Browsing Tag

gaya hidup

10 adab ketika berdoa
Gaya Hidup,

Jangan abaikan 10 adab ini supaya doa dimakbulkan ALLAH SWT

JANGAN abaikan 10 adab ini supaya doa dimakbulkan ALLAH SWT.

Sebagai hamba ALLAH yang daif, kita sering diingatkan untuk berdoa memohon keampunan dan rahmat dari Ilahi.

Bahkan, Rasulullah SAW sendiri menyifatkan doa sebagai teras bagi ibadah itu sendiri. Sabda baginda, “Doa merupakan teras bagi ibadah.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Doa antara ibadah yang mudah dilakukan pada bila-bila waktu dan di mana sekalipun. Pun begitu, masih ada adab yang perlu diikuti ketika berdoa.

Baca juga Fahami etika berdoa ketika solat

Masakan tidak, apabila meminta duit orang tua pun kita akan menggunakan bahasa yang lembut tanda memujuk, apalagi memohon pertolongan daripada YANG MAHA PENCIPTA.

Oleh itu, Sinar Islam Plus menyenaraikan 10 adab ketika berdoa yang perlu dijaga supaya doa yang dipanjat akan dimakbulkan ALLAH SWT:

1. Berwuduk sebelum berdoa.
Kita disunatkan berwuduk dahulu sebelum berdoa. Selain itu, pastikan kebersihan diri juga terjaga seperti memakai pakaian yang bersih dan menutup aurat serta berdoa di tempat yang suci daripada kekotoran.

Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

10 adab ketika berdoa

PASTIKAN pakaian dan keadaan sekeliling bersih daripada kekotoran sebelum memanjatkan doa.

2. Berdoa menghadap kiblat.
Kita juga disarankan berdoa menghadap kiblat sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW:

Abdullah bin Zaid RA berkata, “Rasulullah SAW telah keluar pada suatu hari menuju ke tanah lapang untuk baginda melakukan istisqa’ (doa meminta agar ALLAH turunkan hujan). Lalu beliau berdoa dan beristisqa’ kemudian menghadap ke arah kiblat dan baginda membalikkan rida’ baginda.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Baca juga Perlu ulang solat atau tidak jika tersalah arah kiblat?

3. Memulakan dan mengakhiri doa dengan memuji ALLAH serta selawat ke atas Nabi SAW.
Setiap doa yang dipohon haruslah dimulakan dengan memanjatkan pujian kepada ALLAH serta berselawat ke atas Rasulullah SAW. Lakukan yang sama semasa pengakhiran doa.

Baca juga Rupanya ada hukum-hakam selawat yang ramai tidak tahu

4. Berdoa dengan suara yang lembut.
Doa ditujukan kepada ALLAH YANG MAHA PENDENGAR. Tidak perlu menguatkan suara kerana setiap doa pasti akan didengari oleh-NYA. Dalam masa sama, gunakan suara yang lembut untuk elak mengganggu orang lain ketika berdoa di tempat awam.

10 adab ketika berdoa

YAKINLAH dengan setiap doa yang dipohon kepada ALLAH SWT. Jika ia kelihatan seperti tidak dimakbulkan, boleh jadi ALLAH menjawabnya dengan cara lain atau pada masa akan datang.

5. Berdoa dalam keadaan khusyuk dan merendah diri.
ALLAH SWT. menceritakan tentang keadaan para Nabi ketika mereka memohon kepadaNYA, antaranya, “Dan (ingatlah kisah) Nabi Ayub, ketika ia menyeru TUHANnya, “Ya TUHANku, sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit, sedang ENGKAU sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” (Surah al-Anbiyaa, ayat 83)

Firman ALLAH juga, “Dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru TUHANnya, “Ya TUHANku, janganlah ENGKAU membiarkan aku hidup seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan ENGKAUlah waris yang paling baik.” (Surah al-Anbiyaa, ayat 89)

Baca juga 9 doa para nabi yang boleh dijadikan amalan harian kita

6. Berdoa dengan penuh yakin.
Selain itu, kita perlu yakin bahawa doa yang dipohon tersebut akan diperkenankan oleh ALLAH SWT.

7. Memahami isi dan maksud doa yang dilafaz.
Berusaha untuk memahami isi dan maksud bagi doa yang dilafazkan seperti membaca terjemahan doa tersebut. Dengan memahami doa berkenaan, kita akan lebih khusyuk ketika membacanya.

 

10 adab ketika berdoa

SEBAIK-baiknya berusaha untuk memahami doa yang dipohon seperti membaca serta menghayati terjemahan doa berkenaan.

