SUAMI memainkan peranan penting untuk mengharmonikan rumah tangga. Rasulullah SAW memberikan enam panduan untuk membina sikap romantik dalam rumah tangga.
Membina sebuah keluarga bahagia bukanlah mudah, ia bagaikan membina sebuah rumah. Jika asasnya kuat, maka kukuhlah rumah tersebut.
Sebaik-baik ikutan yang perlu dicontohi ialah junjungan besar baginda Rasulullah. Ini kerana kehidupan baginda penuh dengan kasih sayang sesama keluarga.
Antara cinta terhebatnya adalah bersama Siti Khadijah RA. Cintanya Nabi kepada Khadijah sehingga baginda bersabda kepada Aisyah RA yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku benar-benar telah dianugerahi cinta Khadijah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, di laman sosial YouTubenya telah berkongsi beberapa amalan Rasulullah dan isterinya agar kekal romantis.
Baca juga Model keluarga terbaik disebutkan dalam al-Quran
1. Mandi bersama
Mandi bersama adalah aktiviti yang dilakukan oleh Rasulullah dengan isteri baginda. Aktiviti-aktiviti romantik seperti membelai rambut isteri turut dilakukan bagi meningkatkan lagi kasih sayang serta kemesraan.
Diriwayatkan bahawa Aisyah berkata yang bermaksud: “Aku sentiasa mandi dengan Rasulullah daripada satu bekas. Tangan kami sama-sama berselisih ketika menggunakan air dalam bekas itu.” (Hadis Riwayat Bukhari).
2. Makan sepinggan dan menyuap pasangan
Sifat kasih baginda dipaparkan menerusi percakapan dan perbuatan. Baginda sangat manja dengan pasangannya, apabila makan selalu bersuap-suapan. Perkara ini dirakamkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya apa pun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan dalam mulut isterimu”.
Justeru pasangan suami isteri digalakkan makan dari pinggan yang sama. Ia merupakan sunah Nabi jika ingin rumah tangga yang di bina akan sentiasa rukun dan bahagia.
3. Bermanja
Romantiknya Nabi sehinggakan baginda bermanja dengan menyandarkan kepalanya ke pangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan oleh Aisyah yang bermaksud:
“Nabi membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Bahkan amalan ini berterusan sehingga detik-detik terakhir baginda. Aisyah berkata yang bermaksud:
“Ketika maut menghampiri Rasulullah, kepala Baginda berada di atas dadaku.” (Hadis Riwayat Bukhari).
4. Memanggil isteri dengan panggilan manja
Panggil isteri dengan panggilan yang mengembirakannya dan membuatkan dia bangga serta memiliki harga diri. Baginda sendiri memanggil isterinya dengan panggilan manja.
Baginda memanggil Aisyah dengan panggilan ‘ya Humaira’ yang bermaksud si putih kemerah-merahan. Nabi juga memanggil Aisyah dengan sebutan ‘ya Aisy’ yang bermaksud kehidupan.
Sabda Baginda Rasulullah: “Wahai Aisy (sebutan untuk Aisyah), ini adalah Jibril, ia menitipkan salam untukmu.” Lalu aku menjawab: “Wa’alaihissalam warahmatullah.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Baca juga 5 kewajipan anak perempuan kepada ibu bapa meskipun telah bergelar isteri
5. Pengubat hati
Dalam rumah tangga, penting untuk adanya perencah agar hubungan suami isteri kekal bahagia. Bukan hanya isteri sahaja yang perlu pikat suami malah suami juga perlu melakukan hal yang sama agar ikatan cinta yang terjalin semakin mekar.
Rasulullah sangat pandai mengambil hati dan menghiburkan hati isteri-isterinya. Sewaktu isterinya dalam kedukaan, Baginda hadir menghiburkan hati serta duka yang dilalui isterinya.
Diriwayatkan dari Aisyah RA yang bermaksud: “Nabi Muhammad adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
6. Bergurau senda
Sudah menjadi lumrah dalam hidup manusia untuk bergurau senda sama ada bersama keluarga mahupun sahabat. Ia bertujuan menceriakan suasana agar menjadi lebih harmoni dengan adanya sikap romantik tersebut.
Rasulullah sendiri tidak menafikan fitrah sebagai manusia yang sukakan suasana gembira. Ada waktunya baginda akan bergurau senda bersama isteri-isteri dan sahabat-sahabat baginda. Cara baginda bergurau senda itulah yang sepatutnya menjadi panduan kepada kita.
Abu Hurairah meriwayatkan, para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah adakah kamu bergurau dengan kami?” Rasulullah menjawab: “Aku tidak pernah berkata perihal yang tidak benar.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Jelaslah Rasulullah juga sering bergurau tetapi perlulah ada hadnya dan tidak berkata sesuatu yang tidak benar hanya untuk membuat orang lain ketawa.
Semoga perkongsian ini memberi inspirasi kepada semua pasangan. Sikap romantik antara suami dan isteri amat penting bagi melahirkan ikatan kasih sayang yang lebih intim.
Foto: Canva