Nikmati fasa kritikal dan kemuncak ujian kehidupan pada usia 30 hingga 39 tahun
BERMULA dari alam rahim sehinggalah menghembuskan nafsa terakhir, setiap manusia akan melalui perjalanan kehidupan yang telah ditakdirkan oleh ALLAH SWT.
Seiring meniti waktu dan tahun, manusia pasti akan mengalami perubahan terutama dari segi umur. Bahkan ada sebuah hadis berkenaan umur.
Daripada Abi Bakrah RA berkata, telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang terbaik?.”Rasulullah SAW menjawab: “Siapa yang panjang usianya dan baik pula amalannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Berbicara mengenai fasa kehidupan manusia di alam fana ini, pendakwah, Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan berkongsi antara usia manusia untuk menghadapi kemuncak ujian hidup.
Menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, Imam Muda Hasan menyatakan, bermula umur 20 hingga 29 tahun, manusia sibuk menghabiskan masa dengan belajar, bekerja, mencari aset, mencari jodoh dan jika sudah berkahwin akan merasa menimang cahaya mata.
“Bila sudah memasuki usia 30, ujian berat mula menerpa, anak semakin dewasa dengan pelbagai macam-macam perangai, gaji semakin besar dan sibuk dengan kerjaya sehingga tiada masa dengan keluarga.
BACA JUGA Jangan sia-siakan umur yang dikurniakan ALLAH SWT, ini sebabnya kenapa
“Ada juga yang dibuang kerja kerana prestasi makin menurun sehingga hidup mula tertekan dengan pelbagai ujian yang menimpa.
“Contohnya seperti kereta mula meragam, rumah mula nak bocor sana sini, yuran sekolah anak makin naik, mula banyak orang benci kita, isteri mula merungut tak cukup makan, gaji kena potong, rumahtangga mula goyang, badan mula sakit sana sakit sini, hutang keliling pinggang, hubungan adik-beradik mula renggang dan sebagainya.
Kenapa sebelum umur 40 macam-macam ujian terpaksa ditempuhi?
Jelas Imam Muda Hassan, sebenarnya al-Quran dan Hadis sudah menjawab persoalan ini. Segala perkara yang terjadi ini merupakan fasa tarbiah ALLAH pada hamba-NYA supaya kuat rohani untuk menempuh hidup pada usia 40 tahun. Ujian itu sebab ALLAH SAYANG, supaya kita menang untuk menempuh usia 40 tahun.
“Lihat surah Al-Ahqaf ayat 15. Ayat ini menjelaskan umur 40 tahun iaitu umur yang matang. Ini kemuncak umur keIslamannya. Ini adalah umur di mana Nabi SAW diangkat menjadi Rasul.
BACA JUGA Amalkan 3 cara didik anak ikut umur, ikuti panduan daripada Sayidina Ali RA
“Ibn Abbas RA meriwayatkan, “Sesiapa yang menjangkau usia 40 tahun, tetapi kebaikannya tidak mengalahkan kejahatannya, maka bersiap sedialah dia untuk ke neraka!”
“Jadi memang benar ALLAH sayangkan kita, DIA tak nak kita kalah dengan ujian supaya kita tak diheret ke neraka.
“Pandanglah ujian itu sebagai rahmat dan kasih sayang ALLAH pada kita kerana DIA ingin berikan Syurga yang kekal nan abadi,” ungkap beliau.