DUA tempat yang menjadi kunjungan harian manusia khususnya umat Islam ialah masjid dan pasar. Sebagaimana maklum, ALLAH SWT terlalu mencintai masjid dan manusia yang selalu mengimarahkan rumah-NYA. Namun, apakah benar ALLAH membenci pasar?
Telah dijelaskan di dalam al-Quran bahawa dunia hanya tempat persinggahan buat manusia untuk mengumpul seberapa banyak bekalan untuk dibawa menuju ke alam abadi iaitu akhirat. ALLAH berfirman dalah surah as-Syura ayat 20 yang bermaksud:
“Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat, kami akan menambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia, kami akan memberikan kepadanya sebahagian (keuntungan dunia), tetapi dia tidak mendapat bahagian di akhirat kelak.”
Sebagai Muslim yang beriman kepada ALLAH, hendaklah bijak memanfaatkan masa yang ada dengan memperbanyakkan amal soleh agar tidak dihabiskan pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Tempat paling disukai oleh ALLAH adalah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh ALLAH adalah pasar-pasarnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Baca juga Masjid al-Ghamamah, tempat terakhir Nabi SAW solat raya
Memetik artikel Irsyad Al-Hadith siri ke-406 yang disiarkan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah persekutuan ada berkongsi mengenai tempat yang disukai dan tidak disukai oleh ALLAH.
Imam al-Nawawi di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadis di atas berkata, masjid-masjid merupakan tempat yang paling disukai oleh ALLAH adalah disebabkan ia merupakan tempat yang dilakukan ketaatan serta ia diasaskan di atas ketakwaan.
Asas berdirinya negara Islam pertama didahului dengan terbinanya masjid. Sebelum Baginda memilih tapak rumahnya, terlebih dulu baginda mencari tapak untuk dibangunkan masjid lalu baginda membina masjid iaitu masjid Quba.
Sesungguhnya masjid ialah tempat yang mulia lagi suci. Peranan masjid dalam kehidupan kita umat Islam adalah sangat penting.
Dari masjid itulah yang bermulanya penyebaran dan pengukuhan syiar Islam yang berperanan sebagai pusat beribadah, pusat ilmu pengetahuan, pusat kegiatan umat dan lain-lain lagi aktiviti kemasyarakatan.
Sesuai dengan peranannya sebagai tempat ibadat dan menyeru manusia kepada ketakwaan dan menjauhi kemaksiatan serta kemungkaran.
Sebaliknya, ALLAH membenci pasar kerana ia merupakan tempat banyak berlakunya penipuan, tipu daya, riba, sumpah yang dusta, pemungkiran janji, dan menjauhkan diri daripada mengingati ALLAH.
Imam al-Qurtubhi di dalam tafsirnya menyatakan kemakruhan memasuki pasar. Lebih-lebih lagi di zaman kita yang padanya terdapat percampuran di antara lelaki dan wanita.
Tambahan pula, Imam Ibn Batthal menyebut bahawa pasar adalah tempat yang bising dan lalai serta tempat manusia sibuk mengumpul duit. Sekiranya seseorang itu mengingati ALLAH di pasar maka ia termasuk di antara amalan yang terbaik.
Imam al-Mawardi sangat mencela perbuatan orang yang sentiasa melazimi pasar dan banyak menghabiskan masanya dengan menyibukkan dirinya sehingga mengabaikan ibadah kepada ALLAH.
Pada zaman dahulu, selain melakukan ibadah di masjid, Nabi juga seperti manusia yang lain melakukan pelbagai aktiviti dalam kehidupan seharian. Ia termaktub dalam Surah al-Furqan ayat 20 yang bermaksud:
“Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar…”.
Baca juga 6 sikap romantik Rasulullah yang patut dicontohi
Ayat ini menujukkan Rasulullah juga melakukan perkara yang sama seperti makan dan minum serta melakukan jual beli di pasar.
Ketika usia masih muda, Rasulullah juga merupakan seorang pedagang lalu menemukan baginda dengan Khadijah yang kemudian menjadi isterinya
Walaupun ALLAH membenci pasar tetapi ia bukanlah bermakna larangan yang membawa hukum haram memasuki pasar sama ada untuk berniaga atau membeli barangan.
Bahkan sekiranya para peniaga menjadikan pasar sebagai tempat yang penuh dengan kebaikan seperti kejujuran dalam jual beli dan timbangan, tidak berlaku kelalaian dalam zikrullah, berniaga dengan maksud untuk mempertingkat ekonomi umat Islam, maka kesemuanya ini adalah kebaikan besar yang diperoleh pahala kepada para pelakunya.
Lakukanlah segala kewajipan dan tanggungjawab kita sebagai seorang hamba kepada ALLAH dengan pergi ke tempat yang disukai ALLAH dan menjauhi tempat-tempat yang tidak disukai-NYA.
Foto: Canva