Browsing Tag

hadiah

minyak wangi
Gaya Hidup,

Tiga pemberian yang kita tidak boleh tolak, antaranya minyak wangi

ANTARA sunah Nabi Muhammad SAW yang masyhur adalah pemakaian minyak wangi terutama bagi orang lelaki. Tetapi, pernahkah anda mendengar tentang saranan supaya tidak menolak pemberian minyak wangi?

Dinukil daripada portal Tzkrh, dikatakan ada tiga pemberian yang tidak boleh kita tolak sekiranya diberi, iaitu bantal alas duduk, minyak wangi dan susu.

Perkara tersebut berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA. Katanya, Nabi SAW bersabda, “Ada tiga hal yang tidak boleh ditolak, bantal untuk duduk, minyak wangi, dan susu.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Baca juga Bolehkah menjual hadiah yang diterima? Ini penjelasannya

minyak wangi

Baca juga 7 adab yang diajar Islam saat terima hadiah

Menurut ahli hadis, hadis di atas boleh difahami daripada dua sudut.

1.Menggambarkan anjuran berwangi-wangian.

Larangan menolak minyak wangi adalah bermakna perintah untuk selalu menggunakannya (bagi lelaki), kerana boleh sentiasa bersedia untuk beribadah dan bermunajat kepada ALLAH SWT. Sesungguhnya berwangi-wangian ketika beribadah adalah sunnah yang selalu dilakukan oleh baginda sendiri.

Cendekiawan Islam, al Hafiz Ibnu Hajar menukilkan keterangan daripada Ibnu Batthal bahawa Nabi SAW tidak pernah menolak minyak wangi kerana baginda ingin menjaga keadaan badan agar sentiasa bersedia untuk bermunajat kepada ALLAH.

NABI SAW mengajar kita berwangi-wangian sebagai memenuhi tuntutan agama yang mementingkan kebersihan.

Baca juga Jangan kata isteri, suami juga perlu berhias

2. Untuk menjaga hati pemberi.
Tidak menolak pemberian-pemberian ini adalah untuk menjaga hati orang yang memberi kerana ketiga-tiga perkara tersebut adalah hal yang kecil dan ringan sehingga tidak patut ditolak. Ini adalah budaya pada zaman itu di mana tuan rumah akan memberikannya kepada tetamu sebagai satu bentuk penghargaan.

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda,
Siapa yang ditawari minyak wangi, janganlah dia menolaknya. Kerana minyak wangi itu ringan diterima, dan baunya harum.” (Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasai’e)

Hikmah daripada hadis itu sebenarnya memberitahu kita supaya tidak menolak hadiah secara umum. Hal ini kerana, meskipun hadiah itu murah, tetapi dengan menerimanya hubungan erat mampu dijaga.

Walau bagaimanapun, larangan menolak ketiga-tiga pemberian tersebut adalah larangan yang bersifat makruh sahaja dan bukan haram. Ibnu Abdil Bar berpendapat bahawa jika ada alasan yang kukuh untuk menolak pemberian minyak wangi, contohnya kerana mempunyai alahan atau alergi terhadap minyak wangi kerana bau yang kuat, maka dibolehkan menolak secara baik.

Sumber: Tzkrh 

Foto: Canva

Hari Kekasih
Gaya Hidup,

Elak beri hadiah walaupun tak berniat sambut Hari Kekasih

RATA-RATA umat Islam tahu tentang pengharaman menyambut Hari Kekasih yang saban tahun acap kali dirayakan terutama di negara Barat.

Meskipun tidak merayakannya, tetapi masih ada segelintir pasangan kekasih yang saling memberi hadiah pada hari berkenaan.

Kepada sesiapa yang berhasrat untuk memberi hadiah bersempena Hari Kekasih nanti, sebaiknya lupakanlah niat tersebut.

Bukan apa, mantan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid ketika ditemu bual Sinar Islam Plus sebelum ini pernah memberikan amaran tersebut.

MOHD TAMYES -FOTO: MAIS.GOV.MY

Dalam responsnya apabila diajukan persoalan tentang memberi hadiah kepada seseorang pada 14 Februari bersempena Hari Valentine, Anggota Majlis Agama Islam Selangor itu menjawab: “Perbuatan itu tidak dibenarkan kerana ia seolah-olah meraikan konsep yang dibawakan oleh Hari Kekasih.

