Umpama qiam sepanjang malam, ini cara sebenar tunaikan solat tarawih untuk raih ganjaran itu…
TIBA sahaja Ramadan, umat Islam pasti akan meriahkan bulan yang mulia ini dengan ibadah seperti sembahyang sunat tarawih, witir, bersedekah, memberi makan, tadarus al-Quran dan lain-lain amal kebajikan.
Antara ibadah yang digalakkan untuk kita hidupkan sepanjang bulan Ramadan ini adalah solat sunat tarawih yang hanya boleh dilakukan setahun sekali sahaja.
Alangkah ruginya kalau kita hanya berpuasa sahaja, tetapi tidak mengambil peluang melaksanakan solat tarawih pada malam hari.
Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran akan diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Bagaimana pula cara untuk mendapatkan pahala mendirikan malam sepanjang malam ketika solat tarawih?
Memetik perkongsian mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam Maktabah Albakri, beliau menjelaskan antara cara untuk mendapatkan pahala sepanjang malam ketika solat tarawih adalah dengan melakukannya bersama imam sehingga imam selesai.
Baca Juga Solat Tarawih Perdana di Times Square, New York kali ke-2 lebih meriah
Ujar beliau, terdapat satu riwayat yang menceritakan mengenai kelebihan solat tarawih bersama imam sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Zar al-Ghifari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang qiam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”.
Menurut Dr Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, lafaz Nabi Muhammad SAW dalam hadis iaitu ‘solat bersama imam sehingga selesai’ jelas menunjukkan bahawa yang menjadi anjuran dan sunah Baginda adalah solat sunat tarawih bersama imam dari awal sehingga imam selesai solat witir.
“Hadis ini menunjukkan bahawa fadilat yang besar bagi makmum yang solat bersama imam sehingga selesai dengan mendapat pahala qiam sepanjang malam.
Baca Juga Jaga lidah, jangan sampai puasa menjadi sia-sia kerana percakapan kita
“Riwayat ini juga memberi kefahaman kepada kita bahawa seandainya imam itu mendirikan solat tarawih sebanyak 20 rakaat dan tiga rakaat witir maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam sekiranya ingin mendapat fadilat pahala solat sepanjang malam.
“Begitu juga, jika imam mendirikan solat lapan rakaat tarawih dan tiga rakaat witir, maka makmum juga perlu menyelesaikan kesemua rakaat tersebut bersama imam,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web berkenaan.
Bagaimana pula jika seseorang solat bersama imam, tetapi hanya menunaikan solat tarawih lapan rakaat dan tiga rakaat witir iaitu tidak sama dengan imam yang mengerjakan 20 rakaat solat tarawih dan 3 rakaat witir?
Menjawab persoalan itu, agamawan tersebut kemudian menukilkan pandangan yang dikemukakan oleh Syeikh Abdul Aziz bin Baz.
Syeikh Abdul Aziz pernah ditanya, “Jikalau seseorang itu solat pada bulan Ramadan bersama imam yang solat 23 rakaat dan dia mencukupkan hanya dengan 11 rakaat dan tidak menyempurnakannya bersama imam, apakah perbuatan itu menepati sunah?
Maka beliau menjawab: “Yang menepati sunnah ialah dia menyempurnakan solatnya bersama imam walaupun imam solat sebanyak 23 rakaat. Hal ini kerana Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesiapa yang berdiri bersama imam sehingga selesai, dicatat baginya qiamullail”.
Berdasarkan fakta itu, Dr Zulkifli menegaskan, afdal bagi seseorang untuk bersama imam sehingga selesai sama ada solat tersebut 11, 13 atau 23 rakaat ataupun selain daripada itu.
“Inilah yang paling afdal iaitu mengikuti imam sehingga selesai,” katanya.
Bagi memudahkan kefahaman kita, beliau menyimpulkan bahawa setiap makmum itu perlulah menyelesaikan solat tarawih dan witir bersama imam sehingga selesai bagi mendapatkan fadilat yang terdapat dalam hadis yang disebutkan tadi.
Justeru, pilihlah masjid, surau atau tempat yang menganjurkan solat tarawih sesuai dengan bilangan rakaat yang kita ingin tunaikan supaya ganjaran yang dijanjikan.