USAH terlalu seronok bergelumang dalam maksiat, ketahuilah bahawa itu sebenarnya antara azab ALLAH SWT.
Mutakhir ini, pelbagai isu berkaitan agama yang timbul di media sosial termasuklah kes seorang wanita yang menunaikan umrah dalam keadaan berihram lelaki sehinggalah hartawan yang terus-menerus melakukan tindakan yang bercanggah dengan syariat.
Kesemuanya perkara dilakukan tanpa sekelumit rasa malu terhadap ALLAH SWT, seolah-olah persendakan agama-NYA. Lebih menjijikan, ia ditayangkan kepada orang ramai di alam maya sepertinya berbangga dengan dosa yang dibuat.
Melihatkan situasi itu, pensyarah Fakulti Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi terpanggil memberikan pendapat beliau berkenaan isu tersebut.
“Sebagai Muslim, tugas menegur kemungkaran itu wajiblah dipenuhi. Bahkan, Rasulullah SAW mengingatkan bahawa mereka yang tidak mencegah kemungkaran sedangkan dia mampu, maka akan dibimbangi akan ditimpa azab dari ALLAH,” tulisnya dalam satu hantaran yang dikongsikan di Facebook.
Baca juga ‘Saham’ dosa diwarisi ke kalau ajar orang lain buat maksiat?
Perkara ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Tiada satu kaum yang melakukan maksiat, sedangkan ada dalam kalangan mereka yang mampu mencegahnya, melainkan akan dibimbangi keseluruhan mereka akan ditimpa azab ke atas kesemuanya.’’ (Hadis Riwayat Abu Daud)
“Barangkali ada yang bertanya, mengapa mereka ini masih kekal melakukan kemungkaran? Apakah mereka tidak takut akan azab ALLAH?
“Pada hakikatnya, keseronokan melakukan maksiat itu adalah salah satu bentuk hukuman dan balasan ALLAH yang berikan kepada manusia,” katanya.
Baca juga Ustazah Asma’ Kongsi Doa Elak Daripada Gangguan Syaitan
Tambah beliau, ALLAH menghukum para pelaku dosa ini dengan mencabut rasa takut kepada-NYA. Apa yang tidak mereka ketahui, hakikatnya itulah seberat-berat azab bagi seseorang Muslim sehingga mereka tidak rasa gentar melakukan dosa.
Ulama Islam, Abu Hazim bin Dinar pernah menyebut, “Sekiranya engkau perhatikan TUHANmu kerap mengurniakan nikmat setelah engkau melakukan maksiat, maka berhati-hatilah.” (Rujuk Sifah al-Safwah, 1/386)
Baca juga Ada nikmat kubur buat orang beriman
Perkara ini juga diperincikan oleh agamawan, al-Imam Ibnu al-Jauzi:
“Hukuman ALLAH yang paling besar (ke atas seorang Muslim) ialah pelaku dosa itu tidak merasakan yang dia sedang dihukum oleh ALLAH. Dan lebih dahsyat lagi, mereka merasa seronok dengan hukuman (hati mereka dicabut rasa takut tadi) seperti mereka merasakan seronok dengan memakan harta yang haram, atau kekal melakukan dosa.” (Rujuk Sayd al-Khatir, 27)
Baca juga Jika tinggalkan suruhan ALLAH, tetap berdosa walaupun 10 kali ke Makkah
Menurut pensyarah berkenaan yang memetik pendapat al-Imam Ibnu Hajar, adakalanya ALLAH sengaja menangguhkan balasan buat para pendusta agar hukuman yang dikenakan akan lebih lama.
“Semoga ALLAH jauhkan kita daripada sebarang maksiat dan hukuman-hukuman yang kita tidak sedari.
“Ini tidak lain hanyalah muhasabah buat diri kita sendiri. Semoga ALLAH membimbing kita,” tegasnya.
Usah seronok bergelumang maksiat, rupanya itu antara azab ALLAH
Foto: Pexels