Tak semestinya kena berjaga malam berjam-jam, pendakwah titip cara mudah mengejar lailatulqadar
SEMUA umat Islam begitu mengimpikan untuk dipertemukan dengan malam lailatulqadar yang digambarkan dalam al-Quran sebagai lebih baik daripada 1,000 bulan.
Ramai yang mencarinya pada 10 malam terakhir Ramadan berpandukan sabda Rasulullah SAW: “Carilah malam al-Qadar pada 10 malam terakhir pada malam yang ganjil.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Baca juga Memburu Lailatul Qadar, 3 amalan Rasulullah 10 malam terakhir Ramadan
Pun begitu, tiada siapa yang tahu bilakah tarikh sebenar malam penuh rahmat itu. Hakikatnya, lailatulqadar boleh terjadi pada mana-mana malam pada bulan Ramadan mengikut kehendak-NYA.
Jadi, tidak salah rasanya untuk kita mengorak langkah memperbanyakkan ibadah dalam usaha memburu lailatulqadar mulai sekarang meskipun baru menjejak masuk Ramadan.
Apalagi agama sememangnya menganjurkan kita meningkatkan amal yang dilakukan sepanjang Ramadan untuk memanfaatkan sepenuhnya bulan mulia ini.
Baca juga Kenalpasti dan waspada dengan lapan kategori pencuri di bulan Ramadan!
Lailatulqadar hadiah teragung daripada ALLAH
Justeru, pendakwah terkenal Ustaz Wadi Annuar mengingatkan umat Islam agar tidak leka sehingga terlepas malam agung itu pada Ramadan tahun ini.
Menurutnya, ramai orang tidak sedar bahawa lailatulqadar merupakan hadiah terbesar dikurniakan ALLAH kepada umat Muhammad SAW semasa bulan Ramadan.
“Tuan-tuan, sekali lagi saya sebut, jangan terlepas lagi lailatulqadar pada tahun ini. Lailatulqadar adalah hadiah yang paling besar daripada ALLAH untuk umat Muhammad dalam bulan Ramadan,” ujarnya dipetik menerusi video disiarkan di laman sosial miliknya.
Baca juga Umpama qiam sepanjang malam, ini cara sebenar tunaikan solat tarawih untuk raih ganjaran itu
Cara mudah mengejar lailatulqadar
Kata agamawan itu lagi, ramai yang memberi alasan tidak memburu lailatulqadar kerana letih melakukan ibadah dan sebagainya.
“Ada yang kata, ‘Tak larat ustaz, nak bangun sampai tiga jam’. Siapa suruh bangun tiga jam. Tidak ada ulama yang ajar untuk bangun tiga jam bagi dapatkan lailatulqadar,” ucapnya.
Jelas beliau, umat Islam tidak semestinya berjaga malam berjam-jam untuk mengejar lailatulqadar. Sebaliknya, hanya dengan melaksanakan solat berjemaah, kita juga dapat meraih ganjaran malam penuh keberkatan tersebut.
“Paling kurang umat Nabi Muhammad SAW perlu lakukan untuk dapatkan lailatulqadar adalah melakukan solat Isyak, tarawih dan Subuh berjemaah.
Insya-ALLAH dapat lailatulqadar. Itu kata ulama dulu-dulu,” ungkapnya.
Baca juga Ini dia kategori tidur yang tetap dapat ganjaran lailatulqadar
Baca juga ‘Checklist’ Ramadan, jangan sia-siakan bulan mulia itu dengan perkara-perkara ini
Pendapat sama pernah diutarakan Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Muhammad Fahmi Rusli kepada Sinar Islam Plus sebelum ini.
Menurutnya, tarikh sebenar lailatulqadar disembunyikan daripada pengetahuan semua supaya kita tetap bersungguh-sungguh beribadah, terutamanya pada hari-hari terakhir Ramadan.
Oleh itu, apabila masuknya sahaja waktu Maghrib, beliau menyarankan umat Islam supaya melakukan apa sahaja jenis ibadah.
“Ketahuilah, apa sahaja ibadah dari malam (bermula Maghrib) hingga terbit fajar (masuk Subuh) telah dianggap mendapat bahagian daripada ganjaran menghidupkan malam al-Qadar,” ujarnya.
Baca juga Mengapa masih lakukan tabiat tidak baik walaupun syaitan diikat pada bulan Ramadan?
Beliau turut berkongsi pandangan Imam Sa’id Ibn al-Musayyib tentang ibadah pada lailatulqadar.
Imam Sa’id berkata: “Sesiapa yang melakukan solat Isyak pada malam al-Qadar, maka dia telah memperoleh bahagiannya daripada (ganjaran beribadah) padanya.” (Riwayat Malik)
Rupanya tidaklah sesukar mana untuk kita meraih imbalan pada malam agung itu. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengambil kesempatan dengan meningkatkan amal ibadah tanpa mengira waktu di sepanjang bulan Ramadan ini.
Foto: Pexels