Browsing Tag

hubungan

payung emas
Isu,

Rupanya tidak wujud ‘payung emas’ dalam poligami

KERAP kali apabila bercakap tentang poligami, ungkapan ‘payung emas’ sering digunakan oleh sang suami untuk mendapatkan persetujuan si isteri bagi menambah ‘cawangan’.

Istilah itu dikatakan sebahagian daripada hadis yang kononnya menyebut mana-mana isteri yang mengizinkan suami berpoligami maka isteri berkenaan akan dikurniakan payung emas.

Namun, adakah hadis tersebut benar-benar wujud atau hanya sekadar rekaan semata-mata untuk memujuk para isteri membenarkan sang suami berkahwin lagi?

Perihal isu ini, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tiada ayat dalam al-Quran mahupun hadis yang menyentuh tentang payung emas. Dalam erti kata lain, istilah terkenal itu sebenarnya adalah hadis palsu.

“Tidak ada payung emas mahupun free gift payung. Ia hadis palsu,” katanya.

Baca juga Isteri Boleh Tuntut Fasakh Kalau Suami Berpoligami Bersikap Tak Adil

Kata beliau lagi, hukum bagi sesuatu perkara itu perlu dilihat daripada aspek sebab dan illahnya.

“Hukum bagi sesuatu juga perlu dilihat daripada aspek sebab dan illahnya. Tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ia sunnah atau tidak semata-mata, sebaliknya melihat kepada maslahat suatu perkara itu,” katanya menerusi satu hantaran di Twitter.

Menurut beliau, hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi harus, sunat dan haram.

“Begitu juga dengan poligami. Terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu bahkan boleh jadi menzalimi,” ujarnya.

Firman ALLAH SWT,

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.” (Surah An-Nisa, ayat 3)

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan seorang wanita mengenai dakwaan isteri akan ke neraka kerana menentang poligami yang dikaitkan dengan sunnah Rasulullah.

payung emas

KEBIASAANNYA, perbalahan berlaku antara pasangan berkahwin apabila sang suami tidak memaklumkan si isteri pertama bahawa dia telah mengahwini sekali lagi.

Tambahnya, tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.

“Berbincang dengan baik, beri nasihat, dan pandangan, demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap hak isteri dan juga anak-anak.

“Sikap sebagai Muslim adalah kita tak menentang sebarang syariat Allah yang pasti ada keperluan dan hikmah dalam keadaan tertentu.

“Kita cuma menolak sikap menggunakan agama untuk kepentingan individu lantas mengabaikan hak-hak lain,” jelasnya.

payung emas

USTAZ WAN DAZRIN WAN DIN

Memetik artikel mStar, penceramah bebas, Wan Dazrin Wan Din berkata, tidak ada hadis sahih atau ayat al-Quran yang menyebut secara khusus tentang ganjaran persetujuan poligami oleh isteri, termasuklah payung emas di akhirat yang sering menjadi bualan dalam masyarakat kita.

Bekas peserta program realiti terbitan TV3, Da’i Pendakwah Milenia itu bagaimanapun berkata secara umumnya isteri yang taat dan reda dengan perbuatan suaminya sememangnya telah dijanjikan ganjaran yang besar di akhirat.

“Isteri yang jaga aib suami, setuju dengan apa saja perbuatan suami yang sah dari sudut pandang syariat dan memperoleh reda suami disebutkan dalam al-Quran dapat memilih mana-mana pintu syurga yang mahu dimasukinya,” jelasnya, merujuk kepada hadis Ibn Hibban.

Baca juga Ini Mitos-Mitos Dalam Perkahwinan Yang Perlu Diketahui

Diceritakan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda, “Jika seorang wanita menunaikan solat lima waktu, puasa pada bulannya (Ramadan), mengawal kemaluannya dan taat kepada suaminya, Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”. (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Sememangnya perbuatan berpoligami itu dibolehkan dalam Islam, bahkan ia termasuk amalan Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun dalam berpoligami kaum lelaki wajib berlaku adil dan bertanggungjawab terhadap isteri-isterinya, seperti mana yang terdapat dalam surah An-Nisa ayat 3.

Mana-mana suami berpoligami namun tidak memenuhi hak pasangan-pasangannya kelak akan menerima azab di akhirat.

Foto: Unsplash