Browsing Tag

Faraid

Tadabbur ayat-ayat faraid
Faraid, Iqtisad,

Disarankan untuk kita tadabbur ayat-ayat faraid pada Ramadan ini, berikut perinciannya

Oleh ZAHARI MAHAD MUSA

RAMADAN dan al-Quran tidak boleh dipisahkan. Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan dan bulan ini menjadi platform memperbanyakkan amalan termasuk menjadikan al-Quran sebagai rutin bacaan harian.

Firman ALLAH SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat 185: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keteranganketerangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Saranan tadabbur ayat faraid pada Ramadan kali ini sangat penting seiring fasa endemik yang mula dilalui. Bilangan kematian mungkin berkurang, tetapi pengajaran ilmu faraid yang dikaitkan dengan kematian harus diperkasakan.

Tiga ayat panjang menjadi punca kuasa pensyariatan hukum faraid berada di dalam surah an-Nisa’ iaitu ayat 11, 12 dan 176. Ketiga-tiga ayat ini adalah sebahagian catatan hukum terperinci (al-ahkam al-tafsiliyyah) di dalam al-Quran dengan fokus kepada waris yang layak. Tulisan kali ini mengutarakan ayat 11 dan ayat 12 surah an-Nisa’.

AYAT 11 : Jaminan untuk anak dan ibu bapa

Firman ALLAH di dalam Surah al-Nisa’, ayat 11, menerangkan bahagian faraid untuk anak-anak yang diperoleh daripada ibu dan bapa yang meninggal dunia. Selain itu, bahagian faraid untuk ibu dan bapa juga turut diperincikan daripada anak-anak yang meninggal dunia lebih dahulu daripada ibu bapa.

Baca juga Usah gunakan kata nista semata-mata untuk dapatkan hak faraid

Pangkal ayat ini menyatakan bahagian faraid kepada anak-anak si mati sebagai jaminan untuk mereka peroleh habuan daripada harta ibu dan bapa yang dijemput Ilahi. Anak perempuan menjadi waris ‘asabah ketika si mati (ibu atau bapanya) meninggalkan anak lelaki iaitu adik beradik lelakinya. Ini bermakna, keturunan si mati akan memperolehi pusaka secara bersama dengan nisbah mereka ialah anak perempuan akan mendapat satu bahagian dan anak lelaki mendapat dua bahagian.

Tadabbur ayat-ayat faraid

ANAK mendapat habuan faraid apabila ibu bapanya meninggal dunia.

Anak perempuan bertukar untuk mendapat habuan tetap iaitu secara pecahan sebanyak satu perdua (1/2) dan dua pertiga (2/3). Satu perdua diberikan kepada anak perempuan jika bilangannya seorang sahaja dan si mati iaitu bapa atau ibunya yang meninggal dunia tidak meninggalkan anak lelaki atau anak perempuan yang lain (adik-beradiknya). Namun jika bilangan anak perempuan si mati melebihi seorang maka mereka layak mewarisi dua pertiga.

Seterusnya ayat ini menggariskan bahagian kepada ibu dan bapa yang anaknya meninggal dunia terlebih dahulu. Bahagian faraid kepada ibu si mati terdiri daripada dua iaitu satu pertiga (1/3) dan satu perenam (1/6). Satu pertiga diberikan kepada ibu ketika si mati tidak meninggalkan keturunan ke bawah atau tidak meninggalkan lebih daripada seorang adik-beradik sama ada adikberadik kandung, sebapa atau seibu. Manakala bahagian dikurangkan kepada satu perenam sahaja apabila syarat yang diperolehi berlawanan dengan situasi sebelumnya iaitu si mati meninggalkan keturunan ke bawah atau mempunyai lebih daripada seorang adik-beradik.

Bahagian bapa ditentukan dalam dua bentuk iaitu satu perenam (1/6) dan secara lebihan baki (‘asabah). Bapa si mati mendapat satu perenam jika si mati meninggalkan zuriat. Namun jika anaknya yang meninggal dunia tidak meninggalkan zuriat sama ada lelaki atau perempuan, maka bapa mewarisi secara lebihan baki (‘asabah).

Ayat ini turut menegaskan agihan faraid hanya berlaku apabila dua tanggungjawab sebelumnya diselesaikan iaitu melunaskan hutang dan pemberian wasiat si mati. Walaupun wasiat didahulukan dalam ayat ini berbanding hutang, ia bukan menafikan hukum wajib melunaskan hutang dalam hierarki utama pengurusan harta si mati. Kewajaran wasiat disebut lebih awal kerana menjadi suatu galakan umat Islam untuk berwasiat yang mungkin terlepas pandang tentang kepentingannya kerana hukum asal pensyariatannya hanyalah sunat semata-mata.

AYAT 12 : Bahagian untuk isteri dan suami

Surah al-Nisa’, ayat 12 memberi tumpuan kepada empat orang waris iaitu suami, isteri, saudara lelaki seibu dan saudara perempuan seibu. Bagi suami yang kematian isterinya, dua habuan faraid telah ditentukan iaitu satu perdua (1/2) dan satu perempat (1/4). Jika isterinya yang meninggal dunia mempunyai zuriat maka suami tersebut hanya layak untuk mendapat bahagian faraid sebanyak satu perempat (1/4) sahaja. Namun jika si mati tidak meninggalkan sebarang zuriat, maka duda akan memperoleh bahagian yang lebih banyak iaitu satu perdua (1/2).

