PENGANTIN lelaki berinai 3 jari ketika berkahwin, apa hukumnya?
Hujung tahun kian tiba, pasti ramai yang akan melangsungkan perkahwinan dan antara perkara biasa sering dilihat adalah pemakaian inai oleh pengantin perempuan.
Umum mengetahui hukum memakai inai atau yang semisal dengannya untuk memerahkan jari tangan dan jari kaki bagi perempuan adalah harus sama ada ketika berkahwin atau selepas berkahwin dan yang belum berkahwin.
Harus hukumnya bagi seorang wanita, namun bagaimana pula jika lelaki memakai inai dengan alasan adab dalam berkahwin atau semata untuk berhias ketika majlis berlangsung?
Merujuk Irsyad Al-Fatwa Ke-157: Hukum Lelaki Memakai Inai oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan inai adalah perhiasan bagi wanita dan bukannya untuk lelaki.
Dalam sebuah hadis, diriwayatkan daripada Aisyah RA “Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?”. Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu Baginda berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”. (Riwayat Abu Daud, al-Nasa’ie di dalam al-Kubra & Ahmad di dalam Musnadnya)
Di dalam ‘Aun al-Ma’bud disebutkan bahawa hadis di atas menunjukkan kepada tersangat digalakkan bagi wanita untuk mengenakan inai. Al-Sanadi mula menyebutkan bahawa yang disebutkan dengan (لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً) itu membawa makna: “Sekiranya kamu meraikan syiar bagi wanita, nescaya kamu akan mengenakan inai pada tanganmu”.
Setelah mengetahui bahawa inai itu adalah perhiasan bagi wanita, maka dalam sebuah hadis yang lain terdapat larangan bagi menyerupai wanita. Sabda Nabi SAW daripada Ibn Abbas RA “Rasulullah SAW telah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki”.
Baca juga Menyerupai jantina lawan, haram di sisi Islam
Al-Imam Ibn Battal Rahimahullah menyebutkan bahawa al-Tabari Rahimahullah mengatakan bahawa pada hadis di atas terdapat fiqhnya iaitu tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita pada sudut pakaian, perhiasan yang dikhususkan buat wanita.
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam al-Majmu’: Adapun mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai, maka digalakkan bagi yang berkahwin dikalangan perempuan berdasarkan hadis-hadis masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk berubat.
Begitu juga al-Imam al-Syarwani Rahimahullah di dalam hasyiahnya bagi kitab Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah turut menyatakan perkara yang sama iaitu digalakkan bagi wanita yang telah berkahwin untuk berinai dan haram ke atas lelaki.
Baca juga Haram gugur kandungan dengan sengaja, kecuali dengan sebab-sebab yang diharuskan perubatan dan Islam
Berdasarkan kenyataan di atas, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyimpulkan bahawa tidak dibenarkan bagi lelaki untuk mengenakan inai pada kedua tangan atau kaki mereka dan digalakkan bagi perempuan yang telah berkahwin untuk berinai bagi tujuan berhias. Ini kerana berinai itu termasuk di dalam perhiasan wanita.
Oleh itu, tidak boleh bagi lelaki untuk berinai sama ada bagi tujuan perkahwinan ataupun selainnya atas dasar berhias, agar nampak cantik dan sebagainya melainkan untuk tujuan berubat yang mana dengan berinai boleh membantu menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu.
Ustaz Azhar Idrus turut menjelaskan sunat memakai inai oleh perempuan yang sudah berkahwin kerana berhias untuk suaminya.
“Berkata Syeikh Sulaiman Jamal “Dan ada pun memerahkan jari dua tangan dan dua kaki dengan inai maka hukumnya disunatkan bagi perempuan yang sudah berkahwin dan haram ia atas kaum lelaki.” (Kitab Hasyiah Al-Jamal)
“Dan selain dari inai itu seperti pewarna kuku maka wajib ditanggalkan sebelum mengambil wuduk dan mandi hadas kerana air tidak dapat sampai ke atas kuku kerana terhalang oleh cat kuku tersebut menjadikan mandi hadas dan wuduknya tidak sah.
“Ada pun inai maka sah berwuduk dan mandi hadas dengannya kerana tidak ada atas kuku itu jirim melainkan kesan warna inai sahaja,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus