TIGA serangkai yang dianggap seakan sama, namun ia merupakan penyakit hati yang berbeza sehingga setiap amal kebaikan yang dilakukan boleh menghapuskan amalan kebajikan tanpa disedari.
Menerusi perkongsian di halaman Facebook oleh Ustaz Yaakub Yusra, Pengasas MADAD Dakwah Center mengenai perkara yang boleh merosakkan pahala, pertama sifat takbur. Takbur adalah merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain sehingga wujud sifat sombong dengan segala kelebihan yang diberikan.
Takbur ini adalah penyakit pertama yang diberikan ALLAH SWT kepada satu-satunya mahkhluk pertama yang dilaknat oleh alam dan muka bumi in iaitu Iblis laknatullah.
Firman ALLAH: : “Dan ingatlah ketika KAMI berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam! Maka mereka pun sujud kecuali Iblis, dia menolak dan menyombongkan diri dan dia termasuk golongan yang kafir. (al-Baqarah, ayat 34)
Bila mana ALLAH perintahkan iblis untuk sujud kepada nabi Adam, bukan sujud tanda sembah akan tetapi sujud sebagai tanda menghormati. Dek kerana merasakan dirinya lebih hebat dan takbur, iblis mengingkari arahan ALLAH.
Baca juga 5 perkara anak lelaki Muslim sejati harus kuasai di usia remaja
Sombong atau takbur adalah sifat yang terkeji dan merupakan salah satu penyakit hati yang membawa kepada kebinasaan diri.
Terpesona dengan kehebatan diri
Penyakit kedua yang dikongsi oleh Ustaz Yaakub adalah ujub, perasaan kagum atau bangga atas diri sendiri, merasa diri hebat dan terpesona dengan kelebihan yang ada.
Mengambil perkongsian daripada lenggangkangkung-my.blogspot di laman webnya, perasaan ujub boleh datang pada bila-bila masa, sebagai contoh;
i.Orang yang rajin beribadah merasa kagum dengan ibadahnya.
ii.Orang yang berilmu, kagum dengan ilmunya.
iii.Orang yang cantik, kagum dengan kecantikannya.
iv.Orang yang dermawan, kagum dengan kebaikannya.
v.Orang yang berdakwah, kagum dengan dakwahnya.
Sufyan at-Tsauri mengatakan ujub adalah perasaaan kagum pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjat.
Ingatlah, semua kelebihan adalah anugerah daripada ALLAH, oleh itu kagumlah hanya kepada ALLAH, bukan diri sendiri.
Imam Nawawi rahimahullah berkata ”ketahuilah bahawa keikhlasan niat terkadang dihalangi oleh penyakit ujub. Sesiapa ujub dengan amalnya sendiri maka akan terhapus amalnya”. (Syarh Arba’in)
Penyakit ketiga yang boleh merosakkan pahala adalah riak, riak bermaksud tidak ikhlas dalam menunaikan sesuatu ibadah, seseorang menampakan atau memperlihatkan ibadah dengan niat mendapat perhatian atau pujian manusia, kedudukan, penghargaan atau keuntungan duniawi.
Al Hafidz Ibn Hajar menjelaskan “Riak ialah menampakkan ibadah dengan tujuan agar dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amal tersebut.”
Ibadah orang yang riak akan ditolak serta tiada nilai disisi ALLAH. Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya ALLAH tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap reda ALLAH”. (Hadis Riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i)
Berkata imam Qurtubi, “Hakikat riak ialah menginginkan dunia dalam ibadah dan asalnya ialah menginginkan kedudukan di hati manusia.”
Sebagai manusia yang sering leka dengan nikmat dunia, jika merasakan diri lebih baik dan timbulnya tiga serangkai itu, maka segeralah beristighfarlah dan memohon keampunan kepada ALLAH.