Baca juga Beza di antara faraid dan wasiat

Dua bahagian faraid juga ditetapkan kepada isteri yang kematian suaminya iaitu satu perempat (1/4) dan satu perlapan (1/8). Isteri mendapat satu perempat apabila suami yang meninggal dunia tidak meninggalkan zuriat keturunan dan ke bawah. Manakala bahagian sebanyak satu perlapan diperoleh apabila suami meninggal dunia dan mempunyai zuriat keturunan ke bawah.

Tadabbur ayat-ayat faraid

FAHAMI bahagian faraid yang diperoleh suami dan isteri apabila pasangan masing-masing meninggal dunia.

Dua waris lain dalam ayat ini ialah saudara lelaki seibu dan saudara perempuan seibu iaitu adik-beradik yang bersambung satu ibu dengan si mati. Keduanya akan mendapat habuan yang sama iaitu satu perenam (1/6) dan satu pertiga (1/3). Satu perenam akan diwarisi jika bersendirian sahaja sama ada lelaki atau perempuan dan tidak wujud waris lain yang akan mendindingnya seperti anak dan bapa kepada si mati. Manakala satu pertiga akan diperoleh apabila bilangan mereka ramai sama ada saudara lelaki sahaja, saudara perempuan sahaja atau gabungan kedua-duanya.

***Zahari Mahad Musa ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Foto: 123rf

Guna kata nista dapatkan hak faraid
Faraid, Iqtisad,

Usah gunakan kata nista semata-mata untuk dapatkan hak faraid

Oleh ZAHARI MAHAD MUSA

PENSYARIATAN hukum faraid bertujuan merealisasikan kemaslahatan manusia sama ada melibatkan individu, keluarga atau masyarakat.

Hakikatnya, kelebihan yang sebenar hanya diketahui oleh ALLAH SWT yang telah menentukan dan menetapkan hukum tersebut. Kedangkalan pemikiran manusia mungkin tidak mengetahui secara mendalam berkaitan perkara di sebalik pensyariatan faraid mahupun perinciannya yang telah ditetapkan oleh wahyu ILAHI.

Apa yang pasti ALLAH mengingatkan selepas memperincikan bahagian pusaka si mati melalui firman-NYA yang bermaksud: “Ibu bapa kamu dan anakanak kamu tidak mengetahui sesiapa antara mereka yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu. (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan daripada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Amat Bijaksana. (Surah an-Nisa’, ayat 11)

Waris mungkin mempersoalkan peruntukan bahagian pusaka masing-masing, namun jarang sekali mereka mempersoalkan tentang tanggungjawab yang ditunaikan dalam sesebuah keluarga. Jangan sampai berbalah menuntut harta sehingga silaturahim terabai. Berapa ramai yang mencerca mahupun berkata nista sesama keluarga apabila bahagian yang diperoleh dalam harta pusaka tidak seiring dengan kehendak masing-masing.

Guna kata nista dapatkan hak faraid

Ikuti panduan agihan faraid yang ditentukan dalam Islam dan jangan berbalah sehingga mengabaikan silaturahim.

Dalam agihan faraid, waris harus akur dengan enam pecahan sebagai formula faraid iaitu satu perdua [1/2], satu perempat [1/4], satu perlapan [1/8], dua pertiga [2/3], satu pertiga [1/3] dan satu perenam [1/6]. Setiap waris yang mendapat pecahan-pecahan ini akan digelar dengan waris ashab al-furud iaitu mereka yang memperoleh harta pusaka secara tetap.

Waris ashab al-furud terdiri daripada 12 orang yang meliputi empat orang lelaki dan lapan orang perempuan. Empat orang lelaki ialah bapa, datuk yang sah, saudara lelaki seibu dan suami. Manakala lapan orang perempuan ialah ibu, nenek, anak perempuan, cucu perempuan (anak perempuan daripada anak lelaki), saudara perempuan kandung (seibu sebapa), saudara perempuan sebapa, saudara perempuan seibu dan isteri.

Kesemua maklumat ini merupakan sebahagian pesyariatan faraid yang kadangkala akal manusia tidak mampu menjangkaui hikmah dan logik di sebalik kenapa mereka dan nombor itu sahaja yang ditetapkan.

Persis hukum lain dalam Islam yang bersifat nombor, keperluan untuk taat kepada peraturan faraid adalah sangat penting. Mungkin sehingga kini, kita masih tertanya tentang perbezaan bilangan rakaat dalam solat yang akhirnya kita perlu patuh tentang kewajipan hukum solat tersebut. Dari sudut lain, disitulah keunikan Islam yang bukan bersandarkan logik akal semata-mata, bahkan elemen wahyu sentiasa wujud di sebalik pensyariatan ajaran Islam itu sendiri.

Justeru, etika yang perlu dijaga melibatkan agihan faraid ialah menjaga komunikasi sesama keluarga. Penjelasan maklumat adalah sangat signifikan dalam agihan faraid kerana peraturan tersebut mempunyai syarat dan hukum yang harus dipatuhi oleh waris seperti maklumat berkaitan formula dan waris yang berhak sebelum ini.

Guna kata nista dapatkan hak faraid

BERBINCANGLAH bersama sekiranya ada suatu perkara berbangkit berkaitan perihal agihan faraid.

Tidak sepatutnya kata nista mendominasi ahli kelurga demi mendapat hak keatas harta yang ditinggalkan. Al-Quran menggariskan beberapa bentuk komunikasi yang boleh diimplementasikan dalam urusan pengurusan harta keluarga. Dua frasa yang digunakan ialah qawlan ma’rufa dan qawlan sadida digunakan sebelum menceritakan tentang agihan faraid dalam surah al-Nisa’. Kedua-duanya mengandungi elemen yang positif dalam berkomunikasi dari sudut maksud asalnya.

