DUA peristiwa berikut menggambarkan Rasulullah SAW saat baginda sedang marah.
Bagi kebanyakan orang, rasa marah adalah sesuatu yang mustahil untuk dihindari kerana ia sememangnya salah satu emosi yang wujud dalam diri manusia.
Namun, sebagai seorang mukmin, kita perlu berusaha menguruskan sifat tersebut dengan baik memandangkan kemarahan berasal daripada syaitan.
Baca juga 4 qul, perisai ampuh hindari hasutan syaitan, iblis
Sabda Nabi Muhammad SAW, “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan syaitan diciptakan daripada api neraka, dan api akan dipadam dengan air. Maka, jika salah seorang daripada kamu marah hendaklah berwuduk.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Baca juga Jangan pandang remeh perbuatan hina agama
Pun begitu, rupa-rupanya ada jenis marah tertentu yang dibenarkan dalam agama. Dalam situasi seperti agama Islam dipersenda oleh orang kafir dan golongan munafik, kita sebenarnya dibolehkan berasa marah.
Memetik suatu perkongsian oleh program Soul Fitness Centre, perkara ini dialami oleh Rasulullah SAW sendiri menerusi dua peristiwa berikut yang membangkitkan amarah baginda.
1. Apabila melibatkan aqidah, pegangan dan ibadah penting
Nabi Muhammad SAW pernah menunjukkan wajah tidak suka apabila Saidatina Aisyah membeli bantal yang mempunyai gambar. Gambar pada zaman Nabi SAW adalah salah satu bentuk pemujaan.
Baca juga Haram lukis mural manusia? Ini penjelasannya
Aisyah RA menceritakan, “Suatu hari saya telah membeli bantal yang mempunyai gambar. Sewaktu Rasulullah SAW melihat bantal itu, baginda berhenti di hadapan pintu.
Saya tahu pada wajah baginda ada rasa tidak suka. Lalu saya berkata, “Wahai Rasulullah, saya bertaubat kepada ALLAH dan Rasul-NYA, apakah dosa saya?” Lalu Rasulullah berkata, “Apakah bantal itu?”
Saya menjawab, “Saya telah membelinya untuk kekanda duduk di atasnya dan bersandar padanya.’
Rasulullah berkata, “Orang yang membuat gambar itu akan diseksa pada hari kiamat. Maka diucapkan kepada mereka, “Hidupkan apa yang kamu buat itu.””(Hadis Riwayat Bukhari)
2. Apabila melibatkan kemaslahatan orang ramai
Anas bin Malik melaporkan bahawa Nabi SAW pernah ternampak kesan ludah melekat di dinding masjid. Baginda berasa marah sehingga wajahnya bertukar merah.
Kemudian datang seorang wanita penduduk asal Madinah. Lalu dia membuang kesan ludah itu dan meletakkan wangian pada tempat itu. Rasulullah SAW berkata, “Alangkah bagusnya perbuatan itu!” (Hadis Riwayat Nasa’i)
Secara tidak langsung, kedua-dua hadis tersebut juga mengajarkan kita cara untuk menguruskan perasaan marah dalam diri.
Baca juga Hidup Kena Banyak Sabar, ALLAH SWT Akan Balas Dengan ‘Ladang’ Pahala Tanpa Batas
Berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW, ada tiga perkara yang boleh kita teladani ketika diselubungi rasa marah:
1. Apabila kita sedang marah, sebaik-baiknya hanya berdiam dan tunjukkan emosi itu melalui riak wajah muka kita sahaja untuk elak mengeluarkan kata-kata yang tidak elok.
2. Sebelum marah, tanya dahulu sebab apa. Pastikan anda jelas dengan situasi yang sedang dihadapi sebelum meluahkan emosi secara melulu.
3. Marah hanya pada perbuatan itu sahaja, bukan marah orang yang membuat silap kerana selagi pintu taubat ALLAH masih terbuka, semua orang mempunyai peluang untuk berubah.
Baca juga Bahaya tiga serangkai ini, boleh menghapuskan pahala
Selain itu, Nabi SAW juga mengingatkan kita agar sentiasa berwuduk bagi mengawal perasaan marah yang ada dalam diri.
Maka, jadilah orang yang bersabar kerana antara golongan yang sangat disukai oleh ALLAH SWT adalah mereka yang mempunyai sifat penyabar.
Bagaimana Rasulullah SAW saat marah? Ini peristiwanya
Foto: Pexels & Unsplash