8. Memohon sebanyak 3 kali.
Ulangilah doa sebanyak 3 kali. Abdullah Bin Mas’ud berkata, “Baginda Rasulullah SAW jika berdoa, baginda berdoa sebanyak tiga kali, dan jika baginda memohon, baginda memohon sebanyak tiga kali.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baca juga 7 Teknik berdoa yang bakal menjemput Rahmat ALLAH

9. Berdoa pada waktu yang mustajab
ALLAH SWT telah menetapkan beberapa waktu yang sesuai untuk kita berdoa, antaranya:

– Malam Lailatul Qadr,
– Dua pertiga malam,
– Setelah solat lima waktu dan pada waktu bersujud dalam sujud rakaat terakhir (doa dalam hati tanpa mengeluarkan suara)
– Waktu antara azan dan iqamah
– Waktu berbuka puasa dan bersahur
– Hujan yang lebat

Baca juga Berdoa Di Dalam Tandas, Ini Hukumnya

10. Tujuan doa hanya untuk kebaikan
Doa yang dipohon bukan bertujuan untuk melakukan dosa atau memutuskan silaturahim dan jangan memohon dimakbulkan doa tersebut dengan segera.

Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir

Sumber: Utusan & Soul Fitness Centre

Foto: Unsplash

masuk rumah baru
Gaya Hidup,

Nak masuk rumah baru? Ini amalan yang perlu dibuat mengikut Islam

BERPINDAH ke rumah baru sememangnya bukan suatu perkara kecil. Lebih-lebih lagi jika rumah tersebut berjaya dimiliki dengan hasil titik peluh sendiri.

Dalam keterujaan serta kekecohan mengadakan persiapan untuk berpindah rumah, jangan lupa tentang beberapa perkara.

Selain membersihkan kawasan rumah yang bakal didiami, sentiasa beringat untuk memanjatkan kesyukuran terhadap Ilahi ke atas rezekiNYA serta memohon perlindungan-NYA di tempat baru.

Baca juga Waspada rumah tidak berpenghuni kerana jin gemar bertandang

Seperti yang dijelaskan oleh portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sebenarnya tiada nas yang mengkhususkan amalan tertentu ketika memasuki rumah baru.

Pun begitu, kita sangat dianjurkan untuk berdoa kepada ALLAH supaya rumah baru berkenaan serta diri diberkati.

memasuki rumah baru

WALAUPUN tiada dalil khusus, tetapi beberapa perkara ini boleh dilakukan ketika memasuki rumah baru sebagai ikhtiar mendapatkan perlindungan dari ALLAH SWT.

Perlindungan ALLAH

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus pula berkata, kebanyakan amalan atau adab memasuki rumah baru yang biasa dilazimi masyarakat kini berasal daripada ikutan orang-orang dulu berdasarkan ajaran ulama. Justeru , kita dianjurkan melazimi beberapa perkara berikut:

1. Membaca surah al-Baqarah.
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: “Janganlah kamu semua menjadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surat al-Baqarah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga [VIDEO] Tinggalkan rumah dengan rakaman Surah al-Baqarah yang terpasang. Ini yang wajib kita ambil tahu…

2. Mengamalkan doa masuk rumah.
Amalan ini dianjurkan oleh Ustaz Azhar setiap kali kita menjejakkan kaki ke dalam tempat kediaman. Di samping itu, kita juga boleh melazimkan diri membaca surah Yasin.

Baca juga Biasakan Diri Baca Doa Sebelum Keluar Rumah, Ini Sebabnya

3. Menunaikan solat sunat keluar dan masuk rumah
Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda, : “Jika engkau (ingin) keluar dari rumahmu, maka laksanakanlah solat dua rakaat (yang dengan) dua rakaat ini akan menghalangimu dari keburukan yang berada di luar rumah. Jika engkau masuk ke dalam rumahmu, maka laksanakanlah solat dua rakaat (yang dengan) dua rakaat ini akan menghalangimu dari keburukan yang ingin masuk ke dalam rumah.” (Hadis Riwayat Bazzar)

Ustaz Azhar juga menggalakkan perlaksanaan solat sunat hajat secara berjemaah di tapak rumah baru tersebut ketika ia sedang dibina serta setelah berpindah masuk.

memasuki rumah

LAZIMKAN beribadah kepada ALLAH SWT untuk diberikan perlindungan dariNYA daripada menghadapi gangguan syaitan dan makhluk halus yang mungkin berlaku selain meraih keberkatan di rumah baru.

4. Membaca bismillah, berzikir dan berdoa ketika membuka dan menutup pintu
Daripada Jabir bin Abdillah RA, Nabi SAW bersabda:

Apabila seseorang masuk ke dalam rumah lalu dia mengingati Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata: ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Tapi apabila dia tidak mengingati ALLAH ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kalian mendapatkan tempat menginap’.” (Hadis Riwayat Muslim dan Abu Daud)

Selain itu, Nabi SAW juga bersabda: “Tutuplah pintu, dan sebutlah nama ALLAH kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup (yang disebut nama ALLAH).” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Baca juga Sentiasa tutup pintu tandas elakkan dari dibuka syaitan

5. Memberi salam
Daripada Nafi` bahawa Abdullah bin Umar RA berkata: “Jika engkau memasuki suatu rumah yang tidak berpenghuni maka katakanlah: Assalamu`alaina wa `ala ibaadillahis solihin – Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)

Baca juga Beri salam bila masuk rumah walaupun tak ada orang. Ini sebab-sebabnya…

Oleh itu, tiada masalah untuk mengamalkan adab memasuki rumah baru seperti yang dilakukan oleh orang-orang dahulu seperti membaca sepertiga surah al-Baqarah dan sebagainya, asalkan ia tidak dijadikan suatu kewajipan.