Firman ALLAH dalam ayat ke-8 dan ke-9 Surah an-Nisa’ menyebut dua frasa ini. Qawlan ma’rufa dalam ayat ke-8 merujuk kepada cara komunikasi dengan baik terutama apabila sasaran pendengar terdiri daripada pelbagai kumpulan sasar. Dalam agihan harta berkemungkinan di sana terdapatnya anak yatim, balu, ibu tunggal dan orang miskin yang mendapat habuan sedikit atau tiada langsung peruntukan dalam faraid. Hal ini merupakan sebahagian ketinggian akhlak yang dianjurkan Islam dalam menjaga perhubungan insan.

Baca juga Beza di antara faraid dan wasiat

Manakala qaulan sadida dalam ayat ke-9 bagi menunjukkan pendekatan komunikasi dengan menggunakan perkataan yang tepat dan benar, bukannya ayat berjela-jela dan berfalsafah. Hal ini seiring dengan konteks ayat tersebut yang ditujukan kepada pentadbir dan penjaga yang menguruskan pihak yang tidak mampu menguruskan harta dengan sendirinya.

Contohnya, seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan waris iaitu seorang anak lelaki yang masih kecil dan seorang adik kandung lelaki. Sudah pasti dalam agihan faraid, harta pusaka si mati diwarisi sepenuhnya oleh anak lelaki tersebut sebagai waris ‘asabah dan tiada bahagian kepada adik lelaki si mati yang merupakan bapa saudara kepada anak lelaki si mati.

Namun sebagai bapa saudara, adik lelaki tadi berperanan menjaga anak saudaranya (anak lelaki si mati) sehingga mampu menguruskan harta dengan sendirinya. Bahkan kadangkala pengurusan tersebut melibatkan kos yang diambil daripada harta pusaka si mati. Semua kos tersebut perlu direkodkan dengan jelas agar tiada pihak terasa hati dan lebih buruk lagi akan didakwa memakan harta anak yatim.

Guna kata nista dapatkan hak faraid

SEORANG anak yang kehilangan bapa mempunyai hak dalam agihan faraid bagi memastikan masa depannya terjamin dengan harta yang ditinggalkan. -Gambar hiasan

Kedua-dua cara berkomunikasi yang dianjurkan tersebut seharusnya diperhatikan oleh setiap ahli keluarga agar tiada pihak yang terguris dalam agihan harta pusaka. Selain itu, menjaga komunikasi dalam sesebuah keluarga dapat memastikan konflik pusaka dapat dilerai dan memberi hak faraid kepada yang berhak dengan lebih sempurna.

***Zahari Mahad Musa ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Foto: 123rf, Unsplash & Pexels

Hak faraid wanita
Faraid, Iqtisad,

Ketahui hak faraid bagi wanita, waris dominan dalam senarai ‘ashab al-furud’

Oleh ZAHARI MAHAD MUSA

TANGGAL 8 Mac lalu memperlihatkan sambutan Hari Wanita Sedunia yang menuntut kesedaran hak terutama dalam mendepani cabaran kehidupan dunia pasca pandemik. Harapan dan sokongan kepada golongan wanita perlu diambil perhatian kerana mereka selalunya dilabel sebagai komuniti lemah.

Hak wanita melalui perundangan faraid dalam Islam telah dimartabatkan sebagaimana firman ALLAH SWT: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka daripada peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh ALLAH).” (Surah an-Nisa, ayat 7)

Islam membawa banyak perubahan terutama berkaitan bentuk pewarisan yang diamal oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Kesannya satu sistem yang lebih tersusun dapat diperkenalkan. Pewarisan yang hanya diberikan kepada lelaki pada zaman Jahiliyyah telah dimansuhkan. Islam telah membawa perubahan dengan memberi hak kepada kedua-dua jantina untuk menjadi penerima harta pusaka si mati.

Perebutan harta pusaka tetap akan berlaku sama ada waris itu lelaki atau wanita. Namun dengan kefahaman jitu mampu menyelamatkan konflik urusan harta keluarga si mati. Justeru, wanita perlu sedar akan hak dalam faraid dan bersedia mendepani cabaran urus harta keluarga.

Hak faraid wanita

KAUM Hawa dan semua orang perlu memahami hak faraid serta pengurusannya.

Tiada beza jantina

Semua prosedur asas berkaitan faraid iaitu wujudnya rukun, syarat, sebab dan ketiadaan penghalang terpakai kepada lelaki dan wanita. Sebagai contoh dalam syarat sesuatu agihan faraid tidak diletakkan jantina sebagai asas untuk pembahagian harta pusaka Islam.

Peraturan yang hanya diletakkan berkaitan syarat faraid ialah kematian pewaris, hidupnya waris dan mengetahui sebab hubungan serta tiada halangan pewarisan. Jadi, mana-mana waris yang dipastikan hidup layak untuk menerima harta pusaka. Perbezaan jantina bukan syarat menerima faraid.

Baca juga Hak faraid bagi balu dan duda yang wajib kita tahu

Dari aspek lain, perbahasan berkenaan penghalang faraid juga terpakai kepada kedua-dua jantina. Salah satu contoh penghalang faraid ialah tindakan membunuh menyebabkan pembunuh tidak mendapat harta pusaka mangsa yang mempunyai hubungan sebab pewarisan dengan pembunuh tersebut. Isteri yang membunuh suaminya akan dihalang untuk memperoleh harta pusaka suaminya yang meninggal dunia sama keadaannya seperti suami yang membunuh isterinya.

Kelompok majoriti waris Ashab al-Furud

Dalam hierarki agihan harta pusaka Islam, waris ashab al-furud merupakan penerima utama yang perlu disenaraikan apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga Muslim. Waris ashab al-furud ialah ahli-ahli waris yang telah ditetapkan bahagian mereka dalam pembahagian pusaka menurut al-Quran, al-Sunnah dan Ijmak. Mereka terdiri daripada 12 orang waris (Jadual 1).

Hak faraid wanita

Menariknya, wanita merupakan waris paling dominan dalam senarai waris ashab al-furud. Martabat wanita dalam perundangan faraid dihargai dengan penentuan pecahan yang tetap disebabkan berhubung dengan si mati atas hubungan nasab keluarga atau perkahwinan. Isteri adalah waris yang dijamin mendapat harta pusaka suaminya yang meninggal dunia atas hubungan perkahwinan.

Manakala tujuh yang lain merupakan wanita yang ada nasab keluarga dengan si mati iaitu anak perempuan, anak perempuan kepada anak lelaki (cucu) ke bawah, ibu, nenek yang sah, saudara perempuan seibu sebapa, saudara perempuan sebapa dan saudara perempuan seibu. Kesemua lapan wanita tersebut ditentukan bahagian faraid mengikut situasi masing-masing dan layak mendapat harta pusaka selagi tidak dihalangi oleh waris yang lebih kuat.

Habuan yang lebih dalam setengah pengiraan

Dalam beberapa situasi pengiraan, wanita mendapat bahagian faraid melebihi waris lelaki yang wujud dalam kes faraid tersebut. Sekali lagi martabat wanita diraikan dalam Islam yang menunjukkan bahawa tidak semua situasi wanita mendapat bahagian yang sedikit dalam faraid. Sekadar menyebut tiga kes sebagai contoh yang menunjukkan wanita dihargai dengan habuan faraid yang lebih untuk pemahaman seperti Jadual 2.

Hak faraid wanita

Hak faraid wanita

Hak faraid wanita

Dalam ketiga-tiga kes ini, waris wanita yang diwakili oleh anak perempuan memperoleh bahagian faraid yang banyak berbanding waris lelaki. Anak perempuan dalam kes pertama memperolehi 1/2 (menyamai 6/12) daripada si mati iaitu ibunya yang meninggal dunia.

Baca juga Kenali waris faraid, ini perinciannya.

Bahagian ini merupakan nilaian yang banyak berbanding waris lain dalam kes tersebut iaitu suami dan bapa. Dalam kes kedua, anak perempuan memperoleh sebanyak 1/2 (menyamai 2/4) iaitu bahagian yang banyak berbanding suami dan saudara lelaki seibu sebapa. Anak-anak perempuan dalam kes ketiga juga memperolehi bahagian yang banyak berbanding bapa si mati iaitu berpangkat datuk kepada mereka.

Ibu dalam kes ketiga memperoleh bahagian sama dengan bapa iaitu sebanyak 1/6 sahaja. Ini menunjukkan wanita punya hak sama rata dengan waris lelaki yang lain.

***Zahari Mahad Musa ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Foto: Freepik & Pexels

Faraid
Isu,

Penting Ambil Tahu Faraid Walaupun Masih Bujang

Oleh ZAHARI MAHAD MUSA

SETIAP individu tidak perlu tunggu hingga berumahtangga untuk mengetahui hukum dan peraturan faraid dalam Islam. Saranan ke atas kempen ini bukan suatu yang baharu, bahkan terinspirasi daripada hadis Rasulullah SAW yang menggalakkan untuk belajar dan mengajar tentang hukum faraid.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkanlah kepada manusia. Sesungguhnya ia merupakan sebahagian ilmu dan ia akan dilupakan serta ilmu yang pertama yang akan diangkat daripada umatku.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Walaupun tiada penambahan ahli keluarga bagi individu bujang melalui kehadiran pasangan mahupun zuriat, mereka tetap perlu tahu sesiapa dalam kalangan ahli keluarga yang berhak mewarisi harta jika berlaku kematian. Simulasi waris yang layak sewajarnya sudah diketahui lebih awal lagi. Dari sisi lain pula, ahli keluarga yang bakal ditinggalkan perlu diberi kefahaman tentang waris yang layak mendapat habuan secara faraid.

Hal ini kerana sistem pusaka Islam menetapkan bahawa tidak semua ahli keluarga si mati ialah waris. Namun, setiap waris semestinya mempunyai hubungan kekeluargaan dan nasab. Selain itu, penarafan status waris turut berbeza antara satu dengan lain.

Sebagai contoh, jika individu bujang masih mempunyai ibu dan bapa maka keduanya layak mendapat pusaka sebagai satu bentuk ihsan yang berterusan daripada anak yang meninggal lebih awal. Hak mendapat faraid sentiasa terjamin kerana suatu pengiktirafan atas hubungan nasab yang sah. Keduanya bersambung terus dengan si mati tanpa perantara.

Faraid

CAKNA tentang waris terlibat yang layak mendapat harta pusaka sebagaimana digariskan dalam agama Islam.

