Oleh FOUZIAH AMIR
AMANAH itu berat. Diberi tanggungjawab memikul amanah adalah komitmen yang perlu dijunjung. Amanah senang disebut, tetapi sukar untuk disempurnakan. Islam adalah agama yang mengutamakan perkara-perkara amanah.
Firman ALLAH SWT di dalam Surah al-Ahzab, ayat 72 yang bermaksud: “Sesungguhnya KAMI telah kemukakan tanggungjawab amanah (KAMI) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya (ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
Ayat tersebut dengan menyatakan tanggungjawab memikul amanah amat berat, sehingga langit, bumi dan gunung-ganang pun tidak sanggup memikulnya.
Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan
Sifat para nabi
Amanah juga antara sifat para nabi dan rasul. Sesungguhnya amat beruntung orang yang amanah kerana telah melaksanakan perintah ALLAH dan Rasul-NYA dengan sebaik-baiknya. Demikian juga beban amanah yang digalas oleh para penyampai ilmu, semestinya melebihi orang biasa.
“Warga penyampai ilmu yang terdiri daripada asatizah perlu memikul tanggungjawab dengan amanah dan adil.”
Demikian kata Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ustaz Mohd Azhar Ibrahim Residi ketika ditemui selepas program Bedah Hadis, anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Tambah beliau, kebanyakan kita selalu mendengar ilmu agama tanpa rujukan yang betul. Bahkan mungkin mendengar ceramah, gelak dan faham, tetapi kesahihan maklumat belum tentu.
“Justeru masyarakat perlu bijak memilih sumber yang betul untuk dipelajari dan dihayati. Kini, pendidikan agama semakin mendapat sambutan di hati masyarakat dengan adanya teknologi media yang membawa dunia tanpa sempadan.
“Bedah Hadis merupakan program yang bagus untuk mendekatkan masyarakat dengan Sunnah. Melaluinya, penonton lebih fokus untuk mengikut apa yang datang daripada Nabi Muhammad SAW berdasarkan riwayat yang sahih.
“Mungkin ada orang kata susah untuk menyantuni hadis kerana tidak tahu sahih atau tidak. Sebenarnya tidak timbul isu jika golongan asatizah bersifat amanah dalam menyampaikan ilmu agama. Ia menjadi tanggungjawab agamawan untuk menyampaikan mesej berdasarkan sumber sahih,” katanya.
Seruan agar berhati-hati
Mohd Azhar berkata masyarakat Islam perlu berhati-hati kerana terdapat hadis daif jiddan, maudu’ (maudhu’) atau hadis palsu. Terdapat khilaf dalam kalangan ulama iaitu khilaf muktabar dan khilaf tidak muktabar.
Perbincangan tentang khilaf muktabar berdasarkan penggunaan hadis yang sahih oleh semua pihak yang berkhilaf. Manakala khilaf tidak muktabar adalah perbezaan pendapat ulama (mengikut mazhab) (yang salah satu atau sebahagian dari mereka yang berkhilaf itu menggunakan hadis tidak sahih).
Baca juga Penting Untuk Kita Fahami Ilmu Hadis, Ini Sebabnya
“Kadangkala ada sebilangan asatizah ‘mengawamkan’ lagi orang awam, sedangkan kita sepatutnya meningkatkan kefahaman mereka termasuk kaedah penulisan hadis agar menjadi pandai,” katanya.
Menurut Mohd Azhar lagi, terdapat dua bahagian ilmu hadis iaitu riwayah dan dirayah. Ilmu hadis riwayah adalah cara periwayatan hadis oleh perawi. Manakalah ilmu hadis dirayah adalah pemahaman dari segi kandungan hadis atau juga disebut sebagai Fiqh Hadis. Ilmu tersebut penting agar tidak terjebak dengan penyelewengan dan pemalsuan hadis.
Dekatkan masyarakat dengan sunah
“Orang awam mengetahui sesuatu isu dan mendekati dalil-dalil melalui ceramah dan perkongsian ilmu oleh asatizah di media sosial. Persoalannya, apakah agamawan mengajak kita untuk ikuti sunnah yang sahih atau mengikut pendapat mereka dan guru-guru mereka, dengan mengabaikan hadis yang sahih?
