BERBAKI lebih kurang 10 hari sahaja lagi Ramadan akan melabuhkan tirainya. Sebelum berlalunya bulan mulia ini, antara perkara wajib diselesaikan oleh kebanyakan umat Islam adalah zakat fitrah.
Zakat fitrah pada istilahnya ialah sedekah yang wajib dikeluarkan selepas berbuka untuk beraya dan selesainya Ramadan. Antara syarat-syarat yang mewajibkan seseorang itu mengeluarkan zakat fitrah adalah seseorang itu mestilah beragama Islam, mampu untuk mengeluarkan zakat fitrah dan masuknya waktu untuk mengeluarkan zakat.
Bagi anak perantau, seringkali persoalan berkaitan zakat fitrah ini ditanyakan terutama mengenai tempat bayaran. Di manakah tempat yang lebih afdal untuk membayar zakat fitrah, sama ada di tempat kerja atau di tempat kita menetap?
Dalam menjawab persoalan di atas, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di laman maktabahalbakri menjelaskan ia lebih cenderung kepada tempat di mana kita tinggal. Contohnya, kita kerja di Kuala Lumpur tetapi kita menetap di Seremban. Bagi zakat fitrah, lebih cenderung untuk dibayar di Seremban kerana itu tempat kita menetap.
“Dan waktu afdal bayar zakat serta wajib adalah pada hari akhir Ramadan selepas terbenamnya matahari. Biasanya, kita sudah bercuti ketika itu. Itulah yang paling afdal.
“Kewajipan ini merujuk kepada nukilan Sheikh ‘Abdullah Bafadhal dalam karyanya: Maksudnya: “Zakat fitrah diwajibkan dengan syarat melalui tenggelam matahari pada malam hari raya,” katanya.
Merujuk kepada laman Pusat Pungutan Zakat (PPZ) pula mengenai di mana tempat lebih afdal unutk membuat pembayaran zakat ini adalah dengan kepada situasi masa kini.
Jelas PPZ, dengan melihat kepada realiti semasa, pendapat ihtiyat menyatakan iaitu mengawalkan sedikit masa pembayaran sama ada sehari atau dua hari mengikut apa yang dilakukan oleh para sahabat.
Baca Juga Tunai zakat, wakaf dan bersedekah dengan mudah guna aplikasi Dinaruna
“Justeru, jika ketika itu kita masih berada di tempat kerja dan belum pulang ke kampung, lebih elok baginya untuk dibayar di tempat kerjanya kerana ia bersifat yakin dan tahqiq sedangkan kepulangannya ke kampung masih lagi dalam bentuk sangkaan dzan yang mungkin tidak berlaku.
“Begitu juga dengan pembayaran awal boleh menyelesaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan bukan dalam bentuk tergopoh gapah atau mungkin berlaku sebarang halangan yang menyebabkan terlepasnya daripada menunaikan zakat fitrah pada waktu wajibnya,” tulisnya.
Waktu membayar zakat fitrah
Waktu Wajib: Mazhab Syafie mengikut yang azhar dan Hanbali berpendapat bahawa waktu wajib zakat fitrah bermula dengan tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan (malam Raya). Ia juga pendapat sebahagian Mazhab Maliki.
Waktu Sunat: Mazhab Syafie berpendapat sunat dikeluarkannya sebelum solat hari raya dan makruh mentakhirkannya sehingga selesai solat.
Baca Juga Ini kadar zakat fitrah setiap negeri pada tahun 2023
Waktu Haram: Al-Hasan bin Ziyad dari ulama Hanafi berpendapat waktu menunaikannya bersifat setempat dan terhad seperti hari korban. Justeru siapa yang menunaikannya selepas hari raya tanpa uzur, ia dianggap sebagai berdosa. Pendapat ini juga adalah pendapat Mazhab Maliki, Syafie, dan Hanbali. Tetapi tetap wajib ditunaikan segera zakat fitrah dan pada waktu itu ia dikira sedekah. Sekiranya masih dilengahkan, maka akan bertambahlah dosanya.
GLOSARI :
Azhar: Zahir / Jelas
Dzan: Sangkaan
Ihtiyat: Berjaga-jaga
Tahqiq: Pengesahan sesuatu kebenaran dengan bukti
Ikuti kami juga di telegram