Namun dalam peraturan faraid, ibu dan bapa mempunyai status atau kategori waris yang berbeza. Ibu si mati merupakan waris ashab al-furud (waris yang dapat bahagian tetap) sahaja. Sedangkan bapa si mati mempunyai dua status iaitu sebagai waris ashab al-furud dan boleh juga berstatus waris ‘asabah (waris yang mendapat lebihan).

Perbezaan status waris ini sudah pasti menyebabkan keduanya memperoleh bahagian faraid dalam sesuatu kes mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Dalam kes individu bujang yang hanya meninggalkan ibu dan bapa sahaja, maka bahagian faraid ibu adalah sebanyak satu pertiga dan lebihan sebanyak dua pertiga akan diwarisi oleh bapa si mati.

Bagi individu bujang yang sudah kehilangan orang tua terutama bapa, semakan waris untuk harta pusakanya nanti sangatlah perlu dibuat. Hal ini kerana, waris yang layak semakin meluas yang mungkin melibatkan adik beradik dan ahli keluarga lelaki yang mempunyai hubungan susur galur di sebelah bapa seperti datuk, bapa saudara dan lain-lain yang biasanya disenaraikan sebagai waris ‘asabah.

Baca juga Kedudukan Harta Sepencarian Mendahului Faraid, Masih Ramai Yang Keliru Tentang Hal Ini

Hubungan silaturahim antara adik beradik wajib dijaga. Konflik mungkin terjadi, tetapi tidak perlu berpanjangan kerana semua berhubung susur galur keluarga dengan ibu bapa yang sama atau salah seorang daripada mereka.

Pemegang amanah keluarga

Sebelum datangnya kematian, setiap individu seharusnya merancang dalam memastikan harta yang ada untuk diagihkan melalui saluran yang dianjurkan oleh Islam seperti hibah, wasiat ataupun faraid agar harta dapat disampaikan kepada ahli keluarga mengikut kebijaksanaan masing-masing.

Ketiga-tiga elemen agihan tersebut bukanlah bersifat bertentangan, bahkan saling melengkapi antara satu sama lain tentang pindah milik dalam pengurusan harta keluarga. Contohnya, apabila seseorang yang masih bujang hanya mempunyai ibu saudara (adik beradik ibu atau bapa) dalam keluarganya maka pemindahan harta yang terbaik adalah melalui hukum wasiat atau hibah. Wasiat dalam Islam lebih sesuai kerana terma tersebut merujuk kepada sumbangan sebanyak satu pertiga daripada harta kepada selain waris.

Faraid

URUS harta dengan sebaik-baiknya ketika masih hidup agar tidak timbul pertikaian sesudah meninggal dunia.

Ibu saudara bukanlah waris yang layak untuk menerima harta pusaka melalui hukum faraid atau lebih tepat dikenali sebagai waris dhawi al-arham (waris yang tidak disepakati untuk menjadi waris yang layak), manakala hibah kepada ibu saudara tadi juga lebih signifikan kerana pemberian harta berlaku semasa pemberi masih hidup lagi.

Selain itu, sistem pindah milik harta pusaka yang disyariatkan bertujuan memelihara harta yang diusahakan dan menguruskan penggantiannya kepada seseorang yang berhak dan layak untuk memilikinya. Jika sesebuah keluarga yang ditinggalkan mampu mengurus sendiri harta pusaka, maka tiada sebarang konflik yang bakal dihadapi. Namun, jika waris yang ditinggalkan tidak mampu mengurus harta dengan sendirinya, seharusnya mereka melantik seorang pemegang amanah untuk membantu.

Pelantikan pemegang amanah merupakan suatu saranan urus harta dalam Islam. Lantikan ini melibatkan amalan pengamanahan oleh pemilik harta yang mana pemegang amanah perlu berperanan aktif dalam memenuhi hasrat pemilik harta (semasa hidup dan selepas mati).

Hukum pelantikan pemegang amanah atau wasi ialah sunat dan digalakkan kerana membantu pihak yang tidak mampu urus harta dengan sendiri. Selain daripada itu, pelantikan mereka sangat signifikan kerana memudahkan pembuktian dokumen kematian pihak yang melantik.

ANEKDOT

KEPERLUAN dokumentasi pemilikan harta

Faraid

SIMPAN dokumen berkaitan untuk memudahkan urusan faraid.

  • Sebagai dokumentasi harta keluarga yang mudah diakses mempercepat proses pindah milik dan agihan.
  • Senarai lengkap yang sistematik meliputi dokumen pemilikan seperti geran atau perjanjian jual beli rumah, geran kereta, akaun simpanan dan pelaburan, dokumen pembiayaan serta hutang dan sijil takaful.
  • Senarai harta yang dibuat lebih awal akan membantu waris menganggar nilaian harta dan jenisnya bagi tujuan permohonan pusaka.
  • Pentadbiran harta pusaka di Malaysia meliputi tiga agensi pengurusan pusaka yang berbeza.

***Zahari Mahad Musa ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Foto: 123rf & Pexels

Gaya Hidup,

Kedudukan Harta Sepencarian Mendahului Faraid, Masih Ramai Yang Keliru Tentang Hal Ini

MESKIPUN sering kali isu faraid atau pembahagian harta pusaka sering dibangkitkan, namun masih ramai yang kurang cakna mengenainya.

Hakikatnya semua orang perlu mengambil maklum tentang perkara tersebut. Ini kerana kita pasti akan menemui Sang Pencipta apabila tiba saatnya.

Tiada siapa pun yang tahu siapa yang akan pergi meninggalkan alam yang fana ini. Masakan tidak, ajal boleh sahaja datang menjemput pada bila-bila masa waima dalam usia muda sekalipun.

