Browsing Tag

ghanim al muftah

Antarabangsa,

Kenali Ghanim al Muftah, duta Piala Dunia FIFA Qatar 2022

PEMUDA Qatar, Ghanim al Muftah mencuri perhatian dunia apabila memulakan upacara pembukaan Piala Dunia FIFA 2022 pada 20 November dengan bacaan ayat suci al-Quran, sesuatu yang belum pernah dilakukan dalam sejarah acara bola sepak terbesar itu.

Dalam persembahan yang tular di media sosial tersebut, Ghanim berbual bersama pelakon veteran Amerika Syarikat, Morgan Freeman yang turut tampil memeriahkan acara.

“Bagaimanakah begitu banyak negara, bahasa dan budaya boleh bersatu, jika hanya satu cara diterima?” Tanya Morgan.

ghanim al muftah

DUTA Piala Dunia 2022 Qatar, Ghanim al Muftah bersama artis terkenal Amerika Syarikat, Morgan Freeman. Foto: Twitter/@g_almuftah

Ghanim lantas melantunkan ayat ke-13 dalam surah al-Hujurat yang bermaksud:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya KAMI telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan KAMI telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)

Jelas Ghanim, “Kami percaya bahawa kita disebarkan ke bumi ini dalam pelbagai bangsa dan suku supaya kita boleh belajar antara satu sama lain dan mencari keindahan di sebalik perbezaan masing-masing.

Apa yang pasti, kehadiran Ghanim di majlis pembukaan tersebut menimbulkan tanda tanya peminat Piala Dunia tentang asal usulnya.

Baca juga Wanita Israel Derma Buah Pinggang Sempena Hari Jadinya kepada Kanak-Kanak Gaza

Siapa Ghanim al Muftah?

Pemuda berusia 20 tahun tersebut dilahirkan dengan penyakit Caudal Regression Syndrome (CDS) iaitu gangguan perkembangan bahagian bawah badan.

CDS merupakan keadaan genetik yang sangat jarang berlaku dan kira-kira satu daripada 100,000 kanak-kanak dilahirkan dengan kecacatan ini.

ghanim al muftah

Ibu bapanya memilih untuk memberi peluang kepada Ghanim al Muftah melihat dunia meskipun terdapat risiko jika beliau dilahirkan. Foto: Ghanim al Muftah

Apabila Ghanim dilahirkan pada 5 Mei 2002 bersama saudara kembarnya Ahmad, doktor meramalkan beliau hanya mampu hidup selama 15 tahun.

Siapa sangka, kini pemuda itu bukan sahaja berjaya hidup melangkaui jangka hayat yang diduga, bahkan dia telah mencapai banyak kejayaan.

Turut disyorkan La’eeb, maskot ikonik Piala Dunia Qatar 2022

Keadaan fizikal bukan penghalang

Dalam pada itu, Ghanim turut dikenali dengan gelaran ‘budak ajaib Qatar’ kerana banyak melakukan perkara yang dianggap mustahil seperti menyelam skuba, memanjat gunung, bermain bola sepak, berenang, memanah dan memandu kenderaan.

Menurut relevan.my, pada tahun 2017, Ghanim menyempurnakan ibadah Haji di Makkah dengan ‘berjalan’ menggunakan kedua belah tangan untuk mengelilingi Kaabah, beliau enggan menggunakan kerusi roda.

ghanim al muftah

GHANIM al Muftah ketika mendaki gunung Shams yang tingginya 3,009 meter atau 9,872 kaki. Foto: Instagram Ghanim al Muftah

Lebih mengagumkan, ikon belia Qatar itu juga pernah mendaki gunung kedua tertinggi di Semenanjung Arab iaitu Jabal Shams setinggi 3,009 meter, menggunakan tangannya sahaja.

Di samping itu, Ghanim berhasrat menjadi atlet Paralimpik, seperti yang diberitahu kepada media tempatan.

Baca juga Gaza disekat bukan penghalang bagi pereka fesyen Palestin ini

Aktif dalam aktiviti amal

Selain aktif bersukan, Ghanim turut menerajui badan amalnya sendiri untuk membantu kanak-kanak kelainan upaya dengan mengasaskan Persatuan Kerusi Roda Ghanim al-Muftah yang beroperasi dari rumahnya.

Pada tahun yang sama, beliau dipilih sebagai Duta Reach Out To Asia (ROTA) ‘Memperkasakan Kanak-Kanak dan Belia Pelarian Palestin melalui Sukan di Lubnan’.

Menerusi program tersebut, Ghanim melawat kem pelarian Palestin di Nahr El Bared, Lubnan serta melancarkan pusat sukan baharu untuk membantu 5,000 kanak-kanak.

ghanim al muftah

TIADA yang mustahil bagi Ghanim al Muftah untuk melakukan apa jua sukan yang digemarinya. Foto: Ghanim al Muftah

Dalam masa sama, beliau dan ibu bapanya memulakan Be Positive Project untuk membantu melatih kanak-kanak kelainan upaya.

Sebagai penghargaan terhadap kerja amalnya, Ghanim pernah dinobatkan sebagai Duta Keamanan oleh Emir Kuwait, Sheikh Sabah Al-Ahmad Al-Sabah, pada tahun 2014.

Turut disyorkan Pemuda Mesir khatam al-Quran dalam masa 7 jam

Tokoh Qatar terkenal

Kini, anak muda dari Qatar itu juga merupakan seorang usahawan, penceramah motivasi, pelajar bidang Politik di Universiti Loughborough, United Kingdom.

ghanim al muftah

GHANIM (kanan) bersama kembarnya, Ahmad. Foto: Ghanim al Muftah

Pempengaruh terkenal berkenaan juga mempunyai lebih tiga juta pengikut di Instagram di mana beliau sering berkongsikan pelbagai aktiviti yang dilakukannya.

Pada temasya Piala Dunia 2022 kali ini di Qatar, Ghanim dilantik sebagai duta atas perjalanan hidupnya yang penuh inspirasi selain memberi mesej kepada orang ramai agar tidak berputus asa mencapai impian mereka.

Sumber: relevan.com.my & Middle East Eye

Foto: Twitter @g_almuftah & Instagram @g_almuftah