Foto: Pexels, Unsplash & Freepik

model keluarga terbaik disebutkan al-Quran
Berita Semasa,

Model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran

MEMILIKI keluarga bahagia dan harmoni pastinya menjadi dambaan setiap insan. Islam sendiri sangat menekankan institusi kekeluargaan yang baik dalam kalangan umatnya. Tahukah anda, terdapat model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran?

Masakan tidak, keperibadian sesuatu individu bergantung kepada cara dia dibesarkan. Bak kata pepatah Melayu, ‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya’, lahirnya seorang insan soleh yang beriman kepada ALLAH SWT adalah hasil didikan baik daripada ibu bapa.

Dalam pencarian model keluarga yang boleh diteladani, ALLAH sudah pun memberikan contoh-contohnya menerusi kalamullah yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Model keluarga dalam al-Quran

AHMAD SANUSI AZMI

Bagi contoh keluarga yang soleh, ALLAH ada menampilkan kisah keluarga Imran di dalam al-Quran. Perkara ini dikongsikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi melalui laman sosial Facebook miliknya.

Nama diabadikan dalam al Quran

Imran adalah bapa kepada Saidatina Maryam. Menurut Ibn Asyur, beliau dilihat sebagai lelaki yang soleh dalam kalangan Bani Israel (rujuk al-Tahrir wa al-Tanwir, 3/84).

Ali Imran bukanlah seorang nabi atau rasul dan sebaliknya, hanyalah seorang hamba ALLAH yang biasa. Hebatnya beliau sehingga dimuliakan oleh ALLAH SWT dengan namanya diabadikan dalam kitab al-Quran.

Isteri beliau turut digambarkan sebagai ibu dan isteri yang solehah. Ini dapat difahami melalui dialog (doa) beliau ketika mengandungkan Maryam. Isteri Imran bernazar agar anak yang dikandungnya menjadi seorang yang melindungi agama dan mengabdikan dirinya hanya untuk ALLAH (rujuk al-Tabari, Jami’ al-Bayan).

Model keluarga dalam alquran

INSTITUSI kekeluargaan baik adalah yang mentaati ajaran agama seperti keluarga Imran yang diceritakan menerusi kalamullah.

Berkat doa ibu yang solehah serta ayah yang soleh, mereka dikurniakan anak yang solehah iaitu Maryam.

Bukan itu sahaja, atas takdir yang ditentukan oleh ALLAH, guru yang mendidik Maryam juga adalah yang soleh, iaitu Nabi Zakaria

Dalam masa sama, kisah ringkas dalam al-Quran ini juga menggambarkan kepentingan gabungan peranan ibu bapa dan guru dalam mendidik serta menghasilkan pelajar yang baik.

Baca juga 5 Pendekatan Didik Anak Cara Rasulullah SAW Bagi Membentuk Mereka Menjadi Pemimpin Terbaik Pada Masa Depan  

Walaupun Maryam diuji dengan ujian yang amat sukar apabila beliau mengandung tanpa berkahwin, beliau berjaya melalui ujian ini dengan tenang.

Kehebatan keluarga ini menjadikan nama mereka dipatrikan sebagai salah satu nama surah di dalam al-Quran, iaitu surah Ali Imran.

Yang menariknya, ALLAH turut memberikan contoh keluarga yang tidak baik, yang berlawanan dengan kisah keluarga Imran.

Model keluarga dalam alquran

ALLAH telah memberikan banyak contoh sama ada baik mahupun buruk dalam al-Quran sebagai garis panduan membina sebuah keluarga harmoni.

Kedudukan paling hina

ALLAH mengkhususkan satu surah untuk keluarga Abu Lahab, menggambarkan kedudukan mereka sebagai contoh keluarga yang teruk di dalam al-Quran.

Surah ini dimulakan dengan lafaz ‘tabbat’ (celaka) buat Abu Lahab kerana dia banyak menyakiti Rasulullah dan memusuhi Islam. Bahkan, isteri serta anaknya turut membantu dalam perkara ini.

Ummu Jamil, isteri Abu Lahad dikatakan bukan sahaja mencaci Rasulullah, malah menabur duri di jalan yang dilalui oleh Rasulullah.

Baca juga Merotan Bukan Untuk Menghukum, Sebaliknya Ia Pendekatan Akhir Didik Anak-anak Kita

Anak mereka yang berkahwin dengan puteri Rasulullah, Utbah (yang berkahwin dengan Ruqaiyah) serta Utaybah (yang berkahwin dengan Ummu Kalthum) disuruh pula menceraikan isteri mereka (iaitu anak-anak Rasulullah).

Kejahatan Abu Lahab serta ahli keluarga mereka dalam memerangi Islam diabadikan di dalam al-Quran di dalam satu surah sebagai suatu pedoman bagi Muslim.

Semoga perkongsian ini bermanfaat dalam usaha kita mewujudkan sebuah keluarga sakinah yang beriman dengan perintah-NYA.

Foto: Pexels, Freepik & Unsplash