Namun begitu, ada sesuatu yang perlu kita fahami tentang perihal faraid terutama bagi mereka yang sudah berumah tangga.

Peguam syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah menjelaskan, mengikut undang-undang syariah, kedudukan harta sepencarian adalah mendahului faraid.

NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA

Ini kerana lazimnya dalam alam rumah tangga, hanya suami dan isteri saling mengenali pasangan masing-masing.

“Kedua-dua mereka lebih mengetahui sumbangan dan pengorbanan masing-masing berbanding ahli keluarga sendiri,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantarannya di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Seperkara lagi, beliau mengingatkan, meskipun isteri tidak bekerja dan hanya bergelar suri rumah, wanita tersebut masih berhak menuntut harta sepencarian berdasarkan takat sumbangan tak langsung dalam perkahwinannya bersama suami yang sudah meninggal dunia.

“Isteri perlu memfailkan pengistiharan harta sepencarian di Mahkamah Tinggi Syariah terlebih dahulu selepas kematian suami.

“Ini bagi mengelakkan berlaku salah faham dalam kalangan ahli waris kelak. Bukan apa, takut sekiranya harta-harta yang sepatutnya menjadi milik isteri jatuh ke tangan yang tidak sepatutnya,” terangnya.

Baca juga Isteri Berstatus Suri Rumah Layak Tuntut Hak Harta Sepencarian, Namun Masih Ramai Yang Tak Tahu

Isteri berhak tuntut harta sepencarian dalam perkahwinannya bersama suami yang sudah meninggal dunia.

Begitu juga halnya dengan si suami, Nurain Akmal Khairunnisa menambah, sekiranya kaum Adam ada membuat sumbangan secara langsung terhadap mana-mana pemilikan harta dalam perkahwinan, maka mereka boleh juga memfailkan harta sepencarian sebelum harta difaraidkan andai isteri meninggal dunia.

Faraid

KUMPULKAN segala dokumen berkaitan termasuklah penyata bank, kontrak jual beli dan sebagainya untuk memudahkan urusan faraid andai kita sudah meninggal dunia.

“Selepas mahkamah memutuskan harta si mati mengikut bahagian harta sepencarian, maka baki harta tersebut boleh diwasiatkan dan dihibahkan sekiranya ada serta difaraidkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengamal undang-undang syariah itu turut berkongsi ilmu tentang perkara yang perlu dilakukan waris dengan harta si mati jika meninggal dunia.

Berikut adalah turutan sebagaimana yang digariskan oleh agama Islam:

  1. Kos perbelanjaan pengebumian si mati.
  2. Langsaikan hutang-hutang si mati sama ada hutang dengan ALLAH SWT atau hutang kepada manusia.
  3. Uruskan wasiat si mati sekiranya arwah ada mewasiatkan hartanya kepada bukan ahli waris dan urus hibah jika ada.
  4. Pengisytiharan harta sepencarian.
  5. Faraidkan harta si mati.

Semoga dengan perkongsian ini akan menambah lagi ilmu kita berkaitan faraid.

Foto: 123rf, Unsplash, Freepik & Pexels

suami meninggal
Isu,

Suami meninggal, ini yang WAJIB isteri tahu tentang peninggalan harta arwah

SUAMI meninggal, ini yang WAJIB isteri tahu tentang peninggalan harta arwah.

Tatkala menerima berita kematian, terbit perasaan sedih dan terkejut. Apalagi jika ia membabitkan insan yang rapat dengan diri kita.

Peritnya apabila diuji dengan suatu kehilangan. Kepedihan itu sukar untuk diungkapkan. Lebih-lebih lagi andai ia melibatkan kematian tonggak keluarga seperti suami yang telah berjanji untuk sehidup semati.

Terasa diri seolah-olah terkapai-kapai tanpa tempat bergantung. Saat itu, pelbagai jenis rasa bersarang dalam diri hinggakan kadangkala otak menjadi ‘lumpuh’ seketika gara-gara hilang insan kesayangan sekelip mata.

Baca juga Perlukah isteri taat kepada suami yang tidak solat? Berikut perinciannya

Ya, demikian yang dirasakan segelintir wanita yang kehilangan suami. Lebih memilukan apabila suami yang pergi meninggalkan kita itu tidak sempat membuat apa-apa perancangan terhadap harta yang ditinggalkan.

Sudahlah kehilangan suami, tempat bergantung harap juga sudah tiada. Disebabkan itulah betapa pentingnya untuk para wanita yang mengalami situasi seperti itu tahu hukum-hakam tentang faraid.

Apakah yang perlu dilakukan dengan harta peninggalan suami? Apa yang perlu dilakukan?

Turut disyorkan Lakukan amalan ini bersama, rahsia suami isteri bina ‘rumah’ di syurga

Di sini, Majlis Agama Islam Selangor kongsikan perkara-perkara penting yang perlu para isteri ambil tahu supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih tenang:

1. Jika suami meninggal dunia dan meninggalkan harta tanpa membuat wasiat atau tanpa menghibahkan hartanya semasa hidup, maka semua harta-harta halal yang ditinggalkan adalah merupakan harta pusaka yang akan diwarisi oleh isteri dan waris-waris lain mengikut hukum faraid.

URUSKAN harta peninggalan suami mengikut hukum faraid jika arwah tidak sempat untuk membuat wasiat atau hibah.

