BERDOA sememangnya sangat dituntut dalam Islam. Ya, ia antara satu bentuk ibadah yang mudah dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila waktu sahaja.
Paling tidak pun, amalan itu sering kali dilazimkan usai menunaikan solat fardu mahupun sunat.
Namun begitu, terdapat segelintir orang yang sempat menitipkan doa ketika sedang khusyuk menghadap ALLAH SWT. Dengan kata lain, mereka melakukannya ketika sedang solat.
Apakah sebenarnya doa yang boleh dilafazkan pada waktu itu? Adakah doa berkenaan boleh dibaca dalam mana-mana rukun solat?
Menjawab persoalan itu, pendakwah Muhammad Fahmi Rusli memulakannya dengan mengajak kita untuk memahami pengertian solat.
Dari segi bahasa, jelas beliau, solat membawa maksud doa.
“Hakikatnya memang benar. Solat kita dipenuhi dengan doa. Selepas takbiratulihram, membaca doa iftitah.
“Begitu juga dalam Surah al-Fatihah, ada doa pada ayat yang keenam,” katanya sebagaimana dipetik menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.
Baca juga 7 Teknik berdoa yang bakal menjemput Rahmat ALLAH
Begitupun, jelas agamawan itu, terdapat khilaf apabila kita berdoa ketika rukuk.
Pun demikian, katanya, menurut Imam Syafie kita dibolehkan melakukan sedemikian ketika rukuk. Ia bersandarkan kepada riwayat yang menunjukkan Rasulullah SAW membaca zikir semasa rukuk yang ada doa padanya.
Doa itu berbunyi: “Maha suci-MU ya ALLAH, wahai Tuhan kami, dan segala puji bagi-MU. Ya ALLAH, ampunkanlah kami.”
Menyambung hujahnya, Muhammad Fahmi memberi peringatan penuh bernilai buat kita semua. Beliau mengingatkan bahawa semasa sujud adalah lubuk utama untuk kita berdoa.
“Apa tidaknya, inilah keadaan yang paling dekat seorang hamba dengan Tuhannya. Maka, kena perbanyakkan doa padanya.
“Selain itu, duduk di antara dua sujud pun kita membaca doa. Begitu juga sebelum kita memberikan salam.
Baca juga Usah Segan Berdoa Minta Suatu Perkara Pada ALLAH
“Berdasarkan semua rukun-rukun dalam solat yang disebutkan tadi, jadi boleh saja kita berdoa ketika itu,” katanya.
Ketahuilah, doa yang paling afdal adalah doa ma’tsur iaitu daripada al-Quran ataupun hadis-hadis sahih.
“Adapun, doa yang tidak ma’tsur boleh dibaca di dalam bahasa Arab,” katanya.
Foto: Freepik & Pexels