“Bagi pasangan suami isteri, mereka digalakkan untuk memberi hadiah kepada pasangan masing-masing pada bila-bila masa sahaja.

“Ia dengan syarat asalkan tidak diniatkan dengan tarikh atau sempena dengan sesuatu yang dilarang oleh agama Islam.”

Larangan tersebut dibuat bukannya bersifat memandai-mandai atau secara semberono, tetapi ada sebab di sebaliknya. Hari Kekasih memang tidak boleh diraikan walau apa jua alasannya. Titik.

Baca juga Kepada para suami, teladani layanan ‘tip-top’ Rasulullah SAW terhadap isteri-isteri baginda

Perkara itu jelas sebagaimana keputusan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005.

Hari Kekasih

JAWATANKUASA Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 memutuskan, amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan Islam kerana mempunyai unsur-unsur agama lain. -FOTO: CANVA

Jawatankuasa berkenaan memutuskan, amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam kerana mempunyai unsur-unsur agama lain. Amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Ketahuilah bahawa perkataan Valentine menurut sejarah, ia diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine.

Menurut artikel yang dipetik daripada artikel yang disiarkan dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Negeri Sabah, jasa paderi berkenaan yang berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna buat Ratu Isabella hingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri.

“Oleh sebab itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan sebagai Hari Valentine,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel bertajuk Sambutan Hari Valentine di laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.

Terdapat tiga pendapat berkaitan asal usul Valentine sebagaimana ditulis oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah seperti berikut:

1. Hari Valentine bermula semasa pemerintahan Empayar Rom yang menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi Juno ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Pada hari berikutnya iaitu 15 Februari, bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom yang mana pada malam pesta itu, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya sepanjang pesta berlangsung.

Hari Kekasih

JANGAN sesekali menyambut Hari Kekasih yang jelas mempunyai unsur-unsur dan ritual agama lain. -FOTO: CANVA

2. Ada pendapat mengatakan, pada 14 Februari 270 Masihi, St Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi ketika pemerintahan Raja Claudius II (268-270M). Ketika itu, Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat dengan peperangan. Disebabkan itu, St Valentine dan St Marius telah mengahwinkan orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia.

Akibat perbuatan tersebut, St Valentine ditangkap dan akhirnya dihukum mati pada tarikh berkenaan. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahannya dalam menghadapi cubaan hidup, maka tarikh berkenaan dijadikan sebagai hari memperingati kematian St Valentine sebagai upacara keagamaan.

3. Hari Valentine diambil daripada seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaity St Valentine. Apabila St Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal Protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, ia menggemparkan rakyat Cordova.

Ini kerana St Valentine merupakan seorang paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan. Bahkan, paderi juga sememangnya tidak boleh berkahwin.

Tindakan St Valentine itu yang mengambil keputusan untuk berkahwin itu membuatkan Ratu Isabella murka, lalu beliau dipenjarakan buat sementara waktu. Ratu menetapkab 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St Valentine sendiri.

Hari Kekasih

AGAMA Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang. Malah, setiap hari sebenarnya adalah hari kasih sayang dalam Islam cuma agama suci itu menolak konsep kasih sayang yang terkandung dalam Hari Kekasih kerana ada unsur-unsur ritual keagamaan yang diamalkannya yang boleh menggugat akidah Islam-FOTO: CANVA

Sesungguhnya terlalu banyak hujah yang mengaitkan Hari Kekasih dengan ritual agama lain. Malah ia juga menjadi faktor penyumbang kepada pergaulan bebas.

Baca juga Etika pergaulan dalam Islam elak gangguan seksual di tempat kerja

Lantaran itu, umat Islam dilarang sama sekali untuk menyambut Hari Valentine.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Canva

hadiah
Gaya Hidup,

Bolehkah menjual hadiah yang diterima? Ini penjelasannya

SABDA Rasulullah SAW, “Hendaklah kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Demikian Islam menganjurkan kita saling memberi hadiah sebagai tanda kasih sayang. Mungkin pemberian tersebut tidak sebesar mana, tetapi apabila ia diiringi dengan keikhlasan tanpa mengharapkan sebarang balasan, maka itu adalah hadiah terbaik.