Baca juga Jangan panik, kalut, 10 perkara perlu buat apabila ahli keluarga meninggal dunia

2. Jika suami meninggal dunia meninggalkan anak lelaki, anak perempuan, ibu dan bapa, maka mereka juga adalah waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka arwah suami selain daripada isteri.

3. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan, bapa dan adik-beradik, maka waris yang berhak ke atas harta pusaka arwah suami adalah isteri, anak perempuan dan bapa sahaja. Adik-beradik arwah suami tidak berhak.

4. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan dan adik-beradik, maka semua itu adalah merupakan waris-waris yang layak mewarisi harta pusaka arwah suami.

5. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan berumur 8 tahun dan anak lelaki berumur 2 hari, maka adik-beradik arwah suami tidak berhak ke atas harta pusaka arwah suami walaupun anak lelaki tersebut baru berumur 2 hari.

6. Jika suami meninggal dunia dan 2 hari sebelum itu telah menceraikan isterinya dengan penceraian secara talak satu, maka isteri tersebut masih lagi berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.

Harta peninggalan

SEKALIPUN isteri baru sahaja diceraikan dengan talak satu dua hari sebelum suaminya meninggal dunia, bekas isteri masih lagi berhak ke atas harta pusaka suaminya.

Turut disyorkan Isteri digantung tidak bertali, peguam nasihatkan mangsa tidak berdiam diri

7. Jika suami meninggal dunia sebaik sahaja selepas akad nikah dengan isterinya, isterinya tetap berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.

8. Jika suami sebelum meninggal dunia menyatakan haram harta-hartanya diwarisi oleh isteri dan kemudiannya meninggal dunia, isteri tersebut tetap berhak mewarisi harta pusaka arwah suaminya.

9. Jika suami meninggal dunia meninggalkan harta yang berkongsi bahagian dengan isteri, bahagian yang dimiliki oleh arwah suami merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris-waris termasuk isteri mengikut hukum faraid.

10. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri sebagai penama kepada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Tabung Haji, takaful atau seumpamanya, maka isteri hendaklah bertindak sebagai pentadbir untuk membahagikan wang-wang tersebut kepada dirinya dan waris-waris lain yang berhak mengikut hukum faraid.

Harta peninggalan

PARA wanita perlu memahami hukum-hakam faraid sebagai panduan demi meneruskan kehidupan seandainya berlaku kematian suami kelak.

Baca juga 6 sikap romantik Rasulullah yang patut dicontohi

11. Jika suami meninggal dunia, namun harta yang ditinggalkan merupakan harta yang dipinjam, harta yang diamanahkan, harta yang telah diwakafkan, harta yang telah dihibahkan atau harta yang telah dijual, harta-harta tersebut bukan merupakan harta pusaka yang layak diwarisi oleh isteri.

12. Harta pusaka arwah suami yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan dengan isteri boleh dituntut oleh isteri sebagai harta sepencarian melalui mahkamah syariah.

Untuk lebih mudah, uruskan harta anda di Majlis Agama Islam Selangor, layari www.mais.gov.my.

 

Berita Semasa,

Ini sebabnya kenapa kita perlu celik dengan ilmu faraid

RASANYA ramai yang sedia maklum tentang faraid dan pengurusan harta pusaka. Acap kali juga ia jadi topik perbincangan ramai bila ‘naik’ isu-isu hangat apatah lagi jika ia membabitkan individu yang dikenali dalam negara.

Ia bukanlah perkara baharu lagi. Meskipun begitu, masih ada lagi segelintir pihak yang memandang remeh perkara ini. Bagi individu ini, mereka merasakan urusan faraid ini hanya penting bila seseorang telah meninggal dunia.

Hakikatnya, ilmu itu harus dipelajari oleh semua orang. Itu yang kadangkala berlaku kes perebutan harta pusaka dalam kalangan adik-beradik selepas kematian ibu bapa.

Paling menyedihkan, bertahun-tahun masa diambil untuk selesaikan kes tersebut hinggakan ada waris yang terlebih dulu dijemput Pencipta-NYA.

Sebenarnya, baik yang muda mahupun yang sudah berusia, semuanya kena sedia maklum dengan ilmu faraid ini.

Bukan apa, ia akan mudahkan pembahagian urusan harta pusaka orang yang meninggal dunia kepada waris terlibat.

Urusan akan bertambah mudah lebih-lebih lagi bila si mati tadi sempat meninggalkan wasiat atau melakukan perancangan harta pusaka ketika masih hidup.

Malangnya, walaupun ramai yang sedar tentang hakikat ini, tetapi tiada tindakan susulan diambil. Orang kata, hanya sedar pada nama saja. Selebihnya hanya berserah tanpa berbuat apa-apa.

Sedangkan, pendidikan faraid ini begitu penting dan ditekankan dalam agama Islam. Demikian jelas Safirah Khan dari Universiti Malaysia Terengganu.

Jom baca perkongsian beliau tentang kepentingan pendidikan faraid ini.

“Ilmu faraid ialah ilmu yang membincangkan kaedah asas yang perlu diketahui dalam pembahagian harta pusaka kepada waris yang berhak.

Ia disebut juga sebagai ilmu tarikah iaitu ilmu yang berkait dengan hukum kaedah fiqh dan matematik iaitu pengiraan yang membolehkan kita mengetahui hak dan bahagian-bahagian harta peninggalan atau harta pusaka seseorang waris.

Hukum mempelajari ilmu faraid merupakan fardu kifayah, tetapi boleh ‘jatuh’ fardu ain dalam keadaan tiada orang yang mempelajarinya.

