlihatkan riak muka yang riang sebahagian pelajar yang menerima makanan iftar pada program berkenaan.

“Secara tidak langsung usaha ini dapat membantu pelajar mengubat kerinduan mereka terhadap keluarga dan kehidupan di negara asal yang sudah lama ditinggalkan.

“Walaupun citarasa setiap individu pelbagai, namun cinta kami terhadap masakan tempatan tidak dapat dipertikaikan dan rakyat Malaysia secara kolektif akan bersatu untuk mempertahankan masakan kami apabila ada orang asing yang kurang berpengetahuan merasai sajian tempatan kita.

“Kami juga mengharapkan melalui program seperti ini, pihak penganjur dapat memupuk semangat kebersamaan dan semangat berkongsi yang menjadi amalan tradisi umat Islam bukan saja pada bulan Ramadan tetapi sepanjang masa,” katanya.

Chef Norazura Mustaffa (kiri) bersama sukarelawan pasangan suami isteri yang ditugaskan untuk mengedar makanan berbuka puasa kepada pelajar.

10 Ramadhan Sharing yang bermula pada 1 Mei lalu adalah penting dalam menyediakan makanan sihat kepada para pelajar untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan dan memastikan bahawa tidak ada pelajar Malaysia yang ketinggalan.

Menurut Fatos, sesiapa saja yang pernah melanjutkan pelajaran ke luar negara pasti akan berhadapan dengan situasi terputus bekalan kewangan yang sudah menjadi kebiasaan.

Ayam Percik pembuka selera.

“Sepanjang program ini kami harap para pelajar tidak memasak dan membeli makanan untuk berbuka puasa, setidaknya mereka dapat berjimat dan menyimpan duit itu untuk kegunaan lain. Kami akan memastikan 10 Ramadan terakhir ini mereka akan menunggu makanan berbuka puasa yang akan dihantar oleh sukarelawan kami,” katanya yang menyediakan makanan seperti ayam percik, mi goreng dan teh tarik.

Lepas rindu masakan Malaysia.

SD Impex Sdn Bhd adalah syarikat makanan dan minuman yang berpusat di Malaysia dan mula beroperasi sejak tahun 2009. Asian Taste adalah jenama kedai makanan dan minuman yang kini mempunyai cawangannya di Malaysia, Australia dan beberapa negara lain di dunia.

Asian Taste ditubuhkan adalah bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan makanan dan minuman halal untuk pelbagai fungsi di pasaran korporat di dalam dan luar negara. Syarikat lain di bawah kumpulan itu termasuk Ladangku Maju; Brew Crew; Lada Merah; JM Bariani, Mozer’s On The Go dan Nakanishi.