JIN juga makhluk ALLAH SWT yang ada bersama kita tetapi tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Banyak orang mempertikaikan tentang kewujudan makhkluk halus ini, namun ketahuilah yang mereka benar-benar wujud. Jika kita lalai daripada mengingati ALLAH, mereka akan menguasai tempat-tempat dan persekitaran di mana kita berada.
Menerusi perkongsian Ustaz Wadi Anuar di laman Facebooknya ada menerangkan beberapa lokasi untuk kita berjaga-jaga kerana tempat-tempat itu merupakan tempat kegemaran mereka.
1. Tandas dan tempat pembuangan sampah
Antara tempat yang menjadi kegemaran para jin dan syaitan ialah tandas serta tempat pembuangan sampah kerana makhluk tersebut suka akan suasana yang kotor. Oleh kerana itu, sebelum ke dalam tandas perlulah membaca doa bagi melindungi diri daripada diganggu oleh mereka.
Doa yang boleh diamalkan sebelum memasuki tandas ialah: “Ya ALLAH, aku berlindung kepadamu daripada gangguan jin laki-laki dan jin perempuan.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, an-Nasa’I, Ibnu Majah, dan Ahmad)
Rasulullah SAW dalam satu hadisnya, dari Ali RA, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang masuk tandas kemudian berdoa “bismillahirrahmanirrahim” maka mata akan tertutup dan tidak akan dapat melihat aurat keturunan adam.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmidzi, dan Ibnu Majah)
Baca juga Sentiasa tutup pintu tandas elakkan dari dibuka syaitan
2. Dalam lubang
Umat Islam dilarang kencing di dalam lubang, sama ada lubang seperti sarang binatang atau yang seakan-akan dengannya kerana boleh menganggu jin.
Dari Abdullah bin Sarjas, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Janganlah seseorang di antara kalian kencing di lubang.” Mereka bertanya kepada Qatadah: “Mengapa tidak boleh kencing di lubang?” Qatadah menjawab: “Rasulullah mengatakan kerana lubang itu adalah tempat tinggalnya golongan jin.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, an-Nasa’I dan Ahmad)
3. Bilik kosong
Bilik atau ruang kosong yang tidak berpenghuni kemungkinan besar menjadi tempat jin ‘tinggal’ kerana tiada pergerakan dan orang yang boleh mengusir mereka keluar.
Walaupun rumah kita sentiasa bersih dan teratur, namun jika terdapat sebarang ruang kosong, seeloknya digunakan dengan baik seperti dijadikan sebagai ruang beribadah, ruang bekerja, dan ruang membaca.
Sentiasa masuk ke segenap ruang rumah anda supaya rumah berpenghuni untuk mengelakkan makhluk halus daripada menumpang ruang tersebut.
4. Pasar
Pasar juga merupakan tempat kegemaran para jin kerana tempat tersebut yang banyak mempraktikkan penipuan dan sikap tidak jujur. Hal ini sebgaimana disebutkan dalam sebuah riwayat dimana Salman al-Farisi pernah berwasiat kepada sahabat lain yang bermaksud:
“Kalau boleh janganlah kalian menjadi orang pertama yang masuk ke pasar atau menjadi orang yang paling akhir keluar dari pasar, kerana pasar itu merupakan tempat berkumpulnya para syaitan. Dan di pasarlah syaitan menegakkan benderanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Baca juga ALLAH sangat mencintai masjid dan membenci pasar
5. Masjid
Masjid juga menjadi tumpuan para jin untuk menganggu umat Islam yang sedang beribadah. Kadangkala juga berlaku ada orang yang tidur di masjid berubah kedudukannya kerana dipindahkan oleh jin tanpa sedar.
Maka ini jelas menujukkan bahawa jin memang wujud di dalam masjid, lebih-lebih lagi jin muslim yang turut menunaikan solat di masjid.
“Wahai Rasulullah izinkanlah kami para jin untuk turut melaksanakan solat dengan cara berjamaah bersama di masjid mu.” Kemudian ALLAH menurunkan firman-NYA, “Dan sesungguhnya masjid-masjid itu milik ALLAH, dan jangan sampai kalian menyembah seorang pun di dalamnya selain menyembah ALLAH.” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Hatim)
Semoga kita semua dalam lindungan ALLAH dari segala gangguan makhluk ghaib yang boleh menghancurkan hidup seseorang. Jadikan al-Quran sebagai benteng pertahanan melindungi diri dan ahli keluarga daripada sebarang gangguan jin dan syaitan tersebut.
Foto: Canva