Tujuan mempelajari ilmu faraid adalah untuk mengetahui bahagian yang bakal diperoleh oleh setiap ahli waris daripada harta peninggalan si mati atau harta pusaka.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkan ia kepada orang lain. Sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu, ia adalah ilmu yang dilupakan dan ia merupakan suatu ilmu yang mula-mula akan dicabut daripada umatku.” (Riwayat Ibnu Majah, al-Hakim dan Baihaqi)

Rasulullah SAW menggesa umat Islam mempelajari ilmu faraid secara terperinci kerana baginda bimbang umatnya leka untuk mempelajarinya selepas kewafatannya.

Tambahan pula, ilmu ini merupakan ilmu pertama yang akan diangkat daripada manusia sebagaimana dijelaskan oleh hadis di atas.

Kelalaian dan kealpaan umat Islam mempelajari ilmu faraid akan menyebabkan ilmu ini hilang selepas kematian para ulama, guru agama, ustaz, ustazah yang pakar dan mahir dengannya.

Pihak Amanah Raya Berhad yang diberi kuasa sebagai pengurus dan pentadbir harta pusaka di Malaysia telah melaporkan bahawa kurangnya pemahaman dan pengetahuan tentang hukum serta ilmu faraid dan kurang kesedaran untuk mempelajarinya menjadi faktor banyak isu kepada keruntuhan institusi keluarga dan isu sosial berkaitan harta pusaka berlaku kepada umat Islam pada masa ini.

Ilmu faraid sangat penting untuk dipelajari dan diamalkan dalam kehidupan umat Islam. Pembahagian harta menggunakan kaedah faraid sedikit sebanyak dapat memberi bantuan kepada waris yang berhak untuk menerima harta pusaka bagi meneruskan kehidupan selepas kematian ahli keluarga.

Umat Islam mendapat pengetahuan mengenai sesuatu perkara bergantung kepada sumber ilmu pengetahuan yang diperoleh mereka sama ada secara formal atau tidak formal. Pendidikan berkualiti merupakan ‘Sustainable Development Goals’ yang keempat.

Penting bagi umat Islam untuk mendapatkan pendidikan berkualiti adalah untuk memenuhi asas pembangunan lestari.

Di samping itu, akses kepada pendidikan dan ilmu juga dapat membantu melengkapkan penduduk setempat dengan kemudahan pendidikan dan ilmu faraid yang diperlukan untuk membangunkan ihsan serta meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan masyarakat.

Begitu juga dengan ilmu faraid. Ilmu ini penting untuk disampaikan agar kehidupan umat Islam sentiasa mendapat jaminan dan keadilan bagi meneruskan kehidupan pada masa akan datang.

Faraid

ILMU faraid penting kepada semua orang untuk menjamin keadilan dan memelihara kesejahteraan keluarga. 

Penyebaran ilmu faraid dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam dari segi ekonomi dan juga sosial. Ilmu faraid semakin giat diajar oleh pihak yang pakar sama ada secara dalam talian, kuliah harian, pembelajaran dan pengajaran di sekolah menengah dan juga kuliah di masjid dan surau.

Tidak lupa juga sesetengah pihak universiti yang semakin cakna telah mula memasukkan silibus ilmu faraid dalam kursus berkaitan agama Islam. Ini juga membuktikan bahawa kepentingan ilmu faraid dari segi pendidikan semakin disedari oleh pihak pendidik dan semakin disebarkan ke pelbagai lapisan umat Islam sama ada remaja, dewasa dan warga emas.

Kualiti pendidikan masyarakat atau umat Islam meningkat apabila kita sendiri diajarkan atau disampaikan dengan ilmu yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Apabila ilmu faraid dipelajari dan diamalkan, ia dapat menjamin kelangsungan ilmu ini, seterusnya dapat melindungi ilmu faraid daripada dilupakan dan pupus ditelan zaman.

Bukan itu sahaja, para waris juga dapat bertanggungjawab dan prihatin dalam pengurusan harta pusaka. Kebijaksanaan waris menguruskan harta pusaka menjurus kepada keharmonian dan kesejahteraan keluarga serta menunjukkan pendidikan berkualiti telah mula diaplikasikan dalam kalangan umat Islam.

Sebagai contoh, dapat diambil iktibar daripada isu hangat mengenai faraid selepas peninggalan seorang selebriti terkenal awal pada awal tahun ini.

Ketahuilah bahawa betapa pentingnya ilmu faraid dalam kalangan umat Islam. Sekiranya umat Islam diterapkan dengan ilmu faraid yang lengkap, maka masalah keruntuhan institusi keluarga dapat dikurangkan dan masalah sosial antara umat Islam dapat dicegah, bak kata peribahasa mencegah lebih baik daripada mengubati.

Oleh itu, ilmu faraid sangat penting dan penyebarannya sangat dituntut dalam agama Islam. Tanpa mengira lapisan umur masyarakat Islam, penyebaran ilmu ini penting sebagai persediaan menghadapi masa hadapan.

Natijahnya, ilmu faraid dapat meningkatkan kualiti umat Islam, memelihara institusi kekeluargaan dan sekali gus menyumbang kepada pendidikan berkualiti untuk umat Islam sejagat,” jelas beliau.

Ingat ya, pendidikan ini tidak mengira usia. Mahu atau tidak, kita kena ambil tahu tentang ilmu faraid kerana kita semua akan meninggalkan dunia ini dan tak boleh bawa masuk harga yang disimpan selama ini ke dalam liang lahad.

(Sumber: Safirah Khan, Universiti Malaysia Terengganu)