LUMRAH adik beradik kadangkala berselisih pendapat walaupun dilahirkan dari rahim yang sama. Mana tidaknya, masing-masing adalah individu tersendiri dengan perangai dan sikap berbeza.
Namun, apabila perbezaan pendapat itu membawa kepada pertengkaran seperti perebutan harta pusaka dan hutang piutang, ramai yang memilih jalan memutuskan pertalian persaudaraan.
Sebesar mana pun perselisihan yang berlaku, hakikatnya, kita tidak boleh sewenang-wenangnya meleraikan ikatan silaturahim dalam agama.
Memetik artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-312: Ancaman Kepada yang Memutuskan Tali Persaudaraan yang disiarkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, memutuskan silaturahim termasuk dalam salah satu dosa besar secara ijmak ulama.
Kalimah silaturahim diambil daripada dua perkataan Arab yang membawa maksud memelihara dan menyambung hubungan dengan kaum kerabat yang terdekat.
Sebagai umat Islam, kita dilarang untuk memutuskan tali silaturahim kerana Islam agama yang mementingkan hubungan persaudaraan.
ALLAH SWT berfirman,
“(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa – kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya” (Surah Muhammad, ayat 22-23)
Perkara ini juga diriwayatkan oleh Jubair bin Mutim RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Yang dimaksudkan “tidak masuk syurga” di sini adalah tidak masuk bersama golongan terawal. Bukanlah bererti tidak akan masuk ke syurga selama-lamanya. Selagi seseorang itu beriman, dia tetap akan dapat memasuki syurga.
Sungguhpun begitu, perkara ini jelas menggambarkan betapa pentingnya hubungan silaturahim dalam agama. Memutuskan silaturahim juga boleh menjadi penyebab azab seseorang di dunia disegerakan lagi.
Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ibnu Majah:
“Tidaklah sebuah dosa yang lebih pantas untuk disegerakan balasannya di dunia dan juga disamping yang sedang menantinya di Hari akhirat dibanding dengan dosa menzalimi manusia dan dosa memutuskan silaturahim”
Sebagai manusia, kita tidak lari daripada melakukan kesilapan. Boleh jadi kita telah melakukan sesuatu yang mengguriskan hati ahli keluarga kita tanpa disedari sehinggakan terputus jalinan silaturahim tersebut.
Dalam situasi ini, segeralah kita bermuhasabah diri, memohon maaf dan berusaha untuk mengikatkan tali persaudaraan itu semula.
Rasulullah SAW bersabda,
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah seseorang itu menyambung silaturahim” (Riwayat al-Bukhari)
Selain itu, sabda Rasulullah dalam sebuah hadis diriwayatkan Ibnu Majah:
“Wahai Manusia sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturahim dan solatlah di waktu malam hal keadaan manusia sedang tidur, maka masuklah kamu ke dalam Syurga dengan sejahtera dan selamat”
Antara cara mengeratkan hubungan silaturahim adalah dengan menziarahi ahli keluarga dan menghulurkan bantuan apabila mereka dalam kesusahan.
Dalam era teknologi kini, tiada alasan untuk kita tidak bertanyakan khabar kepada kaum kerabat. Sekadar mesej teks menerusi telefon bimbit juga sudah memadai.
Dalam erti kata lain, menurut Imam al-Nawawi:
“Menghubungkan silaturahim bermaksud berlaku ehsan kepada kaum kerabatnya yang terdekat berdasarkan keadaan penyambung dan yang disambung; boleh jadi ia berlaku dengan sebab harta, kadang-kadang berlaku dengan cara berkhidmat kepadanya, kadang-kadang dengan melakukan ziarah, memberi dan menjawab salam dan sebagainya” (Riwayat Muslim)
Baca juga Contohi sikap Nabi Yusuf santuni adik-beradik
Namun, terdapat juga situasi yang mana seseorang dibenarkan memutuskan hubungan silaturahim, iaitu apabila ada kaum kerabat yang melakukan kejahatan dan walaupun telah dinasihati berulang kali, dia masih tetap dengan kejahilannya.
Walaupun begitu, hubungan dengan individu sebegini masih berterusan walaupun telah terputus silaturahim.
Lantas sentiasa lah berdoa kepada ALLAH SWT supaya mereka diberikan hidayah untuk berubah ke arah kebaikan.
Jelaslah, menjaga dan menghubungkan silaturahim adalah perkara yang sangat dituntut di dalam agama.
Salah faham antara ahli keluarga itu biasa. Namun, jangan biarkan ia menjurus kepada putusnya tali persaudaraan.
Bak kata pepatah Melayu, “air dicencang tiada putus”. Sentiasa lah bermaaf-maafan dan santuni satu sama lain.
Semoga kita termasuk dalam golongan yang menyambung dan memelihara silaturahim. Amin.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Foto: Pexels & Unsplash