MENCEGAH adalah lebih baik daripada merawat sentiasa menjadi pendekatan Islam. Salah satu cara mencegah gangguan seksual menurut Islam adalah dengan mengamalkan etika pergaulan yang harmoni antara lelaki dengan perempuan.
Menerusi perkongsian oleh bekas Pengarah, Pusat Perundingan dan Latihan Ikim, Hajah Siti Fatimah Abdul Rahman mengenai etika pergaulan islam elak gangguan seksual di tempat kerja.
Menurut Abu Syuqqah (1998) penulis buku Kebebasan Wanita, etika pergaulan yang dianjurkan Islam merangkumi empat perkara:
Etika pertama ialah serius dalam pertemuan
Bermaksud apabila lelaki dan wanita bertemu untuk sesuatu urusan, mereka perlu berhubung secara serius. Etika ini berdasarkan kepada ayat al-Quran, surah al-Ahzab, ayat 32.
“Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)”.
Walaupun ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri Nabi, oleh sebab tujuannya baik, maka ia boleh dijadikan panduan oleh wanita biasa demi untuk mengelakkan kejadian buruk terhadap diri mereka.

DALAM setiap pekerjaan yang dilakukan antara lelaki dan perempuan, berhubunglah secara serius hanya untuk urusan kerja semata.
Etika kedua ialah menahan pandangan
Membawa maksud, dalam pertemuan antara lelaki dengan wanita, mereka perlu menjaga pandangan agar tidak timbul niat yang tidak baik dan untuk mengelakkan fitnah.
Etika ini berdasarkan ayat 30 dan 31, surah an-Nur, ALLAH mengingatkan kaum lelaki dan wanita agar menyekat pandangan mereka dari melihat yang haram dan menjaga kehormatan daripada melakukan zina.
Baca juga Amalan seks songsang dorong peningkatan penghidap HIV baharu
Bagi wanita pula ditambah arahan agar tidak mendedahkan tubuhnya kepada lelaki yang bukan mahram kecuali anggota tubuh yang zahir iaitu bulatan muka dan kedua tapak tangan.
Etika ketiga ialah menghindari khalwat
Perkara ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, iaitu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali disertai mahramnya”.
Jadi, apabila lelaki dan wanita bertemu untuk sesuatu urusan, mereka hendaklah mengelakkan diri dari berdua-duaan.

MENGELAKKAN duduk berdua-duaan agar tidak timbul sebarang fitnah.
Etika keempat ialah menghindari pertemuan yang lama dan berulang-ulang
Etika ini perlu dijaga kerana dalam pertemuan seperti ini amat sukar untuk menjaga pelbagai etika seperti menahan pandangan, serius dalam berbicara atau bertingkahlaku yang sopan.
Sebaliknya, dalam pertemuan seumpama ini, nilai-nilai malu dan kesopanan itu semakin menipis.
Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) ini, etika pergaulan Islami ini perlu diamalkan bukan sahaja dalam hubungan bersemuka, tetapi juga ketika berhubung melalui telefon dan di alam maya.
Ada yang menganggap “usikan” yang dilakukan kepada rakan sekerja sebagai satu gurauan tanpa menyedari bahawa gurauan tersebut ialah satu gangguan seksual.

ISLAM turut menggariskan beberapa panduan dan adab dalam bergurau agar tidak keterlaluan dan melebihi batas.
Antara adab bergurau yang digariskan dalam Islam merangkumi:
1. Tidak keterlaluan dan melebihi batasan
2. Tidak menganiaya atau memburukkan orang lain
3. Menjauhi dusta. Dengan adab semurni ini, tiada ruang untuk “gurauan lucah” dan “gurauan menghina” dalam masyarakat.
Sehubungan dengan itu, majikan perlu memainkan peranan untuk menghindari gangguan seksual di tempat kerja dengan meningkatkan kesedaran warga kerja tentang perkara ini.
Contohnya seperti menganjurkan etika pergaulan Islami dan menyediakan mekanisme pengurusan gangguan seksual yang berkesan agar mangsa mendapat keadilan dan pemangsa dihukum.
Jika tidak, majikan dianggap gagal untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat sehingga maruah dan harga diri pekerja dengan mudah dicabuli oleh pekerja lain.