Baca juga Beri hadiah tidak senonoh di majlis perkahwinan. Apakah hukumnya?

Seperti disebutkan sebahagian ulama, hukum memberi hadiah adalah sunnah dibolehkan dengan syarat bukan untuk mendapatkan balasan. Manakala, bagi penerima hadiah pula wajib menerima pemberian tersebut.

Hal ini adalah berdasarkan beberapa dalil yang disebut oleh Baginda SAW dan antaranya ialah:

Dari Umar RA, Rasulullah SAW telah memberiku sebuah hadiah, lalu aku berkata: “Berilah kepada orang yang lebih fakir dariku, maka baginda berkata: “Ambillah apabila datang kepadamu sesuatu dari harta ini, sedangkan engkau tidak tamak dan tidak pula memintanya, maka ambillah dan simpan untuk dirimu, jikalau engkau menghendakinya, maka makanlah dan bila engkau tidak menginginkannya, bersedekahlah dengannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

hadiah

DALAM Islam, ada tiga jenis pemberian tanpa balasan iaitu, hibah, hadiah dan sedekah. Foto: Unsplash

Turut disyorkan Dilema Sedekah Barangan Dan Pakaian Lama, Bimbang Amalan Itu Tidak Diterima. Ini Penjelasannya

Hukum menjual hadiah diterima
Memetik portal tanyaustaz.com tulisan Ustaz Ahmad Fadzli Fauzi, barangan yang diderma atau dihadiahkan kepada seseorang telah menjadi hak milik penerima berkenaan.

Oleh itu, penerima barangan boleh menjual atau melakukan apa sahaja terhadap barangan yang diterima, berdasarkan kisah yang diceritakan oleh Saidina Ibnu Umar RA :

Dari Ibnu Umar RA ia berkata: “Umar mengambil sebuah jubah dari sutera tebal yang dijual di pasar, lalu ia datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Ya Rasulullah, belilah jubah ini agar engkau dapat berdandan dengannya pada hari raya dan saat menerima utusan.” Rasulullah SAW bersabda kepada Umar: “Ini adalah pakaian orang yang tidak mendapat bahagian (di akhirat nanti).

“Kemudian, Baginda SAW mengirimkan jubah sutera kepadanya. Umar menerimanya lalu mendatangi Baginda SAW: “Wahai Baginda, bukankah engkau pernah mengatakan bahawa ini adalah pakaian orang yang tidak mendapat bahagian namun engkau telah mengirimkannya kepada aku.” Lalu, Baginda SAW telah berkata kepada Umar: “Juallah jubah ini atau jika engkau mempunyai keperluan terhadapnya.”” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Tuntut Balik Cincin Selepas Putus Tunang, Ketahui Pandangan Agama Dalam Hal Ini

JANGAN menjadi buruk siku dengan meminta semula hadiah yang telah diberikan kepada seseorang sedangkan hak milik barangan itu sudah pun bertukar tangan. Foto: Unsplash

Baca juga Antara pekerjaan terbaik menurut Rasulullah SAW

Tambahan pula, hadiah atau barangan derma tersebut tidak boleh diambil semula oleh pemberinya kecuali pemberian dari seorang ayah kepada anaknya.

Nabi SAW bersabda, “Tidak halal bagi seorang yang telah menghulurkan satu pemberian menarik kembali pemberiannya melainkan pemberian seorang bapa kepada anaknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kesimpulannya, tiada dalil yang menunjukkan bahawa boleh atau tidak menjual serta memberikan hadiah yang diperoleh kepada orang lain. Terpulang kepada si penerima tersebut untuk melakukan apa sahaja yang disukainya terhadap hadiah tersebut.

Walau bagaimanapun, menurut adab tempatan, ia dikira tidak sopan sekiranya hadiah yang diterima daripada seseorang, diberi atau dijual kepada orang lain.

Sumber: tanyaustaz.com

Foto: Pexels & Unsplash