Menjadi tanggungjawab kita untuk menghormati pendapat ulama silam. Tetapi pendapat ulama tersebut mestilah bersandarkan kepada riwayat yang sahih,” jelas beliau lagi.
Sementara itu, hos Bedah Hadis, yang juga Jurulatih Utama Akademi Sinergi Ikhlas, Coach Jamil Wahab berkata, terdapat tiga segmen dalam Bedah Hadis iaitu ulasan hadis, iktibar daripada hadis untuk dipraktikkan dan soalan penonton.
“Orang ramai boleh memanfaatkan program tersebut yang mengetengahkan hadis sahih oleh ahli akademik. Di hujung episod Bedah Hadis, ia berkaitan dengan bagaimana hendak mengekalkan ibadah selepas Ramadan,” jelas beliau.
Baca juga Sahabat Nabi SAW Tempuhi Perjalanan Sejauh 1,472 KM Demi Sepotong Hadis
Program Bedah Hadis dibiayai oleh Tabung Gerakan Al-Quran di bawah WUIF, dan diuar-uarkan melalui program My #QuranTime di TV Alhijrah.
Untuk mengikut siaran ulangan 20 episod Bedah Hadis Edisi Ramadan 1443H, layari https://bit.ly/BedahHadistPlaylist.
INFO
SENARAI episod Bedah Hadis:
Episod 1 – Apa Istimewanya Ramadan?
Ustaz Muhammad Faiz Abdul Karim
Episod 2 – Solat Tarawih Menurut Sunnah
Dr Amran Abdul Halim
Episod 3 – Batal Puasa: Antara Ilmu dan Sangkaan Semata
Ustaz Muhammad Amir Farhan Roslan
Episod 4 – Kelebihan Tadarus dan Khatam Al-Quran Bulan Ramadan
Dr Muhammad Lukman Ibrahim
Episod 5 – Ganjaran Beri Makan Berbuka Puasa
Dr Zulhilmi Mohamed Nor
Episod 6 – Kenapa Perlu Bangun Sahur?
Ustaz Ahmad Shukri Yusoff
Episod 7 – Puasa Tapi Mulut Puaka?
Prof Madya Dr Ishak Suliaman
Episod 8 – Ramadan Tapi Harta Masih Haram?
Ustaz Mustafar Mohd Suki
Episod 9 – Berbuka Puasa Gaya Rasulullah
Dr Umar Muhammad Noor
Episod 10 – Viral Tapi Tidak Sahih Berkaitan Ramadan
Dr Amiruddin Mohd Sobali
Episod 11 – Nuzul Al-Quran: Perlukah Ambil Tahu?
Ustaz Mohd Azhar Ibrahim Residi
Episod 12 – Interaksi Dengan Al-Quran: Kualiti Atau Kuantiti?
Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim
Episod 13 – Strategi Perang Badar Untuk Kehidupan
Ustaz Ahmad Saifuddin Yusof Farhan Roslan
Episod 14 – Amalan Terbaik 10 Malam Terakhir
Dr Fadlan Mohd Othman dan Coach Jamil Wahab
Episod 15 – Bagaimana Mencari Lailatul Qadar
Ustaz Zainal Abidin Abdul Rahim
Episod 16 – Penghayatan Iktikaf 10 Malam Terakhir
Ustaz Muhammad Fahmi Rusli
Episod 17 – Ramadan: Siapa Yang Rugi?
Ustaz Mohd Amirul Hassan Ahmad Tajuddin
Episod 18 – Panduan Dan Hikmah Zakat Fitrah
Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin
Episod 19 – Sunnah Pada Hari Raya
Dr Amiruddin Mohd Sobali
Episod 20 – Tips Konsisten Selepas Ramadan
Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi
***Fouziah Amir ialah penulis daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas
Foto: Yayasan Warisan Ummah Ikhlas & 123rf